Category: Semasa

  • Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

    Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BALAI Polis Panchor di Kilometer 29 Jalan Abd Rahman, Panchor, Muar ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, balai berkenaan mula naiki air pada pukul 9 pagi tadi dan diarahkan ditutup satu jamn kemudian selepas paras air semakin tinggi.

    “Balai ini menempatkan 12 pegawai rendah polis. Sebarang urusan melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran.

    “Laluan di kawasan sekitar balai juga ditutup kerana paras air semakin tinggi iaitu Jalan Muar-Labis, Kampung Jawa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Muar.

    Beliau berkata, rondaan berkala daripada pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir akan dilakukan bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat.

    Balai Polis Panchor di Muar terpaksa ditutup sementara bermula pukul 10 pagi dan urusan laporan polis boleh dibuat di balai berdekatan

    Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran hujan berterusan daerah ini akan berlaku sehingga 4 Mac ini.

    Raiz Mukhliz memberitahu, sehingga jam 1 tengah hari Sabtu, 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh daerah ini.

    Katanya, seramai 3,278 mangsa banjir melibatkan 952 keluarga telah berdaftar ke PPS.

    Selain itu menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, sebanyak tujuh jalan ditutup selepas terjejas dengan banjir.

    “Jalan berkenaan melibatkan Jalan Muar-Labis di Kampung Jawa; Jalan Muar-Labis (Speedmart Lenga); Jalan Muar-Labis (jambatan Sungai Tui); Jalan Tekam Pagoh (kebun kelapa sawit) dan Jalan Durian Chondong (jambatan Sungai Muar),” ujar beliau.

    Ini termasuk katanya, Jalan Renchong-Gombang (Sungai Menchil) dan Jalan Kampung Liang Batu (Masjid Kampung Liang Batu).

    “Polis menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko untuk melalui jalan yang telah dinaiki air. Berhati-hati dalam pemanduan dan mematuhi sebarang tanda amaran yang diletakkan di kawasan banjir,” katanya.

  • Bendahari Bersatu dibebaskan dengan jaminan SPRM

    Bendahari Bersatu dibebaskan dengan jaminan SPRM

    BENDAHARI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Salleh Bajuri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mengesahkan perkara tersebut hari ini.

    “Saya dimaklumkan Datuk Mohd Salleh Bajuri telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dapat balik ke rumahnya pada tengah hari Jumaat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Razali menyifatkan penahanan Mohd. Salleh itu dilihat suatu tindakan untuk memburukkan Bersatu di mata rakyat.

    “Tujuan hanya untuk memberi satu pandangan pada rakyat betapa buruknya Bersatu ini,” ujarnya.

    Razali turut mendakwa, duit berkenaan tidak dimasukkan dalam akaun peribadi Mohd. Salleh.

    “Saya difahamkan bukan ada kemasukan (duit) dalam akaun peribadi Mohd. Salleh. Beliau hanya menjaga akaun parti malah akaun tersebut diaudit setiap tahun dan ini bermaksud akaun itu bersih selain tiada kemasukan yang meragukan.

    “Jadi saya melihat kalau macam ini caranya maka saya jangkakan akan ada ramai lagi pemimpin Bersatu ditangkap dan disiasat oleh SPRM,” ujarnya.

    Justeru, Razali menggesa kerajaan untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik bagi mengetahui sumber kewangan atau dana diperoleh sesebuah parti politik.

    “Laksanakan Akta Pendanaan Politik. Biar jelas dari sumber mana yang boleh diambil.

    “Parti politik mesti dan wajib ada sumber kewangan untuk bergerak. Sekarang cadang akta tersebut dilaksanakan segera pada sesi Parlimen, barulah tahu setakat mana duit itu diperoleh,” jelasnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd. Salleh ditahan pada Selasa untuk membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

    Bagaimanapun sumber memaklumkan, pemimpin Bersatu itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

    Tambah sumber, Mohd. Salleh kemudian ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes.

    Pada 1 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor juga sudah dipanggil SPRM pada 16 Februari bagi memberi keterangan berkaitan isu membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti Bersatu.

  • Saifuddin jangka Bersatu terus ditekan sampai Muhyiddin didakwa

    Saifuddin jangka Bersatu terus ditekan sampai Muhyiddin didakwa

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, ‘menasihatkan’ kerajaan supaya bersikap lebih rasional dalam berpolitik dan bukannya terdesak selepas melihat PN menerima sambutan daripada rakyat.

    “Kita berpolitik pun harus berpada-padalah… sebagai sebuah kerajaan, kita bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) dengan cara adil dengan cara saksama.

    “Jadi, kalau mereka (kerajaan) nak mencari kesalahan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu pada saya (menunjukkan kerajaan) memang terdesaklah, “ katanya pada sidang media di pejabat PN Indera Mahkota, di Kuantan hari ini.

    Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemimpin Bersatu bagi membantu siasatan mereka.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, pula sudah didakwa di mahkamah.

    Pada 2 Mac lalu, Bendahari Agung Bersatu, Mohamed Salleh Bajuri ditahan reman selama dua hari oleh SPRM selepas dipanggil bagi memberi keterangan berkaitan akaun parti terbabit.

    Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota menjangkakan kerajaan tidak akan berhenti menekan Bersatu sehingga Muhyiddin didakwa di mahkamah.

    Katanya, strategi yang mereka lakukan ialah untuk memburuk-burukkan Bersatu dan memburukkan Muhyiddin.

    “Saya jangka mereka (kerajaan) tidak akan berhenti sehingga dapat perkara yang boleh membawa Tan Sri ke mahkamah.

    “Dan ini mungkin diusahakan sebelum PRN di enam negeri yang dijangka pada Julai nanti,” katanya.

    Saifuddin yang menjadi seorang daripada 11 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit dalam Langkah Sheraton pada Feb 2020 itu berpendapat, langkah membekukan akaun Bersatu juga bertujuan untuk melemahkan parti berkenaan.

    Katanya dalam akaun tersebut hanya ada beberapa juta ringgit dan bukannya bilion ringgit sesuai dengan kedudukan sebuah parti politik seperti Bersatu.

    SPRM membekukan akaun Bersatu sejak 1 Februari lalu.

    “Kalau dia rasa dengan cara membekukan akaun Bersatu maka kami akan gagal dalam PRN, itu belum tentu (boleh berlaku).

    “Kita (Bersatu) juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kegigihan dan tidak semestinya sentiasa mengharapkan wang dari ibu pejabat untuk beroperasi.

    “Ramai dalam kalangan mereka ini dah lama berpolitik, setakat nak pergi berkempen, duit minyak duit tempat tidur, mereka tak mengharapkan (duit parti), mereka pergi sendiri saja,” katanya lapor Malaysiakini.

  • 4 ADUN pembangkang tetap hadir sidang DUN walau berdepan usul kosongkan kerusi

    4 ADUN pembangkang tetap hadir sidang DUN walau berdepan usul kosongkan kerusi

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tetap akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin ini di sebalik pembentangan usul supaya mereka mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

    Mereka juga nekad dan bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya usul itu diluluskan termasuk perlu meninggalkan bangunan DUN.

    ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, bagaimanapun mereka akan mempertahankan kedudukan masing-masing ketika perbahasan usul itu khususnya berkenaan kelompangan yang terdapat dalam akta tersebut.

    “Antaranya akta itu tidak memberi kuasa kepada Speaker bagi membolehkan sesebuah kerusi dikosongkan selain definisi tindakan melompat parti yang tidak jelas.

    “Dalam masa sama akta berkenaan lompat parti yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri juga tidak selari dengan pindaan akta di peringkat Kerajaan Pusat.

    “Masalahnya di sini adalah berkenaan kelompangan dalam akta itu di peringkat kerajaan negeri, bukan sebab (masalah) kami,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di George Town hari ini yang turut disertai tiga lagi ADUN pembangkang yang berdepan tindakan mengosongkan kerusi DUN masing-masing iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

    Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yang juga Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

    Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual Isnin ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN berkenaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

    Ia berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Mengulas lanjut, Dr. Afif berkata, tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu adalah mereka merampas mandat yang sudah ditentukan rakyat menerusi usul mengosongkan kerusi DUN dan sesuka hati mahu menentukan siapa yang sepatutnya berada di DUN.

    Selain itu, ujar beliau, Dr. Afif dan Zulkifli pula dipecat daripada parti mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus tidak boleh dianggap tindakan melompat parti seperti mana disebut dalam akta yang diluluskan terbabit.

    “Jadi, bagaimana boleh dianggap keempat-empat ADUN ini telah melompat parti sehingga kerajaan negeri perlu membawa usul mengisytiharkan DUN mereka kosong,” soalnya.

    Malah katanya, jika dilihat semula ketika PRU-14, calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding dan menang menggunakan logo parti PKR.

    “Jika mengambil kira tanggapan kerajaan negeri mengikut akta lompat parti ini, maknanya calon DAP dan Amanah yang menang juga dianggap telah melompat parti,” katanya.

  • Isteri pelakon dakwa ditumbuk, polis ambil keterangan

    Isteri pelakon dakwa ditumbuk, polis ambil keterangan

    POLIS sudah mengambil keterangan isteri pelakon yang ditumbuk suaminya yang juga seorang pelakon di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, awal pagi kelmarin.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi memberi keterangan, hari ini.

    Suspek katanya, akan dipanggil dalam masa terdekat.

    “Jika perlu tangkapan dilakukan, ia akan dibuat bergantung kepada kerjasama dan keterangan yang diberikan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Khamis lalu, isteri pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

    Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.

    Kisah rumah tangga pasangan itu menjadi perbualan hangat susulan pelakon itu didakwa berlaku curang.

    Difahamkan pelakon itu telah menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu.

  • KWSP umum dividen 4.75 peratus, 5.35 peratus

    KWSP umum dividen 4.75 peratus, 5.35 peratus

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini, mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2022.

    Kadar dividen itu lebih rendah berbanding 2021, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 6.10 peratus dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah.

    Kadar itu juga adalah terendah sejak 2020 bagi Simpanan Konvensional (5.20 peratus) dan terendah bagi Simpanan Syariah, sejak skim ini mula diperkenalkan pada 2017.

    Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP di Shah Alam, hari ini.

    Amir Hamzah berkata, jumlah pembayaran bagi keseluruhan dividen bagi 2022 adalah sebanyak RM51.14 bilion kepada 15 juta ahli, dengan Simpanan Konvensional sebanyak RM45.44 bilion, manakala Simpanan Syariah sebanyak RM5.7 bilion.

    Beliau memaklumkan, setakat 31 Disember 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

    Pada 2022, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM55.33 bilion, dengan RM6.83 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.

    Daripada segi pendaftaran ahli pada 2022, Amir Hamzah memaklumkan, KWSP mencatat pertumbuhan pendaftaran ahli baharu sebanyak 635,989, menjadikan jumlah ahli KWSP kepada 15.72 juta setakat Disember 2022.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 8.39 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysiapada akhir 2022,” katanya, lapor BH Online.

  • Bersatu gesa kerajaan perpaduan henti pemburuan politik ke atas pimpinannya

    Bersatu gesa kerajaan perpaduan henti pemburuan politik ke atas pimpinannya

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa agar kerajaan berhenti melakukan apa yang disifatkan sebagai pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas pimpinannya.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa pimpinan parti itu tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang.

    Hamzah juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai sebab munasabah untuk memohon penahanan Bendahari Agung parti itu, Datuk Salleh Bajuri atas alasan siasatan kerana kerjasama sepenuhnya sentiasa diberikan.

    “Bersatu berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Datuk Salleh Bajuri adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.

    “Begitu juga tindakan menjalankan siasatan ke atas vendor-vendor Bersatu adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan PH-BN yang masih berterusan.

    “Penyata kewangan Bersatu telah diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan. Tidak ada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan tersebut, yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Hamzah, Salleh merupakan seorang yang amanah dan berintegriti telah memastikan semua perolehan yang dibuat oleh Bersatu telah melalui proses dan tatacara kewangan parti.

    Kelmarin, SPRM telah menahan reman Salleh selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung siasatan ke atas akaun parti itu yang kini dibekukan.

    Bendahari Agung Bersatu itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

    Ini merupakan penahanan ketiga membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

    Wan Saiful bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif itu, manakala Adam Radlan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama.

    Pada Januari lalu SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu susulan siasatan kes itu lapor Astro AwaniWANI.

  • Sultan Nazrin: Rakyat jijik perlakuan rasuah

    Sultan Nazrin: Rakyat jijik perlakuan rasuah

    SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan para pemimpin supaya tidak menghampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan mereka terutama membabitkan perlakuan rasuah.

    Baginda bertitah rakyat sudah terlalu lemas dan jijik melihat perlakuan rasuah yang merupakan barah dan menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.

    “Generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah.

    “Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya, dan skandal-skandal kewangan yang dilapor berlaku telah mencontengkan arang di wajah negara; keaibannya ditanggung dengan harga yang mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar.

    “Baca, tafsir, fahami dan hadam suara rakyat yang disampaikan melalui kertas undi,” titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan ke-66 baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

    Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Titah baginda rakyat juga mengimpikan pemerintahan yang adil dan saksama, berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, badan kehakiman berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak, tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

    “Demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera, para pemimpin perlu membaca mesej rakyat secara tepat.

    “Setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baru dan resipi baru dalam persekitaran politik yang baru.

    “Rakyat yang semakin celik huruf mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan,” titah baginda.

    Tanpa prasangka kaum

    Titah Sultan Nazrin lagi rakyat kini semakin lantang mendedahkan isu rasuah, gigih menolak pemimpin berimej rasuah dan menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga serta pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

    Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan sebuah kerajaan yang berani dan tegas menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah, pengagihan kekayaan lebih saksama, peluang pekerjaan lebih terjamin, taraf hidup lebih baik, tadbir urus lebih telus dan pemimpin yang lebih amanah.

    Selain itu, titah baginda, rakyat mengimpikan perkhidmatan sosial penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan serta kemudahan kesihatan yang mudah diakses.

    Begitu juga kemudahan pengangkutan awam yang meringankan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan sosial.

    “Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.

    Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama diketuai Mej Muhammad Fariq Zainul Abidin dan dipimpin Kol Abdul Rahim Hamzah terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping.

    Kawalan kehormatan utama diiringi pancaragam daripada Brassband KD Pelanduk yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut.

  • ‘Syarikat jubin’ seleweng diesel subsidi diserbu

    ‘Syarikat jubin’ seleweng diesel subsidi diserbu

    TIGA lelaki termasuk seorang warga asing ditahan bersama kira-kira 8,000 liter minyak diesel bersubsidi serta barangan lain bernilai lebih RM120,000 dalam satu sebuan, di Ipoh petang semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan di sebuah premis yang berselindung di sebalik kedai jubin di Kawasan Perindustrian Sri Rapat.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 83 unit tangki segi empat, dua buah lori lima tan bertutup kanvas, tiga buah mesin penyedut atau pam dan anggaran sebanyak 8,000 liter minyak disyaki diesel di lokasi berkenaan.

    “Kesemua barang yang dijumpai telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM121,425,” katanya pada sidang media di premis tersebut di Ipoh.

    Kamalludin berkata modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan dua buah lori yang diubah suai tangki asal dan kemudiannya membeli diesel di stesen minyak sekitar Ipoh.

    “Dua buah lori ini kemudiannya akan ke satu lokasi di kawasan perindustrian di sini untuk memindahkan dan menyimpan minyak disyaki diesel itu di premis yang berselindung dengan papan tanda perniagaan menjual jubin bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Kita mengesyaki mereka menjual kepada pihak industri dengan harga lebih murah daripada pasaran. Jadi, berlaku ketirisan subsidi diesel di situ,” katanya.

    Sejak Januari sebanyak 12,127 pemeriksaan telah dilakukan dan telah menghasilkan 22 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan terkumpul termasuk hari ini adalah sebanyak lebih RM1.82 juta.

  • Banjir: Ebit Lew selamatkan lembu daripada lemas

    Banjir: Ebit Lew selamatkan lembu daripada lemas

    PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew pada Jumaat, menarik perhatian ramai apabila memuat naik video menerusi aplikasi TikTok menyelamatkan seekor lembu yang hampir lemas dibawa arus banjir.

    Video berdurasi 58 saat itu memaparkan Ebit, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew yang menaiki bot bersama dua lagi lelaki dipercayai sedang melakukan tinjauan banjir di sekitar Segamat telah menyelamatkan lembu berkenaan menggunakan tali dan menariknya hingga ke kawasan yang selamat.

    Ebit turut memuat naik kapsyen ringkas yang keseluruhannya menggambarkan rasa syukur kerana berjaya menyelamatkan lembu berkenaan daripada lemas.

    “Sedih tengok lembu dah nak lemas semalam dekat Segamat. Alhamdulillah, dapat bantu tarik ke atas,” katanya menerusi kapsyen berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Video berkenaan berkenaan mendapat sebanyak 4,687 tanda suka daripada netizen yang turut memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen.

    Rata-ratanya melahirkan rasa terharu dan menyifatkan haiwan berkenaan bakal menjadi saksi (di akhirat) terhadap Ebit atas tindakan yang dilakukannya itu.

    Untuk rekod, daerah Segamat ketika ini merupakan daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Johor dengan merekodkan seramai 12,258 mangsa daripada 3,511 keluarga.

    Kesemua mangsa berkenaan kini ditempatkan di 78 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.