Category: Semasa

  • Lima ceti haram ditahan dipercayai khianat bakar SUV

    Lima ceti haram ditahan dipercayai khianat bakar SUV

    POLIS menahan lima ahli ahli sindiket yang dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat api dengan membakar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di sebuah taman perumahan di Batu Pahat pada 14 Disember lalu.

    Suspek terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita warga tempatan dan warga asing yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 62 tahun.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, semua suspek direman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

    “Pada 14 Disember lalu, lebih kurang jam 4.30 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima satu laporan yang menyatakan kenderaan pengadu seorang lelaki berusia 40-an yang sudah dibakar.

    “Perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan oleh sindiket peminjam wang tanpa lesen ataupun ceti haram kerana terdapat satu notis yang ditinggalkan supaya membayar hutang.

    “Anak saudara pengadu yang berhutang dan menghilangkan diri tetapi menggunakan alamat mangsa untuk membuat pinjaman dengan ceti haram atau along terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua suspek ditahan pada 24 Disember lalu dengan hasil bantuan IPD Brickfield dan mereka diserahkan kepada IPD Batu Pahat semalam.

    “Pihak polis juga turut merampas kenderaan yang digunakan suspek, buku nota, cat berwarna merah, sebotol air mineral yang mengandungi cecair disyaki petrol dan kad akaun bank tempatan yang digunakan dalam melakukan jenayah,” katanya.

    Beliau berkata, pihak IPD Batu menjalankan siasatan untuk mengesan saki baki saspek dan pembabitan mereka dalam kes lain di Batui Pahat.

    “Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Peniaga dalam talian didakwa tipu perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis

    Peniaga dalam talian didakwa tipu perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis

    SEORANG peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan menipu berkenaan perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis sambutan hari jadi dan akikah yang tidak wujud.

    Siti Helena Azmi, 32, didakwa memperdaya Tengku Kamirul Rashid Tengku Mohd Kamil berhubung pemasangan dekorasi dan akikah itu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM700 melalui akaun BigPay.

    Ibu tunggal itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Residensi Persiaran Hijau Kasturi, Cahaya SPK, Shah Alam pada 7 Julai 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili Siti Helena memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang anak perempuan berusia lima tahun.

    “Anak guam saya juga kini memperoleh pendapatan tidak menentu sebagai peniaga dalam talian selain dia juga memberi kerjasama penuh kepada polis dan tidak berisiko untuk melarikan diri,” katanya.

    Mahkamah membenarkan Siti Helena diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes.

  • Warga emas mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak 9 tahun

    Warga emas mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak 9 tahun

    SEORANG peniaga kedai runcit didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan.

    Tertuduh, Talib Ali, 69, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Astro Awani.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tujuh bulan.

    Kesalahan itu dilakukan pada 31 Disember lalu di sebuah kedai di daerah Kuala Terengganu, pukul 5 petang.

    Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

  • Kerajaan Sabah bakal tumbang lagi? Shafie Apdal umum ada sokongan ADUN?

    Kerajaan Sabah bakal tumbang lagi? Shafie Apdal umum ada sokongan ADUN?

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat dipercayai untuk mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

    Dalam jemputan media, sidang media itu dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, lapor Astro Awani.

    Setakat ini, kerajaan Sabah dipimpin Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

    Warisan mempunyai 19 ADUN di Sabah dan dipercayai mendapat sokongan ADUN Barisan Nasional (BN).

    Warta Rakyat sedang memantau perkembangan ini dari masa ke semasa.

  • 2 pasangan pengasas kosmetik mengaku tidak bersalah cederakan wanita

    2 pasangan pengasas kosmetik mengaku tidak bersalah cederakan wanita

    DUA pasang suami isteri yang juga pengasas produk kosmetik di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan mencederakan dua peniaga pada Julai tahun lalu.

    Pengasas terbabit, Nur Farhana Ismail, 32, dan suaminya, Muhammad Hakimi Mohd. Azmi, 33, serta Anes Ayunie Osman, 21, dan suaminya, Ahmad Weldan Zulkefli, 22.

    Turut didakwa atas tuduhan sama adalah pekerja mereka, Muhammad Firdaus Alias, 21.

    Sinar Harian melaporkan, semua mereka membuat pengakuan tersebut atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, tangan dan leher serta Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30, yang mengalami cedera di tangan, kaki dan lutut sebelah kiri di hadapan sebuah kedai di Jalan Padang Garong di sini pada jam 3 pagi, 9 Julai 2022.

    Pada pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

    Pada prosiding itu, Siti Edabayu menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 setiap seorang bagaimanapun Ahmad ‘Adha ‘Amir memohon supaya anak guamnya diberi jaminan yang rendah.

    Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kesemua mereja membayar jamin.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari depan.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menahan dua wanita pengasas produk kosmetik bagi membantu siasatan kes pukul.

  • Sumbang mahram anak tiri, peniaga warung dijel 15 tahun, 19 sebatan

    Sumbang mahram anak tiri, peniaga warung dijel 15 tahun, 19 sebatan

    SEORANG lelaki yang melakukan sumbang mahram dan seks luar tabii terhadap anak tiri yang ketika itu berusia 12 tahun menerima balasan apabila dihukum penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini.

    Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang merupakan peniaga warung berusia 38 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap tujuh pertuduhan.

    Surita turut berharap hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

    Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang kini berusia 14 tahun di dua lokasi di Jempol.

    Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8 malam hingga 2 pagi iaitu antara 1 Januari 2021 hingga 10 Disember 2022.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

    Selain itu tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual menggunakan objek terhadap kanak-kanak tersebut.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah warung di Jempol pada jam 8 malam antara 11 April 2021 hingga 20 April 2021.

    Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan.

    Sebelum itu tertuduh merayu hukumannya dikurangkan dan mengakui menyesal atas perbuatannya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah memberi hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam kerana ia merupakan kesalahan serius.

    Ujarnya, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa yang ketika itu baru berusia 12 tahun dan bukannya menganiayanya.

    “Emosi mangsa yang masih kanak-kanak juga akan terganggu sehingga dewasa kelak,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 14 tahun telah dirogol sebanyak enam kali oleh tertuduh yang merupakan ayah tiri hasil perkahwinan dengan ibu mangsa pada 2014.

    Mangsa memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah lama dirogol oleh ayah tiri tetapi takut untuk menceritakan kejadian itu sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol pada Disember lalu.

  • Benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 atau separuh sekali lagi

    Benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 atau separuh sekali lagi

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Pusat membenarkan pengeluaran KWSP maksimum RM10,000 atau 50 peratus (yang mana lebih rendah) kepada pencarum yang mempunyai wang simpanan kurang daripada jumlah tersebut.

    Naib Presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, pengeluaran KWSP itu sedikit sebamyak dapat membantu rakyat dalam keadaan ekonomi yang membebankan dan tidak stabil pada masa ini.

    “Inisiatif ini sekaligus dapat meringankan beban mereka dengan kenaikkan harga barang keperluan seperti telur, minyak, ayam dan lain-lain.

    “Realitinya masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan lagi terutamanya kepada peminjam bank yang risau OPR akan naik tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Baljit mencadangkan Kerajaan Perpaduan berunding dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pengeluaran tersebut.

    “Saya cadangkan kerajaan boleh membuat pengeluaran KWSP secara bersyarat.

    “Contohnya pencarum hanya boleh keluarkan RM10,000 maksima dan bagi pencarum yang kurang daripada jumlah tersebut hanya dibenarkan 50 peratus daripada jumlah baki sedia ada,” ujarnya.

    Menurut beliau, Gerakan yakin dan percaya inisiatif itu sangat membantu rakyat termausk untuk dijadikan wang simpanan ekoran kemungkinan berlaku gelombang kedua varian baharu Covid-19.

  • Kebangkitan ‘gelombang hijau’ semakin menebal, penyokong Pas tidak segan pakai baju PN di tempat awam

    Kebangkitan ‘gelombang hijau’ semakin menebal, penyokong Pas tidak segan pakai baju PN di tempat awam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TSUNAMI Melayu yang dikaitkan melanda dunia politik negara ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu dijangka akan kekal berterusan.

    Malah kemenangan besar gabungan parti yang bernaung di bawah logo Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dan Pas dalam PRU15 disifatkan sebagai isyarat awal kebangkitan gabungan tersebut.

    Berdasarkan pencapaian dan keputusan dalam pilihan raya umum lalu, sepatutnya PN sudah pun berjaya menerajui tampuk pemerintahan negara.

    Namun, sebagaimana kita ketahui hanya disebabkan aspek teknikal sahaja PN gagal berbuat demikian.

    Melihat kepada perkembangan dunia politik semasa, banyak pihak percaya bahawa sokongan Melayu kepada PN akan terus kekal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

    Ada pakar dan penganalisis politik meramalkan Terengganu, Kelantan dan Kedah bakal meneruskan pencapaian cemerlang untuk memenangi PRN nanti.

    Ini memandangkan sokongan Melayu kepada PN di tiga negeri tersebut amat memberangsangkan sebaik sahaja gabungan tersebut berjaya menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri terbabit.

    Sebagai contoh di Terengganu, kemenangan PN yang berjaya mendominasi kerusi parlimen termasuk di kubu kuat Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai satu fenomena.

    Siapa sangka kerusi Parlimen Besut dan Hulu Terengganu yang selama ini menjadi milik UMNO-BN kini telah bertukar tangan kepada PN.

    Malah, kehebatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya longlai apabila beliau tersungkur di kerusi Parlimen Kemaman.

    Sokongan Melayu kepada PN di tiga negeri tersebut amat memberangsangkan sebaik sahaja PN berjaya menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri terbabit.

    Begitu juga dengan Setiausaha Agong UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat yang tersungkur di Hulu Terengganu dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad rebah di Hulu Besut.

    Sepertimana laporan awal sebelum ini, antara faktor menyebabkan BN tewas di semua kerusi parlimen di Terengganu ialah tsunami Melayu dan juga kehadiran pengundi berusia 18 tahun.

    Selain itu, penulis juga difahamkan kemangan PN turut dibantu oleh ahli-ahli UMNO sendiri yang memilih calon PN ekoran berasa meluat terhadap pucuk pimpinan parti itu di peringkat Pusat.

    Di Parlimen Marang misalnya, dalam PRU15 lalu, semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di kubu kuat BN iaitu Pengkalan Berangan dilaporkan berpihak kepada PN.

    Pengkalan Berangan tewas sebanyak 7,216 undi, Alor Limbat (12,031 undi), Bukit Payong (9,672 undi) dan Rhu Rendang (12,810 undi).

    Antara faktor menyebabkan BN tewas di semua kerusi parlimen di Terengganu ialah tsunami Melayu dan juga kehadiran pengundi berusia 18 tahun.

    Memandangkan kebangkitan dan semangat ‘Gelombang Hijau’ dalam kalangan ahli dan penyokong PN semakin menebal, banyak pihak menjangkakan momentum kemenangan di kerusi Parlimen akan terus kekal dalam PRN nanti.

    Kerjasama BN dengan DAP yang selama ini sangat dibenci pengundi Melayu antara faktor utama kenapa BN dikatakan tewas dalam PRN nanti.

    Selain menguasai media sosial, semangat ahli dan penyokong PN sama ada Bersatu atau Pas turut dizahirkan menerusi logo termasuk tidak segan memakai baju PN di kawasan terbuka seperti di pasar dan kedai makan.

    Perkembangan ini seolah olah sudah menjadi satu budaya kepada ahli dan penyokong khususnya Pas apatah lagi ada dalam kalangan Muslimat parti tersebut tidak berasa segan berbuat demikian.

  • Sewa lori tangki untuk seludup minyak diesel

    Sewa lori tangki untuk seludup minyak diesel

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket penyelewengan diesel subsidi menggunakan lori tangki 6.5 tan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, Bukit Mertajam pukul 4.30 petang semalam.

    Pengarahnya, S. Jegan berkata, empat pegawai penguat kuasa KPDN Pulau Pinang menjejaki lori tangki berwarna putih 6.5 tan tanpa muatan itu yang mencurigakan sedang mengisi diesel.

    Ujarnya, lori itu didapati mempunyai satu unit tangki besi berkapasiti 10,800 liter di bahagian belakang dan satu unit tangki berkapasiti 800 liter di sebelah tepi yang digunakan untuk mengisi diesel dari stesen-stesen minyak.

    Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 1,800 liter diesel di kedua-dua tangki berkenaan.

    “Sehubungan itu, pemandu dan kelindan lori terbabit yang masing-masing warga tempatan berusia sekitar 20-an dan 30-an turut ditahan.

    “Mereka turut mengaku menyewa lori tangki itu bagi tujuan penyelewengan (diesel) sejak dua bulan lalu dan meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari hasil kegiatan tersebut,”katanya kepada pemberita, hari ini.

    Menurut Jegan, dalam operasi sama, pihaknya menyita lori tangki, diesel, pam motor, hos, telefon bimbit, walkie-talkie serta sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM35,719.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

    Jelasnya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

    Ketika ini, ujar beliau, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat anggota sindiket lain yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel tersebut.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi seperti diesel yang mana mereka akan dikenakan tindakan tegas selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti tersebut daripada orang awam.

  • DUN Negeri Sembilan dibubar Mei atau Jun, kata MB

    DUN Negeri Sembilan dibubar Mei atau Jun, kata MB

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada Mei dan Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun.

    “Memasuki tahun baru ini fokus utama kerajaan negeri bagi memberi ruang kepada proses pemulihan ekonomi negeri,” katanya.

    Jelasnya, keputusan itu juga selari dengan pendirian kerajaan negeri sebelum ini yang mahu memberikan khidmat genap selama lima tahun.

    “Awal dulu kita dah maklumkan insyaAllah sekitar bulan Mei atau Jun (bubar), bermakna kita sampai ke penghujungnya kerana kita rasa bahawa mandat diberikan sebelum ini adalah (untuk) lima tahun.

    “Kita gunakan tahun ini dengan baik untuk pastikan negeri dapat ditadbir sebaik mungkin kerana dalam keadaan sekarang ini politiknya juga agak dinamik dan tidaklah runsing sangat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri di Seremban hari ini.

    Mengulas lanjut ujarnya, meskipun dinamik politik negara dan negeri dilihat stabil ketika ini, namun fokus kepada isu itu tidak perlu diberi keutamaan memandnagkan keharmonian masyarakat lebih utama.

    “Kita tidak mahu lah asyik cerita soal politik, tetapi apa pun saya rasa kita tetap kena hadapi supaya kita boleh dilihat sebagai negara dan negeri yang mempunyai potensi masa depan dalam bidang ekonomi.

    “Kita tidak mahu orang lari kerana (kita) sibuk berpolitik, jadi kita harap dalam tempoh berbaki Januari sehingga Mei ini kita dapat lah lakukan yang terbaik untuk negeri dan juga negara,” katanya.