Category: Semasa

  • Peguam tarik diri wakili Siti Bainun, dilantik semula

    Peguam tarik diri wakili Siti Bainun, dilantik semula

    SEORANG peguam yang sebelum ini menarik diri daripada mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dalam prosiding bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiayai remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella, dilantik semula.

    Pelantikan semula peguam itu, Mohammad Farhan Maaruf, diberitahu oleh Siti Bainun dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Siti Bainun berkata, meskipun sudah memohon bantuan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mendapatkan peguam baharu, pada masa sama dia tetap meminta bekas peguam bela untuk kembali mewakilinya.

    “Apabila mendapat keputusan YBGK mengenai kelulusan permohonan mendapatkan peguam mereka, saya masih menunggu maklum balas peguam lama.

    “Saya mengesahkan melantik peguam, Mohammad Farhan sebagai peguam, manakala baki empat lagi peguam tidak dilantik,” katanya lapor BH.

    Sementara itu, Mohammad Farhan turut mengesahkan beliau dilantik semula oleh Siti Bainun, semalam, untuk mengendalikan kes perbicaraannya.

    Sebelum ini, Mohammad Farhan ialah antara lima peguam yang menarik diri daripada mewakili Siti Bainun, selain Nur Ellena Mohamed Razif, Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor, Asiah Abd. Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan.

    Januari lalu, media melaporkan Siti Bainun sebak apabila semua peguam daripada lima firma yang mewakilinya dalam kes itu, bertindak menarik diri.

    Susulan itu, Izralizam memerintahkan Siti Bainun untuk melantik peguam baharu sebelum tertuduh memberitahu memohon peguam melalui YBGK tetapi memerlukan masa sebulan bagi meneliti kes.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya prosiding bela diri Siti Bainun diteruskan dengan tertuduh membacakan penyataan saksi tanpa peguam bela.

    Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun untuk membela diri atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiayai Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Wang pelanggan prabayar Digi RM3.4 juta babit aktiviti haram dilucut hak

    Wang pelanggan prabayar Digi RM3.4 juta babit aktiviti haram dilucut hak

    PERMOHONAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melucutkan hak baki wang akaun prabayar dari 533 pelanggan Digi telecommunication Sdn Bhd (Digi) berjumlah RM3,417,981.66 dibenarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan permohonan berkenaan selepas meneliti afidavit-afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan pelucuthakkan, pagi tadi.

    Dalam prosiding itu, Digi selaku responden yang diwakili oleh penasihat undang-undangnya, V. Muraliharan turut memberitahu mahkamah pihaknya tidak membantah permohonan tersebut.

    Dalam permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM yang dikendalikan oleh Allan Suman Pillai dan Mohd. Syahron Idris memaklumkan, kesemua baki wang berkenaan disyaki digunakan oleh pelanggan-pelanggan syarikat telekomunikasi itu menggunakan akaun prabayar mereka sebagai platform simpanan wang bagi tujuan aktiviti haram seperti judi.

    Katanya, lebih 60 pelanggan dengan 127 akaun daripadanya didapati tidak melibatkan aktiviti haram dan Digi telah memulangkan sejumlah RM835,639.40 kepada pelanggan-pelanggan tersebut.

    “Jadi permohonan itu melibatkan aktiviti-aktiviti haram daripada baki akaun milik 533 pelanggan (773 akaun prabayar) berjumlah lebih RM3.4 juta,” katanya, lapor UtusanTV.

    Menurut afidavit permohonan, Digi telah menjalankan siasatan dalaman berhubung ketidakpuasan hati pelanggannya selepas mereka menerima banyak pesanan ringkas (SMS) yang mempelawa pelanggan menyertai judi atas talian.

    Penasihat Undang-Undang Digi Telecommunication Sdn Bhd (Digi), V. Muraliharan ketika hadir mewakili syarikat telekomunikasi berkenaan ke prosiding bagi permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk melucutkan hak baki wang akaun prabayar dari 533 pelanggan Digi Telecommunication Sdn Bhd (Digi) berjumlah RM3,417,981.66 yang digunakan untuk tujuan aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Digi selaku responden juga memberitahu bahawa pihaknya tidak menyediakan platform judi atas talian, Republik GG sebaliknya dikawal sepenuhnya oleh syarikat Inonex.

    Dalam keterangannya turut menyatakan bahawa nilai kredit di dalam kad prabayar boleh dimanipulasi untuk bermain judi dalam talian.

    Susulan itu, siasatan SPRM mendapati terdapat pengguna kad prabayar mempunyai nilai baki kredit mencurigakan dan dipercayai digunakan bertujuan untuk kegunaan pengubahan wang haram atau aktiviti haram.

    Hasil siasatan itu telah membawa kepada penyitaan wang berjumlah RM4,253,621.09 yang sebelum itu disita oleh Digi.

    Responden kemudian diarahkan untuk mengeluarkan notis sebanyak empat kali kepada pengguna-pengguna berkenaan dengan memaklumkan kepada mereka untuk membuat tuntutan terus dengan pihak SPRM bermula dari tarikh 21 November 2020 sehingga 15 Jun 2021.

    Ekoran itu, 60 individu daripada 593 pengguna prabayar berkenaan telah membuat tuntutan balik dengan SPRM dan berjaya mendapatkan semula baki kredit akaun pra-bayar Digi mereka setelah didapati tidak terlinat dalam kegiatan pengubahan wang atau aktiviti haram.

  • Shahidan kemuka usul minta Parlimen bahas isu keluar KWSP

    Shahidan kemuka usul minta Parlimen bahas isu keluar KWSP

    AHLI Parlimen pembangkang hari ini mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Usul itu dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1), bagi meminta Dewan Rakyat membahas dan menggesa kerajaan segera meluluskan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

    Beliau mendakwa, pencarum kini sudah semakin terdesak, tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup yang meningkat saban hari

    “Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat.

    “Oleh demikian, saya rasa isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti dilakukan sewaktu era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Perdana Menteripengeluaran KWSP secara bersasar secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

  • KJ jadi DJ: Khairy buka ‘gelanggang’ topik KWSP

    KJ jadi DJ: Khairy buka ‘gelanggang’ topik KWSP

    PENYAMPAI radio Hot FM baharu, Khairy Jamaluddin, 47, memulakan hari pertama slot hari ini dengan celoteh yang mengumpan pendengar menerusi topik hangat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama rakan penyampai, Johan, AG dan Fara Fauzana dalam segmen Bekpes Hot, pagi ini.

    Bekas Menteri Kesihatan yang mesra disapa KJ bersiaran selama sejam dan buat kali pertama berada di konti radio bersama Fara yang baru pulang dari mengerjakan umrah.

    Menurut Khairy, beliau menyuarakan topik KWSP di mana 60 peratus daripada 20,000 orang bersetuju pengeluaran simpanan KWSP wajar dibenarkan dalam laman Instagram (IG).

    Isu KWSP hangat diperkatakan ketika ini dan beliau juga mempromosi mengenai simpanan hari tua dalam IG miliknya semalam.

    “Sekarang, ramai meminta kerajaan meluluskan satu lagi pengeluaran. Sudah banyak pengeluaran, antaranya i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan ada minta sekali lagi pengeluaran simpanan khas dikeluarkan sejak pandemik Covid-19.

    “Namun, masalahnya simpanan masa tua semakin susut,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pasukan Hot FM turut menghubungi Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein untuk meminta pendapat.

    Nurhisham berkata, jumlah simpanan asas yang perlu ada untuk simpanan hari tua adalah RM240,000.

    “Penanda aras simpanan asas adalah RM240,000. Purata simpanan antara RM130,000 sehingga RM140,000, tetapi itu yang betul-betul kaya. Jumlah simpanan bagi aras pertengahan mencerminkan keadaan sebenar.

    “Sepatutnya kena ada RM240,000, tetapi kalau simpan secara disiplin, boleh capai insya-Allah.

    “Bagi saya, kena buat secara holistik jika melihat keadaan sekarang. Ada juga ahli KWSP nak keluarkan, tetapi baki tidak mencukupi, jadi nak keluar macam mana?

    “Ada juga bukan ahli KWSP, jadi pendekatan diambil kerajaan ialah kena cari jalan penyelesaian untuk semua orang.

    “Kerajaan ada kaedah membantu individu yang terjejas, sebelum pandemik Covid-19 lagi.
    Misalnya, modal perniagaan menerusi lebih 40 program daripada Amanah Ikhtiar, tetapi masalahnya, orang tidak tahu,” katanya.

    Tambah Khairy, ramai ambil jalan mudah mengeluarkan simpanan KWSP dan menjejaskan masa depan berikutan tidak tahu mengenai skim bantuan disediakan.

    “Kita perlukan RM240,000, jika tiada susah nak bersara dengan bermaruah. Ramai nak keluarkan, tetapi sekali lagi diingatkan simpanan untuk masa depan.

    “Secara jujurnya, berapa ramai tidak menggunakannya dengan betul ketika kerajaan memberikan kebenaran pengeluaran simpanan KWSP?

    “Jadi, jika tak dapat bergantung kepada KWSP, terpulanglah kepada kerajaan sebab banyak cara lain untuk membantu.

    “Saya rasa kerajaan wajar mendengar suara dan rintihan rakyat. Rakyat tengah susah dengan inflasi dan kenaikan harga barang.

    “Jadi, fikirkan kaedah terbaik dalam pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa menjejaskan masa depan rakyat dengan membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya.

    Terdahulu, suara Khairy buat kali pertama berkumandang di stesen radio HotFM mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada 15 Februari lalu.

    Seperti dijangka, kemunculan Khairy dalam keluarga Hot FM memberi impak luar biasa dalam kalangan pendengar sehingga penstriman beberapa kali mengalami gangguan ketika bersiaran.

    Khairy mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.

    Tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka dalam Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

  • Bunuh pemilik kebun: Lima warga Myanmar direman seminggu

    Bunuh pemilik kebun: Lima warga Myanmar direman seminggu

    POLIS menahan seorang lagi lelaki warga Myanmar sekali gus menjadikan lima yang ditahan sehingga kini bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang pemilik kebun buah naga di Tanah Merah di Port Dickson kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 20 tahun yang tidak memiliki pasport itu ditahan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur pukul 11.15 pagi semalam.

    Menurutnya, semua suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun itu kini direman tujuh hari bermula hari ini.

    “Ini bagi membantu siasatan selepas permohonan dibuat di hadapan Majistret V Vanita di Mahkamah Majistret Port Dickson,” katanya kepada media hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, media melaporkan dendam dipercayai menjadi punca mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun dibunuh.

    Mayat lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tali.

    Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis DaerahPort Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu empat lelaki warga Myanmar di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

    Selain itu, polis turut menemui motosikal mangsa yang telah disorokkan di sebuah kebun kelapa sawit Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

  • Noh Omar jangka PN mampu menang lebih kerusi PRN Selangor

    Noh Omar jangka PN mampu menang lebih kerusi PRN Selangor

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjangkakan Perikatan Nasional (PN) mempunyai harapan untuk memperolehi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

    Individu yang pernah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet itu juga malah tanpa berselindung turut menyatakan rasa yang sama apabila bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin atau lebih dikenali sebagai ‘Bozz Jebat’ menyuarakan pandangan bahawa UMNO akan ‘bungkus ikat tepi’ dalam PRN nanti.

    Menurut Noh, beliau sebelum ini pernah menyatakan bahawa pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PN tidak boleh berlaku sekiranya BN mahu menang di Selangor.

    “Saya kata kalau Melayu pecah tiga, memang ‘jalan’. Teori saya itu terbukti mnjadi tetapi Presiden UMNO tak percaya.

    “Akhirnya tengok siapa sangka di Selangor Pas menang tiga kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun menang tiga juga. Tetapi UMNO ‘yillek’.

    “Namun dalam PRN nanti, nampak gayanya PN ada ada harapan (menang lebih banyak kerusi di Selangor). Saya rasa begitu,” katanya dalam siaran langsung di Tik Tok bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor malam tadi.

    Terdahulu Noh mendakwa, salah satu sebab beliau dipecat daripada UMNO adalah kerana Presiden parti itu marah kerana Muafakat Nasional (MN) di negeri tersebut cukup kuat.

    “Saya pun hairan tapi itulah salah satu sebabnya. Di Selangor ini MN cukup bagus dan saya pun dulu pernah berjumpa dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk berbincang lebih sejam,” katanya.

  • Shahidan cadang kerajaan larang media lapor berita dari ‘sumber’

    Shahidan cadang kerajaan larang media lapor berita dari ‘sumber’

    DATUK Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan kerajaan mengekang media daripada menyiarkan laporan yang memetik sumber tidak didedahkan identitnya.

    Bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini, bekas menteri UMNO itu berkata, larangan berkenaan wajar bagi mengelakkan sebarang salah lapor daripada media.

    “Ada wartawan yang memetik kenyataan atau fakta daripada sumber dan laporan mengenainya disiarkan sedangkan fakta diberikan tidak betul.

    “Perkataan sumber ini adakah akan dipastikan supaya tak ada pemberitaan sumber tapi mengikut (identiti) sebenarnya?” soal Shahidan.

    Menjawab pertanyaan itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengamal media perlu mencari titik keseimbangan dalam laporan mereka yang melibatkan sumber tidak didedahkan identitinya.

    Menurutnya, ini bagi memastikan sumber yang dipetik itu memberikan fakta yang sahih dan tidak menimbulkan fitnah.

    Pada masa sama kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, kerajaan menyedari media atau wartawan mempunyai hak tertentu dalam menjalankan tugas masing-masing.

    “Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, lapor Malaysiakini.

  • Dua harimau kumbang ditangkap dalam seminggu

    Dua harimau kumbang ditangkap dalam seminggu

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap dua harimau kumbang, dalam tempoh seminggu, di Kompleks Perikanan Darat Banding, di Gerik.

    Jabatan itu menerusi kenyataan media sosialnya berkata, harimau kumbang kedua ditangkap menerusi satu operasi kira-kira 8.30 malam tadi di kompleks itu, selepas spesies sama ditangkap di lokasi sama pada Rabu lalu.

    “Harimau ini individu kedua ditangkap di lokasi yang sama dalam masa seminggu. Ia berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang operasi tangkapan ini dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, semalam, lapor Harian Metro

    Katanya lagi, kedua-dua haiwan terbabit sudah selamat dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan bantuan kakitangan daripada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

    Terdahulu, Perhilitan memaklumkan tangkapan harimau kumbang pertama yang dijalankan pada Rabu lalu, adalah susulan dari operasi tangkapan spesies sama oleh Perhilitan pada 11 Januari lalu juga di lokasi sama.

    Pada 11 Januari lalu, harimau kumbang betina seberat 16 kilogram (kg) selamat dipindah dari kompleks sama dan dilepaskan ke habitat yang sesuai oleh NWRC Sungkai, selepas ia memasuki perangkap yang dipasang dalam kawasan kompleks sejak 4 Januari lalu.

  • Shahrizat jangka isu NFC ‘didendang’ semula dalam saingan ketua Wanita UMNO

    Shahrizat jangka isu NFC ‘didendang’ semula dalam saingan ketua Wanita UMNO

    DATUK Seri Shahrizat Jalil menjangkakan isu NFC terus diulang dalam usahanya kembali menjadi ketua Wanita UMNO, menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak kisah isu berkenaan dimainkan semula walaupun nama suaminya sudah dibersihkan selepas dibebaskan mahkamah, pada 2015.

    “Sebenarnya isu NFC sudah masuk 11 tahun. Masa NFC berlaku saya ketua Wanita. Pihak pembangkang melihat komponen UMNO paling kuat adalah Wanita UMNO, yang ketika itu saya adalah ketua wanitanya.

    “Saya terpaksa menghadapinya tetapi mahu menegaskan saya tidak pernah ada kes. Alhamdulillah, suami akhirnya dibebaskan oleh mahkamah. Isu NFC menjadi titik tolak kepada keluarga, saya belajar menghadapi cabaran getir sebagai pemimpin,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Suami Shahrizat, Salleh Ismail yang sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 2015.

    Shahrizat ketika mengulas lanjut, berkata hanya pihak menentang UMNO akan sentiasa menjadikan kontroversi NFC sebagai agenda permainan politik.

    Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak akan membawa risiko negatif melainkan mereka yang tidak mahukan atau tidak menyokong UMNO.

    “Memanglah buat apa pun, mereka tidak akan undi UMNO, selalunya ‘haters’ sahaja. Sekarang macam saya nak bertanding, akan cakap NFC, NFC, cakaplah sebab mereka pun tidak sokong. Tiada masalah, itu kita jangkalah. Walaupun dah 11 tahun, dah bebas tapi masih cakap,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun sebelum ini berdepan isu NFC, namun pada pemilihan parti ketika itu beliau mampu mempertahankan jawatan Ketua Wanita dengan sokongan lebih besar.

    “Lepas isu NFC, UMNO mengadakan pemilihan parti. Pada waktu itu, saya fikir nak bertanding atau tidak, tetapi ahli-ahli Wanita cakap saya kena bertanding dan jangan menyerah kalah, saya pun bertanding dan menang lagi besar berbanding penggal pertama.

    “Sebab itu saya rasa tersentuh, sebab ketika berdepan masalah ramai Wanita UMNO datang ramai-ramai sebab mereka tahu cabaran seorang pemimpin wanita dalam arena politik. Di sini bermula kekuatan sebagai ketua Wanita,” katanya.

    Beliau berkata, tujuannya kembali bertanding bagi mengembalikan ‘taring’ Wanita UMNO agar kembali diyakini dan ke hadapan, berbanding sayap wanita parti lain, selain menjuarai isu kewanitaan dalam suasana dunia sudah berubah.

    “Kita berada dalam kerajaan perpaduan, kita Wanita UMNO mesti kembali menjadi ‘game changer’ dalam politik dan dasar kerajaan,” katanya.

  • Dendam dipercayai punca pemilik kebun dibunuh

    Dendam dipercayai punca pemilik kebun dibunuh

    SEORANG lelaki yang dibunuh dalam kejadian di sebuah kebun buah naga Site A, Tanah Merah di Port Dickson semalam dipercayai akibat dendam.

    Mayat lelaki berusia 44 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tali.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat kejadian pada pukul 2.52 petang daripada bapa mangsa.

    “Siasatan di lokasi mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai seluar warna hitam selain tangan serta kaki berikat dengan tali.

    “Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menjumpai sebuah dompet yang mempunyai dokumen pengenalan diri dan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala serta belakang badan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

    Menurutnya, barangan lain milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit dan motosikal jenis SM Sport tidak dijumpai disyaki telah dilarikan oleh suspek.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa mewarisi kebun tersebut daripada keluarganya kira-kira lima tahun lalu dan tinggal di situ seorang diri.

    “Kali terakhir dia dilihat oleh bapanya yang datang menghantar makanan pada Jumaat pukul 6 petang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Keluarga mangsa katanya, memberitahu mangsa baharu mengambil seorang pekerja warga Myanmar dua minggu lalu namun tidak diketahui butiran peribadinya dan telah menghilangkan diri.

    Bertindak atas maklumat itu, Aidi Sham berkata, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis DaerahPort Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu empat lelaki warga Myanmar di Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Tambahnya, polis turut menemui motosikal mangsa yang telah disorokkan di sebuah kebun kelapa sawit Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

    “Kesemua suspek berusia lingkungan 19 tahun sehingga 49 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    “Siasatan awal terhadap suspek yang ditangkap mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Isnin untuk proses permohonan reman.