Category: Semasa

  • ‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan sabar’ – Syamsul Yusof

    ‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan sabar’ – Syamsul Yusof

    TIGA hari setelah mendedahkan tentang perkahwinan keduanya, pengarah terkenal Syamsul Yusof kembali mencuri perhatian netizen apabila berkongsi gambar perkahwinannya bersama Puteri Sarah Liyana dan Ira Kazar.

    Menerusi Instagram miliknya, Syamsul berkongsi gambar itu beserta kapsyen yang meminta kedua isterinya supaya bertenang dan bersabar.

    “Morning (selamat pagi)! Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik,” tulisnya ringkas.

    Dalam pada itu, pengikut Syamsul menerusi ruangan komen pada hantaran berkenaan memberi respons positif terhadap status berkenaan.

    Ia adalah perkongsian hantaran pertama Syamsul selepas membuat pengumuman mengenai perkahwinan keduanya tJumaat lalu yang menjadi bualan hangat dan mengundang kecaman masyarakat.

    Malah, ibu bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail turut terkesan dengan apa yang berlaku.

    Jumaat lalu Syamsul akhirnya mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi.

  • Lagi warga asing ceroboh Puncak Menara Merdeka 118

    Lagi warga asing ceroboh Puncak Menara Merdeka 118

    SELEPAS diceroboh pasangan dari Rusia, puncak menara tertinggi di Malaysia yang masih dalam pembinaan, Merdeka 118, sekali lagi menjadi sasaran pencerobohan warga asing.

    Terbaharu puncak menara terbabit diceroboh kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, yang berkongsi video ‘pencerobohan’ mereka yang didakwa dilakukan pada 30 Disember lalu bagi menarik perhatian peminat.

    Dalam rakaman selama 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan terbabit, terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.

    Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.

    Video itu juga memuatkan adegan mereka “meraikan” kejayaan selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka.

    Dalam penerangan video itu, kumpulan itu berkata bahawa pendakian berkenaan “memakan masa, sukar dan penuh dengan cabaran.”

    “Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.

    “Ini berakhir dengan jayanya. Ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rakaman tersebut,” dakwa kumpulan itu. lapor Berita Harian.

    Mereka mendakwa tindakan memanjat menara itu hanyalah ‘luahan artistik kebebasan yang dilakukan demi cinta”, dan bukan untuk menggalakkan sesiapa meniru semula tindakan yang dipaparkan.

    Bulan lalu, pasangan Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, menceroboh dan menawan puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.

  • Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    SEBUAH kapal kargo Malaysia yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang berdaftar di Malaysia.

    Menurutnya, maklumat diterima susulan laporan polis yang dibuat pukul 12.11 tengah hari semalam oleh ejen kapal yang dikendalikan lima kru itu.

    Katanya, laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti di Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

    Beliau menjelaskan, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

    “Maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam semalam, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

    “Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Johor di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

    Nurul Hizam berkata, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

    Beliau berkata, Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo berkenaan.

    Menurutnya, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.

    Ketika diminta mengulas sama ada kejadian berkenaan terdapat unsur serangan lanun mahupun masalah teknikal kapal berikutan cuaca buruk, Nurul Hizam menyatakan tidak mahu membuat sebarang andaian.

    “Kita tidak mahu membuat sebarang andaian apa yang terjadi tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

    “Kita terus berkomunikasi dengan Indonesia dan meminta bantuan untuk mengesan kapal berkenaan,” katanya.

  • Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.

    Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Khamis lepas. 

    Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah semasa pertemuan tersebut bahawa pertukaran aset yang telah berusia itu perlu dilakukan demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.

    Khamis lepas, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di sini.

    Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 Nov 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Jan ini.

    Mohd Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18. – BERNAMA

  • 4,069 pengembara China tiba di Malaysia sejak Ahad

    4,069 pengembara China tiba di Malaysia sejak Ahad

    SERAMAI 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sejak negara terbabit membuka sempadan wilayahnya Ahad lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli ketika mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini tiada kes Covid-19 daripada kesemua pengembara berkenaan malah, tiada sebarang gejala dikesan.

    Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkara itu termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.

    “Saringan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengesan sebarang varian baharu Covid-19,” katanya pada sesi taklimat khas kepada media di Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dr Norhayati berkata, pihaknya juga menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke luar negara supaya melengkapkan vaksinasi selain mengambil dos penggalak satu dan dua.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua PMA dikekalkan setakat ini.

    Beliau berkata, SOP itu turut terpakai bagi pelancong dari China dan sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini Covid-19.

    Malah, pelancong yang dikenal pasti demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.

  • Bapa didakwa rogol, liwat anak perempuan berusia tiga tahun

    Bapa didakwa rogol, liwat anak perempuan berusia tiga tahun

    LELAKI warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya, bulan lalu.

    Tertuduh, 45, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

    Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa merogol anak perempuan bongsunya yang berusia tiga tahun yang mana perhubungan lelaki itu dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat sehingga 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak sama.

    Pendakwaan bagi tuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah keluarga itu dekat Tampoi pada 13 Disember 2022.

    Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kedua-dua perbuatan itu adalah kesalahan serius yang tidak boleh dijamin.

    “Pada masa sama, tertuduh tinggal sebumbung bersama mangsa yang merupakan anak kandungnya dan wujud keberangkalian yang sangat tinggi untuk tertuduh mengganggu serta berhubung dengan mangsa,” jelasnya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudian bersetuju tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin sebelum menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam.

    Lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial.

    Kejadian itu dikatakan berlaku ketika isterinya yang juga rakyat tempatan sedang keluar bekerja di Singapura dan ketika itu, tertuduh hanya tinggal bersama mangsa dan dua anak yang lain, manakala dua lagi sedang bersekolah.

  • Buktikan perangi rasuah, Kit Siang beritahu PM

    Buktikan perangi rasuah, Kit Siang beritahu PM

    VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan janji memerangi rasuah dan menunjukkan keputusan dalam tempoh setahun melalui indeks persepsi rasuah (CPI).

    Sedia maklum langkah itu terlalu lewat bagi Anwar untuk meningkatkan kedudukan CPI Malaysia, pada 2022, Lim berkata, perdana menteri tidak akan “mempunyai alasan” lagi sekiranya gagal menambah baik ranking negara tahun ini.

    “Ini adalah perkara penting di mana Malaysia mengalami kemerosotan teruk selepas enam dekad, dengan Malaysia jatuh kedudukan separuh teratas dunia kepada menjadi negara terkebelakang di Asia,” katanya.

    Lim merujuk kepada negara Asia seperti Indonesia, China dan India yang menambah baik ranking dalam CPI, manakala Malaysia semakin merudum, sejak akhir-akhir ini.

    “Adakah Malaysia akan ketinggalan di belakang China, Indonesia dan India dalam CPI Transparency International menjelang 2030?” soalnya, lapor Free Malaysia Today.

    Bekas Ahli Parlimen itu berkata, kenyataan Anwar tidak akan berkompromi dalam usaha melawan rasuah walaupun berdepan risiko kehilangan kedudukan menyakinkan.

    “Pemukiman menteri minggu depan dan sidang Parlimen bulan depan sepatutnya membawa lebih berita bagaimana Anwar bercadang menamatkan kemerosotan negara dalam dasar anti-rasuah,” katanya.

    Kedudukan global Malaysia dalam Indeks Transparency International menjunam lima anak tangga, pada 2021, selepas menunjukkan peningkatan kedudukan pasca PRU14.

    Malaysia berada pada kedudukan 62 daripada 100 negara menurut laporan terbaharu – terendah sejak metodologi disemak semula, pada 2012. Pada 2020, negara berada pada kedudukan ke-57, berbanding ke-51, pada 2019.

  • Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di Kuala Terengganu, Rabu lepas.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan selepas diambil daripada pusat jagaan itu pada hari sama.

    Katanya bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat darah beku dalam kepala mangsa.

    Susulan kejadian itu, polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut, semalam.

    “Ketiga-tiga suspek telah dipanggil sebelum ini untuk memberi keterangan. Tetapi masing-masing menafikan kejadian tersebut.

    “Bagaimanapun polis mendapati keterangan mereka agak meragukan. Justeru rampasan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

    Rohaimi berkata hasil pemeriksaan rakaman CCTV mendapati selain dipukul di kepala, suspek juga telah menggoncang serta menghempas tubuh mangsa yang baru sahaja tiga hari didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

    “Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya dan ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk direman hari ini. – BERNAMA

  • Kedudukan sebahagian ADUN BN Sabah berubah, Bung Moktar di blok pembangkang

    Kedudukan sebahagian ADUN BN Sabah berubah, Bung Moktar di blok pembangkang

    KEDUDUKAN sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) telah berubah ke blok pembangkang dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

    Perkembangan itu susulan kemelut politik yang melanda Sabah apabila Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Pada masa sama, kesemua kerusi di blok pembangkang termasuk ADUN dari Parti Warisan (Warisan) ketika ini juga kosong dan ADUN-ADUN tidak hadir atas alasan tertentu namun menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan dalam sidang DUN Khas itu.

    Lapor Sinar Harian, antara tanda nama yang diletakkan di kerusi blok pembangkang ialah ADUN Lamag, Bung Moktar; ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan; ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin dan ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat.

    Lima ADUN BN yang menyokong kerajaan di bawah pimpinan Hajiji difahamkan kekal berada di blok kerajaan dan tiga ADUN berkenaan dilihat hadir pada sidang DUN Khas ini iaitu, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

    Sementara itu, Dr Yusof dalam sidang DUN itu menyatakan kekesalan beliau apabila ADUN di blok pembangkang tiada seorang pun yang hadir.

    “Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyarankan, ini adalah agenda penting untuk negeri Sabah dan mesti diluluskan dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.

    “Tapi saya kecewa di sebelah sana ‘sebiji’ (seorang) pun tidak ada, sepatutnya ini menjadi keutamaan, saya minta maaflah saya ini kawan juga saya bukan mahu mengungkit, tetapi sepatutnya kita bersama-sama memperjuangkan kerana ia kepentingan rakyat Sabah, saya tidak ada (kepentingan) ‘personal’ Datuk Speaker,” katanya.

    Sebelum itu, Bung Moktar dalam kenyataannya awal pagi Selasa memaklumkan sebahagian besar ADUN BN-UMNO Sabah tidak dapat hadir pada persidangan itu kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

    Namun beliau bersama ADUN-ADUN UMNO Sabah menyokong penuh RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN Sabah Yang Ke-16.

    Sementara itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa beliau dan ADUN parti itu tidak hadir pada sidang DUN berkenaan namun menyokong penuh RUU terbabit.

    Katanya, ketidakhadiran itu bagi memastikan Jawatankuasa Khas ditubuhkan segera untuk menentukan kepimpinan kerajaan Perpaduan seperti yang dibincangkan dengan Anwar dalam pertemuannya pada Isnin.

    Kemelut politik Sabah bermula apabila Bung Moktar mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Hajiji dan menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan pemimpin parti di Sabah serta mencadangkan kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

  • ‘Gelombang hijau’ Pas akan berterusan dalam PRN – Hadi

    ‘Gelombang hijau’ Pas akan berterusan dalam PRN – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin “gelombang hijau” yang disaksikan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan berterusan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu ditadbir Pas akan mengadakan PRN tahun ini.

    “Gelombang hijau” menyaksikan Pas dan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu.

    “Kami terlepas hanya satu kerusi di Kedah,” kata Hadi pada sidang media di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, di George Town semalam, yang merujuk kepada Sungai Petani yang dimenangi oleh Mohammed Taufiq Johari dari PKR.

    “Ini (keputusan pilihan raya) menunjukkan kita (PAS dan PN) ada kekuatan. Kejayaan gelombang ini akan diteruskan,” katanya lagi, lapor Free Malaysia Today.

    Hadi berkata perbincangan mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponen PN bagi kesemua enam negeri telah hampir 80 peratus selesai.

    Beliau berkata, perbincangan mengenai kerusi di Pulau Pinang bermula semasa PRU-15.

    Hadi berkata perbincangan mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponen PN bagi semua enam negeri telah hampir 80% selesai. Beliau berkata perbincangan mengenai kerusi di Pulau Pinang bermula semasa PRU15.

    Dalam pada itu, Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, mendakwa Putrajaya tidak menghormati semangat federalisme dengan campur tangan di negeri pimpinan PAS.

    Beliau menyebut pembentukan jawatankuasa kampung di Kelantan oleh agensi persekutuan, dan keengganan Putrajaya membayar royalti minyak kepada negeri itu sebagai contoh.

    “Mereka ‘merampas’ royalti petroleum dan melanggar perjanjian. Royalti belum dibayar kepada Kelantan yang merugikan ekonomi kita.

    “Namun, kita boleh bertahan kerana berjimat, integriti dan sokongan orang ramai,” katanya.