Category: Semasa

  • Kematian Sarjan: Polis lengkapkan dokumen, mohon prosiding inkues – KPN

    Kematian Sarjan: Polis lengkapkan dokumen, mohon prosiding inkues – KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan inkues susulan kes kematian anggotanya yang berpangkat Sarjan dengan kesan tiga das tembakan pada 19 Februari lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    “Pihak polis sedang mengemas kini dokumen berkaitan berhubung kejadian yang berlaku di Balai Polis Bayan Lepas itu.

    “Insiden itu sangat mendukacitakan, daripada sudut siasatan kita ambil maklum bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di Bukit Aman hari ini.

    Acryl Sani memaklumkan, Polis Pulau Pinang juga telah menerima laporan patologi dan hasil bedah siasat terhadap mangsa.

    “Kini mereka sedang menyediakan dokumen sepatutnya untuk buat (permohonan) inkues berhubung insiden itu bagi mengenal pasti apa punca kematian,” katanya lagi.

    Tambah beliau, kejadian berkenaan merupakan insiden yang berlaku di luar jangka selain pihaknya menerima maklum balas mengenai mangsa yang mempunyai masalah keluarga.

    Ujarnya, pihak polis juga akan cuba memperbaiki soal prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian senjata api sewaktu bertugas.

    “Apa yang berlaku ini tentu sekali adalah perkara di luar kawalan, namun akan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku.

    “Namun, atas sebab dan perkara yang tidak dapat dielakkan, insiden ini berlaku. Kita pun tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, polis mengesahkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dalam pada itu menyatakan kes berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

    Mangsa yang dikenali sebagai Sarjan Jana Milie, 51 tahun ditemui meninggal dunia di balai berkenaan selain mempunyai kesan tembakan di dada, leher dan kepala.

  • Buang al-Quran: Dua lagi individu dirakam keterangan

    Buang al-Quran: Dua lagi individu dirakam keterangan

    POLIS telah selesai mengambil keterangan dua lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang, di Kuala Lumpur, pada 18 Feb lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata dua individu itu termasuk wakil syarikat percetakan dan syarikat yang membuat tempahan bagi naskhah al-Quran berkenaan.

    Beliau berkata siasatan kes itu masih diteruskan.

    “Polis telah ke Kelantan baru-baru ini dan telah mengenal pasti syarikat yang mencetak al-Quran tersebut serta syarikat yang membuat tempahan ke atas al-Quran terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan lapan individu termasuk mereka yang ada dalam video tular berhubung kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

    Kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

    Sebelum ini, seorang wanita tempatan yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan membuat laporan polis yang memaklumkan beliau menemukan beberapa naskhah kitab suci itu di dalam longkang.

  • Warga emas ditemukan maut dalam kereta selepas banjir surut

    Warga emas ditemukan maut dalam kereta selepas banjir surut

    SEORANG warga emas maut akibat lemas di dalam keretanya yang ditemukan di ladang kepala sawit di jalan utama Felda Selancar 2, Rompin, selepas banjir surut.

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan Abdullah Satar, 73, yang merupakan peneroka di Felda itu pada 6.40 petang semalam.

    “Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lepas dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.

    “Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya,” katanya semasa dihubungi di Rompin hari ini.

    Mohd Azahari berkata polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta dibantu penduduk berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

    Katanya bedah siasat di Hospital Muadzam Shah, Rompin malam tadi mengesahkan kematian Abdullah adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Wanita dikhuatiri lemas ketika menyeberang jambatan gantung

    Wanita dikhuatiri lemas ketika menyeberang jambatan gantung

    SEORANG wanita dikhuatiri lemas sewaktu menyeberangi jambatan gantung Kampung Aur, Bukit Ibam dekat Rompin pagi tadi.

    Mangsa yang hilang dikenali sebagai Nur Hafizah Zailan, 23, yang beralamat di Lorong Gangsa 2, Bukit Ibam, Rompin.

    Pihak bomba menerima panggilan daripada Balai Polis Bukit Ibam berhubung kejadian itu pukul 10.38 pagi.

    Menurut Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke tempat kejadian.

    “Pasukan bomba menaiki dua jentera serta turut membawa sebuah bot fiber ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bergerak ke lokasi kejadian.

    “Perjalanan melalui laluan darat dan air kerana kawasan sekitar dilanda banjir,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

  • ADUN Bertam dinamakan ketua pembangkang DUN P. Pinang

    ADUN Bertam dinamakan ketua pembangkang DUN P. Pinang

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dinamakan Perikatan Nasional (PN) sebagai ketua pembangkang yang baharu mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

    Timbalan Pengerusi PN Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata cadangan itu telah dipersetujui oleh semua ADUN PN negeri itu dan dimaklumkan kepada Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

    “Kami yakin dengan lantikan ini, PN akan berperanan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Lau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata kerajaan negeri telah menghantar notis usul pengosongan kerusi bagi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PN iaitu Bertam, Teluk Bahang, Sungai Acheh dan Seberang Jaya.

    Beliau berkata usul itu adalah bersangkutan dengan undang-undang Akta Lompat Parti Pulau Pinang yang dijangka akan dibahaskan di persidangan DUN Pulau Pinang, Isnin ini.

    Lau berkata sebelum ini ADUN Bertam telah menghantar usul kepada DUN Pulau Pinang pada 20 Feb lepas bagi meminda Perkara 14A Fasal 1 Perlembagaan Pulau Pinang berkenaan dengan undang-undang akta lompat parti agar selari dan selaras dengan Akta Lompat Parti (Akta A1663) yang baru diluluskan di Parlimen tahun lepas.

    Menurutnya percanggahan besar dalam undang-undang itu adalah berkenaan pemecatan ahli dewan iaitu seorang Ahli Parlimen tidak akan hilang kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

    “Kami berpandangan Pulau Pinang tidak boleh dilihat bercanggah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara. Namun, usul pembangkang ini telah ditolak oleh Speaker daripada dibahaskan di dalam persidangan akan datang ini,” katanya.

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

  • ‘Kamu boleh terus rancang, mengigau kerajaan tumbang’, Anwar beritahu Hadi

    ‘Kamu boleh terus rancang, mengigau kerajaan tumbang’, Anwar beritahu Hadi

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh terus ‘merancang dan mengigau’ untuk melihat kerajaan perpaduan tumbang.

    “Tak apalah itu hak dia untuk merancang dan mengigau,” katanya mengulas kenyataan Hadi yang meramalkan kerajaan pimpinannya akan jatuh.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu ditemui di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.

    Anwar sebelum itu menunaikan solat Jumaat di Masjid UPM dan makan tengah hari di Medan Selera Serdang.

    Dalam dialog dengan penerbit buku sebelum ini, Hadi meramalkan kejatuhan kerajaan Anwar, tetapi tidak menjelaskan bagaimana perkara itu akan berlaku.

    Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas beliau memberitahu Parlimen, keruntuhan yang berlaku tidak akan dipersalahkan kepada pembangkang.

    Sementara itu, Anwar berkata sebanyak RM50 juta akan disalurkan segera kepada Johor bagi membantu mangsa banjir dan beliau akan ke sana dalam masa terdekat.

    “RM50 juta segera untuk Johor bagi bantu mangsa banjir. Beberapa menteri turun hari ini, esok sebahagian lagi. Saya (turun ke Johor) akan atur dalam masa singkat,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM10 juta peruntukan disalurkan kerajaan Pusat bagi membeli peralatan dan bantuan tambahan untuk mangsa banjir di Johor.

    Beliau berkata, peruntukan itu untuk menampung keperluan semua daerah terjejas yang mana akan ditambah jika tidak mencukupi.

  • Dakwaan fitnah: Anwar heret ahli Parlimen Pas ke mahkamah

    Dakwaan fitnah: Anwar heret ahli Parlimen Pas ke mahkamah

    PERDANA Menteri, Datuk Sedri Anwar Ibrahim mengheret Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim ke mahkamah atas dakwaan fitnah.

    Peguam Anwar, Sankara Nair memfailkan saman fitnah tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

    Saman itu berhubung dua dakwaan-dakwaan yang Anwar memiliki sikap dendam yang lebih teruk daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dakwaan berkenaan keabsahan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

    Berdasarkan salinan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa defendan iaitu Awang, membuat kenyataan yang didakwa bersifat fitnah kepada media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

    Beliau mendakwa walapun surat tuntutan telah diberikan kepada Awang pada 21, 24 dan 28 Februari agar beliau menarik balik kenyataan, memohon maaf dan membayar ganti rugi, ahli Parlimen Pas itu membalas surat pada 27 Februari dan 2 Mac untuk menolak tuntutan tersebut.

    Dakwanya lagi, ketika sidang Parlimen pada 27 Februari, Awang tanpa rasa kesal mengeluarkan beberapa kenyataan lain, termasuk menyifatkan Anwar sebagai ‘Bapa Saman Negara’.

    Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh hak keistimewaan Parlimen dan tidak menjadi dasar kepada tindakan sivil oleh Anwar ini.

    Dalam saman ini, Anwar antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

    Anwar juga menuntut injunksi mahkamah untuk menghalang defendan daripada terus membuat kenyataan bersifat fitnah, faedah lima peratus daripada jumlah ganti rugi yang ditetapkan mahkamah, bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

    Awang memberitahu Malaysiakini dia masih belum menerima makluman berkenaan saman ini.

  • Polis tumpas tiga sindiket dadah libat nilai rampasan lebih RM2 juta

    Polis tumpas tiga sindiket dadah libat nilai rampasan lebih RM2 juta

    POLIS berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang dan menahan enam individu warga tempatan dalam tujuh serbuan berasingan.

    Kejayaan tersebut membabitkan nilai rampasan serta sitaan harta yang dianggarkan berjumlah RM2.18 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 21 tahun sehingga 44 tahun menerusi Op Tapis Khas.

    Katanya, sindiket pertama tertangkap dalam satu serbuan yang dilakukan bermula pukul 9 malam pada 27 Februari 2023 sehingga pukul 1 pagi 28 Februari 2023 di sebuah tempat letak kereta di Taman Tun Dr. Ismail.

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah bernilai RM 2.18 juta yang dirampas selepas polis berjaya menangkap seramai 250 orang dalam Op Tapis Khas serta menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dua lelaki tempatan yang merupakan ahli sindiket telah ditangkap dan sejumlah dadah jenis ganja dengan anggaran berat 20 kilogram, dianggarkan bernilai RM50,000 dirampas.

    “Suspek lelaki berusia 28 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau melibatkan jenayah narkotik dan empat rekod jenayah, manakala suspek berusia 30 tahun mempunyai dua rekod narkotik.

    “Kedua-dua mereka turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM 2.18 juta yang dirampas selepas berjaya menangkap seramai 250 orang dalam Op Tapis Khas serta menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tambahnya, bagi tangkapan sindiket kedua, polis telah merampas dadah dipercayai syabu bernilai RM246,000 menerusi dua serbuan di dua lokasi berbeza Taman Keramat dan Melati.

    “Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang turut didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) ditahan,” katanya.

    Sementara itu, dalam empat lagi serbuan di sekitar Segambut, Cheras dan Pandan Perdana membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seperti syabu, ketamine, ecstacy, pil erimin 5, ganja serta serbuk dan cecair MDMA selain menahan dua orang lelaki dan seorang wanita tempatan.

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah bernilai RM 2.18 juta yang dirampas selepas polis berjaya menangkap seramai 250 orang dalam Op Tapis Khas serta menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Nilai keseluruhan rampasan dan dadah dan sitaan harta menerusi empat serbuan itu adalah dianggarkan berjumlah RM1.9 juta,” tambahnya.

    Menurutnya, tiga sindiket tersebut mula dikesan beroperasi sejak bulan lalu dan polis masih mengesan saki baki ahli-ahli sindiket yang terlibat.

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah bernilai RM 2.18 juta yang dirampas selepas polis berjaya menangkap seramai 250 orang dalam Op Tapis Khas serta menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siastan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya, lapor UtusanTV.

  • Dua buruh warga Myanmar didakwa bunuh pemilik kebun

    Dua buruh warga Myanmar didakwa bunuh pemilik kebun

    DUA buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemilik kebun buah naga bulan lepas.

    Yan Mai dan Maung Piaw, kedua-duanya berusia 19 tahun mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret V. Vanita.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Low Seng Poh, 44, dalam kebun buah naga, Tanah Merah Site A, Port Dickson antara pukul 12.15 tengah malam hingga 2 pagi pada 18 Feb lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 3 Mei  untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jilwan Kaur Malkith Singh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)  Noor Azizi Abdull Aziz.

    Di mahkamah sama, mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah, dihukum penjara enam bulan dari tarikh tangkap pada 18 Feb lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan.

  • Tiada lagi prosiding boleh dibawa terhadap Arul Kanda- mahkamah

    Tiada lagi prosiding boleh dibawa terhadap Arul Kanda- mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan tiada prosiding sivil atau jenayah lanjut boleh dibawa terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung kes laporan audit 1MDB.

    Pagi ini, Hakim Zaini Mazlan mengeluarkan sijil tanggung rugi, yang mengecualikan Arul Kanda daripada liabiliti undang-undang, selepas berpuas hati bahawa keterangan yang diberikannya adalah benar dan menyeluruh.

    Ini berikutan mahkamah membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada tuduhan salah guna kuasa tanpa memanggilnya membela diri.

    Arul Kanda, yang didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu, turut dibebaskan, selepas Zaini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mana-mana tertuduh.

    “Sijil ini akan menghalang semua prosiding undang-undang terhadapnya (Arul Kanda) berhubung perkara yang timbul daripada tuduhan itu,” tambah Zaini.

    Zaini berkata, beliau mendapati Arul Kanda konsisten dalam memberikan keterangannya, dan menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan peguam Najib dengan sebaik mungkin.

    “Saya sedar dia (boleh cuba) meminimumkan peranannya dan memperbesar sebarang salah laku oleh tertuduh lain (Najib).

    “Tetapi dia tidak (berbuat demikian). Jawapannya sedikit sebanyak memihak kepada seorang lagi tertuduh, dan pihak pendakwaan tidak pernah mencabarnya mengenai jawapannya,” katanya.

    Hakim juga mendapati bahawa Arul Kanda tidak cuba untuk menyembunyikan ‘perbuatan jahat’ yang menyelubungi 1MDB, kerana dia hanya dilantik untuk ‘menyelamatkan syarikat itu’ daripada masalah kewangannya.

    “Dia meninggalkan apa yang boleh dianggap sebagai kerjaya yang menjanjikan di luar negara dan ‘dicerca’ berhubung urusan 1MDB, mungkin secara tidak adil.

    “Banyak masalah (dalam 1MDB) timbul sebelum dia memegang jawatannya,” tambah Zaini, lapor FMT.

    Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Mahkamah sebelum ini membenarkan pihak pendakwaan memanggil Arul Kanda untuk memberikan keterangan bagi pihaknya.

    Dalam keterangannya, Arul Kanda berkata, Najib mengarahkannya untuk menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 bagi membincangkan pindaan kepada laporan audit itu.

    Beliau juga berkata, Najib meluahkan kebimbangan bahawa kandungan laporan itu boleh diputar belit dari perspektif politik.