Category: Semasa

  • Usul kosongkan kerusi lulus, 4 ADUN Bersatu diarah tinggalkan DUN

    Usul kosongkan kerusi lulus, 4 ADUN Bersatu diarah tinggalkan DUN

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Pulau Pinang diarahkan keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Tindakan tersebut selepas usul pengosongan kerusi disandang mereka yang merupakan ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu diluluskan sidang DUN pada pukul 1 tengah hari.

    Mereka terdiri daripada Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

    Semua mereka meninggalkan bangunan DUN selepas diarahkan berbuat demikian oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang sebaik sahaja usul itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

    Terdahulu, usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).

    Usul itu dibenarkan dibahaskan terlebih dahulu oleh Choo Kiang sebaik sahaja sidang DUN bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengambil kira kepentingannya yang berkaitan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    Ini berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti pada 2 Mac lalu.

    Ketika membentangkan usul itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan jelas menetapkan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.

    Menurutnya, perkara itu terpakai kepada ADUN Bertam dan Teluk Bahang yang merupakan ahli Bersatu yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding atas tiket logo PKR dan mendapat merit daripada Presiden PKR, manakala ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya pula telah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    “Sekiranya pengisytiharan tersebut diluluskan, Yang Dipertua DUN menurut Fasal 14A(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi DUN Pulau Pinang,” katanya.

    Terdahulu, sesi perbahasan usul itu menjadi kecoh dengan keempat-empat ADUN pembangkang berkenaan berhujah mempertahankan kerusi masing-masing, manakala ADUN kerajaan negeri pula cuba menjustifikasikan keperluan pelaksanaan usul berkenaan.

    Malah, Dr. Afif turut diberi amaran oleh Choo Kiang untuk berhenti merakam video menggunakan telefon bimbit beliau ketika Ahmad Zakiyuddin membentangkan usul itu meskipun beliau memberi alasan rakaman berkenaan dibuat untuk simpanan peribadi.

    Sementara itu, dalam perbahasannya, Khaliq Mehtab (Bersatu-Bertam) berkata, tiga senario melompat parti seperti disebut dalam pindaan Perlembagaan negeri itu iaitu melompat parti; dipecat daripada parti dan mengisytihar diri sebagai wakil rakyat Bebas tidak berlaku terhadap beliau serta Teluk Bahang sehingga perlu mengosongkan kerusi DUN masing-masing.

    “Sebab itu bagi kami usul ini merosakkan demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih kami untuk mewakili dan menjadi suara mereka.

    “Usul ini juga bertujuan untuk menghilangkan suara pembangkang dan sekiranya kami dihalau daripada DUN hari ini, maka ia akan menjadi titik hitam dalam sejarah Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika berbahas mempertahankan usul itu, Gooi Hsiao Leung (DAP-Bukit Tengah) berkata, keempat-empat ADUN berkenaan sepatutnya meletakkan jawatan ADUN lebih awal tanpa perlu menunggu usul mengenainya dibentangkan dalam sidang DUN hari ini.

    Ini kerana, jelas beliau, mereka boleh dianggap telah memilih keluar daripada parti memandangkan pada PRU-14, mereka memilih bertanding dan menang atas atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menggunakan logo PKR.

    Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota): Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak); Lee Chun Kit (DAP-Pulau Tikus); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) dan M. Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas- Penaga).

  • Remaja dikenakan bon kelakuan baik kerana rogol kekasih

    Remaja dikenakan bon kelakuan baik kerana rogol kekasih

    SEORANG remaja lelaki dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini, selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, pada 2021 lalu.

    Hakim Rasyihah Ghazali turut memerintahkan tertuduh yang kini berusia 19 tahun, dikenakan cagaran sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan selain pengawasan polis selama setahun sebaik selesai bon tersebut.

    Ketika membaca keputusan penghakiman ringkasnya, Rasyihah berkata, tertuduh akan dijatuhi hukuman mengikut kesalahan merogol, jika melanggar syarat dan melakukan kesalahan dalam tempoh tiga tahun.

    “Sekiranya gagal melunaskan cagaran sehingga jam 4 petang ini, tertuduh akan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun, menjalani kaunseling selama tempoh penahanan dan diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun,” katanya.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Saujana Puchong, Puchong, pada pukul 10 malam, Disember 2021.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah dihubungi teman wanitanya pada Oktober 2021 agar mengambilnya dari rumah selepas bertengkar dengan ibunya dan mahu melarikan diri dari rumah.

    Bapa remaja perempuan itu kemudiannya membuat laporan polis.

    Siasatan mendapati remaja itu telah melakukan hubungan intim beberapa kali di rumah pekerja milik syarikat tertuduh bekerja di Batu 14, Puchong di Shah Alam.

    Pada bulan Mei tahun lalu, teman wanitanya memaklumkan telah hamil lima bulan sebelum dijaga ibu tertuduh termasuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik swasta sepanjang kehamilannya kemudian melahirkan bayi lelaki di Hospital Selayang pada 16 September tahun lalu.

    Semasa prosiding, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Shah Alam, Nur Syuhada Ahmad Sayuti berkata, berdasarkan laporan sosial, tertuduh tinggal bersama ibu dan bapa tirinya.

    Beliau berkata, penama iaitu tertuduh telah berhenti sekolah semasa di tingkatan tiga kerana tidak berminat untuk meneruskan sesi akademik.

    “Dia tidak pernah terlibat dalam dadah dan alkohol,” katanya.

    Sementara itu, tertuduh yang tidak wakili peguam mengaku insaf, kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

    “Saya perlu tanggung mak, bapak tiri yang sakit dan anak saya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan seksual merupakan jenayah yang serius.

    “Semasa kejadian, mangsa hanya berusia 14 tahun sembilan bulan sementara tertuduh, 17 tahun lima bulan.

    “Sepatutnya tertuduh mempunyai tahap pemikiran yang matang dan mampu berfikir, namun malangnya dia gagal berbuat demikian,” katanya.

  • Penggal kepala, kerat badan bapa, lelaki kekal ke tali gantung

    Penggal kepala, kerat badan bapa, lelaki kekal ke tali gantung

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang penganggur kerana membunuh bapanya dengan memenggal kepala serta mengerat badan mangsa kepada enam bahagian dengan menggunakan parang, lima tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan You Poh Khoon, 57, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

    “Tidak ada apa-apa keterangan yang mematahkan keterangan saksi pendakwaan ke-15 (doktor psikiatri, Dr A Ian Llyod), jadi keterangan itu wujud dan sepatutnya diterima.

    “Oleh itu, mahkamah mendapati sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi (Ipoh) adalah selamat, rayuan perayu (Poh Khoon) ditolak. Perayu masih ada peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, Poh Khoon didakwa membunuh bapanya You Su Kim ketika itu berumur 74 tahun, antara PUKUL 3 petang pada 8 Oktober 2018 hingga 10.30 pagi, 9 Oktober 2018, di dalam rumah di Khatan Baru Chemor, Ipoh, Perak, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Pada 24 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Poh Khoon selepas didapati bersalah membunuh bapanya.

    Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian selepas berang ditegur ketika menghisap dadah di dalam rumah mereka.

    Kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka, manakala bahagian badan pula dibuang ke lubang pembentungan sedalam 1.52 meter.

    Terdahulu, peguam Amir Faliq Mohamad Jamil yang mewakili perayu berhujah bahawa pihak pendakwaan telah memanggil doktor psikiatri (Ian Llyod) yang mengesahkan bahawa anak guamnya adalah siuman semasa kejadian.

    “Bagaimanapun, doktor psikiatri itu di dalam keterangannya sendiri tidak menolak kebarangkalian bahawa berlakunya kegilaan sementara, sekiranya terdapat kebergantungan kepada dadah. Laporan psikiatri menunjukkan perayu positif methamphetamine dan amphetamine.

    “Seramai enam saksi pendakwaan juga telah membuktikan bahawa perayu hilang kewarasan sementara semasa kejadian kerana pengambilan dadah,” kata peguam itu yang turut dibantu Siti Nor Syahidah Ismail dan Afina Abdul Hakim.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud berhujah bahawa semasa pemeriksaan perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, doktor psikiatri berkenaan mengesahkan bahawa semasa kejadian perayu tidak mengalami sebarang penyakit mental.

    “Perayu pada masa kejadian adalah waras dan tahu akan sifat serta akibatnya kerana semasa kejadian perayu mampu memandu kereta sejauh lebih 100 kilometer dan memperincikan kejadian serta tindakan yang telah dilakukan ke atas si mati,” katanya.

    Menurut Muhammad Azmi, keterangan enam saksi pendakwaan bahawa perayu tidak waras kerana mengambil dadah adalah melalui pemerhatian mereka sahaja dan hanya disokong melalui keterangan perayu yang pernah dihantar ke di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada 2017 untuk rawatan psikiatri.

    “Semua saksi bukan pakar yang boleh menentukan keadaan mental perayu semasa kejadian berlaku dan semasa prosiding pembelaan, tiada saksi yang mematahkan keterangan doktor psikiatri bahawa perayu tidak waras semasa kejadian,” katanya.

  • Mahkamah tangguh tuduhan bunuh, kerat warga Nepal

    Mahkamah tangguh tuduhan bunuh, kerat warga Nepal

    MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini menangguhkan pertuduhan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Nepal yang mayatnya dikerat dan disumbat ke dalam sebuah bagasi sebelum ditemukan di tepi lebuh raya, berhampiran susur Rawang Selatan, Januari lalu.

    Keputusan itu dibuat oleh Majistret Sasha Diana Sabtu selepas suspek yang juga merupakan warganegara Nepal itu memberitahu mahkamah dia tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sejurus disoal oleh jurubahasa mahkamah sebelum pertuduhan dibacakan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi melantik seorang jurubahasa bagi membaca pertuduhan itu dalam Bahasa Nepal.

    Justeru, Majistret Sasha Diana menetapkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah pada 7 April depan untuk pertuduhan itu dibacakan ke atasnya, lapor UtusanTV.

    Sebelum ini pihak polis dilaporkan menahan 15 warga asing susulan siasatan terhadap kes bunuh seorang lelaki berusia 48 tahun yang mayatnya dikerat serta disimpan dalam bagasi sebelum dibuang dekat Kilometer 447, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Rawang pada pertengahan Januari lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan enam daripada mereka berusia 24 hingga 30 tahun dipercayai terlibat dalam pembunuhan terbabit, bagaimanapun seorang daripada mereka masih bebas.

    Beliau berkata, hasil siasatan polis terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati motif pembunuhan mangsa berusia 48 tahun adalah kerana dendam peribadi.

    Katanya, suspek dan mangsa adalah rakan sekerja sebagai pengawal keselamatan pangsapuri di Sungai Buloh.

    Tambahnya, mangsa dibunuh dan dikerat di sebuah bilik stor pangsapuri tempatnya bekerja oleh rakan senegara.

  • Pas akui PN rancang ‘jatuhkan’ Kerajaan Perpaduan, tiada siapa boleh halang-Hadi

    Pas akui PN rancang ‘jatuhkan’ Kerajaan Perpaduan, tiada siapa boleh halang-Hadi

    PAS mengakui bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk ‘menjatuhkan’ Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Mengikut sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Jelasnya, keadaan itu biasa berlaku dalam politik termasuk melalui undi tidak percaya atau mendapatkan Surat Akuan Berkanun (SD).

    “Penyokong kerajaan berpaling tadah, biasa berlakulah dan kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan kerajaan campuran yang ada ini, perasaan tak puas hati sesama komponen dia sendiri, itu ada berlaku,” ujarnya.

    Tegasnya, perkara tersebut tidak mustahil berlaku malah dalam sebuah negara demokrasi dibolehkan.

    “(Sekarang memang ada usaha PN rampas kerajaan?) Ya, itu biasa dalam negara demokrasi, kita berusaha bukan sahaja melalui PRU (Pilihan Raya Umum) tetapi termasuk melalui Parlimen,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi menjangkakan kerajaan hari ini akan tumbang tidak lama lagi.

    Ditanya jika cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan bertentangan dengan titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan kestabilan, Timbalan Pengerusi PN itu berkata ia ‘tidak boleh dijadikan sebagai kata putus’.

    “Kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak jadi kata putus yang menghalang untuk ada perubahan dalam negara demokrasi.

    “Mengikut Raja Berperlembagaan, (kedudukan) Raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita masih menjunjung demokrasi, dan ia tak bercanggah,” jelas Abdul Hadi, lapor Astro Awani.

    Mengenai kenyataan Anwar bahawa Abdul Hadi boleh mengigau dan merancang, Ahli Parlimen Marang itu berkata: “Memang kita berhak merancang dan tiada siapa yang halang kita untuk merancang.”

    Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata, kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu kekal menjadi pembangkang disifatkan sebagai kenyataan awal dan ia boleh berubah kerana politik bersifat dinamik.

  • Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

    Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

    SEBELAS individu melibatkan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd dipanggil memberi keterangan berkenaan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan jabatan itu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

    Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sekiranya perlu mengambil keterangan individu lain berkenaan perkara tersebut.

    “Setakat ini segala kenyataan yang diambil dan siasatan dijalankan adalah pandangan dan nasihat daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan (PPN) Negeri Sembilan.

    “PDRM Negeri telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan telah dihantar semula ke pejabat TPR pada 2 Mac. 11 individu tersebut (termasuk bukan pegawai MAINS) turut diambil keterangan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

    Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah.

     Pada 13 Feb lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan agensi berkenaan dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

    Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan berkenaan.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Dzaffir melaporkan kes jenayah komersial di negeri itu pada tahun lepas merekodkan kerugian RM62.51 juta berbanding RM43.12 juta pada tahun sebelumnya.

    Katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri telah membuka 2,833 kertas siasatan dan 1,425 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan komersial dan 469 individu dituduh di mahkamah pada tahun ini.

    “Jenis kes didapati menunjukkan peningkatan adalah 318 kes bagi penipuan telekomunikasi, 93 kes penipuan pelaburan tidak wujud dan 38 kes bagi penipuan kewangan dalam talian. Terdapat pertambahan RM1.55 juta kerugian bagi kes pembelian dalam talian dan RM862,000 bagi pelaburan,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata polis menerima dua laporan melibatkan dua mangsa yang didakwa telah ditipu dalam pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi Facebook pada 20 Feb dan 22 Feb ini.

    “Mangsa pertama melibatkan pesara swasta yang kerugian RM1.2 juta dan seorang wanita berusia 49 tahun merupakan akauntan syarikat swasta mengalami kerugian RM200,000. Mangsa dimasukkan dalam grup WhatsApp dan seterusnya ditawarkan pelaburan yang dijanjikan pulangan tinggi,” katanya.

    Katanya dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata polis telah mengenal pasti empat individu yang dipercayai dapat membantu siasatan tersebut iaitu V. Paramesvaran, 38; Muhamad Subris Abdullah, 55; Muhammad Asyraf Mohd Hissam, 27; dan Muhammad Sabran Alias, 38 tahun.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Arif Jamaluddin di talian 019-4005037.

  • Mangsa ditembak suami hamil lima bulan

    Mangsa ditembak suami hamil lima bulan

    SURI rumah yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis semalam di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, hamil lima bulan ketika kejadian.

    Ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, berkata, Safsufarnisya Salleh, 26, hamil anak pertama selepas berkahwin dengan suspek selama dua tahun.

    Menurutnya, Safsufarnisya merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

    “Memang anak saya hamil lima bulan ketika dia meninggal semalam.

    “Malah, kami tidak sangkalah perkara ini boleh berlaku kerana menantu (suspek) ini memang baik orangnya sehinggakan kami sudah anggap dia sebagai anak sendiri.

    “Jadi kehilangan Safsufarnisya ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya terima terutama dalam keadaan apa yang terjadi tempoh hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di Kangar hari ini.

    Katanya, jika dilihat daripada keadaan sebelum ini menantunya yang berasal dari Setiu, Terengganu itu adalah seorang yang ‘ringan tulang’ dan gemar membantu keluarga termasuklah membelikan pelbagai keperluan termasuk makanan di rumah itu.

    “Dia tidak pernah berkira dan kalau dia pulang ke rumah ini, dia pasti akan membawa pulang makanan termasuklah lauk pauk.

    “Paling mengharukan adalah menantu makcik ini sering membawa kami termasuk Allahyarham keluar bersiar-siar sekiranya ada kelapangan.

    “Oleh itu, bagaimanalah kami tak anggap dia sebagai anak sendiri tapi benda sudah jadi maka tidak boleh buat apa-apa sekarang,” katanya.

    Che Mas turut memberitahu bahawa menantunya itu dipercayai mempunyai masalah kemurungan beberapa tahun sebelum ini.

    Ini disebabkan menantunya ada menunjukkan perilaku yang tidak menentu sebelum ini.

    “Pada Aidiladha lalu, menantu saya ini pernah memandu tanpa hala tuju di lebuh raya seorang diri sehingga petrol keretanya habis.

    “Apabila petrol sudah habis, dia kemudian bersolat di tepi lebuh raya itu dan kemudian menangis terisak-isak di tepi lebuh raya.

    “Allahyarham terpaksa menghubungi tempat suaminya bertugas untuk mengesan dan membawanya pulang semula jadi saya tidak menjangkakan ia berlarutan sehingga terjadinya kejadian semalam,” ujarnya, lapor Berita Harian.

    Che Mas mendirikan rumahtangga dengan suaminya, Salleh Eizan, 61 dan hasil perkongsian hidup, mereka turut dikurniakan empat anak berusia antara 39 dan 26 tahun.

    Allahyarham Safsufarnisya pula berkahwin selepas bertemu suspek ketika menjalani latihan praktikal dalam bidang pengurusan forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis beberapa tahun lalu.

    Jenazah Safsufarnisya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    Terdahulu, kenalan, rakan sekampung Allahyarham dan sanak saudara hadir menziarahi keluarga mangsa.

    Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru’sele Eizan yang juga bapa saudara mangsa.

  • Kerajaan boleh jimat RM1 bilion, bantu mangsa banjir-Muhyiddin

    Kerajaan boleh jimat RM1 bilion, bantu mangsa banjir-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan RM1 bilion daripada wang yang diperuntukkan untuk penambahan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan tersebut yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini boleh digunakan sebagai dana bantuan untuk mangsa-mangsa banjir.

    “Sebenarnya, pencarum tak mohon suntikan RM1 bilion ini tapi mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara bersasar.

    “Kalau itu (dana digunakan untuk mangsa banjir) diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan RM1 bilion dan boleh bagi pada kawasan-kawasan yang hadapi banjir yang teruk untuk digunakan untuk selamatkan mangsa-mangsa yang ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Sewaktu pembentangan Belanjawan 2023, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menambah RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 dan 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan jumlah peruntukan RM1 bilion.

    Muhyiddin berkata, bantuan KWSP itu hanya untuk segelintir pencarum sedangkan hampir 53 peratus penyumbang caruman yang aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian berkenaan.

    “Golongan pencarum yang berumur di bawah usia 40 tahun pula dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama.

    “Permintaan rata-rata pencarum untuk mengeluarkan simpanan KWSP juga tidak dipedulikan. Jelas kerajaan hari ini tidak mendengar denyut nadi rakyat yang sedang dihimpit oleh bebanan kos sara hidup yang tinggi.

    “Benar KWSP adalah untuk simpanan hari tua, tetapi apa guna bercakap tentang hari tua, jika hari ini pun rakyat tidak mempunyai wang untuk keperluan harian,” katanya.

    Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, sebagai pembangkang, pihaknya kekal profesional dan telus untuk memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif.

    “Saya berharap pihak kerajaan akan memperhalusi dan meneladani isu-isu yang telah dibentangkan. Bukan bersikap pilih kasih dan hanya pandai memainkan sentimen dendam kesumat, mencari-cari salah individu tertentu secara terancang atau dengan izin ‘selective prosecution’.

    “Sikap dangkal sebegini perlu segera dihentikan. Ini bukanlah cara pentadbiran Kerajaan yang seperti rakyat mahukan.

    “Menjunjung prinsip prihatin, bersih dan stabil, kami menyokong dasar dan perancangan kerajaan yang baik serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat, serta menolak mana-mana dasar yang memudaratkan rakyat,” katanya.

  • Ganti WKB2030 dengan konsep Malaysia Madani terburu-buru, kata Muhyiddin

    Ganti WKB2030 dengan konsep Malaysia Madani terburu-buru, kata Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil pendekatan yang agak terburu-buru dalam menggantikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan konsep baharu Malaysia Madani.

    Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ini kerana konsep baharu tersebut masih belum jelas perancangannya.

    “Harus diingatkan bahawa WKB2030 telah disepakati untuk menjadi tonggak wawasan negara sehingga tahun 2030, malah termaktub dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.

    “Agenda Bumiputera sebenarnya telah diberi penekanan khusus dalam Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030) sebagai kesinambungan dasar-dasar kerajaan terdahulu iaitu Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000).

    “Di bawah gagasan besar WKB2030 ini, Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) telah pun ditubuhkan yang berfungsi sebagai sebuah mekanisme pemantauan di peringkat tertinggi untuk memastikan semua sasaran golongan bumiputera dapat dicapai.

    “Sebaliknya, sehingga kini, saya tidak melihat agenda ini disebut secara jelas dalam Dasar Malaysia Madani mahupun dalam mana-mana komitmen kerajaan campuran pada hari ini,” katanya.

    Beliau berkata demkian ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Justeru dalam hal tersebut katanya, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci tentang kedudukan dasar dan agenda bumiputera dalam dasar pembangunan negara.

    Katanya, kajian impak berkaitan status pencapaian syarikat bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi yang telah dibantu serta menerima manfaat dari pakej dan inisiatif kerajaan perlulah dibentangkan.

    Langkah itu katanya, amat penting bagi melihat sejauh mana dasar-dasar berkaitan, benar-benar memberi manfaat kepada golongan bumiputera.

    “Ini termasuk memperincikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah, sedang dan akan diambil pihak kerajaan serta mekanisme pemantauan selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TBP2030) yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.

    Muhyiddin berkata, dalam RMK-12 misalnya, antara penekanan yang diberi termasuk sasaran pertambahan sumbangan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bumiputera sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Bagi mencapai sasaran ini, usaha memperkasa golongan bumiputera perlu dipergiat menerusi pembiayaan dan pelaksanaan program keusahawanan seperti Dana Kemakmuran Bumiputera.

    “Seperkara lagi ialah mengenai Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dan Yayasan Ekuiti Nasional yang hendak disatukan. Saya ingin bertanya adakah kerajaan telah menimbangkan dengan sebaik-baiknya keputusan ini,” soalnya.

    Ini kerana katanya, ketiga-tiga entiti berkenaan mempunyai fungsi yang berbeza dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat bumiputera daripada segi pemilikan wang simpanan, hartanah dan ekuiti.

    “Tidakkah penggabungan ketiga-tiga entiti ini akan menyebabkan fungsi setiap entiti tersebut luntur dan seterusnya menjejaskan pencapaian sasaran pemilikan kekayaan bumiputera,” soalnya lagi.

  • Pengurangan subsidi boleh sebabkan kenaikan inflasi mendadak pada tahun ini-Muhyiddin

    Pengurangan subsidi boleh sebabkan kenaikan inflasi mendadak pada tahun ini-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah subsidi dikurangkan daripada RM80 bilion kepada RM64 bilion pada 2023 akan memberi kesan terutama kenaikan kadar inflasi secara mendadak di negara ini pada tahun ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempersoalkan sama ada kerajaan sudah menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan ini.

    “Hal ini kerana pengurangan jumlah subsidi boleh menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak pada tahun ini. Rata-rata rakyat yang tidak berkemampuan masih sengsara untuk meletakkan makanan di atas meja.

    “Tambahan pula, meskipun terdapat momentum positif dalam proses pemulihan ekonomi, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

    “Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar,” katanya ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, subsidi merupakan bantuan kewangan dan bukan satu bentuk insentif kerajaan.

    Muhyiddin mahu subsidi kerajaan memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan manakala golongan yang berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

    “Oleh itu, kadar produktiviti memainkan peranan penting dalam penentuan pengeluaran subsidi untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan,” ujarnya.

    Sebagai contoh kata Muhyiddin semua kos bahan input dalam rantaian pengeluaran perlu berdasarkan peningkatan kadar produktiviti.

    Selain itu Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bagi memastikan peningkatan daya pengeluaran di negara ini, tambahnya.

    “Malahan, YAB Tambun dalam belanjawan menyebut tentang iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar, namun saya melihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya.

    “Kerajaan hari ini tidak membuat saringan had subsidi mengikut kategori pendapatan T20, M40 dan B40, seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bukan itu sahaja, klasifikasi subsidi harus disemak semula secara teliti untuk mengurangkan bebanan fiskal negara.

    Misalnya, subsidi terhadap bahan input seperti baja bolehlah dikekalkan, namun subsidi menyeluruh terhadap output seperti bahan api harus diselaraskan dengan harga semasa global, katanya.

    “Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, ia mestilah mengikut formula produktiviti bagi setiap kos bahan input kepada output.

    “Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan perlu menjalankan pemantauan dan intervensi untuk menentukan keberhasilan terhadap langkah ini iaitu pengurangan kadar kemiskinan,” jelasnya.