Category: Semasa

  • Wee: MCA tetap setia pada BN, kritik Umno buat keputusan sendiri

    Wee: MCA tetap setia pada BN, kritik Umno buat keputusan sendiri

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menceritakan semula ketegangan yang berlaku dalam BN sebaik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila UMNO didakwa membuat keputusan sendiri berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu.

    Wee mendakwa ramai yang merayu kepada MCA untuk membubarkan gabungan tersebut ekoran tindakan UMNO itu, namun dia berpendirian untuk tidak mengkhianati gabungan itu.

    “Kami juga mahu UMNO terus berpegang kepada semangat Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponen. Itulah semangat asal BN.

    “Tiada satu parti yang berhak untuk bersuara hanya kerana ia mempunyai lebih banyak undi atau lebih banyak kerusi berbanding parti ahli lain. Kita (parti BN) semuanya sama rata,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

    BN hanya meraih 30 kerusi Parlimen pada PRU lalu, jauh ketinggalan berbanding dua lagi gabungan politik, iaitu PH (82 kerusi) dan Perikatan Nasional (74 kerusi).

    Dalam wawancara itu, Wee yang merupakan bekas Menteri Pengangkutan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan UMNO ketika itu melihatkan parti itu lupa dua prinsip utama BN iaitu membuat keputusan berdasarkan rundingan dan konsensus.

    “Mereka sibuk berhubung dan menjalin pakatan politik baru. Kami (MCA) melihat perkembangan politik ini tetapi memutuskan untuk tidak campur tangan dan menghentikannya.

    “UMNO menemui rakan kongsi baru (dalam PH yang menjadi musuh lama), dan kesetiaan parti ahli BN tiba-tiba dipersoalkan,” katanya.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO mendedahkan usaha 10 ahli parlimen BN untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri tanpa persetujuannya.

    Menamakannya sebagai ‘Langkah St. Regis’, dia juga mendakwa ia juga untuk menyingkirkannya sebagai pengerusi BN.

    MCA turut terlibat dalam mesyuarat tersebut. Apatah lagi parti itu pernah menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN ekoran prestasi buruk mereka dalam PRU15.

    Namun, Wee berkata parti itu tetap setia dengan BN termasuk dalam pilihan raya akan datang.

    “Kami, sebagai parti BN, akan tetap menggunakan logo BN. Kami tidak pernah mengkhianati gabungan ini,” katanya lagi seperti dipetik.

  • Bakar Quran: Pas ajak berarak ke kedutaan Sweden

    Bakar Quran: Pas ajak berarak ke kedutaan Sweden

    DEWAN ulama Pas menyeru umat Islam di negara ini bersolidariti bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, baru-baru ini.

    Menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya, bantahan akan berlangsung dengan perarakan dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) ke Kedutaan Sweden pada Jumaat ini.

    “Sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.

    “Saya juga menyeru umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini, 27 Januari di KLCC berarak ke kedutaan Sweden.

    “Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap kerajaan Sweden ini.

    “Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC (pertubuhan kerjasama Islam) bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain.

    “Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau tidak menyatakan acara itu akan bermula pada pukul berapa.

    Bagaimanapun kebiasaannya demonstrasi Pas berlangsung selepas solat Jumaat.

    Pada 21 Januari lalu ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bertindak provokasi dengan membakar naskhah al-Quran.

    Malaysia melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan Islamofobia ahli politik itu dan menyifatkan provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

    Sementara itu, Ahmad turut mengulangi gesaan agar kerajaan memanggil kedutaan Sweden.

    Ahmad menyifatkan insiden itu seolah-olah mendapat restu kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan provokatif dan menghina Islam.

    “Tindakan membakar Al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku.

    “Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam,” jelasnya.

    Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tindakan politikus ekstrem itu melampau dan terdesak untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

    “Justeru sewajarnya tindakan itu dikutuk dan dikecam bukan sahaja oleh negara umat Islam malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.

    “Pas berharap kerajaan negara tersebut mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gejala seumpamanya berleluasa malah dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan,” katanya, laor Malaysiakini.

  • Jururawat, suri rumah mengaku tidak bersalah perdagang bayi perempuan

    Jururawat, suri rumah mengaku tidak bersalah perdagang bayi perempuan

    SEORANG jururawat dan suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini satu pertuduhan memperdagangkan bayi, tiga tahun lalu.

    Noor Azlina Mohd Nasir, 41, yang bertugas di sebuah hospital di Alor Setar dan D. Murugamal, 52, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid selepas pertuduhan dibacakan secara serentak.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama mencapai niat memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta dalam daerah Manjung jam lebih kurang 12 tengah hari pada 18 Jun 2020, lapor Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang telah pun berkahwin didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj mencadangkan agar mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 seorang.

    Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Mohd. Firdaus Mohd. Farouk memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan Noor Azlina mempunyai lima anak manakala Murugamal menghidap sakit jantung dan kencing manis.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.

  • 3,803 mangsa banjir di Johor di 35 PPS

    3,803 mangsa banjir di Johor di 35 PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 3,803 mangsa banjir daripada 1,070 keluarga ditempatkan di 35 usat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD memberitahu, banjir berkenaan melibatkan daerah Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Kluang.

    “Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

    “Diikuti pula Kluang melibatkan 1,139 orang daripada 325 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS,” menurut jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan, hari ini.

    JPBN memaklumkan, di Kota Tinggi, seramai 557 mangsa daripada 136 keluarga berlindung di enam PPS manakala di Mersing, terdapat empat PPS yang menempatkan 594 penduduk daripada 186 keluarga, menurut jawatankuasa itu.

    Sementara di Batu Pahat pula mencatatkan seramai 121 mangsa daripada 30 keluarga yang dipindahkan ke satu PPS.

  • Ambil tindakan jika dakwaan isu bengkel SPM benar-Sultan Johor

    Ambil tindakan jika dakwaan isu bengkel SPM benar-Sultan Johor

    SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menggesa tindakan diambil sekiranya benar dakwaan bahawa sebuah sekolah di Johor dengan sengaja mengecualikan pelajar bukan Islam daripada bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

    Sultan Johor bertitah, begitu juga tindakan perlu diambil sekiranya dakwaan itu ternyata palsu.

    “Tiada orang yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya.

    “Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah baginda dalam satu kenyataan malam tadi.

    Kecoh dalam media sosial sebelum ini susulan dakwaan bahawa pelajar bukan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent sengaja dikecualikan daripada bengkel SPM yang diadakan di sebuah hotel – pada 19 dan 20 Januari.

    Pengguna Twitter Anne Louis, yang mendedahkan perkara itu, mendakwa pada mulanya bengkel itu diadakan hanya untuk pelajar Islam dengan berselindung bahawa ia hanya meliputi mata pelajaran Pengajian Islam.

    Katanya, hanya setelah itu, baru diketahui bahawa subjek SPM lain, seperti Kimia dan Matematik Tambahan, turut diliputi dalam bengkel itu.

    Dia berkata, ibu bapa dalam PIBG yang tidak berpuas hati kemudiannya bertanyakan perkara itu dengan guru besar di kumpulan WhatsApp.

    Guru besar SMK berkenaan dikatakan menjelaskan bahawa bengkel itu merupakan langkah sekolah untuk membantu kira-kira 40 pelajar Melayu yang berisiko gagal dalam peperiksaan SPM.

    Guru besar itu dilaporkan telah menafikan unsur perkauman dalam perkara itu, dan menjelaskan bahawa satu-satunya niat adalah untuk mengekalkan status sekolah itu sebagai institut berprestasi tinggi.

    Bagaimanapun, kenyataan Kementerian Pendidikan kemudiannya mendakwa bengkel SPM itu diadakan berasingan bagi mengelakkan mengganggu pelajar yang membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

    Kementerian juga berkata sesi kedua bengkel itu dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Januari untuk pelajar lain yang tidak turut serta sebelum ini.

    Sementara itu, Sultan Ibrahim dalam titah baginda mengingatkan bahawa isu-isu seperti ini perlu ditangani dengan pantas bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.

    “Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

    “Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.

    “Ini juga merupakan pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

    Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

    IDENTITI mayat yang ditemukan di kawasan semak dekat Kampung Alor Gali di Marang minggu lalu akan disahkan melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan diperoleh dalam masa terdekat.

    Susulan penemuan mangsa, dua individu telah hadir membuat pengecaman ke atas mayat kira-kira pukul 6.30 petang di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka telah mengenal pasti mayat sebagai seorang ahli keluarga berdasarkan tanda-tanda pada badan mayat dan juga barang-barang peribadi yang dikemukakan serta beberapa bukti bergambar.

    “Namun identiti sebenar si mati hanya dapat disahkan setelah Pegawai Penyiasat Kes mendapat keputusan sampel DNA dari Jabatan Kimia Malaysia yang akan diterima dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Sementara itu, Mohd. Zain berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang meminta supaya orang awam menjaga sensiviti ahli keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi liar berkaitan kes yang sedang disiasat.

    Siasatan kes itu katanya, dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang di talian 09-6181451 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali di Marang, pada 19 Januari lalu.

    Mayat tersebut ditemukan orang awam yang mencari daun palas di kawasan itu yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.

  • Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    POLIS sedang mengesan banduan lelaki yang meloloskan diri Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Jasin, petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd
    Fadzli Othman berkata, Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, meloloskan diri dan kehilangannya disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan, pukul 2.20 petang.

    “Banduan terbabit kes samun itu sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

    “Polis menerima laporan kehilangan banduan itu pada 7.03 malam yang dibuat pengadu selepas menyedari kehilangan suspek semasa dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

    “Berdasarkan laporan itu, tahanan terbabit dilihat kali terakhir memakai baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Fadzli berkata, sejurus menerima laporan, polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

    Katanya, siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian hingga menyebabkan tahanan lolos, dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tahanan ini diminta menyalurkan maklumat kepada kepada polis atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

  • Polis tahan lelaki Palestin intai rumah pelajar wanita di Cyberjaya

    Polis tahan lelaki Palestin intai rumah pelajar wanita di Cyberjaya

    POLIS menahan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai sebuah rumah didiami pelajar wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, dekat Putrajaya.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa membuat laporan setelah mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya.

    “Lelaki tersebut telah membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu. Perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh jiran pengadu dan lelaki tersebut telah melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa kemudian membuat pemeriksaan di bahagian balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya tiada dan ketika kejadian, tiada sesiapa berada dalam tandas.

    “Lelaki Palestin itu ditahan pada kira-kira 4 petang tadi di Mutiara Ville dan polis telah merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan namun seluar milik rakan serumah pengadu belum dijumpai. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Nurul Izzah keguguran anak keempat

    Nurul Izzah keguguran anak keempat

    BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi kisah sedih di Instagram hari ini selepas beliau mengalami keguguran.

    Dalam hantaran tersebut, Nurul Izzah turut berkongsi gambarnya memeluk ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wn Ismail dan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menerusi catatan panjang dalam media sosialnya itu, anak sulung Perdana Menteri itu berkata selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mungkin itu kali pertama mereka berpelukan.

    “Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama – selesai berkempen, sempat pula menjangkiti Covid buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat, kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baru, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang, kemudian ke Putrajaya – dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung.

    “The little boot is gone …” tulis beliau, memetik laporan Astro Awani.

  • Lagi peniaga sanggah Rafizi, dakwa harga bahan mentah sentiasa naik

    Lagi peniaga sanggah Rafizi, dakwa harga bahan mentah sentiasa naik

    DAKWAAN mengatakan harga barang mentah sudah turun disanggah peniaga makanan.

    Ketika ditemui SatuBerita, mereka mendakwa bukan sahaja harga bahan mentah sentiasa naik tetapi terpaksa berdepan beberapa kenaikan lain.

    Pengusaha restoran yang mesra dikenali sebagai Uda, 29, berkata isu kenaikan harga barang mentah mengakibatkan keuntungan diperolehi bertambah sedikit dan hanya sekadar ‘cukup makan’.

    “Kita berniaga makan untung kecil, sekadar lepas bayar sewa bil api itu sahaja.

    “Sayur boleh dapat sekilo RM3 ke RM4, sekarang kubis sampai RM7 ke RM10, ikan pun sama juga, contohnya ikan pelaling RM6 ke RM7 sekarang dah cecah RM11, ayam pun naik, telur pun semua tahu susah nak cari.

    “Barangan kering seperti Milo dan Nescafe akan sentiasa naik kalau boleh setiap bulan nak naik, kalau harga barang naik kita pun terpaksa la naikkan harga barang,” katanya ketika ditemui SatuBerita hari ini.

    Pengusaha Restoran, Uda, 29.

    Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

    Katanya lagi, sesetengah peniaga masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan,

    Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

    Noni Shamsuri, 51, bersama pekerja di gerai makanan dan minuman.

    Dalam pada itu, pengusaha gerai makanan dan minuman Noni Shamsuri, 51, turut terasa kenaikan harga sayur malah terpaksa mencari minyak subsidi kerana harga minyak yang tidak terkawal.

    “Cili kering mengalami kenaikan yang melampau. Dulu boleh beli lebih kurang RM13-RM14, sekarang dah RM20.

    “Dulu minyak seberat 5kg hanya RM16, sekarang dah RM20 jauh beza pernah sampai RM31. Siapa nak beli minyak, kita ni golongan B40 terpaksa cari minyak subsisi tapi stok tiada,” katanya.

    Azam, tukang masak di sebuah restoran menyajikan sarapan dan makanan tengah hari.

    Seorang tukang masak yang hanya mahu dikenali sebagai Azam bukan sahaja terkesan akan kenaikan ayam, bahan kering juga dikatakan meningkat sedikit demi sedikit.

    “Ayam mentah kadang-kadang turun dan naik, dahulu RM7 sekarang dah RM9.

    “Kenaikan bahan kering turut terasa. Banyak naik adalah paket seperti ajinamoto (perasa), sup bunjut, cili, bawang itu semua boleh nampak dia mengalami kenaikan harga,” tegasnya.

    Pembantu restoran, Ahmad Nazreen, 24.

    Menurut seorang pembantu restoran ‘steamboat’ Ahmad Nazreen, 24, berkata selain peningkatan harga ikan, ketam juga mengalami peningkatan harga.

    “Sewaktu pertama kali kami beli ketam, dapat dalam RM23 setiap kilo, sekarang ketam sudah naik dalam 2 ke 3 ringgit,” ujarnya.

    Abdul halim, 48, pengusaha restoran.

    Walaupun hanya beroperasi sejak November tahun lepas, Abdul Halim, 48, terpaksa menaikkan harga ‘chicken chop’ yang naik mendadak kerana tidak dapat menampung kos yang dibeli.

    Katanya, dahulu beliau menjual Chicken Chop pada RM13 sepinggan, namun terpaksa menaikkan harga sehingga RM15 sepinggan kerana tidak mahu mengalami kerugian.