Category: Semasa

  • 451kg dadah bernilai RM14.9 juta dirampas

    451kg dadah bernilai RM14.9 juta dirampas

    SATU sindiket pengedaran dengan rampasan dadah bernilai RM14.9 juta tumpas di Rawang kelmarin.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap dua lelaki berumur 22 dan 33 tahun di kawasan Rawang, Selangor, kelmarin.

    “Tangkapan pada pukul 12.55 tengah hari itu berjaya merampas 10 guni putih yang mengandungi sejumlah 503 bungkusan plastik berwarna keemasan yang tertera tulisan ‘Freeze-dried Durian’ dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Navara.

    “Bungkusan terbabit disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 451 kilogram,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan (tiga dari kanan) bersama pegawainya mengadakan sidang media kejayaan polis selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah, rompakan di Ambank Setia Alam dan kes bunuh warga asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa dadah dari negara jiran melalui Kelantan ke Selangor.

    Bekalan dadah yang dirampas itu katanya, boleh dibekalkan kepada 2.1 juta pengguna dadah jenis syabu dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram seorang.

    Hussein berkata, kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan menerima upah sebanyak RM10,000.

    Sebahagian daripada dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 451 kilogram bernilai RM14.9 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, semakan terhadap kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mendapati mereka mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39A(1), 12(2), 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

    “Tindakan juga akan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengesan dan menyita harta-harta yang diperoleh daripada hasil aktiviti pengedaran dadah.

    “Suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 1 hingga 7 Mac ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Ini merupakan rampasan kedua terbesar pada tahun ini dan terbesar di Selangor,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

  • 3 suspek letup mesin ATM ditahan, 2 dicekup ketika ‘cuci’ wang

    3 suspek letup mesin ATM ditahan, 2 dicekup ketika ‘cuci’ wang

    TIGA lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Setia Alam dekat Shah Alam, pada 23 Februari lalu berjaya ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketiga-tiga suspek itu ditahan Selasa lalu, di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuang, Gombak dan Meru, Klang.

    Dalam kejadian rompakan itu, ketiga-tiga suspek bertindak meletupkan dua mesin ATM dan melarikan wang tunai berjumlah RM267,150 dalam satu daripada mesin berkenaan.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Seorang suspek berusia 43 tahun yang dipercayai dalang ditahan di bengkel tempatnya bekerja selain polis turut merampas sebuah tong gas yang mempunyai tompokan hijau yang dipercayai digunakan untuk meletupkan mesin ATM.

    “Dua suspek yang berusia 30 dan 33 tahun pula ditahan di rumah masing di Meru yang mana ketika serbuan dilakukan, mereka sedang mencuci wang hasil rompakan dengan menggunakan cecair peluntur,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Husein berkata, suspek dipercayai meletupkan mesin berkenaan dengan memasukkan gas ke ruang pengeluaran wang yang diumpil.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan (tiga dari kanan) bersama pegawainya mengadakan sidang media kejayaan polis selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah, rompakan di Ambank Setia Alam dan kes bunuh warga asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kerugian keseluruhan berjumlah RM327,150 membabitkan wang tunai berjumlah RM267,150 serta dua ATM yang rosak.

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan polis mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau sabit jenayah dan dadah.

    Katanya, polis kini sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan seterusnya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

    “Susulan penahanan tiga suspek itu, kita juga berjaya menyelesaikan dua lagi kes letupan ATM milik bank yang sama yang berlaku di Meru pada Disember 2020 dan Februari tahun lalu.

    “Semua suspek direman tujuh hari sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

  • Wanita mengaku tak salah tipu pakej haji, umrah tanpa lesen

    Wanita mengaku tak salah tipu pakej haji, umrah tanpa lesen

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan menawarkan pakej umrah serta haji tanpa lesen yang sah.

    Bagi pertuduhan pertama, Nur Zaidani Akmal Abdul Majid, 39, didakwa memperdaya seorang warga emas berusia 61 untuk memindahkan wang RM14,000 sebagai bayaran pakej umrah dan haji bagi tahun ini.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Nur Zaidani Akmal didakwa menawarkan pakej umrah tanpa memegang lesen yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

    Pertuduhan itu mengikut Seksyen 5 (2) Akta Industri Pelancongan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dia turut didakwa menawarkan pakej haji tanpa lesen pengelola jemaah haji yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji dan pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 27 (1) (a) Akta Tabung Haji 1995 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, antara pukul 8.46 pagi hingga 9.52 malam, pada 27 Dis 2022 hingga 27 Jan lepas.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Saiful Sayoti membenarkan Nur Zaidani Akmal diikat jamin sebanyak RM11,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 3 April ini.

  • Wanita didakwa cuai sebabkan kematian cucu

    Wanita didakwa cuai sebabkan kematian cucu

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan cuai kerana meninggalkan cucu lelakinya berusia dua tahun enam bulan sehingga menyebabkan kematian mangsa bulan lepas.

    Nooriza Samsudin, 39, sebagai penjaga kepada kanak-kanak lelaki itu didakwa cuai dengan meninggalkan mangsa di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhadapan Plaza Medan Idaman di Jalan Gombak, di Kuala Lumpur, antara 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang pada 25 Februari lepas, yang menyebabkan kematian mangsa akibat strok haba.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Triperjit Singh yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000

    Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi kemudian membenarkan Nooriza diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

  • Lagi pegawai kanan agensi kerajaan ditahan kes rasuah di laut

    Lagi pegawai kanan agensi kerajaan ditahan kes rasuah di laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lagi suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kedah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ di laut.

    Sumber memaklumkan, lelaki berusia 37 tahun yang ditahan itu bertugas sebagai pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Johor.

    Katanya, dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 2.45 pagi tadi.

    “Rasuah tersebut dipercayai sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

    “Penahanan suspek merupakan susulan kepada Op Tunda di Kedah. Tangkapan terbaru ini menjadikan secara keseluruhannya 13 individu ditahan terdiri daripada tujuh penjawat awam dan lima orang awam,” katanya.

    Tambahnya, Mahkamah Majsitret Alor Setar hari ini membenarkan agar suspek direman selama lima hari bermula hari hingga 6 Mac depan.

    “Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini,” katanya.

    Sementara itu Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir” – Ahmad Marzuk

    “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir” – Ahmad Marzuk

    SEORANG ahli Parlimen Pembangkang menasihatkan kerajaan agar tidak sewenang-wenangnya menjual aset Lembaga Tabung Haji (TH).

    Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) berkata, jika tetap mahu menjual aset TH, kajian dan langkah strategik perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

    Beliau turut memuji dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membatalkan penjualan 76,000 hektar tanah milih TH.

    “Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu dengan usaha daripada Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang kuat pertahankan ladang-ladang ini tidak dijual.

    “Saya bimbang ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini sebagai back door untuk melaksanakan agenda tertangguh Pakatan Harapan pada 22 bulan yang tak sempat dilaksanakan.

    “Jangan ingat lebai-lebai yang berada di Tabung Haji itu hanya pandai buat bisnes haji dan umrah sebagaimana Pandan (Rafizi Ramli) yang selalu menyindir lebai-lebai.

    “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir. Jadi lebai, mentadbir Kelantan selama 23 tahun tanpa ada sebarang ketirisan,” katanya, hari ini lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkaitan jaminan ekuiti Bumiputera disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan beliau mahu TH, Felda mengembalikan fungsinya.

  • Banjir: Ibu tunggal gigih selamatkan baju sekolah anak

    Banjir: Ibu tunggal gigih selamatkan baju sekolah anak

    SEORANG ibu tunggal hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan pakaian sekolah baharu empat anaknya apabila air banjir naik mendadak di rumahnya di Jalan Sawi, Yap Tau Sah, di Kluang, semalam.

    Nor Azimah Ibrahim, 39, berkata kejadian pada waktu malam itu berlaku ketika dia baru pulang kerja dan terus menyelamatkan dokumen serta barangan penting.

    Nor Azimah berkata, dia bagaimanapun gagal menyelamatkan kereta Perodua Kancil miliknya kerana air telah mencecah hingga 0.6 meter.

    “Tak sempat nak angkat apa-apa, yang dapat dokumen, baju sekolah. Yang penting sudah beli kelengkapan anak-anak untuk penggal baharu macam beg, kasut… itu yang penting,” katanya yang ditemui di rumahnya hari ini.

    Nor Azimah yang mempunyai anak perempuan berusia tujuh, 10, 13 dan 17 tahun berkata, dia bersyukur kejadian kali ini tidak seburuk pada 2006.

    “Masa tu (banjir 2006), air naik tinggi sampai paras tingkap, tak sempat nak capai apa-apa, jadi kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya yang turut dibantu abangnya dan kakak ipar mengemas rumah.

    Sementara itu, Idris Kassim, 52, mengakui air yang meningkat terlalu cepat membuatkan dia dan isteri tidak sempat mencapai apa-apa selain dokumen penting dan buku sekolah anak.

    Idris berkata dia bagaimanapun sempat mengalihkan dua motosikal ke tempat tinggi susulan amaran daripada pihak berkuasa.

    “Alhamdulillah, tak teruk berbanding dulu tetapi sebab air naik mendadak, (hanya) dapat selamatkan dokumen penting, buku sekolah anak,” katanya yang berkhidmat sebagai posmen.

    Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 26,633 mangsa banjir telah dipindahkan ke 193 pusat pemindahan sementara dengan Kluang menjadi daerah kedua paling terjejas melibatkan 5,470 mangsa.

  • Syarikat pengendali umrah didenda RM80,300, gagal patuhi arahan TTPM bayar pampasan kepada pelanggan

    Syarikat pengendali umrah didenda RM80,300, gagal patuhi arahan TTPM bayar pampasan kepada pelanggan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH syarikat pelancongan yang turut mengendalikan pakej umrah didenda sebanyak RM80,300 oleh Mahkamah Majistret di Alor Setar kerana gagal mematuhi 26 ‘award’ (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), tiga tahun lalu.

    Syarikat tersebut, Massnizam Group Travel and Tours Sdn. Bhd. dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif setelah pengarahnya, Mohd. Nizam Noh, 50, mengaku bersalah terhadap kesemua 26 pertuduhan dihadapinya hari ini dan semalam.

    Dalam prosiding berlangsung semalam, syarikat tersebut berdepan 13 pertuduhan dengan dia kemudiannya didenda RM3,000 untuk setiap pertuduhan dihadapi.

    Sementara hari ini, syarikat berkenaan didenda RM3,000 bagi setiap satu dari 10 kes dihadapi serta RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan terhadapnya.

    Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat tersebut.

    Mohd. Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang, atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Mengikut kertas pertuduhan, kesemua ‘award’ dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.

    Menerusi ‘award’ dikeluarkan TTPM itu, syarikat tersebut diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun hingga kini, bayaran tersebut langsung tidak disempurnakan.

    Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd. Hilmi Abu Hassan mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 manakala syarikat tersebut tidak diwakili peguam.

    Terdahulu dalam sesi rayuannya, Mohd. Nizam yang hadir ke mahkamah dengan diiringi pegawai penjara merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

    Sekiranya dijatuhi hukuman penjara katanya, dia memohon agar terus ditempatkan di Penjara Kluang kerana sedang menjalani kelas tahfiz di situ, bagi ‘membetulkan’ dirinya.

    Pihak pendakwaan yang bangun selepas itu kemudiannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, dengan mengambil kira kepentingan awam dalam kes tersebut.

  • Bantuan rakyat mana akan dipotong tahun ini? tanya Radzi

    Bantuan rakyat mana akan dipotong tahun ini? tanya Radzi

    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin meminta kerajaan menjelaskan bahagian subsidi atau bantuan rakyat mana satu yang akan dipotong tahun ini.

    Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Radzi (PN-Putrajaya) berkata, jumlah yang diperuntukkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 untuk subsidi dan bantuan rakyat tahun ini hanya RM64 bilion berbanding kira-kira RM80 bilion pada tahun lalu.

    “Ini satu pengurangan yang amat signifikan, minta kerajaan jelaskan komponen subsidi atau bantuan rakyat manakah yang akan dipotong pada tahun 2023,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Parlimen.

    Radzi yang juga pemegang portfolio Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi PN berkata, subsidi atau bantuan rakyat juga merupakan komponen utama dalam perbelanjaan mengurus.

    Katanya, pengurangan subsidi atau bantuan rakyat secara tidak cermat akan memberi kesan besar kepada rakyat, termasuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

    “Jika lihat secara keseluruhan, tidak jelas bagaimana kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit 3.2 peratus pada tahun 2025,” katanya.

    Radzi turut membangkitkan isu kebajikan peneroka FELDA yang menurutnya langsung tidak disentuh dalam Belanjawan 2023.

    Katanya, sikap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbeza dengan pelbagai usaha yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang membantu menghapuskan hutang peneroka semasa menjadi Perdana Menteri.

  • Kakitangan pusat tahfiz lemas ketika mandi pantai

    Kakitangan pusat tahfiz lemas ketika mandi pantai

    SEORANG kakitangan pusat tahfiz dari Shah Alam, Selangor meninggal dunia selepas ditemukan lemas ketika mandi pantai di sebuah resort, di Marang hari ini.

    Nabil Husaini Halimun Nawar, 22 dikatakan mandi pantai bersama beberapa pelajar selepas selesai mengadakan aktiviti sukaneka di lokasi tersebut sebelum dihanyutkan ke tengah laut pukul 9.55 pagi.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba diselamatkan oleh kakitangan resort tersebut namun telah meninggal dunia.

    Katanya, seorang pelajar ternampak mangsa tiba-tiba ke tengah laut sebelum meminta tolong.

    “Pelajar tersebut bergegas mendapatkan pertolongan dari pekerja resort berkenaan, malangnya mangsa sudah tidak bernyawa sebaik dibawa naik ke darat,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Zain, mangsa yang juga merupakan tenaga pengajar bersama-sama lima guru serta 35 pelajar terlibat dalam kem motivasi di situ dan dijangka pulang ke Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Zain turut menasihatkan orang awam supaya peka terhadap perubahan cuaca yang diramalkan tidak menentu sehingga 6 Mac ini dan mengelakkan aktiviti di air.

    Jelas beliau, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor Timur sepanjang tempoh itu.