Category: Semasa

  • Jangan bezakan peruntukan kepada negeri pembangkang-Hadi

    Jangan bezakan peruntukan kepada negeri pembangkang-Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, melengahkan peruntukan di kawasan pilihan raya dan negeri di bawah pembangkang disifatkan perbuatan tidak tepat dengan prinsip Islam serta demokrasi.

    “Tindakan ini bukan sahaja mencalarkan imej Islam malah terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas Presiden Pas itu.

    Katanya lagi, sejurus selesai pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah kerana itu adalah konsep demokrasi sebenar.

    “Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan.

    “Perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Katanya, kini kebanyakan penduduk di luar bandar khususnya orang Melayu dan Bumiputera memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) serta parti di Sarawak dan Sabah manakala Pakatan Harapan (PH) menerima dukungan daripada penduduk bandar dan kawasan campuran.

    Justeru, tegasnya tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan.

    Menurutnya, PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana pandemik Covid-19 dapat menunjukkan sedikit perubahan.

    “Apabila pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana kesilapannya dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya, mereka kemudiannya memberikan sokongan kepada PN.

    “Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai,” katanya.

    Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 katanya, parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti kecil dan segala yang ‘berpenyakit’ bagi mencukupkan jumlah dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana disaksikan rakyat.

    “Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat supaya lebih berhati-hati dan bersikap tegas serta berkecuali dan tidak mengizinkan rantau Asia Tenggara dijadikan medan perang kuasa besar sekali lagi.

    “Walaupun bajet yang dibentangkan dengan jumlah kewangan yang besar dan janji-janji yang banyak. Ucapannya (Perdana Menteri juga) didahulukan dengan ucapan Nabi Yusuf yang disebutkan dalam al-Quran.

    “Nabi Yusuf dilantik oleh Allah (sebagai rasul), Perdana Menteri kita, rakyat Tambun lantik dia. Nabi Yusuf dikawal oleh wahyu, kalau dia (baginda) buat silap, Malaikat Jibril turun betulkan tetapi Perdana Menteri kita, dia ada panasihat yang dilantiknya sendiri, kita tak tahu penasihat dia macam mana, tidak macam Jibril,” katanya.

  • Timbalan Speaker arah MP DAP tarik balik kenyataan terhadap Muhyiddin

    Timbalan Speaker arah MP DAP tarik balik kenyataan terhadap Muhyiddin

    TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau pagi ini mengarahkan rakan seperjuangannya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

    Alice Lau

    Lapor Malaysiakini, ini selepas Khoo, yang juga dari parti DAP, mendakwa Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak kerajaan kepada menantunya, sesuatu yang dinafikan bekas perdana menteri itu.

    “Kita semua satu Malaysia sudah tahu, telah disiarkan dlm suratkhabar bahawa MACC (SPRM) tengah menyiasat anak menantu Pagoh. ini satu dunia (sudah) tahu,” menyiasat menantu Pagoh. Seluruh dunia tahu perkara ini.

    “Mengikut laporan suratkhabar bahawa menurut sumber berita, anak menantu Pagoh (sedang) disiasat oleh MACC,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2023.

    Khoo membuat dakwaan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mencabarnya untuk mengulangi sebahagian daripada ucapannya, di mana naib pengerusi DAP Melaka itu menyindir bahawa seorang bekas pemimpin negara telah memberikan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada anak menantunya.

    Kenyataan Khoo itu menimbulkan kemarahan ahli parlimen pembangkang, yang menggesanya supaya menariknya balik dan menuntut timbalan speaker yang mempengerusikan sesi pagi ini membuat keputusan.

    Susulan itu, Lau meminta Khoo memperjelaskan kenyataannya dengan menyatakan akhbar mana yang dipetiknya serta tarikh laporan itu disiarkan.

    Bagaimanapun, selepas RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) tampil untuk membantu Khoo dengan membekalkan fakta, yang menurutnya dipetik daripada laporan New Straits Times bertarikh 9 Februari, Awang Hashim (PN-Pendang) segera mencelah dengan mengatakan bahawa Muhyiddin telah pun menafikan tuduhan itu.

    Kekecohan timbul sekali lagi, sebelum Lau meminta Muhyiddin memberikan penjelasannya dan bekas perdana menteri itu mengulangi penafiannya.

    “Saya dah sebut hari itu (Ini) pembohongan, fitnah, tak betul, tuduhan berat nak jatuhkan saya dan maruah keluarga saya.

    “Hanya kerana YB (kamu) baca suratkhabar… surat kabar sekarang ini pun macam-macam sangkaan buruk, fake news (berita palsu).

    “Saya nak jelaskan di sini bahawa itu tidak benar. Bahawa keputusan jawatankuasa pemilihan secara tender terbuka, bukan syarikat milik anak menantu saya,” katanya.

    Muhyiddin seterusnya turut mencabar Khoo untuk mengulangi tuduhannya di luar Dewan Rakyat supaya dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli parlimen Kota Melaka itu.

    Susulan penjelasan Muhyiddin, Lau, yang merupakan ahli Parlimen DAP bagi Lanang, kemudian mengarahkan Khoo menarik balik kenyataannya, memetik Peraturan Tetap Dewan Rakyat 36(6) yang menetapkan bahawa tiada ahli Parlimen boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada mana-mana ahli lain.

    Khoo pada mulanya keberatan untuk menarik balik kenyataan itu tetapi hanya mahu menyusun semula ayat-ayatnya, tetapi Lau berkeras mahu dia menarik balik kenyataan tersebut.

    “YB Kota Melaka, tarik balik dulu baru reframe,” katanya.

  • ‘Annuar Musa atau sesiapa saja boleh mohon sertai Bersatu’

    ‘Annuar Musa atau sesiapa saja boleh mohon sertai Bersatu’

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mengambil sikap terbuka sekiranya bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mahu menyertai parti itu.

    Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, Annuar boleh mengemukakan permohonan seperti amalan biasa sekiranya berminat menjadi ahli parti Bersatu.

    Kata beliau, secara umumnya Annuar atau sesiapa sahaja boleh mohon jika berminat menyertai Bersatu.

    “Ia proses biasa. Secara asasnya tidak ada tawaran tetapi kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat. Kita tidak ada (pengembilan) keahlian luar biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

    Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu Kelantan berhasrat untuk menawarkan keahlian parti kepada Annuar.

    Ini selepas bekas menteri UMNO itu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti politik selepas lebih tiga bulan dipecat UMNO.

    Semalam Annuar dilaporkan berkata, beliau telah meluangkan masa sejak dipecat untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.

    “Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

    “Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka,” katanya dalam catatan Facebook.

    Sementara itu Kamaruddin berkat,a mana-mana parti yang disertai Annuar pastinya boleh menimba pengalaman daripada pemimpin itu.

    “Dia seorang berpengalaman dengan macam-macam perkara, sudah tentu parti yang disertainya boleh timba pengalaman daripada Annuar,” katanya.

    Annuar dipecat daripada UMNO pada Disember tahun lalu.

    Annuar sebelum ini dilihat antara tokoh UMNO yang menggesa kerjasama parti itu dengan Pas dan Bersatu, bertentangan dengan keputusan kepimpinan tertinggi.

    Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama-sama sejumlah ketua UMNO bahagian lain menggesa Zahid mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.

    Annuar sebelum itu telah digugurkan sebagai calon BN dalam pilihan raya umum 2022.

  • Bersatu akan jawab surat tuntutan BN

    Bersatu akan jawab surat tuntutan BN

    DATUK Wan Saiful Wan Jan menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengikut proses sewajarnya bagi menjawab tuntutan Barisan Nasional (BN) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau yang baharu meletak jawatan sebagai bekas Ketua Penerangan Bersatu berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) menghantar surat tuntutan (LOD) itu sebagai regresif dan menindas.

    “Pihak kita sudah pasti akan jawab ikut proses yang biasa dan bagi saya, ini adalah usaha untuk ‘senyapkan’ mereka yang mengkritik kerajaan dengan menggunakan saluran perundangan. Satu perkara yang regresif dan menindas.

    “Dahulu ramai tokoh politik bantah apabila dilaksanakan Operasi Lalang, sekarang lebih kurang sama, sikit-sikit kena panggil,” katanya kepada Sinar Harian selepas program Sinar Live di bangunan Parlimen hari ini.

    Media semalam melaporkan, BN mendesak Muhyiddin dan Mohamed Azmin menarik balik dan memohon maaf secara terbuka kerana menuduh Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai lalang dan perancang pertuduhan kes rasuah melibatkan Wan Saiful.

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa, kes kluster mahkamah melibatkan pemimpin Bersatu didalangi Ahmad Zahid yang dipercayai antara usaha BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk melumpuhkan parti itu setelah melihat sokongan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) semakin kuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pada 21 Febuari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek Central Spine Road (CSR) bernlai RM232 juta tahun lalu.

  • Dua lelaki ditahan bersama syabu bernilai lebih RM114,000

    Dua lelaki ditahan bersama syabu bernilai lebih RM114,000

    POLIS menahan dua lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 3.16 kilogram bernilai RM114,668 dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Kling pada 23 Feb lepas.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata suspek berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 3.30 pagi di sebuah premis dipercayai menjadi tempat tinggal dan kegiatan pembungkusan dadah.

    Beliau berkata polis turut menyita barang kemas bernilai RM 21,763 dan wang tunai RM13,000.

    “Berdasarkan risikan hasil maklumat awam, sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Jun tahun lepas dan dadah yang dirampas adalah bagi pasaran Batu Pahat serta Johor Bahru untuk kegunaan 15,820 penagih dadah.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak bekerja dan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

    Zainol berkata hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphethamine.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    HUJAN lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Kluang, Mersing, Kota Tinggi and Johor Bahru di Johor hingga Khamis ini (2 Mac), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 tengah hari ini.

    Hujan lebat berterusan pada paras sangat bahaya diramal menimpa Pekan dan Rompin di Pahang, serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    Di Perak, kawasan dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga esok adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; dan Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.

    Hujan turut dijangka di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu. – BERNAMA

  • Tiket percuma buat penyokong sertai kelas al-Quran KDA FC

    Tiket percuma buat penyokong sertai kelas al-Quran KDA FC

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIDAK hanya melakukan persiapan bersungguh-sungguh bagi menghadapi saingan di tengah padang, pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini turut tampil dengan pelbagai idea berbeza bagi meraikan penyokong dengan yang terbaru, menggalakkan bacaan al-Quran dalam kalangan umat Islam.

    Menerusi pengumuman dibuat di laman Facebooknya hari ini, KDA FC mengumumkan mengenai klinik bacaan al-Quran KDA FC yang dianjurkan bersama salah sebuah syarikat penaja, Olive House pada setiap hari perlawanan di Stadium Darul Aman.

    Menariknya, setiap penyokong yang berjaya menamatkan sesi bimbingan bacaan al-Quran itu sebanyak 10 kali, mereka akan menerima sekeping tiket perlawanan percuma.

    “Pada setiap hari perlawanan, akan ada klinik bacaan al-Quran yang dibuka kepada penyokong Sang Kenari Sesi itu akan dibimbing guru terlatih dan jika penyokong berjaya menamatkannya sebanyak 10 kali, KDA FC dan Olive House akan memberi hadiah tiket perlawanan.

    “Tiket percuma itu akan diberi pada perlawanan ke-11. Insya Allah, semua penyokong Sang Kenari celik dan fasih dalam sebutan ayat al-Quran,” katanya.

    Tambah kenyataan itu lagi, bimbingan bacaan al-Quran itu akan dilaksanakan secara bersemuka oleh guru terlatih.

    “Sesi bacaan adalah untuk semua golongan dari permulaan hingga mahir,” katanya.

  • Jimat RM17 bilion jika T20 tak dapat subsidi petrol, LPG

    Jimat RM17 bilion jika T20 tak dapat subsidi petrol, LPG

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, golongan kaya mendapat manfaat sebanyak RM17.8 bilion (35 peratus) daripada keseluruhan RM50.8 bilion subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022.

    Sementara itu, 24 peratus daripada subsidi kerajaan memberi manfaat kepada kumpulan B40 manakala baki 41 peratus lagi dinikmati golongan M40.

    Ahmad berkata jumlah besar yang boleh dijimatkan daripada pemberian subsidi kepada kumpulan T20 boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan urusan lain di 26 kementerian.

    “Dari segi angka, RM50.8 kalau darab dengan 35 peratus yang diguna oleh T20, nilainya, RM17.8 bilion.

    “Kita kita tidak mahu lagi T20 dapat subsidi petrol, diesel LPG, kerajaan boleh jimat RM15 hingga RM17 bilion.

    “Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion hingga RM17 bilion.

    “Yang berhormat- yang berhormat boleh bayangkan berapa banyak boleh kita guna dari RM15 hingga RM17 bilion itu untuk bantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ahmad menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PN – Kuala Terengganu) yang bertanya apakah kerajaan berhasrat melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol, LPG dan minyak masak bagi mereka yang berpendapatan rendah.

    Sementara itu, dalam sidang akhbar hari ini, Ahmad berpendapat Malaysia adalah satu-satunya negara yang memberikan subsidi kepada golongan kaya jauh lebih banyak daripada apa yang diberikan kepada golongan miskin.

    “Adakah negara lain memberikan subsidi kepada orang kaya jauh lebih banyak daripada apa yang mereka berikan kepada orang miskin? Tidak, kan? Malaysia sahaja,” katanya.

    Terdahulu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pontian itu juga berkata kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM66.3 bilion tahun lalu dalam bentuk subsidi dan ini termasuk minyak masak, ayam, telur dan tarif elektrik.

    Walaupun pelaksanaan subsidi telah membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup, Ahmad berkata ia juga mengakibatkan ketirisan.

    “Sebagai contoh, perbezaan besar dalam nilai pasaran dan harga subsidi untuk diesel meningkatkan risiko penyeludupan barangan berkenaan,” katanya sambil menambah kerajaan komited untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk mengurangkan ketirisan.

  • Bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah palsukan dokumen

    Bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah palsukan dokumen

    SEORANG bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen antara 2017 hingga 2019.

    Muhammad Farhan Salleh, 37, yang juga bekas kerani Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan tiga set dokumen Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atas nama tiga syarikat, iaitu FNL Trading, Neosoft Technology Trading dan Ideal Ventures Enterprises, yang dipalsukan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Sayap Selatan Kota Iskandar, di Iskandar Puteri antara Januari 2017, Februari 2018 dan Januari 2019.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly, lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Choon Yew memohon jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

    Namun, Mohd. Fazaly memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 disebabkan anak guamnya kini bekerja sebagai peniaga selepas berhenti bekerja dalam perkhidmatan awam sejak 2020.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan kes akan disebut semula bagi serahan dokumen pada 16 Mac.

  • PRN: Saifuddin akui penyokong BN, UMNO sukar beri undi kepada PH

    PRN: Saifuddin akui penyokong BN, UMNO sukar beri undi kepada PH

    PAKATAN Harapan (PH) mengakui kesukaran mereka untuk menarik sokongan akar umbi UMNO, walaupun kedua-dua parti akan bekerjasama menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijangkakan pada Julai depan.

    Ini sekali gus akan menyukarkan calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    Mereka berdepan laluan sukar sama ada untuk merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas, atau mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Untuk rekod, enam negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kini ditadbir PN menerusi pimpinan Pas, serta Pulau Pinang (PH-DAP) dan Selangor serta Negeri Sembilan (PH-PKR) tidak menyertai PRU-15 pada 19 November lalu.

    Hanya Perlis, Pahang dan Perak mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU-15, dengan semua 15 DUN di Perlis disapu bersih Perikatan Nasional (PN), kecuali Indera Kayangan dimenangi PH manakala penyandang pentadbiran negeri, UMNO, kalah semua kerusi.

    Di Perak, daripada 59 kawasan DUN, PN menang 26 kerusi diikuti PH (24 kerusi) dan Barisan Nasional (BN) sembilan, termasuk lapan daripada UMNO. Bagaimanapun, UMNO kemudian bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri.

    Di Pahang pula, PN menang 17 kerusi DUN, diikuti BN-UMNO (17 kerusi) dan PH (tujuh kerusi) termasuk enam dimenangi DAP.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kemudian diangkat menjadi Menteri Besar setelah UMNO bekerjasama menubuhkan kerajaan negeri UMNO-DAP.

    Mengulas kerjasama PH-BN, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui satu analisis yang dilakukan pihaknya mendapati adalah lebih mudah untuk penyokong PH beralih mengundi calon BN.

    Bagaimanapun, katanya data dan maklumat yang diperoleh juga menunjukkan adalah sukar untuk penyokong BN, khususnya UMNO, untuk beralih mengundi calon PH.

    “Kalau kita andaikan berlaku perpindahan undi. Maknanya PH dengan BN berkawan sebagai kerajaan (peringkat Pusat)… di bawah berlaku tak dia kalih (tukar)? Dia kalih tak dengan sebab BN kawan dengan kita (PH), dengan sebab kita berkawan dengan BN.

    “Yang itu dalam analisa kita ini pun kita boleh kesan benda itu. Bahawa lebih mudah penyokong PH beralih undi BN… payah (sukar) penyokong BN nak beralih undi bagi kat kita… itu data tunjuk lagu (macam) tu.

    “Itu yang saya tanya Mahfuz (Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar)… macam mana hubungan dengan UMNO… dia tak bagus. Penerimaan macam mana? Betul… ada lagilah (yang tak dapat terima).

    “Ada lagi dia (Mahfuz) kata tak sepenuh hati (terima kerjasama). Tidak lagi sepenuh hati. Dia terkenang lagi apa kawan buat kat dia,” katanya dalam taklimat ketika Konvensyen PH Kedah di Sungai Petani, baru-baru ini.

    Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, PH dan BN mempunyai satu kelebihan bagi menghadapi PRN tidak beberapa bulan lagi.

    “Saya kata la ni kita cuma ada satu saja kelebihan. Iaitu kita jadi kerajaan di peringkat Pusat. Itu ialah modal kelebihan. Nak mula bagaimana kelebihan di peringkat Pusat boleh diperturunkan sampai kita jadi kuat dan ada peluang pada PRN,” katanya.

    Saifuddin yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, berdasarkan model PRU-15, PH kalah di banyak saluran serta di kawasan kampung.

    “Semua saluran pengundi muda kita kalah… semua pengundi awal, polis pun kita kalah, tentera pun kita kalah, PGA (Pasukan Gerakan Am) pun kita kalah, kakitangan awam pun kita kalah. Semua kalah di Kedah.

    “Bila dah kalah, modal kita satu saja la ni iaitu di peringkat Pusat, kita ada kerajaan. Jadi kerajaan peringkat Pusat mesti kita rasa ada kelebihan,” katanya, lapor Agenda Daily.