Category: Semasa

  • Keputusan Johari boleh dicabar di mahkamah

    Keputusan Johari boleh dicabar di mahkamah

    PADA masa ini timbul persoalan sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul yang membenarkan empat bekas Ahli Parlimen Bersatu di Sabah mengekalkan kerusi mereka.

    Ini susulan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.”

    Bagaimanapun, peguam veteran, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yakin Bersatu masih berpeluang membawa perkara itu ke mahkamah.

    Katanya, ini kerana perkataan perkara 63(1) serta hakikat bahawa tafsiran perlembagaan akhirnya terletak di tangan badan kehakiman.

    “Persoalannya ialah, adakah keputusan speaker merupakan prosiding Dewan Rakyat?

    “Sekarang, jangan lupa bahawa ia adalah pindaan perlembagaan yang membawa masuk perkara 49(A), yang mengatakan bahawa badan penentu yang memutuskan sama ada kerusi itu kosong atau tidak ialah speaker.

    “Jadi, pada pendapat saya, itu adalah fungsi yang diberikan perlembagaan kepada speaker, bukan dalam prosiding parlimen.

    “Dan apabila (speaker) membuat keputusan itu, ia tidak muktamad kerana itu bergantung kepada tafsiran mereka terhadap peruntukan perlembagaan dan mahkamah adalah satu-satunya badan yang diberi kuasa untuk mentafsir perlembagaan,” kata Haniff memetik laporan Malaysiakini.

    Katanya, walaupun melibatkan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan, dia percaya mahkamah perlu memutuskan sama ada peruntukan itu berkuat kuasa dalam kes berkenaan.

    Jika tidak, katanya, mahkamah kemudian perlu menentukan sama ada tafsiran Johari terhadap versi pindaan perlembagaan itu betul atau sebaliknya.

    Haniff berpendapat, keputusan Johari sama ada empat bekas Ahli Parlimen Bersatu itu perlu mengosongkan kerusi mereka atau tidak adalah lebih kepada fungsi ‘pentadbiran’, dan bukannya sebahagian daripada ketetapan yang dibuat dalam prosiding parlimen.

    “Ia adalah keputusan yang dibuat oleh speaker, tetapi dalam kata sebenar, di luar Parlimen. Ia adalah fungsi pentadbiran dan seperti mana-mana fungsi pentadbiran lain, sebarang agensi atau menteri, adakah ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman di mahkamah undang-undang?

    “Jadi, sama seperti itu, apabila Perlembagaan meletakkan fungsi kepada speaker untuk memutuskan sama ada ia kosong atau tidak, keputusan itu mesti diteliti dan boleh diperiksa di mahkamah.

    “Pada pendapat saya, perkara 63(1) tidak terpakai. Jadi, saya rasa Bersatu dan (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin boleh bawa ke mahkamah,” kata Haniff.

    Pada 17 Januari, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan mengambil tindakan undang-undang berhubung keputusan Johari melibatkan empat bekas Ahli Parlimen Bersatu dari Sabah itu.

    Muhyiddin berkata, Johari telah terkhilaf dalam tafsiran undang-undang dan fakta dalam membuat keputusan itu.

    Johari bagaimanapun berkata, keputusannya mengenai perkara ini adalah muktamad kerana beliau telah memberikan semua justifikasi dan alasan bagi keputusan tersebut dalam surat bertarikh 16 Januari yang dihantarnya kepada Bersatu.

    Bagaimanapun, tambah Johari, Bersatu berhak merujuk perkara itu kepada mahkamah jika mereka mahu.

    Empat ahli parlimen terbabit ialah Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

  • Bayi didera hingga koma: Taska diarah tutup

    Bayi didera hingga koma: Taska diarah tutup

    SEBUAH taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang terbabit dengan kes penderaan seorang bayi lelaki sehingga koma awal Januari lalu diarah ditutup buat sementara waktu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, arahan penutupan sementara itu bermula 5 Januari lalu sebaik sahaja laporan polis diterima.

    “Kita memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.

    “Selepas kejadian itu, kita arahkan kepada pemilik taska untuk menutup sementara dan kita juga sudah hantar surat kepada Ketua Pengarah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) supaya mengeluarkan surat arahan bagi menutup sementara taska berkenaan.

    “Kita pandang serius ini dan selepas ini jika berlaku lagi kejadian sama seperti ini, kita akan ambil tindakan yang lebih tegas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Jalan Pesisir Payang Pulau Warisan di Kuala Terengganu, semalam, lapor Harian Metro.

    Hanafiah berkata, semua pengusaha atau pemilik taska juga diminta meneliti kamera litar tertutup (CCTV) setiap hari bagi memantau situasi di premis berkenaan termasuk memantau petugas.

    Katanya, pengusaha dan pemilik taska perlu berbuat demikian berbanding hanya mendengar laporan daripada pengasuh semata-mata bagi mendapatkan keadaan sebenar di premis berkenaan.

    Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di daerah ini.

    Pada Ahad lalu, pengasuh taska terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tujuh pertuduhan mendera

  • 4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

    4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 3.15 petang semalam selepas didapati dikendalikan empat kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu diperiksa ketika kapal Maritim Malaysia melaksanakan rondaan OP PERTIWI.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 28.4 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berumur antara 30 hingga 45 tahun yang mana kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta  melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 200 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

    “Maritim Malaysia akan terus bertindak tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Gelaran Datuk, Datuk Seri palsu: Pahang pamer nama 29 individu

    Gelaran Datuk, Datuk Seri palsu: Pahang pamer nama 29 individu

    SERAMAI 29 individu yang tiada dalam nama penerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur didedahkan kepada umum melalui Notis Awam yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

    Nama individu terlibat disenaraikan susulan pemalsuan nama penerima pingat daripada Sultan Pahang berhubung gelaran Datuk dan Datuk Seri, sebelum ini.

    Notis terbabit dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menerusi di Facebook rasmi Kerajaan Negeri Pahang, lapor Sinar Harian.

    Media pada 28 Disember tahun lalu melaporkan dua bekas kakitangan Pejabat SUK Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.

    Tertuduh, Mohd. Isa Mohd. Yusof, 36, berhadapan dengan 26 pertuduhan memasukkan nama 26 individu pelbagai bangsa termasuk warga asing berusia antara 34 hingga 61 ke dalam laman sesawang berkenaan.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, berhadapan dengan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke dalam laman sesawang tersebut.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

  • UMNO Alor Setar akan hantar bantahan kepada RoS

    UMNO Alor Setar akan hantar bantahan kepada RoS

    UMNO  Alor Setar ingin mencabar keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang diluluskan pada perhimpunan agung parti itu baru-baru ini di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    Ahli Jawatankuasa Bahagiannya, Ahmad Shokri Yaacob berkata bantahan itu akan dibawa ke perbincangan peringkat bahagian ‘dalam masa terdekat’.

    ““Kita akan hantar bantahan kepada JPPM. Kita bantah bukan nak khianat sesiapa tapi kita nak pastikan demokrasi dalam UMNO subur dan setiap tindakan dilakukan perlulah mengikut perlembagaan,” katanya lapor FMT.

    Semalam, Naib Presiden Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan presiden itu “tidak sah” dan “bertentangan dengan Perlembagaan parti”, dan ahli yang tidak bersetuju berhak merujuk perkara itu ke JPPM.

    Beliau berkata apa yang diluluskan dalam perhimpunan agung tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan parti, yang menyebut pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan.

    Shokri yang juga salah seorang perwakilan pada PRU 2022 minggu lalu mendakwa tidak semua ahli yang bangun menyokong usul tersebut bersetuju jawatan “top two” tidak dipertandingkan, tetapi tidak mahu dituduh ‘jahat’.

    “Selepas balik ke kawasan mereka bersuara dan kedengaran mereka menentang jawatan Presiden dan Timbalan tak dipertandingkan,” katanya.

    Shokri menyifatkan dirinya sebagai ‘orang lama’ dalam UMNO, dan menurutnya pernah melalui pelbagai ‘krisis’ dalaman termasuk ketegangan antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988.

    “Krisis kepercayaan di akar umbi sekarang lebih teruk. Saya bimbang dalam mesyuarat akan datang tidak ada suara yang akan datang untuk bermesyuarat

    “Kita kena bagi balik mandat kepada akar UMNO – siapa yang mereka nak memimpin parti. Dulu kita ghairah desak supaya PRU diadakan cepat, sepatutnya pemilihan parti juga begitu.”

    Sementara itu, Datuk Mohd Yusof Ismail, yang sebelum ini Ketua UMNO Alor Setar sebelum keahliannya digantung, berkata ahli parti berhak minta JPPM teliti keputusan PAU 2022 itu.

    “Jangan ada pemimpin kena macam saya bila bersuara kerana sayangkan parti,” katanya.

    Keahlian Yusof sebelum ini dilaporkan digantung selama enam tahun, yang menurutnya atas sebab yang tidak dimaklumkan.

  • Timbalan Pengarah Jabatan Laut antara ditahan rasuah tajaan bercuti di Langkawi

    Timbalan Pengarah Jabatan Laut antara ditahan rasuah tajaan bercuti di Langkawi

    DUA pegawai Jabatan Laut Wilayah Utara termasuk seorang berpangkat timbalan pengarah antara empat ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah dalam bentuk tajaan percutian ke Langkawi.

    Perintah reman enam hari sehingga 23 Januari ini dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret di Georgetown hari ini.

    Semua suspek ditahan antara jam 4.30 petang hingga 10 malam selepas masing-masing dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang semalam, lapor Berita Harian.

    Sumber SPRM memaklumkan, dua pegawai Jabatan Laut Wilayah Utara termasuk seorang wanita itu disyaki meminta dan menerima rasuah tajaan percutian ke Langkawi di Kedah iaitu dalam bentuk tiket penerbangan dan penginapan bernilai RM2,808.12 daripada dua lagi suspek yang ditahan.

    Katanya, ia sebagai balasan kerana memilih dan memberikan kerja sebut harga di Jabatan Laut Wilayah Utara.

    Dua lagi suspek yang direman hari ini masing-masing bekerja sebagai pengarah syarikat dan kontraktor, dengan semua empat individu berusia antara 30 hingga 52 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

    Permohonan reman dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan semua suspek diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangaan (YBGK).

  • Pelajar UPM hilang selepas pergi solat Jumaat

    Pelajar UPM hilang selepas pergi solat Jumaat

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang di universiti itu sejak Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata pelajar itu dikenali sebagai Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, beralamat di Bilik Asrama, Blok Delima, Kolej Canselor, UPM, Serdang.

    Beliau berkata bapanya membuat laporan polis pada Isnin lepas dan sebelum kehilangan pelajar itu, bapa mangsa ada menghubungi anaknya untuk bertanyakan khabar namun tiada sebarang respons pada hari sama.

    “Bapanya ada menghubungi Mohd Irfan pada 9 pagi tetapi tiada jawapan. Pada hari sama, jam 2 petang, bapanya telah meminta bantuan adiknya (adik kepada bapa mangsa iaitu pakcik mangsa) yang tinggal berdekatan UPM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    “Adik kepada bapa mangsa telah menghubungi rakan sebilik Mohd Irfan yang hanya dikenali sebagai Oh (pelajar jurusan Pengajian Pengguna, UPM) dan menjelaskan anaknya itu dilihat kali terakhir semasa hendak pergi solat Jumaat menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 bernombor pendaftaran RAC 5095,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata sehingga kini, Mohd Irfan masih belum pulang ke rumah atau balik ke bilik penginapan di UPM, Serdang serta masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga.

    Anbalagan berkata Mohd Irfan mempunyai kad pengenalan bernombor 011113-10-0213, berketinggian 171 sentimeter seberat 65 kilogram dan mempunyai nombor telefon 013-6831710.

    “Mohd Irfan berkulit cerah, kurus, rambutnya tebal dan lurus, memakai cermin mata dan tidak mempunyai sebarang parut atau tatu pada badannya,” katanya.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Mohd Irfan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Kipli Rajak di talian 019-6177188 atau  mana-mana balai polis berdekatan.

    — BERNAMA

  • Kes rasuah projek kementerian : Pengarah Bahagian bergelar Datuk antara tiga direman

    Kes rasuah projek kementerian : Pengarah Bahagian bergelar Datuk antara tiga direman

    SEORANG pengarah bahagian di sebuah kementerian, antara tiga ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan rasuah, hari ini.

    Selain lelaki dengan gelaran Datuk itu, dua lagi yang ditahan membabitkan perunding projek dan pengarah syarikat binaan.

    Ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 40-an ditahan di sekitar Putrajaya antara jam 11 pagi hingga 9 malam semalam termasuk ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

    Berita Harian melaporkan, sumber memaklumkan, mereka ditahan selepas disyaki menerima wang rasuah secara bulanan dengan jumlah besar daripada kontraktor yang mendapat projek di sebuah kementerian.

    Wang rasuah itu adalah bayaran daripada kontraktor dilantik kementerian terbabit sebagai balasan untuk mempercepatkan proses bayaran tuntutan, membantu meluluskan arahan perubahan kerja dan lanjutan tempoh masa projek.

    Menurut sumber sama lagi, selain menerima suapan wang secara bulanan suspek juga mendapat sogokan seperti barangan mewah untuk kegunaan peribadi.

    Terdahulu, permohonan reman tujuh hari dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin ke atas lelaki bergelar Datuk itu, manakala dua lagi suspek direman tiga hari bermula hari ini selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan terbabit memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Pemandu van kilang didenda RM10,000, penjara 10 hari rasuah polis RM200

    Pemandu van kilang didenda RM10,000, penjara 10 hari rasuah polis RM200

    SEORANG pemandu van kilang didenda RM10,000 dan penjara selama 10 hari  oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth, Pulau Pinang hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan sebanyak RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal kira-kira dua tahun lalu.

    Tertuduh, M. Kalaithasan, 53, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Zulhazmi turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, Kalaithasan didakwa telah memberi suapan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal.

    Ia sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak menahan dan menyamannya atas kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2021 iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kira-kira pukul 5.10 petang, pada 28 Jun 2021 di Lorong Perusahaan 4, berhadapan sebuah kilang di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

    Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rosman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Difahamkan, tertuduh membayar denda yang dikenakan terhadapnya hari ini.

  • Pasangan kekasih ditahan disyaki edar dadah, miliki senjata api

    Pasangan kekasih ditahan disyaki edar dadah, miliki senjata api

    SEPASANG  kekasih warga tempatan yang disyaki terlibat menyeludup dan mengedar dadah di daerah ini ditahan di sebuah hotel bajet di Kuantan, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek lelaki berusia 25 tahun dan teman wanitanya yang berumur 23 tahun itu ditahan sekitar 12.30 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang.

    Beliau berkata tangkapan berkenaan telah membawa polis ke bilik sewa suspek di sebuah rumah di Panching di sini, dan menemukan dadah disyaki jenis ganja dengan anggaran berat 1.9 kilogram selain 279.1 gram (g) dadah jenis syabu dan 14.35 g pil yaba, dengan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM41,635.

    “Jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 1,525 penagih dan kedua-dua suspek yang menganggur ini dipercayai mula aktif melakukan kegiatan itu awal tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini yang turut dihadiri Ketua JSJN Pahang Supt Azmi Awang Lah.

    Polis turut merampas sepucuk pistol model Zoraki M906-TD bersama kelopak, lima butir peluru dan sepasang sarung tangan di rumah itu, selain menyita kereta Proton Iriz bernilai RM32,800 dan wang tunai RM1,000 milik sindiket itu.

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan ahli sindiket lain.

    Menurutnya kedua-dua suspek yang negatif ujian saringan urin itu kini direman tujuh hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seskyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

    Selain itu, suspek lelaki tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

    — BERNAMA