Category: Semasa

  • Ibu tunggal menangis, sujud syukur, terlepas hukuman gantung

    Ibu tunggal menangis, sujud syukur, terlepas hukuman gantung

    SEORANG ibu tunggal menangis dan melakukan sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya atas dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6 kilogram.

    Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, yang juga ibu kepada empat orang anak.

    “… selepas meneliti dan mengambil kira laporan forensik dan analisis DNA pada sikat dan tuala mendapati bukan saja DNA tertuduh dan orang kena tuduh dua tetapi terdapat orang lain yang tidak dikenali.

    “Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di apartmen tersebut adalah bersambung dengan bilik yang dijumpai dadah tersebut. Didapati juga beberapa orang dan set kunci dijumpai yang mempunyai akses ke bilik utama tersebut, ” kata Anselim.

    Mahkamah turut membebaskan wanita itu daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun.

    Bagaimanapun mahkamah mendapati Huda Humairah bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah seberat 20.25 gram dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2018.

    Penjual buah itu didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di kawasan meletak kenderaan dan di sebuah unit apartmen di Pinggiran Bunga Raya di sini.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12 (2) ADB dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Perbicaraan bermula pada 15 Sept 2020 dengan 19 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilarif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping. – BERNAMA

  • Isu peneroka haram Musang King: PN gesa Kerajaan Pahang tidak tunduk desakan

    Isu peneroka haram Musang King: PN gesa Kerajaan Pahang tidak tunduk desakan

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang menggesa kerajaan negeri tidak tunduk dengan tuntutan mana-mana pihak termasuk daripada rakan dalam Kerajaan Perpaduan berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun Musang King di Raub.

    Menurut Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar, PN Pahang mengikuti perkembangan isu berkenaan dan mahu kerajaan negeri bertegas mengenai perkara itu.

    “Baru-baru ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui secara terbuka menuntut supaya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat semula terma pajakan tanah (land leasing) ladang durian yang dianugerahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri.

    “Satu pertemuan dilaporkan akan diadakan antara Menteri Besar dan pekebun terbabit,” katanya dalam sidang media di Pejabat PN Pahang, di Kuantan, hari ini.

    Rosli berkata, perkara ini dibangkitkan semula selepas pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan Campuran Pahang sekali gus menunjukkan ada usaha pihak tertentu untuk meraih kepentingan dalam kerajaan hari ini.

    “Oleh itu, kita menggesa supaya kerajaan negeri tidak tunduk kepada desakan tersebut berikutan Mahkamah Tinggi Kuantan sudah menolak permohonan 204 pekebun untuk menetepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri, tiga tahun lalu.

    “Berdasarkan rekod, terdapat 4,400 hektar tanah yang diusahakan sebagai ladang durian di Raub adalah berstatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

    “Hal ini sudah tentu mendatangkan impak kerugian hasil tanah bernilai puluhan juta ringgit kepada negeri ini, justeru, PN Pahang menyokong supaya hasil ekonomi daripada industri durian dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri,” katanya, lapor Berita Harian.

    Rosli juga berkata, kerajaan negeri tidak perlu takut dengan gesaan dan ugutan pihak tertentu walaupun rakan dalam Kerajaan Perpaduan kerana isu pencerobohan tanah adalah tindakan yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.

    “Penceroboh perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya seperti mana yang dikenakan kepada pihak lain yang melakukan kesalahan sama.

    “Penyelesaian yang adil hendaklah diusahakan oleh kerajaan negeri dalam menangani semuaisu pencerobohan tanah mengikut lunas dan batas undang-undang.

    “Isu ini akan menjadi antara isu yang akan dibangkitkan PN dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung Mac ini,” katanya.

  • Lantik anak sebagai penasihat: MP PKR gesa Anwar perbetulkan kesilapan

    Lantik anak sebagai penasihat: MP PKR gesa Anwar perbetulkan kesilapan

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbetulkan kesilapan dalam isu lantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

    Menurutnya, dalam situasi ini Anwar tidak perlu memohon maaf, sebaliknya mempertimbangkan semula keputusan itu supaya tidak berpanjangan.

    “Ada peribahasa Melayu mengatakan ‘sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan’ (jika sudah mengetahui akan kesalahan yang telah dilakukan hendaklah kembali ke jalan yang sebenar), kalau tak nanti benda ini meleret-leret,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, pelantikan anak sendiri di bawah Kementerian Kewangan diterajui Anwar adalah bercanggah dengan prinsip reformasi dan membanteras amalan nepotisme yang diperjuangkan beliau selama ini.

    Katanya, isu berkenaan juga akan terus menjadi liabiliti kepada Anwar, jika tidak diperbetulkan malah akan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri.

    “Pembabitan Nurul Izzah dikhuatiri akan membabitkan campur tangan, sedangkan dalam Kementerian Kewangan sudah mempunyai pakar-pakar dan profesional sendiri yang menerima gaji.

    “Walaupun tanpa gaji penasihat dalam soal kewangan ertinya nanti Jabatan Perbendaharaan Kementerian Kewangan akan tunduk kepada Izzah.

    “Izzah boleh diberikan tempat dalam kerajaan seperti di bawah Kementerian Ekonomi bersama Rafizi Ramli,” katanya.

    Kata veteran PKR itu, jika mahukan pentadbiran yang telus dan bebas daripada kronisme atau nepotisme, Anwar tidak boleh melantik anak sendiri sebagai penasihat bagi mengelak wujudnya konflik berkepentingan.

    “Saya menghormati Anwar dan sahabat saya Izzah, beliau seorang pemimpin yang pengalaman tiga penggal sebagai ahli Parlimen dan saya anggap dia sebagai ‘future leader’ (pemimpin masa depan) tetapi amat malang berada dalam kontroversi ini,” katanya.

    Nurul Izzah menjadi perhatian selepas memberitahu media bahawa Anwar melantiknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi sejak 3 Januari lalu.

    Bagaimanapun beberapa pihak termasuk daripada Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu bentuk amalan nepotisme yang tidak sihat.

    Anwar juga sebelum ini mempertahankan pelantikan Izzah itu dibuat berdasarkan kelayakannya.

    Katanya, Izzah mempunyai ijazah kejuruteraan dan bidang dasar awam dari Universiti Johns Hopkins di AS.

    Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti-rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan langkah Anwar melantik Izzah boleh dilihat sebagai kembalinya amalan kronisme dan nepotisme di negara ini.

    “Pada pandangan kami, ia memberi isyarat yang salah dan saya khuatir jika tidak diperbetulkan, ia akan diambil kira dalam persepsi umum di negara ini.

    “Persepsi hari ini ialah kronisme telah kembali dan nepotisme telah menyelinap masuk, dan ini tidak baik,” kata Presidennya Muhammad Mohan.

  • Kanak-kanak jatuh longkang, dihanyut arus deras ke kolam takungan air

    Kanak-kanak jatuh longkang, dihanyut arus deras ke kolam takungan air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun berdepan detik cemas apabila dia terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ke kolam takungan air di Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah, petang tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.07 petang.

    “Difahamkan kanak-kanak itu hanyut dalam longkang dan dibawa arus ke kolam takungan air ketika hujan lebat. Pihak kami kemudiannya terus melakukan kerja-kerja pencarian.

    Bomba berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat di tebing kolam takungan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Hasilnya, kami berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat kira-kira pukul 5.37 petang di tebing kolam takungan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke tempat selamat dan diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

    Tambahnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.02 petang,” katanya.

  • Kerajaan guna SPRM sebagai alat politik – Hamzah

    Kerajaan guna SPRM sebagai alat politik – Hamzah

    KERAJAAN didakwa menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas akaun parti itu dibekukan.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau kecewa dengan tindakan kerajaan itu dan mendakwa ia bertujuan membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, Bersatu juga mengarahkan pemimpin dan pegawai parti itu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

    “Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan beliau itu merujuk kepada laporan berita mengenai pembekuan akaun bank bersatu oleh pihak SPRM.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada parti berkenaan.

    Pada masa sama katanya, Bersatu juga yakin rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

    “Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

    “Semua ahli-ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus
    beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Bersatu.

    Beliau berkata, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

    Menurutnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

    Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

  • Lelaki OKU ditemui lemas di Sungai Melaka

    Lelaki OKU ditemui lemas di Sungai Melaka

    SATU mayat lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di Sungai Melaka, berdekatan Kampung Morten, di Melaka pukul 11.25 pagi tadi.

    Mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemui terapung oleh seorang wanita yang juga pemandu bot pelancong.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sejurus menerima maklumat daripada orang awam sepasukan polis kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati mayat lelaki terbabit berada dalam keadaan terapung dan terlangkup.

    “Ketika ditemui mayat lelaki terbabit masih lengkap berbaju dan berseluar serta masih berselipar.

    “Pemeriksaan keatas tubuh badan lelaki terbabit juga mendapati tiada kesan perbuatan jenayah yang kelihatan selain dipercayai baru meninggal,” katanya.

    Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi, pekerja pembersihan ada melihat si mati berjalan berseorangan di kaki lima sungai dan tidak mengesyaki apa-apa.

    “Tidak lama selepas itu, pada jam 11.25 pagi, pemandu bot memaklumkan menjumpai satu mayat lelaki terapung di dalam sungai,” katanya.

    Christopher berkata, bapa lelaki terbabit yang membuatkan pengecaman memaklumkan anaknya adalah pemegang kad OKU masalah mental dan baru semalam keluar dari Hospital Melaka selepas menerima rawatan.

    “Turut dimaklumkan pagi sebelum kejadian, si mati berada di gerai milik bapanya sebelum keluar bersiar-siar malah jarak mayatnya ditemui dengan restoran bapanya hanya 100 meter,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tambahnya, mayat berkenaan sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

  • Menyamar polis samun, cabul isteri mangsa

    Menyamar polis samun, cabul isteri mangsa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 30-an ditahan atas tindakannya menyamar sebagai polis, untuk menyamun seorang lelaki sebelum bertindak lebih melampau dengan mencabul isteri mangsanya itu di Pendang, Kedah pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian itu bermula kira-kira pukul 12.30 malam apabila suspek yang menunggang motosikal, menghampiri mangsanya yang sedang membantu seorang rakan membaiki kereta di tepi jalan.

    Katanya, suspek lalu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta Mykad kedua-dua lelaki berkenaan kononnya untuk diperiksa.

    “Selepas melakukan ‘pemeriksaan’ terhadap Mykad mangsa, suspek secara tiba-tiba merampas telefon bimbit milik mangsa.

    “Dia kemudiannya sempat berpesan kepada lelaki tersebut supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang jika mahu menuntut kembali telefon bimbit tersebut sebelum beredar,” katanya.

    Tambahnya, suspek lalu membuat panggilan telefon kepada isteri mangsa dan membuat penipuan kononnya suami wanita itu ditahan polis.

    Suspek lalu mendakwa dia boleh membantu melepaskan suami wanita tersebut namun kedua-dua mereka perlu berjumpa untuk berbincang terlebih dulu di sebuah kawasan perumahan.

    “Bimbang dengan nasib suaminya, wanita tersebut menuruti kehendak suspek dengan memandu ke lokasi ditetapkan.

    “Sebaik wanita itu tiba, suspek terus masuk ke dalam kereta lalu memujuk untuk melakukan hubungan seks. Wanita berkenaan menolak permintaan tersebut menyebabkan suspek berang dan mencabulnya,” katanya.

    Arriz Sham berkata, selepas itu wanita berkenaan kembali ke rumahnya dan bertemu dengan suaminya yang turut pulang ke kediaman mereka.

    “Hanya pada ketika itulah mereka sedar telah diperdaya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

    Susulan itu katanya, pihak polis telah menahan suspek di depan sebuah premis di Taman Sri Pendang kira-kira pukul 3.30 petang, hari sama.

    “Sebuah beg dan kotak hitam berisi kondom, syabu dan telefon bimbit dirampas.

    “Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula kelmarin. Siasatan kini masih berjalan mengikut Seksyen 355, 392 dan 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kes rasuah Zahid: Saya tak mahu dahului mahkamah, kata Anwar

    Kes rasuah Zahid: Saya tak mahu dahului mahkamah, kata Anwar

    KERJASAMA politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus menjadi tumpuan dalam wawancara media.

    Terbaharu, Bloomberg dalam satu temu bual yang dipetik Malaysiakini menyoal pengerusi Pakatan Harapan itu mengenai perkara berkenaan.

    Merujuk kepada gesaan tegas menentang rasuah, perdana menteri ditanya bagaimana beliau mempunyai timbalan perdana menteri yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah.

    Anwar, yang kuasanya bergantung kepada sokongan Zahid dan sekutunya berkata, bahawa beliau tidak mahu terburu-buru mendahului mahkamah berhubung kes presiden UMNO itu.

    “Beliau (Zahid) telah disiasat dan didakwa – sedang menjalani perbicaraan dan mahkamah harus membuat keputusan secara bebas. Saya menyatakan dengan sangat jelas bahawa mahkamah adalah bebas dan saya tidak fikir saya harus menghakimi terlebih dulu (daripada mahkamah).

    “Tetapi ia tidak sepatutnya hanya bersifat politik semata-mata. Mengapa merujuk kepadanya (Zahid) secara peribadi sedangkan saya telah mengatakan bahawa sistem itu yang korup?

    “Terdapat begitu ramai pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan jawatan mereka; bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, mencecah ratusan dan jutaan dolar,” katanya.

    Ditekan lebih lanjut, Anwar menjawab: “Saya bukan di sini untuk membincangkan kesnya. Saya di sini untuk mencadangkan bahawa proses mahkamah mesti bebas dan dia mesti diberi peluang – keadilan untuk diadili oleh mahkamah yang bebas dan tidak berat sebelah.”

    Mengenai apa yang akan berlaku jika Zahid disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, Anwar memilih untuk bercakap tentang bagaimana keadaan telah berubah.

    “Mari kita bergerak ke hadapan. Kita perlu bekerja dari hari pertama, untuk memastikan sistem yang kita ada mempunyai tadbir urus yang baik, dan sistem itu bebas daripada pemimpin yang korup. Dan saya fikir untuk bersikap adil, mereka telah mematuhi peraturan ini sekarang.

    “Tiada satu kesan yang saya dapati daripada mana-mana pasukan saya kini cuba membazir melalui kontrak atau projek dan saya puas hati dengan itu. Orang harus menilai saya bermula dua bulan lalu,” tambahnya.

    Belajar selama bertahun-tahun

    Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 lagi, terdapat dakwaan mengenai pakatan antara Anwar dan Zahid dengan pesaing politik mendakwa ia akan berakhir dengan pembebasan Zahid.

    Mengenai perasaan menjadi perdana menteri selepas lebih dua dekad dalam politik, Anwar berkata: “Menunggu di koridor kuasa sudah tentu satu pengalaman kerana anda memerhatikan pemain-pemainnya.

    “Ia seperti King Lear dengan Cordelia melihat ke pentas dan anda belajar daripada kekuatan dan kelemahan musuh anda, dan mudah-mudahan apabila anda berada di pejabat, anda cuba dan bertambah baik, dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat,” tambah Anwar, merujuk kepada karya penulis Inggeris, William Shakespeare.

  • KDN rampas al-Quran, bahan cetak bernilai RM100,000

    KDN rampas al-Quran, bahan cetak bernilai RM100,000

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskhah al-Quran dan 2,060 bahan bacaan bercetak mengandungi ayat daripada kitab suci itu bernilai RM100,000 dalam Ops Mulia di Bukit Mertajam, bulan lepas.

    Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata kesemua al-Quran dan bahan bacaan itu dirampas kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Al-Quran (LPPPQ) KDN.

    “Pihak kami telah menjalankan risikan sejak Oktober lepas sebelum menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Alma, Bukit Mertajam, 9 Jan lepas dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai penjual al-Quran serta bahan cetak tersebut.

    “Hasil siasatan dijalankan, kami mendapati rumah itu disewa sejak tahun lepas dan kesemua naskhah serta bahan bacaan al-Quran itu diedar serta dijual oleh lelaki tersebut sebagai sumber pendapatan utama,” katanya pada sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

    Katanya pemeriksaan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

    Nik Yusaimi berkata kesemua naskhah al-Quran dan bahan bacaan itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual menerusi platform dalam talian, kedai-kedai buku, diinfak dan diedarkan di seluruh negara.

    Katanya al-Quran yang dirampas itu turut dibimbangi mengandungi kesalahan yang boleh menyebabkan kesilapan bacaan dan maksud yang tidak tepat.

    “Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi, Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi,” katanya dan kes itu disiasat di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

    Beliau berkata setakat ini, terdapat 912 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia iaitu penerbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN. 

    Mengulas mengenai Ops Mulia yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor awal tahun ini, Nik Yusaimi berkata pihaknya merampas naskhah dan bahan bacaan al-Quran bernilai keseluruhan RM160,000.

  • Pemimpin NGO, aktivis PKR kunci mulut isu lantikan Nurul Izzah

    Pemimpin NGO, aktivis PKR kunci mulut isu lantikan Nurul Izzah

    PELANTIKAN Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri menyaksikan segelintir aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) yang memperjuangkan isu ‘integriti’ selama ini mengunci mulut.

    Usaha MalaysiaNow mendapatkan pandangan daripada beberapa individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu integriti seperti Maria Chin Abdullah dan Ambiga Sreenevasan tidak mendatangkan hasil.

    Ketika dihubungi, Maria Chin yang juga ahli PKR dan bekas ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, beliau enggan mengulas memandangkan sudah ramai memberikan pandangan berhubung lantikan tersebut.

    “Ramai sudah berkata, jadi cukuplah. Nanti jadi kontroversi,” katanya ringkas.

    Terdahulu, pelantikan anak sulung Perdana Menteri itu sebelum ini dikritik ramai apabila keputusan tersebut dianggap sebagai amalan nepotisme dan kronisme, dua perkara yang paling ditentang Anwar Ibrahim setelah sekian lama ketika berada di pihak pembangkang.

    Meskipun Anwar menolak dakwaan itu dan menegaskan lantikan terbabit adalah lebih bersifat ‘sukarela’ dan pro bono, orang ramai tetap mempersoalkan keputusan tersebut dan menyarankan supaya ahli Parlimen Tambun itu menilai semula keputusan tersebut.

    Sementara itu, Ambiga yang merupakan bekas pengerusi Bersih pula tidak dapat dihubungi. 

    Pada masa sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mentafsirkan bahawa lantikan Nurul Izzah memegang jawatan itu adalah sesuatu yang luar biasa memandangkan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

    Katanya, tindakan ini berpotensi dijadikan sebagai penanda aras kepada pemimpin politik lain untuk melantik ahli keluarga memegang jawatan penting dalam kerajaan pada masa hadapan.

    “Amalan ini tidak pernah dilakukan selama ini, ia nampak luar biasa,” kata Sanusi dalam laporan Berita Harian.

    “Kalau dia (Nurul Izzah) tak ambil gaji, perjawatan dia macam khidmat sosial pula, lebih baik dia pergi buat kerja badan bukan kerajaan (NGO) sebab kerja NGO tak dapat bayaran.

    “Tetapi dia kerja untuk menasihati polisi kerajaan, jaga perolehan, mahu memastikan tender diurus dengan betul. Itu kerja pegawai kerajaan.”

    Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik memegang jawatan itu berkuat kuasa 3 Januari lalu sebelum Anwar memaklumkan bahawa anaknya itu tidak menerima sebarang bayaran gaji atau elaun.

    Menurut Anwar, antara tanggungjawab Nurul Izzah ialah memastikan ketelusan dalam pentadbiran serta memantau urusan perolehan tender supaya lebih teratur.

    Sementara itu, mengulas dari sudut positif, penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berpandangan lantikan ini akan meletakkan Nurul Izzah di bawah tekanan yang berterusan apabila gerak-gerinya akan terus diperhatikan semua pihak.

    Katanya, ini akan mendorong bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk terus berhati-hati dan memastikan sebarang keputusan tidak akan bercanggah dengan soal integriti dan meragukan.

    “Dari perspektif alternatif, beliau (Nurul Izzah) akan terus diperhatikan kerana beliau dikaitkan sebagai anak perempuan kepada Perdana Menteri.

    “Ini boleh mendorong kepada aspek positif bahawa beliau akan terus berada di bawah tekanan untuk melaksanakan terbaik.

    “Dari perspektif ini, nepotisme menjadi persoalan kedua manakala keberkesanan pelaksanaan dan mengadaptasi penyelesaian terbaik akan menjadi perhatian utama,” kata beliau, lapor MalaysiaNow.