Category: Semasa

  • Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

    Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

    SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim mengisytiharkan kerusi bagi kawasan DUN Batang Kali kosong.

    Suee Lim memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

    “Berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan, ADUN itu tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022; 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

    “Tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan pejabat Speaker yang menunjukkan Harumaini memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan pada tarikh berkenaan,” katanya kepada pemberita di Bangunan DUN Selangor hari ini.

    Hadir sama, semasa sidang media pengumuman tersebut ialah Timbalan Speaker DUN Selangor, Hasnul Baharuddin.

    Beliau menambah, penyata rasmi dan buku kehadiran menunjukkan kali terakhir Harumaini hadir ke persidangan DUN Selangor ialah pada 27 Julai 2022.

    “Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai 2022, maka seperti yang diperuntukkan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali telah melebihi enam bulan.

    “Maka pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa mulai 28 Jan 2023,” katanya.

    Sebagai rekod, Harumaini merupakan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di Batang Kali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,315.

  • Pengusaha kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

    Pengusaha kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

    SEORANG pengusaha kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan mesin dobi dan wang tunai berjumlah lebih RM3.2 juta, empat tahun lepas.

    Terrence Conrad Fernandez, 43, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tidak menghantar sejumlah mesin dobi bernilai lebih RM3.2 juta, milik sebuah syarikat ke sebuah premis yang disewa di Pulau Pinang seperti diamanahkan.

    Bapa kepada dua anak itu sebaliknya meletakkan kesemua mesin dobi tersebut di sebuah premis yang disewa syarikatnya di Kuantan, Pahang.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Krubong, Melaka pada Januari 2019.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak membayar wang sewaan milik sebuah syarikat sebanyak RM24,000 kepada premis yang disewa di Pulau Pinang bagi tujuan meletakkan sejumlah mesin dobi berkenaan, sebaliknya memasukkan duit sewaan itu ke dalam akaun miliknya untuk membayar sewa premis di Kuantan.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit di Blok A, Kelana Centrepoint,  Petaling Jaya, Selangor pada 31 Jan  2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Abuar Sharuddin manakala tertuduh diwakili peguam James S. Thanjong Tuan.

    Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan Terrence diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Median simpanan ahli merosot punca kerajaan tidak benar pengeluaran KWSP

    Median simpanan ahli merosot punca kerajaan tidak benar pengeluaran KWSP

    MEDIAN simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi semua kaum turun 50 peratus kepada RM8,100 pada 2022 daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik Covid-19, menurut Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

    Beliau berkata, ketika Covid-19, seramai 8.1 juta ahli mengeluarkan RM145 bilion untuk kesemua empat jenis pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas daripada April hingga Mei 2022.

    “Median simpanan kaum Melayu yang terdiri daripada tujuh juta ahli menyusut kepada RM5,500 (sekarang) daripada RM16,900 pada April 2020.

    “Jadi, ini adalah antara sebab kerajaan membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad berkata, bagi ahli KWSP Bumiputera lain, sebanyak 1.4 juta orang turut menyaksikan median simpanan mereka merosot kepada RM3,300 berbanding sebelum Covid-19 iaitu RM10,600.

    Kelmarin, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi perbahasan Titah Diraja di Parlimen meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas. – BERNAMA

  • Radzi syor kerajaan sediakan RM2.5 bilion selenggara kuarters kerajaan

    Radzi syor kerajaan sediakan RM2.5 bilion selenggara kuarters kerajaan

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mencadangkan kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun sebagai peruntukan khas bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan Persekutuan di seluruh negara untuk tempoh 2023 hingga 2025.

    Sepertimana terkandung dalam tawaran PN ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, langkah menyediakan peruntukan itu bagi terus memelihara kebajikan penjawat awam di Putrajaya.

    Bekas Menteri Pendidikan itu turut meminta kerajaan menambah bilangan Taska dan Tadika di pejabat kerajaan dan premis kuarters kerajaan.

    “Minta Perdana Menteri kemukakan senarai taska dan tadika di pejabat kerajaan dan premis kuarters kerajaan sedia ada di Putrajaya serta jumlah enrolmen. Berapa lagi akan dibina/disediakan pada tahun 2023 dan 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan beliau dibuat setelah tidak sempat mencadangkannya ketika perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau turut mencadangkan kerajaan melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) agar menyediakan pas khas kepada penjawat awam yang menggunakan parkir berbayar milik PPj.

    Pas khas tersebut, katanya boleh menawarkan fleksibiliti penggunaan tanpa had keluar masuk setiap hari pada waktu bekerja di semua parkir milik PPj. Adakah PPj mempunyai perancangan untuk mempertimbangkan cadangan ini?.

    Dr. Radzi berkata sebagai sebuah bandar terancang, beliau mencadangkan agar Putrajaya dijadikan sebagai model bandar mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan kemudahan bersesuaian, termasuk kemudahan riadah dan sukan yang sesuai untuk mereka.

    “Dalam konteks Pendidikan kepada anak-anak Putrajaya, saya minta supaya KPM dapat segara mengatasi masalah kepadatan murid di sekolah.

    “Sepertima mana janji kerajaan lama terdahulu, di mana sekolah di Putrajaya perlu kekal sebagai persekolahan satu sesi. Khusus bagi murid bekerperluan pendidikan khas (MBPK) pula, KPM hendaklah menambah bilangan kelas bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) supaya anak-anak bekeperluan khas ini dapat terus belajar dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Senaraikan pegawai kanan perkhidmatan awam dalam ‘pool’, kata Radzi

    Senaraikan pegawai kanan perkhidmatan awam dalam ‘pool’, kata Radzi

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diminta menyenaraikan jumlah pegawai kanan perkhidmatan awam yang diletakkan ke dalam `pool’ atau peti sejuk sejak PH-BN menerajui kerajaan campuran.

    Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, ada Ketua Setiausaha Kementerian yang kanan difahamkan ditukar ke kementerian lain yang lebih kecil.

    Katanya, tindakan kerajaan sekarang seolah-olah menjatuhkan hukuman lebih awal terhadap pegawai kanan yang berkhidmat secara profesional.

    “Perkara itu didedah Pagoh semalam mengenai ramai pegawai kanan yang di `pool’ oleh kerajaan campuran sekarang.

    “Jadi saya minta Perdana Menteri menyenaraikan jumlah pegawai kanan yang diletak dalam ‘peti sejuk’ sedangkan mereka berkhidmat secara profesional,” katanya sebagai pembahas pertama Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Radzi juga berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin DAP Pulau Pinang, P Ramasamy kerana kenyataannya yang dianggap sebagai menghina penjawat awam.

    Katanya, kenyataan yang menganggap penjawat awam sekarang sudah tepu merupakan satu penghinaan terhadap golongan berkenaan yang berkhidmat secara profesional.

    Baru-baru ini, P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi orang Melayu sebagai punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

    Pemimpin DAP terbabit juga dilaporkan mendesak supaya ‘dominasi Melayu’ dalam perkhidmatan awam dihentikan.

    Sementara itu, Radzi berkata, amalan nepotisme yang ditentang hebat pemimpin PH ketika berada di saf pembangkang sebelum ini, sekarang dilanggar mereka sendiri.

    Menurutnya, perkara itu juga terkandung dalam manifesto PH yang tidak mahu Perdana Menteri juga menerajui jawatan Menteri Kewangan.

    “Namun apa yang berlaku sekarang, mereka sendiri langgar perjuangan sebelum ini. Sekarang Perdana Menteri menerajui Kementerian Kewangan dan mengetuai Jabatan Wilayah Persekutuan,” katanya lapor Harakahdaily.

    Pada Janji 12 manifesto Pakatan Harapan ketika kempen Pilihan Raya Umum lepas menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan kementerian lain, terutama kewangan.

  • Apa status siasatan SPRM terhadap projek kapal tempur luar pesisir? – Ikmal Hisham

    Apa status siasatan SPRM terhadap projek kapal tempur luar pesisir? – Ikmal Hisham

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memberi maklumat terkini mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal Kapal Tempur Luar Pesisir (LCS).

    Menurutnya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah melengkapkan siasatan mereka dan juga telah dibawanya kepada pihak SPRM.

    “Dan sebab itu kita nak tahu sekarang ini apa jadi dengan siasatan tersebut. Apakah keputusannya?

    “Siapakah lagi yang hendak kita dakwa? Kita nak tahu, kita tak mahu isu ini ‘swept under the carpet’,” katanya membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, lapor Agenda Daily hari ini.

    Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang mencelah dan bertanya sama ada beliau bersetuju supaya kes terhadap mereka yang terlibat disegerakan.

    Sebelum ini, media melaporkan bahawa SPRM telah mengesyorkan beberapa individu yang dikaitkan dengan projek LCS didakwa di mahkamah.

    SPRM berkata ia telah melengkapkan beberapa kertas siasatan ke atas individu yang terlibat dalam projek kontroversi itu dan telah merujuknya kepada Jabatan Peguam Negara, dan berikutan itu menantikan arahan lanjut.

    Memetik laporan FMT, Ikmal juga meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan mengapa negara hanya akan menerima lima dan bukannya enam unit LCS, serta sebab di sebalik keputusan itu.

    Beliau berkata unit perancangan ekonomi dan kementerian kewangan perlu melihat keperluan peruntukan bajet tambahan untuk mendapatkan unit LCS baharu bagi memenuhi keperluan tentera laut.

    Pada 30 Januari lalu, Bernama melaporkan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia akan untuk menerima lima unit LCS berbanding enam.

    Panglima tentera laut yang baharu, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata keputusan itu dibuat susulan perbincangan untuk meneruskan projek kontroversi itu.

  • Kampung saya di Jeneri, Mahfuz patut bertanding di Derga – Sanusi

    Kampung saya di Jeneri, Mahfuz patut bertanding di Derga – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Datuk Mahfuz Omar lebih layak untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lebih sesuai bertanding di salah satu kerusi berkenaan kerana beliau perlu bergantung kepada undi kaum Cina yang ramai di kawasan itu untuk menang.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau selesa untuk terus bertanding di DUN Jeneri yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    “Saya dah ada DUN saya di Jeneri, kampung saya di situ, adik-beradik saya di situ. Dia (Mahfuz) saya tak tau kampung mana, adik-beradik dok (tinggal) mana, pasaipa (kenapa) dia suruh saya pi situ (bertanding).

    “Cadangan biar munasabah dan masuk akal, bagi dia lah bertanding di situ sebab Mahfuz sesuai kerana dia pun akhir-akhir ini bergantung kepada undi (orang) Cina untuk menang. Kalau (pengundi) Cina tak sokong dia dia pun tak menang.

    “Bagi dia Kota Darul Aman atau Derga kalau dia nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ada harapan dia jadi wakil rakyat (apabila) bertanding di tempat pengundi Cina ramai sebab pengundi Melayu tak mau dia,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tanah dan Perasmian Kampung Sejahtera di Teloi, Sik hari ini.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi dicabar Mahfuz untuk meninggalkan DUN Jeneri dan bertanding di Derga atau Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bagi membuktikan sokongan keseluruhan rakyat Kedah terutama di kawasan yang dianggap sukar untuk menang.

    Mahfuz berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memperlihat dirinya sebagai seorang Menteri Besar yang memiliki sokongan masyarakat secara menyeluruh dari rakyat Kedah.

    Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi meminta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk berterusan membuat laporan polis terhadapnya berkaitan Pulau Pinang yang merupakan negeri pajakan kepada Kedah.

    “Faktanya adalah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang sebanyak RM10 juta (sumbangan khas) dan RM10,000 (royalti) sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.

    “Jadi kalau tak pajak, bayar buat apa, Rayer buta sejarah tak tau apa. Buatlah laporan (polis) 100 kali pun memang faktanya macam itu,” katanya.

  • Pembantu tukang masak mengaku tak bersalah sebabkan kematian majikan

    Pembantu tukang masak mengaku tak bersalah sebabkan kematian majikan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pembantu tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, awal bulan ini.

    Tertuduh, Azhari Hamid, 56 membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif.

    Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan gopoh hingga menyebabkan kematian mangsa, Ishak Othman, 69.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah restoran di Jalan Stadium, Alor Setar pukul 5.15 petang, 4 Februari lalu.

    Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

    Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac depan sementara menanti laporan bedah siasat.

    Media sebelum ini melaporkan mengenai kematian seorang pemilik restoran yang tiba-tiba rebah setelah dikatakan bergaduh dengan pekerjanya sendiri.

    Kejadian itu pada awalnya dikatakan berpunca daripada perselisihan faham antara anak mangsa dan isteri suspek melibatkan bekas peralatan makanan yang sudah dicuci di restoran tersebut.

    Mangsa yang terdengar perselisihan faham itu lalu dipercayai masuk campur menyebabkan suspek tidak puas hati lalu berlaku pula pergaduhan antara mereka.

    Sebaik pergaduhan itu dileraikan, mangsa bagaimanapun tiba-tiba rebah dengan dia kemudiannnya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.

  • Radzi cadang perkenal akta halang PM jadi menteri kewangan

    Radzi cadang perkenal akta halang PM jadi menteri kewangan

    DATUK Dr Radzi Jidin, (PN-Putrajaya) mencadangkan satu akta diperkenalkan bagi menghalang perdana menteri memegang portfolio menteri kewangan.

    Jelas Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada skandal 1MDB, yang berlaku ketika perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, menerajui kementerian itu.

    Tegas beliau, apa yang disuarakan bukan bermaksud merujuk mana-mana individu tertentu tetapi berkenaan dengan sistem.

    “Kita tak bercakap tentang Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), ini bukan soal individu.”

    “Ini adalah tentang sistem. Kita perlu faham bahawa pemusatan kuasa boleh meningkatkan risiko salah guna kuasa kerana tidak ada semak dan imbang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, satu sistem tadbir urus negara yang utuh dan kukuh hendaklah diwujudkan bagi memastikan negara tercinta ini diwariskan kepada anak cucu dalam keadaan kewangan yang baik.

    “Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar diwujudkan satu akta menghalang perdana menteri untuk memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen daripada Bersatu menyentuh pendirian pemimpin Pakatan Harapan yang selama ini “menikus” apabila Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan.

    Sebelum ini, gabungan PH mencadangkan supaya kedua-dua jawatan itu dipisahkan selepas skandal 1MDB.

    Anwar dikritik oleh ahli politik pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil kerana menamakan dirinya sebagai menteri kewangan.

    Kebanyakan mereka berkata, Anwar melanggar ikrar PH dalam manifesto PRU14 untuk menghalang perdana menteri memegang jawatan itu.

    Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan Anwar dan berkata “keadaan luar biasa” menyebabkan perdana menteri mengambil alih portfolio itu.

    Rafizi juga berkata, Anwar memainkan peranan untuk mengelakkan konflik dalam kalangan gabungan dan parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

  • Ahli Parlimen PN juga buat ‘misi khas’ ke Turki

    Ahli Parlimen PN juga buat ‘misi khas’ ke Turki

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan misi khas ke Turki bagi membantu usaha pemulihan susulan gempa bumi.

    Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) memberitahu Dewan Rakyat, misi lima hari itu diketuai Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau menggesa Wisma Putra membantu koordinasi pergerakan kumpulan bantuan Malaysia yang ingin ke Turki.

    “Ini termasuk Ahli Parlimen PN yang akan pergi dalam misi khas bermula 2 hingga 7 Mac,” katanya mengulas taklimat Anwar Ibrahim (PH-Tambun) mengenai kunjungannya ke Turki pada 14 Februari, lapor FMT.

    Terdahulu, Perdana Menteri menjelaskan sebab Malaysia begitu ke depan membantu Turki menangani bencana gempa bumi, minggu lalu.

    Katanya, kemusnahan berlaku akibat gempa disifatkan berskala besar dengan angka kematian dilaporkan menjangkau lebih 35,000, setakat kelmarin.

    “Keduanya, ini adalah persahabatan antara dua negara, bukan setakat hubungan peribadi (antara Anwar dan Presiden Turki Tayyip Erdogan), tapi hubungan dua negara.”

    Beliau berkata, tidak ramai tahu Turki memberikan bantuan dan pertolongan secara langsung dan tidak langsung kepada Malaysia, termasuk kepada syarikat-syarikat kita di negara itu yang mencecah ratusan juta ringgit.

    Anwar juga memuji pasukan penyelamat negara di Turki dan mencadangkan mereka diberikan elaun khas dan pingat.

    Dalam pada itu, beliau juga akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya tambahan dana bantuan disalurkan kepada Turki, selain RM48 juta diluluskan kerajaan sebelum ini.