Category: Semasa

  • Hajiji nafi beli wakil rakyat Warisan

    Hajiji nafi beli wakil rakyat Warisan

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan kononnya membeli wakil rakyat pembangkang untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali gus menyokong kepemimpinannya.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang mendakwa wakil rakyat parti itu dibeli supaya keluar meninggalkan parti berkenaan.

    “Tuduhan Mohd. Shafie itu tidak benar sama sekali kerana beliau marah dan kecewa selepas beberapa wakil rakyat keluar Warisan.

    “Boleh tanya sendiri kepada bekas wakil rakyat Warisan kenapa mereka bertindak demikian. Apa yang jelas wakil rakyat pembangkang berbuat demikian secara sukarela dan bukannya dibeli,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Duang di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik, di Tuaran, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Hajiji yang kini mengetuai Gagasan Rakyat berterima kasih kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan Datuk Peter Anthony kerana menyatakan sokongan kepada beliau dan kerajaan negeri.

  • Pemuda lemas motosikal terbabas jatuh sungai

    Pemuda lemas motosikal terbabas jatuh sungai

    SEORANG lelaki ditemui lemas di Sungai Tambun Tulang, Arau selepas motosikalnya dipercayi terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai pada pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, orang ramai melihat mangsa yang dikenali Mohd Syafidu Arifin, 27 tahun berasal dari Kampung Pida 3 Semut Gatal, Kedah terjatuh ke dalam sungai tersebut pada pukul 8.27 pagi.

    “Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum mengarahkan kereta Peronda MPV ke lokasi kejadian.

    “Gerakan IPD Arau juga telah memaklumkan kepada pihak Bomba Arau untuk bantuan pada pukul 8.50 pagi sebelum bomba berjaya menaikkan motosikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pada pukul 9.44 pagi, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba tiba di lokasi dan mereka membuat selaman ke dalam sungai.

    Kemudian pada pukul 11.07 pagi katanya, mereka berjaya menjumpai mangsa iaitu 15 meter dari lokasi mangsa jatuh bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

    “Siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai terbabit bersama motosikal,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat.

  • Dua kali hantar surat pohon jumpa PM berkaitan Kedah Aerotropolis, namun tiada maklum balas – Sanusi

    Dua kali hantar surat pohon jumpa PM berkaitan Kedah Aerotropolis, namun tiada maklum balas – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN Negeri Kedah masih mengharapkan agar wujud satu titik temu dapat dicapai bagi merealisasikan projek Mega Kedah Aerotropolis demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya serta negara amnya.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setaka ini sudah dua kali permohonan bertemu Perdana Menteri dihantar namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

    “Saya percaya Perdana Menteri setakat ini belum memberi gambaran penuh mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan usaha untuk membuat pembentangan projek ini di depan beliau akan dilakukan.

    “Setakat inni sudah dua kali surat permohonan bertemu dihantar kepada Perdana Menteri namun belum mendapat sebarang maklum balas.

    “Walau apa pun rintangan, adalah diharapkan agar satu titik temu dapat dicapai bagi merealisasikan usaha ini demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya, serta seluruh negara amnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen Jumaat lalu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) berbanding membangunkan hab baharu.

    Menurut Perdana Menteri, kerja-kerja naik taraf itu akan diterajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

    Sehubungan itu kata Perdana Menteri, cadangan lapangan terbang Kulim tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan semasa.

    Sementara itu Muhamamd Sanusi berkata, Kedah Aerotropolis adalah projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

    Katanya, kerajaan negeri memilih untuk melaksanakan projek tersebut secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya dalam keadaan kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan.

    “Dalam konteks ini, apa yang diperlukan adalah kerjasama daripada agensi-agensi Persekutuan untuk memudah cara sebarang urusan berkaitan bidang kuasa kerajaan Persekutuan seeprti dalam urusan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT).

    “Secara umum projek ini adalah katalis berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan,” katanya.

    Tambahnya, kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan itu akan direalisasikan menerusi pembukaan Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM).

    “SLAM akan bertindak sebagai kawasan perindustrian yang memberi tumpuan kepada industri pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang sangat diperlukan dalam sektor penerbangan.

    “Selain itu, projek jajaran lebuh raya Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) yang akan menghubungkan Lebuh Raya Plus di daerah Bandar Baharu dengan KXP serta Sungai Petani bakal turut dibangunkan. Rangkaian landasan kereta api baharu juga akan dibina menghubungkan KXP, Tasik Gelugor dan Sungai Petani,” jelasnya.

    Beliau juga memaklumkan, KXP tidak akan menjadi pesaing kepada Lapangan LTAPP kerana KXP akan beroperasi sebagai hab kargo dan segmen penumpang belum dipertimbangkan dalam fasa ini.

    “Justeru LTAPP boleh terus memberi fokus kepada perkhidmatan ditawarkan dan menerima bahawa KXP adalah untuk menjadi pelengkap, bukannya pesaing kepada mereka,” katanya.

  • Ismail Sabri tak pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

    Ismail Sabri tak pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti bulan depan.

    Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen Bera itu enggan mengulas sebab beliau berbuat demikian.

    Katanya, kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.

    UMNO mempunyai tiga Naib Presiden selain Ismail, dua lagi penyandang, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan nombor tiga itu.

    Selain Khaled dan Mahdzir, tujuh pemimpin lain turut menyerahkan borang pencalonan untuk bersaing jawatan naib presiden UMNO setakat semalam.

    Mereka ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

    Ini termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

    Pencalonan bagi pemilihan UMNO yang bermula 13 Feb lalu, ditutup 5 petang tadi.

    Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan 11 Mac ini, manakala UMNO bahagian dan MKT pada 18 Mac nanti.

  • Wakil Ku Li gagal batalkan keputusan PRU15 Parlimen Gua Musang

    Wakil Ku Li gagal batalkan keputusan PRU15 Parlimen Gua Musang

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini mengesahkan kemenangan Datuk Mohd. Azizi Abu Naim sebagai Ahli Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Dalam keputusan yang berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu, beliau berkata, mahkamah menerima tiga isu yang dibangkitkan responden iaitu berkaitan tempoh masa petisyen difailkan, kaedah peguam pempetisyen dilantik dan kegagalan pempetisyen memperincikan tuduhan rasuah terhadap kemenangan responden.

    “Petisyen ini didapati difailkan dengan tidak mematuhi undang-undang kerana melepasi had masa 28 hari seperti yang termaktub dalam Seksyen 38 akta sama.

    “Pelantikan peguam cara pempetisyen untuk membayar cukai dan duti setem adalah mandatori serta penting kerana petisyen pilihan raya melibatkan kepentingan awam selain keputusan PRU adalah amalan demokrasi,” katanya.

    Roslan berkata, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah termasuk fakta berkaitan ejen pemberi rasuah yang tidak dijelaskan identitinya.

    “Pempetisyen turut gagal menjelaskan bagaimana dakwaan rasuah itu memberi kesan kepada kemenangan responden dengan majoriti tipis 163 dan kaitan individu bernama Ustaz Wadi dengan Mohd Azizi sekali gus menyebabkan petisyen itu tidak sah serta cacat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Responden diwakili barisan peguam, Wan Rohami Wan Daud, Nik Baharum Nik Abdullah, Yusfarizal Yusuff dan Mohd. Faizi Che Abu manakala pempetisyen diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Hayyan.

    Pada 3 Januari lalu, Mohd. Azmi memfailkan petisyen tersebut bagi membatalkan kemenangan Mohd Azizi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa berlaku sogokan berbentuk wang RM50 kepada beberapa penduduk bagi meraih undi.

    Mahkamah itu pada 8 Februari lalu membatalkan petisyen yang sama terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang, Ab. Fatah Hasbullah (responden kedua) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (responden ketiga) dengan kos RM6,000.

    Pada PRU15, Mohd. Azizi (PN-Pas) menang dengan memperoleh 21,826 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan Tengku Razaleigh yang mendapat 21,663 undi, Asharun Uji (Pakatan Harapan) 4,517 undi dan Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) 371 undi.

  • Syed Saddiq minta kerajaan tunai janji PRU15 mansuh Auku

    Syed Saddiq minta kerajaan tunai janji PRU15 mansuh Auku

    PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan kerajaan mengenai janji manifesto PRU15 untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

    “Jangan lupa PH pernah berjanji untuk memansuhkan Auku semasa kempen PRU15. Ramai pemimpin telah mengulangi janji dalam ceramah,” katanya dalam hantaran di Instagram.

    “Kita mesti berpegang pada komitmen ini. Pelajar mesti dilengkapi dengan kemahiran berfikir secara kritis dan ia bermula di dalam kelas.”

    Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku.

    Menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), beliau berkata, akta itu masih relevan terutamanya melibatkan urus tadbir universiti.

    “Pemansuhan Auku akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya sewaktu peralihan akta,” katanya, lapor FMT.

    Syed Saddiq berkata, Auku bukan sahaja menyekat suara pelajar, tetapi memberi kuasa kepada ahli politik menentukan pentadbiran di semua universiti.

    “Saya adalah antara ramai mangsa Auku hanya kerana mengkritik salah guna kuasa dan rasuah seperti skandal IMDB. Saya dipecat sebagai pensyarah sementara dan jurulatih debat di universiti.

    “Ia sehingga tahap di mana saya tidak dijemput untuk konvokesyen saya sendiri, sebab itu kita mesti berjuang untuk memansuhkan Auku. Akta itu telah menyekat suara ramai pelajar dan terdapat banyak contoh,” katanya.

    Tambahnya, timbalan menteri belia dan sukan sekarang, Adam Adli antara pemimpin pelajar yang ditindas kerana Auku dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak dibenarkan memasuki alumninya (Universiti Malaya) untuk bertemu pelajar ketika dalam pembangkang.

    Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebelum ini, berkata jawatankuasa kerja pemansuhan akta itu telah dibentuk dan ditugaskan menyediakan draf akta baharu bagi menggabungkan kedua-dua Auku dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

    Bagaimanapun, ia tidak dapat dilakukan selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Penggantinya Noraini Ahmad dilaporkan berkata, tiada keperluan menggantikan kedua-dua akta tersebut.

  • 100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kaum Melayu paling ramai lihat ekonomi Malaysia bertambah buruk – Kaji Selidik

    100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kaum Melayu paling ramai lihat ekonomi Malaysia bertambah buruk – Kaji Selidik

    MOMENTUM pemulihan ekonomi negara dilihat berterusan meskipun berdepan persekitaran luaran tidak menentu, termasuk gangguan rantaian bekalan dan konflik geopolitik.

    Selepas berdepan pelbagai cabaran ekonomi semasa tempoh pandemik Covid-19 yang lalu, pengukuhan dalam permintaan domestik, peluang pekerjaan dan pelaburan, mengekang negara daripada situasi kemelesetan ekonomi pada masa ini.

    Dengan pengumuman berita baik mengenai situasi ekonomi dibuat kerajaan, adakah rakyat sudah berpuas hati dengan angka yang dilihat ‘cantik’ di kertas?

    Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengenai pandangan rakyat terhadap ekonomi negara bagi Disember hingga Februari 2023 menunjukkan, daripada keseluruhan lebih 35,000 responden, 39 peratus melihat situasi ekonomi negara bertambah buruk, 38 peratus mengatakan bertambah baik dan 23 peratus responden lagi mengatakan tiada perubahan.

    Kaji selidik turut menunjukkan, kaum Melayu di Semenanjung paling ramai mengatakan ekonomi Malaysia bertambah buruk, iaitu sebanyak 53 peratus.

    Sementara 22 peratus berpendapat bertambah baik dan 25 peratus melihat ekonomi Malaysia tidak berubah, lapor Astro Awani.

    Perkembangan tersebut berbeza pula dengan kaum lain, apabila peratusan responden mengatakan ekonomi Malaysia bertambah baik adalah jauh lebih tinggi berbanding sentimen ekonomi negara lebih buruk.

    Ini menunjukkan, kaum India paling ramai mengatakan ekonomi negara bertambah baik iaitu sebanyak 70 peratus, dan hanya 11 peratus mengatakan sebaliknya, serta 19 peratus lagi merasakan tiada perubahan.

    Kaum Cina juga merekodkan 58 peratus merasakan ekonomi Malaysia bertambah baik dan masing-masing 21 peratus bagi situasi bertambah buruk dan tiada perubahan.

    Bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak pula, lebih separuh daripada responden mengakui ekonomi Malaysia bertambah baik dengan masing-masing merekodkan 53 peratus dan 58 peratus.

    Lain-lain kaum juga mempunyai sentimen sama, apabila 49 peratus responden mengatakan ekonomi Malaysia bertambah baik, manakala hanya 25 peratus mengatakan bertambah buruk, dan baki 26 peratus lagi merasakan tiada perubahan.

    Tinjauan ini merupakan sentimen rakyat berhubung prestasi dan populariti pentadbiran Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Seramai 35,077 respons berjaya diperoleh daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara.

    Pengumpulan data kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula 6 Februari hingga 16 Februari.

    Kerjasama kajian dijalankan antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana, Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.

  • 100 Hari Kerajaan Perpaduan: Cabaran PM Anwar tawan hati Melayu Semenanjung – Kaji selidik

    100 Hari Kerajaan Perpaduan: Cabaran PM Anwar tawan hati Melayu Semenanjung – Kaji selidik

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran tersendiri untuk mempamerkan prestasi cemerlang dalam tempoh 100 hari perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.

    Biarpun melepasi tempoh itu tanpa kekecohan besar, namun jangkaan rakyat juga bukan kecil, apatah lagi dalam aspek pemulihan ekonomi dan kedudukan negara di mata dunia.

    Secara umumnya, rakyat Malaysia didapati tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menunaikan manifesto.

    Ia boleh dilihat menerusi dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, yang menyaksikan 51 peratus responden mengatakan mereka tidak berpuas hati.

    Hanya 25 peratus mengaku berpuas hati sementara 24 peratus bersikap neutral, lapor Astro Awani.

    Sentimen yang rendah dari kalangan masyarakat Melayu terhadap keyakinan kerajaan menjadi cabaran utama pentadbiran Anwar.

    Ini terbukti apabila kaum Melayu di Semenanjung mencatatkan tahap ketidakpuasan hati paling tinggi, dengan 71 peratus.

    Tahap kepuasan masyarakat bukan Melayu berada pada tahap positif kepada kerajaan dan mengambil sikap berhati-hati terhadap tindak-tanduk kerajaan.

    Majoritinya berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan untuk menunaikan manifesto, dengan kaum India mencatat angka tertinggi iaitu 48 peratus, Bumiputera Sabah (42 peratus) dan Bumiputera Sarawak (37 peratus).

    Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.

    Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari tersebut.

    Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November tahun lalu setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  • Belanjawan Anwar gah pada slogan tapi tak begitu manfaatkan negara

    Belanjawan Anwar gah pada slogan tapi tak begitu manfaatkan negara

    SEBUAH badan pemikir ekonomi mengkritik Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas, menyifatkan apa yang dikatakan cuma sedap didengar tetapi tiada sebarang strategi komprehensif untuk pembaharuan cukai.

    Center for Market Education (CME) berkata naratif kerajaan untuk ‘mencukai orang kaya’ dengan meningkatkan kadar cukai serta mengenakan cukai barangan mewah mungkin baik untuk politik tetapi tidak akan memberi apa-apa ‘manfaat sebenar kepada negara’.

    Ia juga memberi amaran bahawa kerajaan memindahkan beban mengurangkan hutang kepada syarikat dan individu ‘dengan cukai baru dan boleh dipersoalkan’.

    “Kami ingin menegaskan bahawa, tanpa disiplin fiskal kerajaan, negara tidak mungkin bergerak ke arah laluan pertumbuhan yang mampan; tambahan pula, cukai baru ‘anti-kaya’ atau ‘anti-perniagaan’ hanya akan menjejaskan ekosistem pelaburan tempatan,” kata Carmelo Ferlito dari CME.

    CME mempersoalkan pengumuman Anwar mengenai suntikan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai simpanan kurang RM10,000, melibatkan kira-kira RM1 bilion.

    “Walaupun ia merupakan kos keseluruhan kerajaan, namun ia tidak memberikan sebarang manfaat sebenar kepada rakyat.

    “Ia hanya bersifat populis,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Dalam ucapan belanjawannya, Anwar antara lain memperkenalkan cukai baru terhadap barangan mewah, serta mengumumkan kenaikan cukai pendapatan daripada 0.5% kepada 2% bagi mereka yang berpendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

    Ferlito bagaimanapun berkata kenaikan cukai itu mungkin tidak memberi sebarang kesan sebenar selain menunjukkan bahawa kerajaan menjangkakan beberapa kumpulan pembayar cukai menyumbang kepada pendapatan apabila “kerajaan sendiri tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan perbelanjaan”.

    Beliau juga mempersoalkan mengenai pengenalan cukai keuntungan modal (CGT) berkata, ia akan menjejaskan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dalam menghadapi persaingan daripada negara jiran.

    Ferlito menyifatkan cukai barangan mewah itu bertentangan dengan sistem percukaian yang saksama.

    “Tiada usaha sebenar dibuat untuk melanjutkan asas cukai dengan penguatkuasaan yang lebih baik atau langkah berkesan seperti cukai barangan dan perkhidmatan,” katanya merujuk kepada cukai pengguna 6% yang dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pada 2018.

    Beliau seterusnya berkata tiada sebarang pakej subsidi bersasar dibentangkan walaupun begitu banyak perbincangan berhubung perkara itu.

    “Sebaliknya, jumlah subsidi dan pemberian meningkat, menunjukkan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk bergerak ke arah disiplin fiskal dan belanjawan seimbang, mengalihkan beban mengurangkan hutang kepada syarikat dan individu.”

  • Halang peruntukan pembangkang tidak selari perjuangan Anwar, Malaysia Madani – Bersih

    Halang peruntukan pembangkang tidak selari perjuangan Anwar, Malaysia Madani – Bersih

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kesal berikutan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2023, yang diumumkan kelmarin.

    Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, perkembangan itu sekali gus menunjukkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak selari dengan perjuangan reformasinya sebelum ini dan konsep Malaysia Madani.

    Katanya, janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2022 untuk memberikan peruntukan CDF yang saksama kepada semua Ahli Parlimen perlu dihormati dalam semangat Malaysia Madani.

    “Atas dasar ini, kerajaan dan pembangkang perlu duduk bersama dan berunding untuk membentuk satu undang-undang memastikan peruntukan saksama dapat diberikan kepada semua Ahli Parlimen.

    “Menahan peruntukan CDF ini adalah tidak menghormati pilihan dan hak pengundi untuk mengundi siapa yang mereka ingin bagi mewakili mereka.

    “Sedangkan CDF diperlukan Ahli Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan Persekutuan atau negeri.

    “CDF juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos pengoperasian pusat khidmat rakyat. Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini, ” katanya melalui kenyataan, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, kecewa dengan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula berikutan tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

    Pada masa sama, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, CDF sudah lama digunakan kerajaan sebagai alat politik untuk menghukum pembangkang dan ‘menafikan’ mereka daripada peruntukan yang diperlukan dengan tujuan supaya rakyat menolak pemimpin pembangkang.

    Menurutnya, peruntukan CDF di kawasan pembangkang sebaliknya disalurkan kepada penyelaras yang tidak dipilih oleh rakyat daripada parti kerajaan bagi meraih sokongan.

    “Taktik sebegini digunakan sebelum ini untuk mempengaruhi wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti sebagaimana yang kita lihat pada pasca kejatuhan Barisan Nasional (BN) selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

    “Taktik ini tidak berkesan kepada pembangkang setiap masa kerana PH tetap cemerlang sebagai pembangkang dulu malah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tanpa sebarang peruntukan CDF.

    “Taktik lapuk ini malah berkemungkinan memakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya.