DATUK Dr Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selepas Mahkamah Pilihan Raya membenarkan pemimpin Bersatu itu membatalkan petisyen difailkan pengundi kawasan itu.
Hakim Faizah Jamaludin ketika membenarkan bantahan awal itu berkata, petisyen pilihan raya difailkan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim tidak mempunyai fakta, khususnya menyokong dakwaan rasuah bagi memastikan Radzi memenangi kerusi itu.
“Saya mendapati pempetisyen tidak boleh meneruskan terhadap kausa tindakannya di bawah Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata hakim dalam keputusan disampaikan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.
Pada PRU15 Radzi memenangi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi.
Faizah berkata, dakwaan itu tidak mengandungi fakta dan butiran berkaitan rasuah, menjadikannya mustahil untuk Faisal membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah jika perbicaraan diadakan.
“Oleh itu, saya dapati petisyen itu tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b), Peraturan Petisyen Pilihan raya dan oleh itu ia didapati cacat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai hakim pilihan raya, beliau terkekang oleh kuasa secara nyata terletak padanya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kegagalan pempetisyen untuk mematuhi rayuan dan prosedur telah mengakibatkan kecacatan bidang kuasa menyebabkan saya tidak dapat mendengar petisyen itu,” tambahnya.
Mahkamah kemudian menganugerahkan kos sebanyak RM20,000 kepada Radzi, yang diwakili Yusfarizal Yussoff.
Dalam samannya yang difailkan pada 26 Jan, Faisal mendakwa pengundi disogok RM150 setiap seorang untuk memastikan Radzi memenangi kerusi itu.
Pada PRU, Radzi, bekas menteri pendidikan, menewaskan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, lebih dikenali sebagai Ku Nan, dengan majoriti 2,310 undi dalam pertembungan enam penjuru.
Radzi memperoleh 16,002 undi manakala Tengku Adnan, yang cuba mempertahankan kerusi disandang sejak 2004, memperoleh 13,692 undi.
Faisal mahu keputusan pilihan raya itu dibatalkan dan pilihan raya kecil diadakan.
Bagaimanapun, Radzi memfailkan bantahan awal pada 12 Feb untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ia tidak mempunyai butiran mengenai dakwaan rasuah.
Peguam Hafarizam Harun, Norhazira Abu Hayan dan Amin Othman mewakili Faisal.
SEORANG bekas pengurus sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat itu berjumlah lebih RM40,000 dari Jun hingga Julai tahun lalu.
Tertuduh, Siti Khadyja Razali, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengurus sebuah syarikat yang telah diamanahkan suatu harta iaitu wang hasil jualan syarikat berjumlah RM41,143.50 telah melakukan pecah amanah jenayah.
Kesalahan dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Aeon Nilai, dekat Nilai, dari 17 Jun hingga 27 Julai tahun lalu, lapor Harian Metro.
Dengan itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Hukuman hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Pegawai Pendakwa Polis Asisten Superintendan L. Rathna mencadangkan mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum memandangkan tertuduh sudah tidak bekerja sejak kejadian itu, malah memaklumkan tertuduh memberi kerjasama kepada polis sepanjang ditahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes pada 24 Mac depan.
Sementara itu, di luar bilik mahkamah, ahli keluarga tidak berpuas hati dengan pengamal media yang membuat liputan kes berkenaan dan menghalang jurufoto mengambil gambar tertuduh.
SEORANG jurulatih kecergasan sebuah gimnasium didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis pada 7 Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Khaw Chee Young, 29, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa hendak mengaibkan kehormatan seorang gadis dengan cara menunjukkan kemaluan kepada gadis tersebut.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.40 pagi pada 7 Mac lalu, di aras dua sebuah gimnasium di All Season Place, Lebuh Raya Thean Teik, di Georgetown.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di lokasi dan masa yang sama telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan gadis yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Zaida Azwa Zainal memohon mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh bagi pertuduhan pertama manakala jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.
Bagaimanapun, peguam HC Chan memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan wang jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah.
Selain itu, HC Chan berkata, pasport tertuduh juga telah tamat tempoh pada 2020 dan anak guamnya tidak berhasrat untuk memperbaharui pasport tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar
TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dikenakan ke atas beliau sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencemar imej beliau, keluarga dan parti Bersatu.
Bercakap kepada wartawan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Presiden Bersatu berkata, beliau akan berdepan ujian tersebut dengan penuh sabar dan menyerahkan kepada pasukan peguamnya untuk mendapatkan keadilan.
Berikut kenyataan penuh beliau;
Pagi tadi saya dihadapkan ke Mahkamah untuk menghadapi enam pertuduhan. Pada hari Isnin ini saya akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam untuk satu lagi pertuduhan.
Pertuduhan ke atas saya dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa. Saya tidak didakwa atas kesalahan menerima rasuah bagi diri saya.
Tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket saya
Ini kerana setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket saya sendiri sepanjang saya menjadi Perdana Menteri. Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik Covid-19.
Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya.
Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden UMNO bahawa akan wujud Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional.
Dia ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri.
Saya dituduh menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor Bumiputera bagi Projek JANAWIBAWA. Saya nafikan tuduhan ini. Saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan projek-projek ini. Kesemua projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan tatacara perolehan yang sah.
Saya juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Saya nafikan dakwaan ini.
Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya. Inilah dua dakwaaan yang mengakibatkan 7 pertuduhan yang dibuat ke atas saya.
Semalam, sebelum keterangan saya diambil berhubung dakwaan saya menyalahgunakan kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa saya. Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil?
Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan. Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
P
Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution. Saya telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan.
Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenangwenangnya. Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang.
Ramai musuh mahu hancurkan saya
Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus.
Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. This is the price that I have to pay.
Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah s.w.t. mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk.
Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil.
Kepada ahli-ahli BERSATU, penyokong Perikatan Nasional dan rakyat seluruhnya, saya amat menghargai sokongan anda semua. Bertenang dan berilah peluang kepada saya untuk membela diri melalui proses undang-undang.
Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid19. Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup. Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.
Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh Allah s.w.t.
WALAUPUN berdepan enam tuduhan mahkamah, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan mengajak rakyat turun ke jalanan untuk membela dirinya.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan hidup dan beliau enggan membebankan rakyat untuk membela dirinya.
Sebaliknya, apa yang diharapkan beliau ialah penyokongnya menitip doa supaya beliau diberikan keadilan dan serta dilindungi oleh Allah.
“Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya.
“Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus. Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih.
“Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. ‘This is the price that I have to pay’ (ini harga yang perlu saya bayar),” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kenyataan itu juga, Muhyiddin, 76, mendakwa pihak berkuasa hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
Tambah beliau, pendakwaan terhadapnya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.
“Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah mengurniakan rahmah dan inayahNya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk.
“Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil,” tegasnya, lapor Astro Awani.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga meminta semua penyokongnya bertenang dan beri peluang kepadanya untuk membela diri melalui proses undang-undang.
Hari ini, Muhyiddin berdepan dakwaan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.
Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan minta untuk dibicarakan.
“KITA berpanas tapi kita tak koyak,” itu kata-kata semangat diucapkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika berucap di hadapan lebih 200 penyokong di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Faizal berkata, biarpun seharusnya diadakan perhimpunan agung pada hari ini, namun semuanya berkumpul di Kuala Lumpur mengiringi pemimpin yang dizalimi.
“Seharusnya kita pada pagi ini menunaikan tanggungjawab kita menghadiri perhimpunan agung kita namun ditakdirkan akibat kezaliman pemerintah, kita berada dalam keadaan panas kerana kita mengiringi negarawan kita yang sedang dizalimi pemerintah.
“Walaupun dalam keadaan panas kita tetap tidak koyak, bila kita dengar pertuduhan dilontarkan kita amat yakin, abah kita tidak bersalah,” katanya, lapor Sinar Harian.
Lebih 200 penyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul seawal jam 7 pagi, bagi memberikan sokongan berkaitan pertuduhan yang dihadapi beliau.
Kawalan ketat pihak polis di sekitar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan dalam keadaan terkawal.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Muhyiddin, 76, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot hitam tanpa tali leher, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussain.
TAN Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta, dibenarkan diikat jamin RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas perdana menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Azura turut menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mencadangkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin bersetuju dengan jumlah jaminan dan syarat tambahan itu.
Pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat, Nor Asma Ahmad, Rasyidah Murni Azmi, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.
Muhyiddin turut diwakili peguam Datuk Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.
Muhyiddin, 75, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Terdahulu pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang memakai sut lengkap berwarna gelap itu tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard pada 8.40 pagi ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
LEBIH 500 penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan moral terhadap bekas perdana menteri itu.
Laungan ‘Kami bersama abah’ bergema diikuti kemeja-T tanda pagar #abahtabah dikenakan oleh setiap penyokong.
Mereka yang tiba seawal pukul 8 pagi dipercayai datang dari seluruh negera bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang berdepan beberapa pertuduhan yang disifatkan sesetengah pihak sebagai pendakwaan terpilih.
Sebahagian daripada penyokong-penyokong menunggu diluar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menghadapi tuduhan rasuah, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Di satu sedut sekumpulan anak muda memasang pentas terbuka bagi memberi peluang pemimpin berucap memberi kata-kata semangat kepada penyokong.
Turut kelihatan pemimpin Bersatu dan PN antaranya, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr Radzi Jidin, Wan Ahmad Fyshal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, beliau menjangkakan lebih 1,000 penyokong akan terus berkumpul bagi memberi sokongan moral terhadap Presiden Bersatu itu.
“Kita di sini untuk bersama Tan Sri Muhyiddin bagi memberi sokongan terhadap beliau. Seperti hari ini, hari Isnin minggu hadapan juga kita akan terus bersama dengan penyokong sepeerti anda lihat hari ini,” katanya, lapor SatuBerita.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pagoh itu dijangka berdepan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM230 juta.
Pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 berkaitan dana Jana Wibawa.
PEMBANGKANG di Selangor meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti mencari alasan berhubung isu peruntukan untuk Ahli Parlimen, mendakwa situasi di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) juga serupa.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Abdul Rashid Asari berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Selangor hanya diberi peruntukan sebanyak RM150,000 setahun, apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Pusat.
“ADUN pembangkang di Selangor hanya diberi peruntukan RM150,000 setahun, apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Pusat.
“PN mentadbir kerajaan dengan sokongan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.
“ADUN pembangkang Selangor tidak diberi peruntukan sama rata dengan Adun PH, yang menerima peruntukan hampir RM1 juta setahun mengikut jumlah pengundi,” katanya yang juga ADUN Selat Klang, lapor FMT.
Sementara itu, pembangkang di Pulau Pinang mendakwa mereka hanya diberi RM60,000 untuk prasarana, yang disalurkan kerajaan melalui pejabat daerah.
“Setiap ADUN kerajaan difahamkan mendapat peruntukan RM500,000 setahun,” kata ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.
Anwar pada Selasa menyeru pembangkang untuk berunding dengan pemerintah agar isu peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan secepat mungkin.
Beliau juga mahu PN merenung kembali pemberian kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri yang ditadbir gabungan itu.
Sebelum ini, beberapa wakil rakyat PN mengkritik Belanjawan 2023 baharu kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menepis kritikan PN, mengingatkan hanya pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang, selepas pemerintah dan PH memeterai perjanjian persefahaman untuk memupuk kestabilan.
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan inisiatif terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ia berkait penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.
“Pada masa ini, KWSP sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.
“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang,” kata KWSP dalam satu kenyataan.
Ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023), Anwar mengemukakan cadangan supaya KWSP memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi serta terdesak untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.
“Ramai ahli-ahli Yang Berhormat bangkitkan isu ini, saya menerima baik teguran-teguran ini. Tapi kita kena ingat prinsip KWSP adalah untuk simpanan hari tua. Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman COVID-19, malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.
“Pada prinsipnya saya tidak bersetuju dengan pengeluaran dana simpanan tua ini. Oleh itu saya cadangkan untuk kita perkenalkan satu kaedah bagi memudahkan mereka yang terdesak.
“Maka saya akan pastikan mereka yang mempunyai wang di dalam KWSP dan dalam keadaan terdesak meminjam dari bank dengan jaminan cagaran dari agensi berkenaan,” katanya.