SIKAP pemimpin pro kerajaan perpaduan dan aktivis anti rasuah yang dilihat ‘membisu’ berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu memastikan calon Barisan Nasional (BN) mendapat undi daripada pasukan keselamatan dipersoalkan seorang pemimpin Pas.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau hanya mahukan kepastian sama ada ucapan Mohamad atau Tok Mat pada penutup sebelum Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung UMNO itu dibenarkan.
Tok Mat yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau akan turun di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memastikan calon BN yang di kawasan ramai tentera mendapat undi daripada pasukan keselamatan itu.
“Saya ingin bertanya kepada kawan-kawan pro reformasi era baru anti rasuah dan salah guna kuasa, ok ke ucapan macam ni?
“Kalau ok, katakan ok,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Negeri yang tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu ialah Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.
Menurut Tok Mat lagi, beliau akan turun ke kem-kem tentera di enam negeri berkenaan menjelang PRN nanti.
Katanya, ini kerana enam negeri yang bakal menghadapi PRN tahun ini mempunyai undi tentera yang banyak.
TIGA individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM147,400.
Nurul Ain Shamsudin, 30, Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Muhammad Hafizi Ab Jamal, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Nurul Ain dituduh sebagai Pengurus Syarikat Zaharain Enterprise melalui Muhammad Fauzi Abdul Latif, memberi suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan itu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM35,900 kepada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso Melaka M. Nittiya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perkeso Melaka, Jalan Persekutuan MITC, Ayer Keroh pada 3 Jun 2021.
Asmida Shahfika yang merupakan pemilik Syarikat Roti Warisan Enterprise pula dituduh atas pertuduhan sama membabitkan jumlah RM36,900 di tempat sama pada 19 Mei 2021.
Tuntutan palsu itu adalah dengan mengemukakan nama pekerja baharu sedangkan senarai nama pekerja baharu itu bukan merupakan pekerja syarikat masing-masing serta penama tidak layak memohon di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Zaudi Nordin dan Mohd Yasri Yahya, yang memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Nurul Ain dan Asmida Shahfika manakala jaminan RM40,000 kepada Muhammad Hafizi.
Pendakwaan turut mengemukakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di mana-mana pejabat SPRM berhampiran dan tidak mengganggu saksi sepanjang pendakwaan berlangsung.
Mahkamah kemudian mengenakan jaminan RM8,000 masing-masing kepada Nurul Ain dan Asmida Shahfika manakala jaminan RM20,000 dikenakan kepada Muhammad Haifizi serta membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Nurul Ain dan Asmida Shahfika diwakili peguam Haifzah Sani manakala Muhammad Hafizi tidak diwakili peguam. Kes akan disebut semula pada 16 Feb depan.
SEKURANG-kurangnya empat bekas calon yang kehilangan kerusi Parlimen kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.
Empat kawasan Parlimen itu ialah Gua Musang di Kelantan; Marang, Kemaman, dan Kuala Terengganu di Terengganu.
Di Gua Musang, calon PN daripada Pas, Mohd Azizi Abu Naim mengalahkan penyandang, Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO) dan dua calon lain, Asharun Uji (Pakatan Harapan); dan Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (GTA-Pejuang).
Parlimen Kuala Terengganu kekal dimenangi Datuk Amzad Hashim; Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang); dan Kemaman (Ustaz Che Alias Hamid).
Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN mengambil maklum mengenai empat petisyen yang difailkan baru-baru ini.
“Ini adalah perkara biasa. Mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-15 akan cuba mencabar keputusan itu,” katanya menurut laporan NST hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas menyerahkan kepada peguam parti untuk mengambil langkah seterusnya.
Dilaporkan semalam bahawa Barisan Nasional (BN) telah memfailkan tiga petisyen untuk mencabar keputusan PRU-15. Petisyen pilihan raya melibatkan tiga kerusi iaitu Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Petisyen itu dibuat berikutan dakwaan rasuah yang dilakukan PN membabitkan tiga kerusi itu ketika PRU-15.
Bekas anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah memfailkan petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen itu pada 3 Januari lalu dengan dakwaan melibatkan politik wang.
Ketika PRU-15, Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, gagal mempertahankan kerusi Gua Musang selepas 12 penggal, apabila tanpa disangka-sangka tewas kepada Mohd Azizi daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PAS. Azizi menang dengan majoriti tipis iaitu 163 undi selepas memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh memperoleh 21,663 undi.
Difahamkan, satu lagi petisyen untuk mencabar keputusan PRU-15 yang dimenangi PN turut difailkan baru-baru ini. Petisyen itu melibatkan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Beliau memperoleh 4,411 majoriti undi mengalahkan calon daripada BN, MUDA dan Pejuang.
SEORANG warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa adalah seorang lelaki tempatan dipercayai berumur 80-an.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.42 pagi.
“Kebakaran membabitkan enam rumah kelas B berkeluasan keseluruhan 180 x 180 kaki persegi yang musnah terbakar 90 peratus.
“Mangsa yang maut ditemui dalam bilik rumah kedua yang terbakar. Seorang lagi mangsa berumur 24 tahun pula mengalami kecederaan di bahagian lutut.
“Kebakaran itu turut mengakibatkan dua kereta jenis Toyota Altis dan Perodua Kancil serta sebuah motosikal musnah,” katanya lapor BH.
Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan BBP Teluk Intan, Balai Bomba Sukarela (BBS) Sungai Tiang dan BBS Bagan Datuk memadamkan kebakaran menggunakan sumber air laut sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
PAS Selangor yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang baik untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu walaupun Pakatan Harapan (PH) cuba menafikan hakikat itu.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunos Hairi berkata, keyakinan itu bersandarkan beberapa perkembangan mutakhir dan beberapa faktor yang memberi banyak kelebihan kepada PN.
“Sesungguhnya rakyat di Negeri Selangor sudah muak dengan siri-siri pembohongan dan janji-janji palsu Pakatan Harapan dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.
“Calon-calon PH dan Barisan Nasional (BN) kecundang di enam kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, malah BN gagal memenangi walau satu kerusi pun di Selangor.
“PH dilihat tidak memiliki kemampuan membawa imej yang dikehendaki rakyat dalam pentadbiran tambahan apabila mereka sanggup pula berkerjasama dengan Barisan Nasional yang selama ini mereka serang sebagai kleptokrat dan serba pincang.
“Rakyat Selangor masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan daripada kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, antara masalah tersebut isu kos hidup, peluang pekerjaan dan perumahanan, banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.
Rakyat Selangor katanya, inginkan sebuah kerajaan negeri yang berwibawa dan penuh berintegriti serta dapat membela nasib mereka di samping membawa pembangunan untuk rakyat dan negeri.
Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji-janji tetapi gagal membantu dan menangani permasalahan rakyat, katanya.
“Atas faktor inilah dan mengambil kira ‘Gelombang Hijau’ yang membawa kemenangan besar pada Pas dan PN dalam PRU15 baru-baru ini termasuk undi daripada anak-anak muda, Pas yakin akan mampu mengambil-alih kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional dengan menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih dan stabil sebagaimana dikehendaki rakyat di negeri ini,” ujarnya.
SATU sindiket pengedaran dadah menjadikan kondominum dan rumah mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan di pasaran tempatan dengan menyasarkan kelab hiburan dan kelab malam sekitar negeri ini.
Itu adalah modus operandi kegiatan pengedaran dadah dilakukan sindiket tersebut telah aktif sejak bulan Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun sindiket berkenaan tumpas selepas polis melakukan sembilan serbuan di empat daerah pada 5 Januari lalu hingga kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket berkenaan melakukan pengedaran dan pembungkusan dadah jenis Erimin 5 yang didalangi warga asing.
“Serbuan kita lakukan sekitar Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing dalam Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.
Antara dadah yang dirampas pihak polis di empat daerah menerusi Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.
“Menerusi serbuan itu 14 ahli sindiket termasuk lima wanita berusia 21 tahun hingga 48 tahun ditahan. Lapan yang ditahan termasuk dalang adalah warga asing.
“Seorang daripadanya adalah ‘mastermind’ warga asing dari negara jiran yang menggunakan kereta mewah bernilai hampir RM300,000. Polis masih menjalankan siasatam dan sedang mengenal pasti ketua sindiket.
“Menerusi serbuan itu 70,004 biji pil erimin 5 seberat 22.21 kilogram bernilai RM1.66 juta berjaya dirampas. Selain itu turut dirampas, 54.70 gram syabu, 3.70 gram heroin, 2.40 gram ketamin dan 1.00 gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM1.672 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati sembilan daripada 14 suspek terbabit positif dadah Methapethamine dan ketamin.
“Apa yang peliknya dadah yang kita rampas adalah Erimin 5. Erimin 5 ini digunakan sebagai dadah penenang yang biasa digunakan di kelab hiburan dan dijual pada harga RM15 sebiji,” katanya.
Kamarul Zaman menunjukkan ahli-ahli sindiket pengedaran dadah yang berjaya diberkas dalam operasi khas, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini
Menurutnya, sejumlah besar Erimin 5 yang dirampas dalam operasi itu, sekiranya terlepas boleh digunakan oleh 70,329 penagih dadah.
“Mereka (pengunjung kelab malam) menggunakan dadah Erimin 5 ini adalah untuk menurunkan kadar denyutan, memberi ketenangan an sebagainya. Selepas ambil dadah dan berhibur, mereka akan ambil erimin 5 untuk pulang supaya jadi lebih tenang,” ujar beliau.
Kata beliau lagi, sembilan daripada 14 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Tambahnya, polis juga menyita sebuah kereta mewah Maserati bernilai RM300,000, jam tangan jenama Rolex bernilai RM45,000 dan pelbagai barang kemas dengan nilai sitaan RM44,441.
Kesemua suspek katanya, direman selama tujuh hari bermula Isnin sehingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
SEORANG sub kontraktor Telekom Malaysia (TM Malaysia) serta 13 pekerjanya ditahan polis selepas didapati menjadi dalang kejadian curi kabel milik syarikat tersebut di Pulau Pinang dan Kedah.
Selain itu, lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan pembeli kabel curi itu turut ditahan di sekitar Sungai Petani, Kedah.
Kesemua 19 individu yang ditahan itu berusia 27 hingga 47 tahun dan berasal dari Kedah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, 11 daripada suspek termasuk sub kontraktor itu ditahan pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 2.40 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tanjung Bungah Park kerana disyaki melakukan kegiatan curi kabel.
“Beberapa hari sebelum itu, pihak syarikat menerima aduan mengenai gangguan bekalan internet di kawasan berkenaan.
“Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah dan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kabel bawah tanah melalui ‘man hole’ dengan menyamar sedang membuat tugas selenggara kabel TM untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Ujarnya, kabel-kabel yang dicuri itu akan dibawa ke tapak pelupusan di Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah menggunakan lori.
Difahamkan, setiap satu kilogram tembaga di dalam kabel berkenaan dijual di pasaran pada harga RM30 dan anggaran kerugian yang dialami syarikat berkenaan akibat kes kecurian kabel yang didalangi sindiket itu ialah kira-kira RM910,448.
Tambah Mohd. Shuhaily, ujian air kencing yang dijalankan mendapati tujuh daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati 14 individu mempunyai antara dua hingga 12 rekod jenayah lampau.
“Dengan penangkapan suspek-suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes curi kabel yang mana 17 kes berlaku di Pulau Pinang manakala 10 lagi di Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barangan daripada sindiket itu antaranya sebuah motolori; tiga buah kereta; 65 batang kabel bertulis Telekom Malaysia; pemotong paip; pemotong besi dan banyak lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
BEKAS anggota polis berpangkat Koperal dan isterinya merupakan antara tiga individu yang ditahan polis Pulau Pinang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah jenis ganja.
Kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan bebeza di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), Jumaat lalu yang mana polis turut merampas sebanyak 453 ketulan mampat ganja seberat 451 kilogram (kg) bernilai RM1.13 juta dalam serbuan itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pertama pukul 7.30 malam, polis menahan suspek pertama iaitu bekas anggota polis berusia 33 tahun ketika sedang berada di atas motosikal di Jalan Bendahara, Penaga.
Ketika ditahan, tambah beliau, polis turut merampas sebanyak 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.2 kg bernilai RM25,000 bersama suspek.
“Suspek yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal ini dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah.
“Dia telah bertugas selama 11 tahun yang mana penugasan terakhir ialah di Marang, Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan isteri suspek yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 33 tahun.
Dalam serbuan itu, ujar beliau, polis merampas sebanyak 443 ketulan mampat disyaki ganja seberat 441 kg bernilai RM1.105 juta.
Tambah beliau, polis kemudian membuat serbuan di kawasan sama kira-kira pukul 8.30 malam sebelum berjaya menahan dalang utama sindiket itu yang merupakan ahli perniagaan berusia 42 tahun.
“Hasil risikan mendapati sindiket ini aktif mengedar dadah sejak awal tahun lalu untuk pasaran tempatan yang mana bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan diseludup menggunakan jalan laut,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah dan ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyita tiga buah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM37,000 daripada kesemua suspek.
PELAKON Puteri Sarah Liyana selesai memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah kontroversi, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, mengakui berasa lega setelah urusan memfailkan tuntutan cerai itu selesai.
“Alhamdulillah syukur akhirnya sudah selesai failkan tuntutan cerai.
“Saya rasa lega, satu beban yang telah dilepaskan sebelum pergi umrah dalam 10 hari lagi. Semoga ketika umrah nanti semuanya tenang-tenang sahaja,” katanya kepada URTV.
Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pemberita di ruang legar mahkamah selepas urusan memfailkan tuntutan cerai selesai.
Malah, Puteri Sarah turut menyifatkan keputusan yang dilakukan hari ini merupakan jalan yang terbaik untuknya dan anak-anak.
“Alhamdulillah, saya boleh katakan telah jalankan tanggungjawab sebagai isteri sebelum ini dengan baik.
“Saya sudah berbincang dengan keluarga, saya bertahan dan telah berjumpa dengan ustaz dan ustazah untuk selesaikan isu ini, tetapi sama juga. Saya rasa, ini adalah keputusan terbaik untuk saya. Insya-Allah,” ujarnya.
Peguam yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir turut memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan pertama pada 7 Mac ini.
Tarikh yang ditetapkan itu menurut Puteri Sarah begitu signifikan kerana hampir dengan tarikh perkahwinan mereka.
Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Saya lega. Kalau nak ikutkan, tahun ini genap sembilan tahun perkahwinan kami.
“Sebenarnya tarikh 7 Mac yang ditetapkan mahkamah adalah sangat signifikan kerana 8 Mac merupakan tarikh ulang tahun perkahwinan kami.
“Alhamdulillah, cukup sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Syamsul. Nampaknya tiada rezeki,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Puteri Sarah turut menegaskan bahawa dia bukanlah seorang yang anti-poligami, namun bertindak menuntut penceraian setelah merasakan dirinya ditipu oleh suami.
“Sebenarnya poligami itu indah kalau seorang suami berlaku adil tapi sebab saya sudah ditipu dan (perkahwinan) itu tanpa izin, benda sudah pun terjadi. Jadi, saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk saya,” katanya lagi.
Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Media sebelum ini melaporkan tuntutan cerai itu dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian. Selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand, baru-baru ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.
DUA lelaki, masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini, selepas mengaku bersalah terlibat dalam kes laga ayam, tiga tahun lepas.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas Mohd Nazir Mohd Dagang, 47, dan Mohd Raimi Manaf, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 32 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan satu perlagaan haiwan iaitu ayam di gelanggang laga ayam sebuah bangsal belakang rumah di Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus pada 4.15 pagi, 3 Sept 2020.
Hakim menetapkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar dan Fazlizan Ishak Khan.
Mohd Nazir yang merupakan pengusaha keropok lekor diwakili peguam Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad, manakala Mohd Raimi, seorang juruteknik, diwakili peguam Najmi Adila Mohd Nasir.