Category: Semasa

  • Empat didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0

    Empat didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0

    EMPAT individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

    Kesemua tertuduh yang turut melibatkan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kontraktor telekomunikasi dan pengarah syarikat percetakan mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan.

    Dalam prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, Ketua Pegawai Eksekutif NVDS Technology Sdn Bhd, Md Zaidi Muhammad, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan.

    Sementara bekas Pengarah Syarikat Lan Trading & Construction Co dan Percetakan Haz Sdn Bhd, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Md Zaidi didakwa menyerahkan Borang Pengesahan Pekerja Program Intensif Pengambilan Pekerja bertarikh 22 April 2021 menerusi seorang wanita kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut intensif berjumlah RM343, 660 bawah program itu.

    Tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan PERKESO dengan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu sebenarnya bukan pekerja syarikat berkenaan.

    Mohamed Hazzri pula didakwa memberi pengesahan borang bertarikh 3 Jun dan 29 Jun 2021 menerusi seorang lelaki kepada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif bawah program sama berjumlah RM 40,900 dengan niat sama.

    Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Hakim Suzana Husin, Mohamed Hazzri dan pemilik syarikat Ilham Diya Enterprise, Nor Rizan Zakaria, 59, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan.

    Mohammed Hazzri dan Nor Rizan didakwa memberi borang pengesahan bertarikh 6 Mac dan 29 Mei 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif bawah program sama berjumlah RM110,800 dengan niat sama.

    Pada prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi pula, pengurus syarikat Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, mengaku tidak bersalah memberikan borang bertarikh 31 Julai 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif bawah program sama berjumlah RM9,100 dengan niat sama.

    Md Zaidi dan Muhammad Asyraf didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di Putrajaya, manakala Mohamed Hazzri dan Nor Rizan di Pejabat PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 6 Mac hingga 13 September 2021.

    Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Rozina membenarkan Md Zaidi dan Mohamed Hazzri masing-masing diikat jamin RM25,000 dan RM10,000 melalui dengan penjamin berserta syarat perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang keluar negara selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga pelupusan kes.

    Hakim Rozina turut menasihatkan Mohamed Hazzri agar melantik peguam segera atau mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman di Mahkamah untuk menghadapi perbicaraan bagi memudahkan pemahaman aspek teknikal kes tersebut.

    Sementara itu, Hakim Suzana membenarkan Mohamed Hazzri dan Nor Rizan masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin serta turut mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

    Hakim Azura membenarkan Asyraf diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama, lapor Utusan TV.

    Ketiga-tiga hakim mahkamah tersebut turut menetapkan 7, 15 dan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, A Kalaivani dan Atiqah Alias, manakala Md Zaidi diwakili peguam, Azalea Nazihah Zulkefli; Nor Rizan diwakili peguam, Hasmah Nordin; manakala Mohamed Hazzri dan Muhammad Asyraf tiada diwakili peguam.

  • Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh semasa kendalikan kes

    Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh semasa kendalikan kes

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes-kes membabitkan tokoh-tokoh dan personaliti tertentu.

    Beliau berkata kebiasaannya dalam setiap kes mahkamah yang diputuskan, akan ada pihak yang berpuas hati dan sebaliknya.

    “Itu lazim…yang menjadi luar biasa dalam kes-kes melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, sokongan atau kecaman agak luar biasa kerana umum mengetahui saya sendiri pun pernah mendapat ancaman bunuh.

    “Serius atau tidak, itu soal lain tapi ia mencapai tahap begitu sekali,” katanya ketika sidang media pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

    Tengku Maimun berkata berdasarkan pemerhatiannya apabila sesuatu kes melibatkan tokoh-tokoh tertentu, komen-komen yang ditujukan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik, bukannya komen yang membina.

    Sementara itu Tengku Maimun berkata setiap kes yang diputuskan oleh mahkamah tidak mempunyai sebarang agenda, sebaliknya ia berdasarkan undang-udang dan selaras dengan peruntukan sedia ada. 

    “Saya mengharapkan masyarakat di luar sana memahami struktur proses undang-undang di negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman.

    “Jadi fahami dulu, kemudian jika masih tidak faham bertanyalah kepada orang-orang yang faham dan jangan membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan,” katanya.

    Tahun lepas media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di media sosial dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalah guna platform media sosial untuk mengancam keselamatan. – BERNAMA

  • Buruh didakwa rogol remaja di kawasan padang bola

    Buruh didakwa rogol remaja di kawasan padang bola

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan.

    Tertuduh, Muhammad Tarmizi Sulong, 23, mengaku tidak bersalah sebelum memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan di kawasan padang bola di Kuala Terengganu pada 8.30 malam, 1 Januari lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • 5 ADUN UMNO Sabah sedia dipecat, tak akan tarik SD terhadap Hajiji

    5 ADUN UMNO Sabah sedia dipecat, tak akan tarik SD terhadap Hajiji

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang enggan menyokong langkah UMNO negeri itu menarik sokongan kepada kerajaan negeri, sedia dikenakan tindakan termasuk dipecat daripada parti itu.

    ADUN terbabit ialah Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

    Semalam, Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, mereka sudah menghantar akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

    “Saya tidak akan menarik balik SD dan sokongan yang diberi kepada Hajiji walaupun ada desakan daripada UMNO kerana kekal dengan pendirian tidak bersetuju menukar kerajaan negeri pada masa ini.

    “Sokongan saya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    “Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli UMNO dan kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti,” katanya ditemui pada perjumpaan 44 ADUN yang menyokong Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

    Sebelum ini, Jasnih yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, turut menyatakan kesediaan dipecat daripada parti berikutan keputusannya kekal menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

    Beliau mengakui ada diminta menandatangani SD untuk mengubah kerajaan sekarang kepada kerajaan gabungan BN dan Parti Warisan (Warisan) dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Menteri.

    “Saya mengambil keputusan tidak menyokong perubahan kerajaan kerana beberapa faktor yang diambil kira dari sudut profesional dan peribadi.

    “Saya akan terus menyokong kerajaan di bawah kepemimpinan Hajiji selagi saya bergelar ADUN Pantai Dalit.

    “Saya faham risiko tindakan saya ini dan bersedia serta terbuka untuk menerima hukuman atau dipecat daripada UMNO,” katanya.

    Menerusi kenyataan bersama kelima-lima ADUN terbabit sebelum ini, mereka menekankan mahu kestabilan politik di Sabah dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

    Sebelum ini, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, dilaporkan berkata, lima ADUN terbabit bakal dikenakan tindakan disiplin jika tidak mematuhi keputusan parti yang dipersetujui sebulat suara.

    Jumaat lalu, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan UMNO Sabah menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

    Tindakan itu, katanya, selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri yang didakwa melanggar perjanjian dengan BN sebelum ini, termasuk memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd (QSB).

  • Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    GARA-gara bergaduh di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak hingga tular di media sosial, polis daerah itu memberkas enam lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis membuat tangkapan ke atas enam individu tempatan berusia 19 hingga 34 tahun kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hari ini, tular video kejadian itu di Facebook menunjukkan beberapa individu bergaduh di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Miri, dengan seorang daripada individu itu dirakam memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan senjata.

    Dalam pada itu, Alexson Naga menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Ramping Jimbai di talian 085-433222.

  • Sokongan 44 ADUN diperoleh Hajiji tidak perlu dikemukakan – Shafie

    Sokongan 44 ADUN diperoleh Hajiji tidak perlu dikemukakan – Shafie

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kekal dengan pendirian menggesa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor supaya mengikut Perlembagaan Negeri Sabah mengenai kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Beliau berkata, dakwaan sokongan daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diperoleh Hajiji tidak perlu dikemukakan.

    “Kalau dia ada nombor, kita pun ada nombor. Jadi tak payah cerita mengenai nombor, nombor yang dia dapat daripada orang Warisan (bekas ADUN Warisan), nombor orang UMNO, semua itu memang nombor.

    “Sebenarnya tidak perlu, dari dulu masa saya menang pilihan raya, sepatutnya kalau ikut Perlembagaan parti yang mendapat majoriti ialah Warisan.

    “Kita ada 32 (DUN) bertanding, Warisan sendiri ada 29 (DUN) bertanding tetapi dari 2019 menurun sampai 19 (kerusi),” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahasji Katsuhiko di kediamannya di Kota Kinabalu, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Hajiji, semalam bahawa beliau mempunyai 44 sokongan ADUN di mana Akuan Bersumpah (SD) telahpun dihantar kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

    Katanya lagi, ia bukan berkaitan dengan jumlah sokongan atau SD yang berjaya peroleh tetapi Akta Anti Lompat harus dikuatkuasakan di negeri ini.

    “Dulu saya Ketua Menteri, kita bawa ke DUN percaya dua pertiga saya menang, datang yang lain dia beli orang saya terpaksa bubar DUN.

    “Ada undang-undang, kalau kita tak ikut Perlembagaan ini keadaan yang berlaku di negara kita, sebab itu perkenalkan Akta Anti Lompat Parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, ditanya berhubung pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ketua-ketua parti di negeri ini pada malam Isnin, beliau berkata, semua pihak termasuk dirinya telahpun membuat kenyataan mengenai situasi politik terkini.

    “Kita tunggulah dia datang, apa yang dia nakkan, kalau kita dengar apa yang dia sebutkan cuba untuk melihat keadaan bagaimana untuk merungkai senario politik yang ada.

    “Saya pun sudah buat kenyataan dan lain-lain pihak pun buat kenyataan,” katanya.

  • Tugas sudah kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB

    Tugas sudah kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB

    PETISYEN difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD), yang memohon agar beliau dibebaskan daripada penjara atau kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya dibicarakan semula, tidak menjejaskan badan kehakiman.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya pada 23 Ogos tahun lepas, “terserahlah kepada Najib” untuk mengambil apa-apa tindakan.

    “Tugas kami sudah selesai. Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” kata beliau pada sidang media selepas berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2023, di Putrajaya hari ini.

    Minggu lepas, bekas perdana menteri, melalui Tetuan Shafee & Co, memfailkan petisyen di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu sidang akhbar bahawa anak guamnya memfailkan petisyen itu untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula susulan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International. – BERNAMA

  • Warga Pakistan didenda RM50,000, dipenjara tinggal lebih masa lebih sedekad

    Warga Pakistan didenda RM50,000, dipenjara tinggal lebih masa lebih sedekad

    MAHKAMAH Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 terhadap seorang lelaki warga Pakistan atas kesalahan tinggal melebihi masa atau tamat tempoh pas di negara ini.

    Bakht Rahman, 47, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau Awang Kerisnada Awang Mahmud.

    Mahkamah juga memerintahkan tertuduh diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman selepas mendapati kesalahan tertuduh adalah serius dan berat apabila tinggal menetap di negara ini lebih sedekad atau bersamaan 14 tahun, tujuh bulan dan 12 hari.

    “Hukuman ini adalah sebagai mesej jelas bahawa tiada sesiapa yang boleh mengatasi atau memperolok-olok akta dan peraturan Imigresen di negara ini,” tegas Awang Kerisnada.

    “Sekiranya datang dengan cara yang betul…mesti ikut undang-undang, guna saluran sah dan jika berhasrat tinggal lebih lama…boleh buat permohonan, sebaliknya kesalahan kamu ini…jika sehari dua (tinggal lebih masa) mungkin boleh dimaafkan, tetapi ini sudah lebih sedekad,” katanya lagi, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) Akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Tawau di Jalan Wakuba Gading di Tawau, pada 27 Disember lalu, kira-kira 1 jam tengah hari.

    Hasil siasatan mendapati tertuduh tinggal lebih masa di negara ini dengan menggunakan pasport yang tamat tempoh pada 15 Mei 2008.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Tawau Pilin Kenrey manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

  • Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

    Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

    ADALAH tidak wajar (mischievous) bagi sesiapa untuk cuba mencemar imej mahkamah menerusi kritikan yang tidak adil, berat sebelah, dan kritikan yang sering kali dibuat semata-mata kerana tidak menyukai suatu keputusan mahkamah tertentu, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Beliau berkata kritikan membina sentiasa dialu-alukan, namun bukannya cubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

    “Tahun lepas, cubaan untuk megertak dan memberi tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes-kes kepentingan awam menjadi semakin ketara. Percubaan ini adalah penghinaan secara langsung kepada kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

    “Mereka sememangnya patut dikecam dan memang ramai yang secara lantang menentang mereka dengan tegas. Tahun lepas, badan kehakiman menjadi sasaran serangan hebat semasa pendengaran kes berprofil tinggi tertentu,” katanya semasa berucap pada perasmian Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di sini, hari ini.

    Menyentuh sistem keadilan jenayah, Tengku Maimun menegaskan bahawa liabiliti jenayah akan terus ditentukan mengikut undang-undang yang terpakai, dan kekuatan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

    “Mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan, dan mereka yang tidak dapat dibuktikan bersalah akan dibebaskan. Tertuduh yang disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman yang setimpal, tidak lebih dan tidak kurang. Ini tugas kami sebagai hakim, dan kami bertekad untuk melaksanakan kewajipan kami tanpa mengambil kira sebarang ancaman yang dibuat bagi menghalangnya.

    “Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, seperti yang sering saya katakan sebelum ini, bahawa kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa niat jahat atau motif, tanpa sebarang tekanan luaran mahupun dalaman, dan tanpa mengambil kira personaliti,” katanya.

    Beliau berkata selagi setiap hakim komited terhadap prinsip-prinsip ini, dan bersatu dalam usaha menegakkan asasnya, beliau yakin kebebasan badan kehakiman akan dipertahankan.

    Beliau seterusnya mengulangi bahawa hakim perlu tegas membuat keputusan serta menulis penghakiman mereka berlandaskan lunas undang-undang, dan bukan kata-kata yang hanya bertujuan mencari populariti.

    “Kami menulis untuk memastikan orang ramai mengikuti perkembangan fungsi kehakiman dan bukan untuk mendapatkan pengesahan daripada orang ramai atau daripada mana-mana pihak lain. Jika hakim memutuskan sesuatu kes berdasarkan apa-apa selain daripada undang-undang atau fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak betul di sisi undang-undang, dan apabila berlaku, hakim itu dilihat gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

    Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum merumuskan pendapat sendiri, dan meletakkan badan kehakiman kepada keadaan difitnah dalam sebarang bentuk.

    Mengulas mengenai komposisi anggota Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, beliau berkata adalah penting bagi kebebasan kehakiman, bahawa proses pelantikan kehakiman harus kekal tidak berpolitik dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan dan pengaruh. – BERNAMA

  • Lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

    Lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

    SEORANG buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

    Korimullah Abdu Rahman, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Mengikut pertuduhan, lelaki etnik Rohingya itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia 12 tahun 8 bulan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, di sini pada jam 8.30 malam, 26 Disember lalu, lapor Sinar Harian.

    Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 14 kurungan A Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin ekoran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) masih dalam proses permohonan.

    Mahkamah turut menetapkan 31 Januari ini sebagai tarikh hukuman dan fakta kes serta pelantikan jurubahasa Rohingya.

    Media pada Rabu lalu menyiarkan lelaki terbabit ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

    Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang juga anak jirannya di di hadapan rumahnya di Semabok, Melaka pada 26 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian kepada bapanya yang mendakwa suspek secara tiba-tiba telah menarik tangan kirinya dan meraba bahagian dadanya beberapa kali.