Oleh RIZQI ZABIDI
SEBANYAK 18 premis menjual makanan diarahkan untuk ditutup sementara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah berikutan kegagalan pemiliknya memastikan kebersihan premis berada di tahap baik seperti ditetapkan peraturan, semalam.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, arahan penutupan sementara itu dibuat bagi membolehkan pemilik perniagaan melakukan penambah baikan dari pelbagai aspek ditetapkan.
Selain arahan penutupan katanya, sebanyak 135 notis di bawah Peraturan-Peratuan Kebersihan Makanan berjumlah RM39,450 dikeluarkan.
“Kesemua premis terbabit merupakan antara 230 premis di Sik, Baling, Pokok Sena dan Alor Setar yang diperiksa dalam operasi bersepadu JKN bersama pelbagai pihak.
“Selain itu, pihak kami turut mengeluarkan 10 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan nilai keseluruhan RM2,750 antaranya kerana merokok di kedai makan dan pusat membeli-belah.
“Dalam masa sama, sebanyak 10 premis turut dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan nilai keseluruhan RM5,000, setelah pihak kami mengesan pembiakan serangga tersebut di kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas turut bersama pegawai-pegawainya melaksanakan operasi tersebut di sekitar Alor Setar, malam tadi.
Operasi tersebut disertai 118 individu bermula dari pagi hingga ke malam, terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau memaklumkan, antara kesalahan yang sering dilakukan di premis menjual makanan adalah penyimpanan makanan yang telah dimasak dan bahan mentah di tempat sama terutamanya dalam peti sejuk.
“Selain itu ada antara premis terbabit kurang menitik beratkan aspek pembersihan antaranya lantai, dapur dan penyedut asap dapur yang kotor hingga berkeladak. Semua itu dikhuatiri mengundang kehadiran lalat, tikus dan lipas.
“Terdapat juga dalam kalangan premis tersebut yang mencampur adukkan susunan rencah dalam keadaan tidak teratur, tidak bersih dan berkulat. Semua itu boleh menjejaskan kesihatan pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, antara alasan diberikan peniaga-peniaga terbabit adalah mereka baru saja mengambil alih premis tersebut dan masih tidak sempat untuk membuat penambah baikan.
“Itu antara alasan paling popular digunakan dalam operasi kali ini dan bagi mereka yang baru memulakan perniagaan, perlu ada kesedaran terhadap peri pentingnya menjaga kebersihan serta keselamatan premis makanan,” katanya.