Oleh RIZQI ZABIDI
KERAJAAN Negeri Kedah masih mengharapkan agar wujud satu titik temu dapat dicapai bagi merealisasikan projek Mega Kedah Aerotropolis demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya serta negara amnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setaka ini sudah dua kali permohonan bertemu Perdana Menteri dihantar namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.
“Saya percaya Perdana Menteri setakat ini belum memberi gambaran penuh mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan usaha untuk membuat pembentangan projek ini di depan beliau akan dilakukan.
“Setakat inni sudah dua kali surat permohonan bertemu dihantar kepada Perdana Menteri namun belum mendapat sebarang maklum balas.
“Walau apa pun rintangan, adalah diharapkan agar satu titik temu dapat dicapai bagi merealisasikan usaha ini demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya, serta seluruh negara amnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen Jumaat lalu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) berbanding membangunkan hab baharu.
Menurut Perdana Menteri, kerja-kerja naik taraf itu akan diterajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.
Sehubungan itu kata Perdana Menteri, cadangan lapangan terbang Kulim tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan semasa.
Sementara itu Muhamamd Sanusi berkata, Kedah Aerotropolis adalah projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan negeri memilih untuk melaksanakan projek tersebut secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya dalam keadaan kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan.
“Dalam konteks ini, apa yang diperlukan adalah kerjasama daripada agensi-agensi Persekutuan untuk memudah cara sebarang urusan berkaitan bidang kuasa kerajaan Persekutuan seeprti dalam urusan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Secara umum projek ini adalah katalis berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan,” katanya.
Tambahnya, kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan itu akan direalisasikan menerusi pembukaan Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM).
“SLAM akan bertindak sebagai kawasan perindustrian yang memberi tumpuan kepada industri pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang sangat diperlukan dalam sektor penerbangan.
“Selain itu, projek jajaran lebuh raya Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) yang akan menghubungkan Lebuh Raya Plus di daerah Bandar Baharu dengan KXP serta Sungai Petani bakal turut dibangunkan. Rangkaian landasan kereta api baharu juga akan dibina menghubungkan KXP, Tasik Gelugor dan Sungai Petani,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, KXP tidak akan menjadi pesaing kepada Lapangan LTAPP kerana KXP akan beroperasi sebagai hab kargo dan segmen penumpang belum dipertimbangkan dalam fasa ini.
“Justeru LTAPP boleh terus memberi fokus kepada perkhidmatan ditawarkan dan menerima bahawa KXP adalah untuk menjadi pelengkap, bukannya pesaing kepada mereka,” katanya.