Category: Semasa

  • Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    JUMLAH mangsa banjir meningkat di Johor walaupun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan ditutup manakala Pahang dan Sabah menurun, petang ini.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS meningkat kepada 2,660 orang setakat jam 2 petang ini, berbanding 2,511 orang pada jam 8 pagi tadi.

    Menurut kenyataan itu hanya tinggal enam daerah yang terjejas banjir selepas satu-satunya PPS di Muar ditutup pada jam 1.15 tengah hari tadi dan dua PPS di Segamat juga ditutup, menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.

    Mersing masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 975 orang, diikuti Batu Pahat (736), Kluang (422), Kota Tinggi (420), Segamat (92) dan Tangkak (15).

    Sementara itu, Sungai Endau, Mersing masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.77 meter.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas hanya 200 orang daripada 63 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 314 orang daripada 96 keluarga, pagi tadi.

    Portal InfoBencana,Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan dua orang di Balai Raya Kampung Jawa.

    Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan dengan 1,637 orang daripada 642 keluarga di lapan PPS petang ini, berbanding 1,664 orang daripada 651 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan mangsa paling ramai di Pitas melibatkan 1,363 orang daripada 565 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan membabitkan 231 orang (66 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di sebuah PPS. 

    Kenyataan itu memaklumkan satu PPS iaitu Rumah Kampung Cocos di Paitan ditutup petang ini manakala jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka kekal, Paitan dijangka menurun, manakala di Lahad Datu dijangka meningkat hari ini. – BERNAMA

  • 15 peguam kendali kes petisyen pilihan raya Pas dan PN

    15 peguam kendali kes petisyen pilihan raya Pas dan PN

    LAJNAH Undang-undang dan Hak Asasi Pas Pusat (LUHAM) memohon ulama dan pendukung Pas bermunajat untuk kemenangan dan dipermudahkan pasukan peguam Pas dan Perikatan Nasional (PN) mengendalikan petisyen pilihan raya yang bermula esok.

    Menurut LUHAM yang dipetik Harakahdaily, perbicaraan bantahan awal bagi Parlimen Marang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu esok.

    Katanya, kes tersebut akan dikendalikan di hadapan hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

    Perbicaraan bantahan awal petisyen Parlimen Kuala Terengganu juga akan diadakan esok melalui zoom di hadapan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

    Perbicaraan bantahan awal Parlimen Kemaman turut diadakan esok melalui zoom di hadapan Hakim Datuk Mohammad Abazafree.

    Klarifikasi/keputusan bantahan awal petisyen Parlimen Masjid Tanah Melaka pula pada Selasa di Mahkamah Tinggi Melaka dikendalikan Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis.

    Perbicaraan bantahan awal petisyen Parlimen Gua Musang pada 8 Februari di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

    Pasukan peguam Pas dan PN terdiri daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdullah, Saifuddin Othman, Yusfarizal Yussoff, Mohd Faizi Che Abu.

    Mereka turut dibantu peguam Ahmad Lutfi Awang, Saifuddin Othman, Ahmad Nazrin Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak, Aznam Mohamed, Datuk Fariz Irwan Mustaffa, Abdul Aziz Hassan.

    Selain itu, Mohd Allauddin Mat Nor, Mohd Zabidi Yusof, Azrulrizal Ibrahim, Mohd Nasir Embong dan Yahaya Othman.

  • Tindakan UMNO dibimbangi jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

    Tindakan UMNO dibimbangi jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

    DAP bimbang tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, terutama ketika bakal berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy, ia diburukkan lagi dengan prestasi UMNO yang sudah lemah untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan kepemimpinan UMNO supaya segera memperkukuhkan kedudukannya, selain menjalankan pelan mitigasi bagi memastikan kesan tindakan terbaharu parti itu dapat diminimumkan.

    “UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.

    “Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan BERSATU, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO.

    “Ia terpulang kepada UMNO dan saya tidak mahu campur urusan kepemimpinan mereka. Namun, persoalannya, adakah ia (tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO) wajar dibuat sekarang?” katanya kepada Berita Harian.

    Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

    Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, tindakan UMNO itu juga dikhuatiri menjejaskan peratusan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.

    Beliau yang juga EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Pulau Pinang, mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap PH mencatatkan penurunan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN), selain menyifatkan ia boleh berubah mengikut sentimen politik semasa.

    Ditanya kewajaran UMNO bertindak demikian, Ramasamy berpendapat, kepemimpinan parti itu tidak mempunyai pilihan lain berikutan tindakan beberapa pemimpinnya yang dilihat seolah-olah cuba melakukan pemberontakan dalaman.

    Beliau bagaimanapun mempersoal kewajaran UMNO hanya menggantung keahlian Hishammuddin berikutan Ahli Parlimen Sembrong itu dikatakan antara individu yang menggerakkan Langkah Sheraton dan mengumpul sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRU15.

    “Khairy hanya mencabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menyatakan pelbagai perkara lain, termasuk menggunakan undi hantu dan saya pun kurang pasti akan kesahihan dakwaannya itu.

    “Namun, kesalahan Hishammuddin lebih besar berbanding Khairy sebab dia antara orang di belakang Langkah Sheraton, selain menyokong Muhyiddin. Dia orang PN dalam UMNO,” katanya.

  • Armizan tak sertai Gagasan Rakyat, kekal ahli langsung GRS

    Armizan tak sertai Gagasan Rakyat, kekal ahli langsung GRS

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan tidak menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Ahli Parlimen Papar itu sebaliknya kekal sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Kami (empat Ahli Parlimen) tidak menyertai parti itu (Gagasan Rakyat) kerana undang-undang tidak membenarkan (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663)).

    “Kami akan kekal sebagai ahli langsung GRS sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain Armizan, tiga lagi Ahli Dewan Rakyat yang kekal sebagai ahli langsung GRS ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang); Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau).

    Ditanya mengenai tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membawa keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ke mahkamah, Armizan menyerahkan kepada institusi kehakiman itu untuk memutuskannya.

    “Itu hak mereka. Walaupun Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan sebab dalam Perlembagaan Persekutuan itu jelas bahawa hak dan keputusan itu (terletak) kepada Speaker,” katanya.

    Terdahulu Bersatu telah menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat bertarikh 16 Januari 2023 berhubung notis kekosongan kerusi empat Ahli Dewan Rakyat di Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam Bersatu.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Alasan yang diberikan ialah empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf.

    Justeru beliau akan merujuk keputusan berkenaan di mahkamah.

  • Bertengkar sebelum pemandu e-hailing dibunuh di ladang sawit

    Bertengkar sebelum pemandu e-hailing dibunuh di ladang sawit

    TIDAK berpuas hati akibat pertengkaran di sebuah pusat hiburan dipercayai punca pembunuhan seorang pemandu e-hailing yang dikaitkan dengan penahanan lapan pegawai dan anggota polis di Tawau, Sabah, kelmarin.

    Harian Metro memetik sumber berkata, salah seorang suspek wanita sebelum itu terbabit dalam pertengkaran bersama mangsa, lelaki bergelar Datuk dan beberapa individu lain di sebuah pub pada awal Januari lalu.

    “Punca pertengkaran dipercayai akibat mangsa tidak berpuas hati dengan pegawai kanan itu menjalin hubungan dengan wanita berkenaan yang masih isterinya ketika itu.

    “Mangsa dipercayai ditikam di kawasan ladang sawit sebelum mayatnya ditinggalkan pada 13 Januari lalu.

    “Suspek wanita itu mengaku membuat perancangan bersama beberapa individu lain untuk membunuh mangsa,” katanya.

    Sebelum ini, empat anggota dan empat pegawai kanan polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dipetik berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan kes terbabit.

    Menurutnya, pihaknya menyifatkan terlalu awal untuk sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan.

    “Kes ini lebih bersifat peribadi. Setakat ini, kes masih di peringkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan,” katanya.

    Terdahulu, pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki berusia 61 tahun ditemui dalam kawasan semak di Tawau, dipercayai mangsa bunuh.

    Turut ditemui bersebelahan dengan mayat mangsa, kereta Perodua Myvi putih.

  • Padah pukul isteri dengan topi keledar, lelaki ditahan polis

    Padah pukul isteri dengan topi keledar, lelaki ditahan polis

    LELAKI yang dirakam memukul wanita dengan topi keledar di hadapan sebuah kedai makan pada Khamis lalu sehingga tular ditahan di sebuah rumah di RKT Kesedar Paloh 2, di Gua Musang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan pukul 2.30 petang semalam.

    Menurutnya, suspek yang berkerja sendiri mengaku memukul wanita terbabit yang juga isterinya kerana berlaku perselisihan faham.

    “Hasil pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methaphetamine.

    “Siasatan mendapati wanita berusia 35 tahun itu adalah isteri kepada suspek.

    “Suspek mendakwa, berlaku perselisihan faham kerana tidak membenarkan isterinya bekerja dan menyuruh mangsa menjaga ibunya yang sedang sakit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, polis turut merampas topi keledar berwarna merah yang digunakan untuk memukul wanita berkenaan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian.

    Semalam, media melaporkan polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan video tular seorang lelaki memukul wanita yang dipercayai berlaku di Paloh 2 dan sedang menyiasat kejadian yang berlaku.

    Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit kerana garang dan ‘naik tangan’ serta turut mengecam individu yang merakam kejadian itu kerana tidak menolong wanita berkenaan.

  • Nad, Ungku Ismail sah suami isteri

    Nad, Ungku Ismail sah suami isteri

    PASANGAN selebriti popular, Ungku Ismail Aziz dan Nad Zainal sah bergelar suami isteri pada 23 Januari lalu.

    Nad menerusi hantaran dalam Instagram (IG) mengesahkan dia kini bergelar isteri apabila memuat naik naik gambar bersama Ungku Ismail ketika majlis pernikahan berserta bukti mas kahwin berjumlah RM1,000.

    “Alhamdulillah,” tulis Nad ringkas.

    Nad menyertakan tiga keping gambar termasuk gambar hantaran mas kahwin berbentuk emas RM1,000 yang ditulis atas namanya dan Ungku Ismail serta tarikh pernikahan pada 23 Januari lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, rata-rata rakan selebriti menitipkan ucapan tahniah atas perkahwinan itu.

    “Alhamdulillah tahniah Nanad,” tulis pelakon dan pengacara Elly Mazlein.

    “Selamat berbahagia di dunia akhirat. Amin,” tulis pelakon Nur Fazura.

    “Congratulations (tahniah), sampai syurga korang (kalian),” tulis pelakon dan pengacara Janna Nick.

    Selain itu, pengesahan turut dibuat oleh pengusaha syarikat busana pengantin yang juga rakan baik Nad menerusi hantaran dalam Instagram (IG), sebentar tadi.

    Bagaimanapun, perincian mengenai majlis perkahwinan seperti tarikh dan tempat tidak dinyatakan.

    “Diberi kepercayaan dan menyimpan rahsia terbesar adalah penghormatan atas tujuh tahun kami bersahabat.

    “Beliau (Nad) mengetuk pintu kami untuk menyerahkan kepercayaan menyiapkan busana pernikahan dia dan bakal suaminya.

    “Antara rahsia yang kami simpan dengan penuh rasa hormat.

    “Pada hari ini, kami berdua dengan penuh bangga hati mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu Nad dan Ungku Ismail.

    “Semoga mahligai perkahwinan dibina berbahagia dan berkekalan hingga ke jannah,” tulisnya.

    Terdahulu, Nad dan Ungku Ismail memberi bayangan sudah berkahwin apabila memuat naik hantaran video berpimpin tangan berjalan di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan dalam IG, pagi ini.

    Menguatkan dakwaan kemungkinan mereka disatukan sebagai suami isteri pada tarikh dipaparkan iaitu 23 Januari lalu sempena 1 Rejab itu apabila rakan selebriti mengucapkan tahniah serta mendoakan kesejahteraan mereka.

    Bagaimanapun, cubaan BH Online mendapatkan pengesahan Ungku Ismail dan Nad tidak berjaya apabila panggilan serta mesej tidak dijawab.

  • Pendakwa Raya kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

    Pendakwa Raya kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

    TIMBALAN Pendakwa Raya Kanan yang juga peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun.

    Berita kematian bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam kepada Bernama.

    “Ya, benar. Beliau disahkan meninggal dunia pada 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di sini,” katanya ketika dihubungi.

    Sri Ram dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini, minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.

    Sri Ram merupakan pendakwa raya utama dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau juga merupakan pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram. – BERNAMA

  • Krisis UMNO akan jejas kerajaan perpaduan menjelang PRN – Penganalisis

    Krisis UMNO akan jejas kerajaan perpaduan menjelang PRN – Penganalisis

    PENGANALISIS meramalkan krisis UMNO akan menjejaskan prestasi kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya negeri.

    Ia susulan pemecatan beberapa pemimpin UMNO, termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, kelmarin.

    Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.

    Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula digantung enam tahun, selepas didakwa menjadi “watak utama” membawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15.

    Tindakan itu dilakukan memandangkan tiada satu gabungan pun berjaya mendapatkan majoriti membentuk kerajaan.

    Menurut Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia (USM), kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim akhirnya akan menanggung kesan melibatkan sebarang pertelingkahan dalaman UMNO.

    “Krisis melanda menjadi peluang kepada orang lain. Banyak perkara mungkin menjejaskan kerajaan sekiranya Anwar tidak mempedulikan apa yang berlaku dalam Umno.

    “Lebih-lebih lagi, jika beliau berterusan bergantung kepada Zahid (Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) demi mendapatkan sokongan bagi kerajaan perpaduan. Kini situasi kerap berubah dan berkembang pantas,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    James Chin dari University of Tasmania, berkata “sokongan sebenar” kepada kerajaan boleh diukur pada pilihan raya negeri di enam negeri yang mesti diadakan tahun ini.

    “Bulan madu sudah berakhir,” katanya kepada FMT. “Jika PH atau Anwar tidak bertindak cepat, akan berlaku masalah pada pilihan raya negeri yang menjadi pengukur sebenar sokongan.”

    Beliau menjangkakan Pulau Pinang dan Selangor kekal dikuasai PH, manakala Kelantan dan Terengganu diperintah PAS. Dua lagi negeri – Negeri Sembilan dan Kedah – boleh berpihak kepada mana-mana parti, selain menyifatkan negeri itu sebagai “swing states”.

    Chin berkata, dakwaan dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung kerajaan stabil tidak benar, sambil menyatakan “semuanya bergantung pada pilihan raya negeri”.

    Bagi Ooi Kee Beng dari Penang Institute, Anwar perlu lebih inovatif demi “keselesaan mentadbir” pada tahun mendatang.

    “Beliau sepatutnya tidak terlalu memikirkan pilihan raya negeri memandangkan beliau perlu menunjukkan kepimpinan bertauladan sebagai negarawan, berbanding menjadi pemimpin gabungan.

    “Perlu diakui ini perkara sukar, namun gerakan reformasi bukan semudah disangka. Menggunakan kuasa demi kebaikan merupakan seni seorang negarawan,” katanya.

    Azeem juga berkata, nasihat bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam, kepada Rafizi supaya bekerja keras adalah tepat sambil menyatakan menteri baharu itu perlu segera menangani isu nasional tanpa mengambil masa yang lama.

    Sebelum ini, Rafizi pada majlis perbincangan panel di Parlimen, berkata negara memerlukan dua ke tiga tahun lagi untuk kembali pulih, bagaimanapun Musa memberitahunya, kesabaran pengundi ada hadnya dengan memberikan tempoh tiga ke enam bulan bagi kerajaan melakukan reformasi.

    Azeem berkata, Rafizi juga perlu berwaspada mengenai maklumat dari birokrat yang berkemungkinan tidak tepat.

    “Saya bersetuju dengan Musa, anda tidak memerlukan tempoh panjang bagi penyesuaian. Terus mula bekerja keras. Tidak perlu beri alasan dan menyerang pentadbiran terdahulu.

    “Tidak wujud pun tempoh berbulan madu apabila kerja anda adalah mentadbir. Anda ada lima tahun, anda bergerak dalam tempoh itu. Kami semua tahu dasar mengambil masa untuk direalisasikan,” katanya.

  • PRN: Pas jumpa pimpinan negeri PH bincang tarikh

    PRN: Pas jumpa pimpinan negeri PH bincang tarikh

    PAS akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) pada masa sesuai bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri (PRN).

    Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan menghubungi pimpinan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam waktu terdekat untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan.

    “Apabila saya berada di Kuala Lumpur, saya boleh telefon atau WhatsApp mana-mana Yang Amat Berhormat (ketua menteri dan menteri besar) dan kita berjumpa, begitu sahaja tapi itu yang secara tidak rasmi,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan ‘Flag Off’ Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong di Setiu, semalam.

    Ditanya sama ada Pas sudah menetapkan tarikh PRN, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia tidak diputuskan sehingga perbincangan dilakukan bersama pimpinan negeri yang lain.

    “Tunggu kita berjumpa dahulu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

    Abdul Hadi turut menyerahkan kepada PH untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serentak dengan tiga negeri pentadbiran PAS atau sebaliknya.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilaporkan berkata, adalah lebih baik enam negeri yang belum membubarkan DUN mengadakan PRN secara serentak iaitu selepas habis penggal tahun hadapan.

    Jelasnya, pembubaran DUN secara serentak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan adalah wajar bagi memudahkan pengundi mendapatkan cuti selain memastikan kos mengadakan PRN di semua negeri itu tidak terlalu tinggi.

    PH kini mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah dipimpin PN.