Category: Semasa

  • 5,528 mangsa banjir Johor di 58 PPS

    5,528 mangsa banjir Johor di 58 PPS

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir di Johor semakin bertambah dengan jumlah terkini seramai 5,528 orang yang ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari ini.

    Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani, jumlah berkenaan meningkat sedikit dengan 5,455 mangsa yang ditempatkan di 55 PPS di seluruh Johor pada pukul 8 pagi tadi.

    “Mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,536 buah keluarga. Ketika ini masih tujuh daerah terjejas akibat banjir iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

    “Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,811 penduduk daripada 508 keluarga terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 21 buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

    “Ini diikuti daerah Kluang iaitu seramai 1,266 mangsa daripada 356 keluarga; Mersing (1,173 mangsa 359 keluarga); Kota Tinggi (744 mangsa 183 keluarga); Batu Pahat (299 mangsa 79 keluarga); Muar (217 mangsa 47 keluarga) dan Pontian (18 mangsa empat keluarga),” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, antara PPS yang dibuka di seluruh negeri ini termasuklah PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas; Dewan Pusat Banjir Jakoa; Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap bahaya iaitu Mersing dan Kota Tinggi, manakala daerah Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dalam tahap buruk.

    “Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dikategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Endau.

    “Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat; Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu; Jalan Tanah Abang dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh,” jelasnya.

  • Agensi umrah didakwa bolot tiket penerbangan

    Agensi umrah didakwa bolot tiket penerbangan

    TERDAPAT beberapa agensi umrah di negara ini didakwa membolot tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Tanah Suci.

    Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, perbuatan tersebut menjadi antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.

    “Mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800, tetapi dijual semula oleh agensi terbabit sekitar RM4,800 hingga RM5,000.

    “Ini satu-satunya punca kenaikan pakej umrah yang boleh kita (Malaysia) kawal, tetapi belum ada tindakan sewajarnya diambil untuk menyekat monopoli empat hingga lima syarikat umrah tempatan yang membolot tiket penerbangan dan menjualnya semula dengan harga lebih tinggi.

    “Mereka hanya membayar sekitar 10 peratus deposit untuk membeli keseluruhan tiket bagi satu penerbangan. Ini menyebabkan agensi umrah terutama yang kecil tak dapat beli terus tiket dengan syarikat penerbangan kerana semua tempat duduk sudah dibolot,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

    Perbuatan sudah lama

    Razali berkata, berdasarkan maklumat diterima pihaknya, perbuatan itu sudah lama berlarutan dengan sekurang-kurangnya 120,000 tiket penerbangan ke Tanah Suci dijual semula dalam tempoh setahun sebelum ini.

    Katanya, monopoli tiket turut menyebabkan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa bertindak menaikkan harga tiket penerbangan masing-masing ke Tanah Suci berikutan permintaan yang tinggi.

    “Situasi memang makin meruncing kerana apabila ada syarikat umrah ambil kesempatan menjual semula tiket penerbangan dengan harga tinggi, maka syarikat penerbangan antarabangsa lain akan turut ambil langkah sama.

    “Disebabkan tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Tanah Suci habis cepat, permintaan diterima syarikat penerbangan antarabangsa juga meningkat, sekali gus turut menjual tiket pada harga lebih mahal, sekitar RM4,200 hingga 4,500 untuk seorang jemaah,” katanya.

    Sehubungan itu, Razali menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas menyiasat perbuatan monopoli tiket penerbangan umrah kerana khuatir ia akan menyebabkan kos mengerjakan ibadat itu terus meningkat jika tidak dibendung.

    “Syarikat penerbangan antarabangsa yang naikkan harga tiket penerbangan dapat penuh keuntungan itu, tetapi syarikat penerbangan tempatan kita yang jual tiket antara RM2,700 hingga RM2,800 itu, untungnya begitu juga sebab untung daripada perbezaan harga hingga RM5,000 itu ialah agensi umrah.

    “Sebab itu saya gesa syarikat penerbangan untuk kawal dan siasat perkara ini kerana ia menyebabkan agensi umrah yang kecil menerima kesan ketara, manakala jemaah pula perlu membayar lebih. Malah, ada yang terpaksa tangguh tunai umrah kerana kosnya naik terlalu mendadak,” katanya.

    Belum ada penyelesaian

    Beliau mendakwa, PAPUH pernah mengemukakan masalah itu kepada kementerian berkaitan, namun kecewa tiada tindakan susulan, menyebabkan isu bolot tiket penerbangan umrah masih berterusan dan belum ada penyelesaian.

    “Pengurusan syarikat penerbangan tempatan juga tahu mengenai isu ini, namun tiada juga penyelesaian,” katanya.

    Katanya, beberapa persatuan agensi pelancongan termasuk PAPUH, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) akan membincangkan isu kenaikan harga pakej umrah, hari ini.

    Semalam, media melaporkan ada bakal jemaah terpaksa mengatur semula perjalanan berikutan pembatalan pada saat akhir, selain terbeban apabila perlu membayar kos tambahan mencecah ribuan ringgit.

    Berdepan kemungkinan kos meningkat sehingga 200 peratus, jemaah mengakui tiada pilihan kerana syarikat pengendali umrah lain turut mengambil langkah sama menaikkan harga pakej.

  • Rugi RM30,000 rumah dipecah masuk

    Rugi RM30,000 rumah dipecah masuk

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita kerugian kira-kira RM30,000 apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya dilarikan seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Teroi Bukit, Guar Chempedak di Yan.

    Kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam berlaku ketika mangsa warga emas yang berusia 69 tahun itu sedang tidur berseorangan di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi barangan terjatuh sebelum mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam biliknya.

    “Mangsa terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak berlari keluar dengan mengambil beg tangan berwarna hitam milik mangsa. Di dalam beg tersebut mengandungi barangan berharga milik mangsa seperti seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin emas.

    “Selain itu, terdapat juga wang tunai berjumlah RM4,000, kad mesin juruwang automatik (ATM), kad pengenalan dan beberapa lagi dokumen penting milik mangsa yang dianggarkan kerugian mencecah RM30,000,” katanya di Yan, hari ini.

    Kata Shahnaz, siasatan di tempat kejadian mendapati tidak terdapat sebarang kesan umpil atau pecah di bahagian pintu rumah mangsa.

    Malah, suspek yang menutup muka dengan kain sarung dipercayai masuk ke dalam rumah terbabit hanya dengan membuka selak di pintu belakang bahagian dapur melalui tingkap.

    “Suspek kemudiannya masuk ke dalam bilik mangsa yang tidak berkunci dan keluar melalui pintu hadapan sebaik sahaja mangsa tersedar dan menjerit meminta tolong,” jelasnya.

    Katanya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah dipanggil bagi mengesan tempat laluan suspek, namun tidak berjaya mengesan pergerakan suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan

  • Pesara direman bantu siasatan kes penemuan mayat wanita

    Pesara direman bantu siasatan kes penemuan mayat wanita

    SEORANG lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat wanita di dalam semak di Kampung Alor Gali di Marang direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Suspek yang merupakan seorang pesara berusia 58 tahun ditahan pukul 2.30 petang di Jeli, Kelantan, semalam, lapor Sinar Harian.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek bermula 26 Januari hingga 1 Februari depan dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli bagi membolehkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menahan suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita tersebut sekali gus membantu menyelesaikan siasatan kes dalam tempoh tidak sampai seminggu.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris sebelum ini berkata, mayat wanita yang dijumpai pada 19 Januari lalu disahkan sebagai Zarina Mukhtar, 57.

    Menurut beliau, pengesahan identiti mayat dibuat berpandukan padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Mayat mangsa yang lengkap berpakaian sebelum ini ditemukan orang awam yang mencari daun palas di sekitar kawasan semak terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah mencecah 6,000 orang

    Jumlah mangsa banjir di Sabah mencecah 6,000 orang

    JUMLAH mangsa banjir yang melanda beberapa daerah di negeri Sabah meningkat kepada 6,313 orang setakat pukul 8 pagi ini.

    Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah berkenaan membabitkan 2,817 keluarga daripada lima daerah iaitu di Paitan, Pitas, Kota Marudu, Kudat dan Lahad Datu.

    “Semua mangsa yang terjejas dipindahkan ke 26 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka di daerah berkenaan.

    “Sebanyak 11 PPS diaktifkan di Kota Marudu, tujuh PPS di Paitan, empat PPS di Pitas, tiga PPS di Kudat dan satu PPS di Lahad Datu,” katanya hari ini, lapor FMT.

    Dalam pada itu, tiga PPS dengan jumlah mangsa tertinggi ialah SK Ranau (Kota Marudu) dengan 1,280 mangsa.

    “Ini diikuti dengan SM Advent Goshen (Kota Marudu) dengan 711 mangsa dan Dewan SK Sikuati (Kudat) dengan 628 mangsa.

    “Trend semasa situasi banjir di negeri ini masih menunjukkan peningkatan dengan penambahan jumlah mangsa di PPS,” katanya.

  • 53 mangsa banjir di Sarawak dipindahkan ke PPS

    53 mangsa banjir di Sarawak dipindahkan ke PPS

    HUJAN lebat berterusan sejak dua hari lepas menjadi punca beberapa kawasan di daerah Lundu dilanda banjir.

    Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pukul 2 pagi tadi bagi menempatkan 53 mangsa daripada 16 ketua isi rumah (KIR).

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan memberitahu PPS tersebut dibuka di Kampung Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak.

    Menurut laporan Astro Awani, semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Sarawak sehingga pukul 2 pagi tadi.

    Antara kawasan dijangka terjejas ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Miri (Subis dan Miri).

    Pemantauan berkala telah digerakkan beberapa agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Prosedur keselamatan turut dilakukan melibatkan tinjauan di kawasan kerap berlaku banjir untuk tindakan awal operasi pemindahan, merekodkan peningkatan paras air di kawasan kritikal, serta bantuan sokongan di PPS.

    Kali terakhir Sarawak menutup PPS mangsa banjir adalah pada penghujung Disember tahun lalu.

    Dalam kejadian banjir tahun lalu, kerajaan Sarawak telah mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini.

  • Bot ronda karam: 7 anggota tentera terapung lebih 3 jam berjaya diselamatkan

    Bot ronda karam: 7 anggota tentera terapung lebih 3 jam berjaya diselamatkan

    TUJUH anggota tentera dari Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berdepan detik cemas selepas bot ronda dinaiki mereka karam dipukul ombak di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan, pukul 11 pagi semalam.

    Dalam kejadian berkenaan, semua anggota tentera terbabit berjaya diselamatkan anggota dari Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dilaporkan terapung selama lebih tiga jam di laut.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan mendapati bot ronda Viper 7 Markas ATB 2 dengan kekuatan tujuh anggota tentera itu bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke Jeti Markas ATB 2 Batu Sapi, di Sandakan.

    “Mereka ke jeti berkenaan untuk pengisian minyak logistik dan kebajikan anggota.

    “Bagaimanapun pada pukul 11 pagi, ketika bot ronda berkenaan tiba berhampiran laut Pulau Nunuyan, ia telah dipukul ombak besar hingga menyebabkannya karam.

    “Pada 2.50 petang hari yang sama, semua mangsa yang karam berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan Bor PAC 66,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, semua mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan seterusnya proses dokumentasi, lapor Astro Awani.

  • TH nafi mewajibkan jemaah lengkap divaksin untuk ibadah haji

    TH nafi mewajibkan jemaah lengkap divaksin untuk ibadah haji

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TABUNG Haji (TH) menafikan bahawa pihaknya mengeluarkan kenyataan mewajibkan mereka yang mahu mengerjakan ibadah haji perlu lengkap dengan divaksin Covid-19.

    “Maklumat yang tular di media sosial ini adalah PALSU! Para pendeposit dan bakal haji dinasihati untuk sentiasa merujuk kepada pihak TH bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” jelas TH dalam entri terbaharu dimuat naik dalam Facebook rasminya, hari ini.

  • Pahang negeri terbaharu dilanda banjir

    Pahang negeri terbaharu dilanda banjir

    PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selepas Johor dan Sabah menjadikan tiga negeri kini terjejas dengan bencana itu ekoran hujan lebat yang berterusan.

    Di PAHANG, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga.

    Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Kampung Setajam iaitu 50 orang daripada 15 keluarga, manakala PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 orang daripada 11 keluarga dengan kedua-dua PPS itu mula beroperasi petang ini.

    Tujuh lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya, sejak tengah malam tadi selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

    Laman web portal rasmi info banjir JPS publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 23.19 meter (m), melebihi aras bahaya 23m yang ditetapkan.

    Di JOHOR, Muar menjadi daerah keenam dilanda banjir selepas Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,368 orang dengan ditempatkan di 44 PPS berbanding 3,967 orang, tengah hari tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,522 orang (424 keluarga), diikuti Kluang 1,222 orang (348 keluarga) dan Mersing 708 orang (221 keluarga).

    Sementara itu, di Kota Tinggi, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 591 orang daripada 144 keluarga, Muar 206 orang (46 keluarga) manakala Batu Pahat 119 orang (35 keluarga).

    Pada masa sama, paras air di empat sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.20m, Sungai Segamat (9.22m), Sungai Segamat di Segamat Kecil (37.34m) manakala Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang adalah 16.12m.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 607 daripada 139 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS petang ini berbanding 166 orang daripada 41 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan itu selepas Kudat menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu petang ini dengan 381 orang daripada 77 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

    Sebanyak 147 orang daripada 41 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Paitan manakala 79 orang daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Pitas.

    “Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS dijangka meningkat dengan tujuh PPS telah diaktifkan di daerah Kota Marudu dan kini dalam proses pemindahan mangsa serta kemas kini data,” menurut kenyataan itu.

    Hujan lebat pada petang ini turut menjadikan paras air di Sungai Rampai, Kampung Korina, Sikuati di Kudat naik mendadak dan beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir termasuk Kampung Bak-Bak, Kampung Milau dan Kampung Naradang.

    Selain itu, Kampung Popot di Kudat dilaporkan terputus hubungan apabila semua jalan darat ke kampung itu ditenggelami banjir.

    Sebelum ini Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan lima jalan di Kudat iaitu Jalan Abdul Rahim, Jalan Sebayan, Jalan Datu, Jalan Bak Bak dan Jalan Lo Thein Chok terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat banjir hari ini. – BERNAMA

  • Banjir: 2,000 penduduk terputus hubungan darat, makanan dikhuatiri habis

    Banjir: 2,000 penduduk terputus hubungan darat, makanan dikhuatiri habis

    LEBIH 2,000 penduduk dari 14 ladang dan enam perkampungan Orang Asli sekitar Kahang dekat Kluang terputus hubungan darat akibat banjir di Johor.

    Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan berusaha memberi bantuan makanan termasuk menggunakan helikopter ke kawasan terjejas jika keadaan memerlukan.

    “Ada satu berita tular satu ladang terputus hubungan (Ladang Selai) dan kita sahkan.

    “Ada 14 ladang di Kluang yang terputus hubungan menuju Kampung Peta yang terputus hubungan darat akibat banjir namun masih boleh berhubung melalui telefon.

    “Kenderaan tak boleh melaluinya kecuali menggunakan bot yang memakan masa dua jam dan ketua polis daerah dan Pejabat Daerah akan berusaha membawa bekalan ke sana.

    “Cuma sekarang keadaan hujan dan cuaca gelap, kita akan cari jalan terbaik untuk meminta bantuan helikopter sama ada pihak polis, ATM atau bomba sendiri untuk membawa bekalan ke sana,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Balai Polis Kahang di sini hari ini.

    Dalam pada itu katanya terdapat 12,400 pegawai dan anggota unit penyelamat pelbagai jabatan di negeri ini dengan 8,000 daripadanya diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menangani bencana di negeri ini.

    “Unit penyelamat itu merangkumi polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukam Gerakan Am (PGA) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya.

    “Sebanyak 200 kenderaan digunakan termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya untuk tugas menyelamat,” katanya.

    Beliau mengingatkan supaya orang ramai tidak cuba meredah banjir kerana arus deras dan membahayakan.

    “Apabila dilalui kenderaan akan hanyut dibawa arus sekali gus membahayakan nyawa,” katanya.

    Terdahulu media melaporkan kira-kira 300 pekerja Ladang Selai, Kahang merayu bantuan berikutan mereka terputus hubungan selepas laluan masuk ke kawasan itu dinaiki air setinggi lebih satu meter.

    Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata penduduk bimbang sekiranya hujan lebat berterusan, mereka akan kehabisan stok makanan yang dijangka bertahan dua hari lagi.