Category: Semasa

  • 4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi tidak bekerja.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Feb lepas, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang di sini, telah didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

    “Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta terbabit manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

    “Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek telah meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan kesemua suspek pada tengah hari Ahad dan awal pagi tadi serta merampas sebuah Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian.

    Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai telah dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia serta beberapa peralatan lain. 

    “Kesemua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

    Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu. – BERNAMA

  • Polis tahan dua lelaki disyaki mabuk halang bas

    Polis tahan dua lelaki disyaki mabuk halang bas

    POLIS hari ini menahan dua lelaki yang dirakam bertindak samseng dengan menahan sebuah bas henti-henti dalam satu kejadian di Kulai, semalam.

    Lelaki tempatan berusia 32 dan 42 tahun itu ditahan pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow, suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada pemandu bas terbabit kira-kira pukul 10 pagi.

    Jelasnya, kejadian berlaku pada pukul 8.15 pagi semalam, ketika pemandu bas henti-henti yang berusia 31 tahun sedang memandu di Taman Puteri, Kulai.

    “Pemandu bas melihat sebuah kereta BMW berwarna hitam telah berhenti di tengah jalan dan seakan-akan memberi jalan kepadanya yang ketika itu sedang memandu bas untuk keluar dari jalan berkenaan.

    “Bas yang dipandu mangsa kemudian telah ditahan suspek dan suspek juga memarahi mangsa dengan menghentak beberapa kali dinding bas menggunakan tangannya.

    “Seorang lagi rakannya datang menghampiri mangsa dengan memegang cermin sisi di bahagian kanan pemandu dan cuba merosakkannya namun mangsa sempat bergerak lalu meneruskan perjalanan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, pemandu bas terbabit percaya kedua-dua suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk.

    Katanya, suspek kemudian mengekori mangsa dari arah belakang dari terminal bas Kulai sehinggalah sampai ke Jalan Batu 21 Kulai Besar, di sini.

    “Suspek masih bertindak mengulangi perkara sama, namun mangsa berdiam diri di dalam bas bimbang keselamatan terancam,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman esok, bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

    Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi satu minit 19 saat memaparkan sebuah kereta BMW memotong sebuah bas henti-henti secara tiba-tiba.

    Rakaman juga memaparkan, seorang lelaki keluar dari kenderaan yang berhenti di tengah jalan sebelum datang mengetuk pintu bas, manakala seorang lagi datang ke bahagian tepi sambnil memarahi pemandu bas terbabit.

  • Operasi FRU rampas 8,000 liter  diesel disyaki untuk diseleweng

    Operasi FRU rampas 8,000 liter diesel disyaki untuk diseleweng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH kira-kira 8,000 liter diesel bernilai RM17,200 disita dalam operasi dijalankan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kampung Bukit Lada, Jalan Kubor Panjang di Pokok Sena, Kedah, semalam.

    Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya telah menerima serahan kes tersebut daripada Unit Risikan dan Operasi FRU, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur kira-kira pukul pukul 11 malam tadi.

    “Selain anggaran 8,000 liter diesel, dua buah ‘skidtank’ dan beberapa peralatan pemindahan minyak diesel yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewangan barang kawalan berjadual itu.

    “Selain itu, dua suspek warganegara Myanmar berusia 30-an dan 40-an turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nilai rampasan keseluruhan termasuk diesel dan dua ‘skidtank’ tersebut adalah RM124,200.

    Tambahnya, soal-siasat dijalankan terhadap kedua-dua individu itu mendapati premis tersebut tidak mempunyai apa-apa kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menguruskan barang kawalan tersebut.

    “Perintah reman telah diperolehi dari Mahkamah Alor Setar dengan kedua-dua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 Februari depan,” katanya.

    Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961

    “Jika sabit kesalahan, individu perseorangan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan kedua, inidividu disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kedua boleh didenda tidak lebih RM5 juta,” katanya.

  • Pertimbang pengeluaran KWSP kepada pencarum memerlukan termasuk M40, kata MP PH

    Pertimbang pengeluaran KWSP kepada pencarum memerlukan termasuk M40, kata MP PH

    AHLI Parlimen Kuala Selangor dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta kerajaan agar mempertimbangkan permohonan pencarum yang terpaksa membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Kata bekas Menteri Kesihatan itu, langkah tersebut wajar bagi isi rumah yang benar-benar memerlukan serta berdepan krisis kewangan, meskipun golongan M40.

    Jelas beliau, bagaimanapun pelaksanaannya harus dilaksanakan secara bersasar dengan syarat amat ketat.

    “Kalau ketua isi rumah benar-benar memerlukan dan mempunyai simpanan dalam KWSP, ia adalah wajar kerana duit itu adalah wang mereka.

    Pada saat mereka memerlukan, kita (perlu) izinkan tetapi harus bersasar dengan syarat sangat ketat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan program Hijau Lestari sempena penanaman 25,223 pokok siantan di Forest Park, Bandar Hillpark, Puncak Alam, di Kuala Selangor, hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly bagaimanapun berkata, cara itu masih tidak akan menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh, sebaliknya kerajaan perlu mengambil langkah lebih mampan dan ke hadapan dalam menanganinya.

    “Saya rasa ada ihsan serta belasnya rahmah Kerajaan Madani untuk mengizinkan ini, dan ia tidak boleh dijadikan suatu yang bersifat ‘across the board’.

    “Saya tidak menyokong apapun langkah mengorbankan simpanan usia tua.

    “Kalau itu menyelamatkan atau lebih daripada itu, adalah penting untuk mereka mengatasi masalah krisis kewangan semasa,” katanya.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa dividen bagi pencarum daripada golongan miskin dan menengah, akan berkurangan jika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bagi mereka yang kaya serta berkemampuan.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu membuat pilihan antara membenarkan pengeluaran khas KWSP kali kelima, atau membantu pencarum yang hampir bersara tetapi mempunyai simpanan kurang RM10,000.

    Beliau menegaskan, jika kerajaan bersetuju dengan langkah populis membenarkan pengeluaran KWSP, golongan miskin dan menengah yang akhirnya akan menanggung kerugian.

    Perdana Menteri sekali gus mengumumkan kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan.

    Bagi tujuan itu, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.

  • 2 remaja ditahan hina pembuat kertas soalan Sejarah

    2 remaja ditahan hina pembuat kertas soalan Sejarah

    DUA remaja lelaki di Hulu Selangor ditahan polis bagi membantu siasatan video tular membabitkan pelajar sekolah menengah yang tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dua remaja berusia 18 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun pada pukul 10.53 pagi semalam.

    “Terdahulu, polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook yang berlaku di daerah ini.

    “Video itu memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

    “Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Suffian berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di rumah suspek dan menahan dua remaja lelaki warga tempatan.

    “Polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 11 dalam serbuan itu.

    “Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya, lapor Harian Metrp.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

    Suffian menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit yang menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga tercetusnya perbalahan.

  • Kecewa kerajaan tak benarkan pengeluaran KWSP – NGO

    Kecewa kerajaan tak benarkan pengeluaran KWSP – NGO

    KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pencarum adalah amat dikesali.

    Menurut Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya lebih bersikap praktikal dan memahami penderitaan rakyat.

    “PM begitu bimbang bercakap tentang persaraan, tetapi apa yang berlaku apabila kamu berdepan tindakan undang-undang kerana tidak membayar pinjaman dan terpaksa membayar keseluruhan faedah persaraan kamu untuk menyelesaikan tuntutan terhadap kamu, dengan faedah tambahan apabila mencapai umur 55 tahun?

    “Kami faham pengeluaran KWSP adalah penyelesaian sementara, tetapi pada ketika ini, ia membolehkan seseorang itu merancang masa depan mereka pada masa depan, dan meringankan beban mereka sementara kerajaan mencari penyelesaian kekal untuk perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Shashi mengulas pembentangan Belanjawan 2023 semalam apabila Anwar mengumumkan kerajaan akan menambah caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 kepada ahli yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun satu.

    Jumlah itu, kata perdana menteri, akan memanfaatkan sehingga dua juta pencarum KWSP berumur 40 hingga 54 tahun.

    Mengulas lanjut, Shashi berkata kos sara hidup terus meningkat dan rakyat menghadapi kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan serta menyelesaikan hutang mereka pada masa yang sama.

    “Adalah tidak wajar atau tidak adil untuk PM mengatakan sekiranya pengeluaran KWSP dibenarkan, caruman RM500 oleh kerajaan kepada pencarum yang mempunyai akaun di bawah RM10,000 adalah tidak mungkin.

    “PM perlu lebih praktikal dalam memahami penderitaan, rayuan dan tangisan rakyat,” katanya.

    Pada 17 Feb, GHRF bersama NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM), menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri, menggesa kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.

  • Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    SEORANG penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM516,325, antara 2018 hingga 2022.

    Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu yang berkhidmat di Bahagian Jalan jabatan tersebut.

    Suapan yang dibuat dalam jumlah RM1,000 hingga RM95,000 itu didakwa sebagai balasan untuk mencadangkan syarikat proksi seorang kontraktor sebagai subkontraktor bagi projek pembaikan cerun dan membantu mendapatkan bayaran tuntutan.

    Lelaki itu ditahan 6.55 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- BERNAMA

  • Bekas calon PRU-15 didakwa terlibat penipuan hartanah

    Bekas calon PRU-15 didakwa terlibat penipuan hartanah

    SEKUMPULAN guru menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membabitkan tanah dan rumah di sekitar Taiping berjumlah ratusan ribu ringgit.

    Bermodalkan sumbangan makanan dan wang tunai, wanita tersebut berjaya memancing guru-guru yang berhasrat membeli rumah dan tanah untuk hari tua mereka.

    Seorang mangsa yang bertugas di sebuah sekolah di negeri itu berkata, wanita itu yang pernah menjadi Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolahnya menawarkan lot tanah kepadanya yang kebetulan sedang mencari sebidang tanah.

    “Beliau meyakinkan saya memang ada sebidang tanah di Asam Kumbang dan menghantar gambar geran kepada saya. Katanya, itu tanah yang beliau boleh dapatkan atas kuota politik,” kata mangsa itu kepada MalaysiaNow.

    Tambahnya, wanita yang juga menggunakan gelaran “Datuk Dr” itu mendakwa tanah berkenaan merupakan milik Jabatan Kastam Diraja yang ingin dilelong kepada orang awam.

    Disebabkan keyakinannya kepada wanita itu, guru tersebut mula membuat pembayaran pada 2021.

    Katanya, dua lagi guru yang dikenalinya turut terjerumus dalam pembelian itu yang turut membabitkan rumah kediaman selain tanah lot.

    Ketiga-tiga mereka menghabiskan hampir RM400,000 untuk urusan pembelian dengan wanita tersebut.

    “Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana dia sering membuat sumbangan kepada sekolah.

    “Lagipun, dia selalu menyebut bahawa dia mengenali tokoh-tokoh politik besar seperti Ketua Umno Bahagian Taiping, Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.”

    MalaysiaNow tidak mendedahkan identiti wanita berkenaan sementara menunggu maklum balas daripadanya.

    Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, bekas calon itu turut mengadakan majlis bersama Saarani dan menjemput wakil daripada sekolahnya.

    “Pada majlis itu, menteri besar memuji beliau kerana rajin membantu orang ramai tanpa mengharapkan duit daripada kerajaan.

    “Rupanya duit sumbangan yang kononnya daripada dia sendiri selama ini sebenarnya duit mangsa-mangsa penipuan seperti kami,” tambahnya.

    Tembelang wanita itu mula dihidu mangsa apabila mereka tidak menerima kunci, geran mahupun sebarang dokumen berkaitan pembelian hartanah mereka.

    Menurut mangsa, wanita tersebut mula mengelak untuk berjumpa serta memberi alasan perlu menjalani rawatan kemoterapi untuk sakit kanser yang dihidapinya.

    Penipuan wanita itu terdedah apabila mangsa meninjau keadaan rumah yang dikatakan ingin dijual kepadanya.

    “Saya lihat rumah itu ada orang, jadi saya bertanyakan status pemilikan rumah.

    “Rupanya ia dimiliki oleh ibu mertua rakan sekerja saya dan mereka tidak pernah tahu mengenai urusan penjualan rumah itu kepada saya.”

    Wanita tersebut juga licik dalam modus operandi apabila meminta mangsa membuat pembayaran menggunakan mesin deposit tunai.

    Akaun bank yang diberikan kepada mangsa juga berbeza-beza, daripada akaun anak sehingga akaun pembantu peribadi.

    Seorang lagi guru di sekolah lain turut terkena apabila ditawarkan sebidang tanah pada harga kira-kira RM5,000.

    Dia kemudian memujuk guru tersebut untuk menambah satu lot lagi.

    “Saya membayar kira-kira RM10,000 untuk dua lot tanah. Dia kemudian berkata geran akan siap dalam masa dua bulan.

    “Dari situ saya tahu yang saya sudah terkena. Kerana urusan geran mengambil masa enam ke tujuh bulan berdasarkan pengalaman sebelum ini.

    “Dia ada tawarkan lebih banyak lot, namun saya menolak,” katanya.

    Guru itu juga tidak mengesyaki apa-apa kerana percaya kepada ketokohan wanita berkenaan.

    Sementara itu, peguam yang mengendalikan kes ini, Mohammad Na’im Samsul Hairi berkata pihaknya sedang menilai semua kes penipuan itu.

    “Memang ada tindakan yang boleh dibawa ke mahkamah terhadap wanita itu.

    “Mangsa juga ramai dan kes ini boleh dikatakan ada prima facie dan locus standi,” katanya lapor Malaysianow.

  • Negeri-negeri Melayu masih dinafikan hak untuk membangun

    Negeri-negeri Melayu masih dinafikan hak untuk membangun

    Oleh WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL

    ROYALTI minyak untuk Terengganu dan Kelantan masih dan tetap dinafikan walaupun Nakhoda kapal Malaysia kini adalah sosok reformis yang pernah berazam dan berjanji mengotakannya.

    Kalau Sabah dan Sarawak dipermudahkan urusan menuntut hak mereka – mengapa tidak untuk Kelantan dan Terengganu? Mengabaikan Pantai Timur asalah satu kesilapan besar mana-mana kerajaan Persekutuan kerana masa depan ekonomi negara adalah di sana!

    Mungkin iltizam politik ini hanya mampu terlaksana bila kita ada Perdana Menteri daripada Kelantan dan Terengganu kelak. Barulah kesenjangan Wilayah super-majoriti Melayu-Bumiputera ini terbela dengan adil dan saksama.

    Nota: YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi komitmen yang jelas untuk Kelantan dan Terengganu bagi royalti mintak dalam Manifesto PN PRU15. Sewaktu 18 bulan mentadbir kerajaan Persekutuan, beliau telah banyak luluskan projek-projek infra buat Kelantan khususnya dalam RMK-12.

    Kezaliman pentadbiran UMNO dan BN dahulu ke atas Kelantan adalah sesuatu yang bersifat politik dan kini ianya diteruskan lagi. Tiada beza!

    Penulis ialah Ketua Armada Bersatu dan Ahli Parlimen Machang

  • Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

    Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

    PELUPUSAN sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada keseluruhan RM12.1 bilion sebagaimana inisiatif dimulakan pentadbiran bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai pada 2021.

    Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, keputusan itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian menikmati manfaat dengan bayaran pinjaman jauh lebih rendah serta mampu dibayar.

    “Buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada 2021 memberi impak besar kepada aliran tunai Felda.

    “Bayaran kembali baki pinjaman akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan melalui Felda komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan mereka serta memastikan hutang ditanggung tidak terus meningkat.

    “Komitmen ini terbukti apabila pada 2022, purata produktiviti ladang peneroka meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan per hektar setahun mewakili peningkatan lebih 12%.

    “Ini sekali gus dapat memberikan pulangan pendapatan lebih tinggi kepada peneroka Felda,” katanya.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menghentikan inisiatif dimulakan Muhyiddin dalam memansuhkan sebahagian pinjaman peneroka Felda.

    Beliau berkata, kutipan untuk bayaran balik pinjaman perlu diteruskan kerana merupakan sumber pendapatan Felda bagi memastikan kelestariannya dan kebajikan peneroka.

    Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan pentadbirannya bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

    Ia termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan modal pembangunan (6,711 peneroka).