Category: Semasa

  • Tunku Idris terbangkan sendiri helikopter hantar bantuan mangsa banjir

    Tunku Idris terbangkan sendiri helikopter hantar bantuan mangsa banjir

    TUNKU Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hari ini menggerakkan misi bantuan mangsa banjir dengan menerbangkan sendiri helikopter dari Johor Bahru ke Chaah, Segamat.

    Dalam misi itu, Tunku Idris turut membawa bekalan makanan serta barangan kebersihan diri untuk agihan mangsa banjir di kawasan itu.

    Menerusi perkongsian di Facebook The Royal Johor, helikopter kendaliannya berlepas dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

    Helikopter kendaliannya yang berlepas dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru pagi tadi sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

    “Sejurus mendarat, Tunku Idris turut membantu memunggah barangan tersebut daripada helikopter berkenaan.

    “Pengagihan bekalan makanan dan barangan kebersihan diri kemudian dilakukan pegawai serta sukarelawan dari Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

    Chaah antara kawasan yang terjejas teruk dengan lebih 2,100 terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas penempatan mereka dinaiki air.

  • Profesor direman lima hari disyaki seleweng RM30,000

    Profesor direman lima hari disyaki seleweng RM30,000

    SEORANG timbalan pengarah di sebuah universiti awam direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran universiti berkenaan. 

    Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki itu itu ditahan pada pukul 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Menurut sumber, individu itu dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya dan kejadian itu berlaku pada Ogos 2021.

  • SPRM perlu siasat dana politik secara telus-Takiyuddin

    SPRM perlu siasat dana politik secara telus-Takiyuddin

    PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan secara telus bukan saja terhadap parti pembangkang malah parti kerajaan dalam membanteras rasuah politik.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak juga diminta tidak menganggap tindakan SPRM membekukan akaun sesuatu parti sebagai bersalah kerana kadang-kadang kesalahan yang dilakukan itu tidak berkait dengan kewangan yang ada di dalam parti berkenaan.

    “Sebagai contohnya, akaun UMNO suatu masa dahulu terdapat RM114 juta dan akhirnya apabila SPRM mendapati tidak ada kes berkaitan ia diberikan semula kepada parti berkenaan.

    “Apabila wang yang masuk ke dalam akaun parti mestilah duit yang diperoleh daripada sumber yang sah termasuklah sumbangan daripada orang ramai, mahupun ahli.

    “Di Malaysia tidak ada undang-undang yang berkaitan dengan dana politik dan sesiapa saja boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama di Jalan Kebun Sultan, di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, jika hendak semak kewangan parti, ia perlu dilakukan ke atas semua parti kerana pada pilihan raya semuanya menggunakan wang.

    “Dari mana mereka (parti) mendapat wang untuk membuat poster, mengadakan ceramah atau aktiviti berkaitan dan ia tentulah usaha daripada parti itu sendiri untuk mendapatkan kewangan bagi parti masing-masing,” katanya.

    Takiyuddin berkata, setiap bulan Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat bagi membentangkan penyata kewangan iaitu berapa banyak wang yang diterima dan dibelanjakan.

    “Dulu kita pernah dituduh menerima RM90 juta, tetapi akhirnya SPRM mengesahkan tidak ada bukti wang masuk ke dalam akaun dan itu adalah satu tohmahan politik yang tidak berasas.

    “Jadi saya yakin dalam isu Bersatu duit yang diperoleh adalah daripada penyokong ahli parti berkenaan.

    “Terdapat proses undang-undang bagaimana hendak mendapatkan kembali wang daripada disita atau dibekukan oleh pihak SPRM,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Lelaki bakar rumah keluarga, berang dilapor penglibatan dadah

    Lelaki bakar rumah keluarga, berang dilapor penglibatan dadah

    BERANG selepas mengesyaki ahli keluarga melaporkan penglibatannya dalam aktiviti dadah, seorang lelaki bertindak membakar rumah keluarganya di Skim Penempatan Semula Kampung Sungai Alo di Mukah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias dalam kenyataan berkata kejadian kira-kira 7.40 malam itu menyebabkan 12 penghuni termasuk suspek telah kehilangan tempat tinggal.

    “Suspek yang merupakan penganggur berusia 30 tahun dikatakan memulakan kebakaran itu di bahagian belakang rumah tersebut. Pada lebih kurang 7.40 malam pemilik rumah yang juga abang kepada suspek telah terdengar suspek memanggil keluar ahli keluarganya untuk keluar memadamkan api.

    “Apabila mangsa dan semua ahli keluarga keluar dari rumah, mereka mendapati bahagian belakang rumah telah terbakar dan api sedang merebak. Kesemua mereka dapat menyelamatkan diri tetapi tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang peribadi di dalam rumah tersebut,” katanya.

    Suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah kemudiannya ditahan oleh ahli keluarganya dan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah berjaya memadamkan api namun rumah tersebut musnah keseluruhannya.

    Suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata kini direman untuk siasatan lanjut.

  • Pasangan suami isteri edar dadah ditahan, sepucuk pistol dirampas

    Pasangan suami isteri edar dadah ditahan, sepucuk pistol dirampas

    SEPASANG suami isteri masing-masing berusia 46 dan 43 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam dua serbuan di Gelugor, Pulau Pinang pada 23 Februari lalu.

    Dalam serbuan di sebuah apartment bermula pukul 11.45 malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu bernilai RM30,900 bersama sepucuk pistol serta lima butir peluru.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun ditahan di kawasan bawah sebuah apartment yang mana polis merampas dua paket syabu seberat 51 gram(g) bernilai RM5,100 bersamanya.

    Jelas beliau, berpandukan lelaki itu, polis kemudian menyerbu sebuat unit apartment dan menahan isterinya serta merampas syabu bernilai RM25,800.

    “Hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu, polis menemui sepucuk pistol jenis revolver .38 S&W special CTG dan lima butir peluru hidup.

    “Senjata ini telah dihantar untuk ujian balistik bagi mengesan sama ada ia pernah digunakan bagi kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, pasangan suami isteri itu didapati aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak pertengahan tahun lepas.

    Katanya, siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pelanggan di sekitar George Town.

    “Dadah yang dirampas ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 3,040 penagih,” katanya.

    Ujar beliau, pasangan suami isteri yang juga penganggur itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dengan suspek lelaki didapati positif dadah selain turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

  • Bendahari Agung Bersatu ditahan SPRM

    Bendahari Agung Bersatu ditahan SPRM

    PEMIMPIN kanan Bersatu dilapor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam bagi membantu siasatan agensi berkenaan.

    Malaysiakini dalam laporannya memetik sumber berkata, Bendahari Agung Bersatu Datuk Mohamed Salleh Bajuri kini berada dalam tahanan SPRM.

    Katanya, ini selepas SPRM mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk meremannya selama dua hari.

    “Ya, memang betul dia (Bajuri) ditahan,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today yang memetik sumber dalam Bersatu, penahanan Salleh itu berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

    Mohamed Salleh mempunyai latar belakang sebagai ahli korporat sejak beberapa dekad lalu.

    Dia dilantik menjadi bendahari agung parti berkenaan pada 2016.

  • Rasuah: Bekas Ketua UMNO kekal dipenjara lapan tahun, denda RM977,560

    Rasuah: Bekas Ketua UMNO kekal dipenjara lapan tahun, denda RM977,560

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 terhadap bekas Ketua Umno Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail atas 10 pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.

    Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Abd Ghani, 56, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

    Dalam penghakimannya, Hanipah berkata sebahagian besar alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah tidak relevan dengan fakta bagi sembilan pertuduhan menerima rasuah, maka pandangan Mahkamah Tinggi sudah tentu memprejudiskan perayu.

    Bagaimanapun, beliau berkata Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk mendengar semula rayuan berdasarkan keterangan di Mahkamah Sesyen.

    “Setelah meneliti rekod rayuan dan kesemua keterangan serta alasan penghakiman Mahkamah Sesyen, kami dapati keputusan Mahkamah Sesyen boleh dipertahankan dan tidak terdapat apa-apa kekhilafan oleh Mahkamah Sesyen yang memerlukan campur tangan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. 

    “Kami juga berpuas hati bahawa tidak terdapat kesilapan di peringkat Mahkamah Sesyen. Oleh itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan manakala rayuan (bagi sembilan pertuduhan) ditolak,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

    Bagi satu lagi pertuduhan memperoleh suapan untuk melantik sebuah syarikat sebagai kontraktor, Hanipah berkata mahkamah berpendapat tidak terdapat kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    “Hakim Mahkamah Tinggi telah mengguna pakai prinsip undang-undang yang betul kepada fakta rayuan bagi kes tersebut. Dengan itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat, rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

    Mengikut sembilan pertuduhan, Abd Ghani didakwa sebagai Ahli Jawatankuasa Tender, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika itu, memperoleh suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) berjumlah RM193,512.

    Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

    Abd Ghani didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Desa Pandan antara 4 Ogos 2006 hingga 31 Mac 2007.

    Bagi satu lagi pertuduhan, Abd Ghani didakwa memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

    Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

    Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

    Difahamkan, Abd Ghani yang telah membayar denda tersebut (RM977,560) akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula hari ini.

    Pada 28 Dis 2012, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 ke atas Abd Ghani sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman sama terhadapnya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal dan Samihah Rhazali manakala peguam Zamri Ibrahim mewakili Abd Ghani.

  • Jangan terima Pejuang, pemimpin Bersatu beritahu PN

    Jangan terima Pejuang, pemimpin Bersatu beritahu PN

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman menyifatkan permohonan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai tindakan “terdesak, oportunis dan tiada prinsip” susulan kalah teruk pada PRU15

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Faiz yang membantah penyertaan Pejuang turut “menyerang” Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku presiden parti itu.

    Jelasnya menerusi Facebook, beliau ada menghantar mesej kepada Mukhriz sebelum PRU15 mengajak bersama PN berdepan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

    Bagaimanapun, beliau berkata jawapan Mukhriz menimbulkan kemarahannya selepas bekas menteri besar Kedah itu membalas: “Sekarang baru nak fikir ego”.

    Faiz juga ada memuat naik tangkap layar perbualannya bersama Mukhriz dalam hantaran itu.

    Terdahulu, Mukhriz berkata, Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon menyertai gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau belum menerima apa-apa maklumat mengenai permohonan Pejuang menyertai PN.

    “Sudah pasti ia akan dibincangkan dengan parti komponen lain dan PN akan membuat keputusan,” katanya kepada FMT.

  • Sarjan ditahan disyaki minta rasuah

    Sarjan ditahan disyaki minta rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut ditahan untuk siasatan berhubung kes rasuah.

    Suspek berusia 35 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh pukul 11.15 malam tadi.

    Lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini untuk perintah reman.

    Majistret Tuan Mohamed Shah Reza Noor Azman membenarkan perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Mac ini.

    Suspek didakwa meminta rasuah RM1,000 sebagai dorongan untuk tidak lagi mengambil tindakan terhadap anak kepada seorang lelaki yang telah dijatuh hukum atas kesalahan pertama menyalahgunakan ketum.

    Pengadu mendakwa dihubungi sarjan itu pada 28 Februari lalu ketika dia berada di Mahkamah Jerantut atas urusan pembayaran wang denda anaknya itu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Lelaki maut disyaki ditikam

    Lelaki maut disyaki ditikam

    SEORANG lelaki maut dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dalam kejadian di Hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut, di Port Dickson, semalam.

    Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.35 malam daripada orang awam.

    Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan iaitu di kawasan parkir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

    “Lelaki itu bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Lukut yang berada di lokasi kejadian.

    “Mayat lelaki berusia 38 itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk ujian Covid-19 dan proses bedah siasat bagi menentukan sebab kematian simati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat untuk mengesan suspek yang terlibat.

    “Siasatan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Justeru katanya, pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.