Category: Semasa

  • ‘Ada pihak mahu lihat PN korup’- Wan Ahmad Fahysal

    ‘Ada pihak mahu lihat PN korup’- Wan Ahmad Fahysal

    TERDAPAT pihak yang mahu Perikatan Nasional (PN) dilihat korup dalam kalangan masyarakat Melayu, kata Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

    “Ini dapat dilihat menerusi pendakwaan yang dilakukan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Kita berhimpun pada pagi ini dengan rasa sugul dan amarah yang mendalam. Muhyiddin sedang menghadapi badai dendam kesumat politik yang tidak terperi hebatnya.

    “Walaupun hati saya berasa amat berat melihat dan mendengar pertuduhan yang dibacakan ke atas beliau (Muhyiddin) ketika kami bersama beliau di mahkamah semalam.

    “Nun jauh lebih berat buat Abah yang memikul beban ini untuk kita semua,” kata beliau dalam Perhimpuan Agung Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, politik Melayu kini sedang berhadapan dengan kemerosotan terutama di arena Parlimen.

    “Jarang kita mendengar ahli Parlimen dari kerajaan untuk bercakap tentang kelangsungan Melayu dan Bumiputera. Hanya ahli Parlimen dari PN sahaja yang berani menyuarakan hal demikian.

    “Saya khuatir, jika situasi ini berterusan, orang Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air mereka sendiri dan akhirnya beranggapan bahawa demokrasi tidak berupaya untuk merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin tidak perlu letak jawatan – Armada

    Muhyiddin tidak perlu letak jawatan – Armada

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Presiden parti, kata Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    “Ini kerana enam pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa bersifat pendakwaan terpilih.

    “Kita mahu supaya Tan Sri Muhyiddin kekal dengan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    “Sebab (apa yang berlaku ke atas beliau) adalah pendakwaan terpilih,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

    Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa di mahkamah ini atas tuduhan jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

    Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

    Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

  • Isu cukai Yayasan Albukhary: Guan Eng pula mahu saman Muhyiddin

    Isu cukai Yayasan Albukhary: Guan Eng pula mahu saman Muhyiddin

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, mengikut jejak langkah ketua utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik mereka.

    Tindakan terbaharu itu dilakukan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng apabila meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan beliau membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan sebelum ini.

    Guan Eng juga meminta bekas Perdana Menteri itu memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

    “Saya akan beri beliau (Muhyiddin) tempoh sehingga Rabu untuk menyatakan kebenaran mengenai perkara ini dan membersihkan nama saya. Saya akan mengarahkan peguamnya memulakan prosiding fitnah dengan segera jika gagal berbuat demikian,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Khamis lalu, Muhyiddin pada sidang media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan, berkata, Yayasan Albukhary diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

    Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kerajaan gabungan PH telah ditubuhkan dan Guan Eng yang menjadi menteri kewangan ketika itu telah membatalkan pengecualian cukai berkenaan.

    “Semasa saya menjadi PM, Tan Sri Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan tersebut,” kata Muhyiddin, lapor Agenda Daily.

    Sebelum ini, Anwar yang juga Perdana Menteri menghantar surat tuntutan (LOD) dan saman kepada Ahli Parlimen PN Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim dan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Pengerusi PH dan Presiden PKR itu juga memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan terhadap Muhyiddin sendiri.

    Susulan itu, Awang Solahuddin ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari lalu melahirkan kebimbangan bahawa Anwar akan dikenang sebagai ‘bapa saman negara’ kerana tindakannya menakut-nakutkan pihak yang menegurnya.

    Sehubungan itu, beliau meminta Anwar supaya berlapang dada dan berjiwa besar menerima kritikan daripada pembangkang.

    Menurut laman sesawang Wikipedia, sejak 2008 hingga 2014 Anwar telah menyaman 12 individu dan entiti, termasuk Chandra Muzaffar, Khairy Jamaluddin, Datuk S. Nallakarupan, Saiful Bukhari Azlan, Datuk Seri Anifah Aman, New Straits Times dan Utusan.

  • MPT Bersatu belum putus sama ada Muhyiddin kekal Presiden

    MPT Bersatu belum putus sama ada Muhyiddin kekal Presiden

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum memutuskan lagi sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai presiden parti susulan beliau dituduh di mahkamah semalam.

    Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mesyuarat MPT akan diadakan di Taman Melewar petang ini yang akan menyentuh berkenaan perkara itu.

    “Setakat ini belum lagi (bincang jawatan presiden). Tetapi petang ini akan diadakan mesyuarat MPT selepas mesyuarat Pemuda Bersatu kira-kira pada 6.30 petang di Taman Melewar.

    “Jadi media boleh bertanya kepada pimpinan selepas mesyuarat itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4, di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MPT sudah memutuskan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu susulan dakwaan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

    Muhyiddin semalam mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

    Dalam pada itu, Wan Fayhsal berpandangan Muhyiddin wajar terus menjadi Presiden Bersatu kerana percaya pertuduhan yang dikenakan itu bermotifkan politik.

    Katanya, beliau juga akan menunggu perbincangan antara kalangan pimpinan MPT hari ini mengenai kedudukan Muhyiddin.

    “Saya fikir dia harus kekal kerana kita percaya ini adalah penganiayaan politik.

    “Saya percaya, kami (pimpinan Bersatu) akan memastikan Muhyiddin kekal sebagai presiden,” katanya, lapor FMT.

  • SPRM sahkan Muhyiddin akan didakwa lagi kes wang haram

    SPRM sahkan Muhyiddin akan didakwa lagi kes wang haram

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dituduh Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) pada Isnin ini.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

    “Pertuduhan di bawah AMLATFPUAA terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ekoran siasatan melibatkan kes projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dijalankan siasatannya oleh SPRM.

    “Muhyiddin akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azam berkata, mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Dalam sidang akhbar yang dilakukan oleh Muhyiddin selepas dibebaskan oleh SPRM kelmarin, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan akan dikenakan tujuh pertuduhan di mahkamah.

    Enam pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu telah dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, manakala satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

    Semalam, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • ‘Muhyiddin bukan seperti Najib’ – Ahmad Fayhsal

    ‘Muhyiddin bukan seperti Najib’ – Ahmad Fayhsal

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan seperti Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak terlibat dalam skandal kewangan besar seperti yang berlaku ke atas Najib.

    “Saya ingin ingatkan, bahawa Tan Sri Muhyiddin bukan (Datuk Seri) Najib Razak. Jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Orang Melayu lebih pandai menilai mata yang permata dan mana yang kaca,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini.

    Dakwa Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang lagi, Muhyiddin yang kini berdepan kes mahkamah menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

    Jelasnya, pendakwaan ke atas Muhyiddin ini disebabkan ketakutan melampau terhadap pengaruh Bersatu dalam politik Melayu.

    “Sama-sama kita doakan, agar Presiden kita dikurniakan kekuatan bagi menempuhi ujian yang sedang dihadapi.

    “Saya percaya, seorang yang bernama Muhyiddin Yassin tidak akan mudah luntur semangat juangnya, walau badai setinggi gunung dan desakan maha hebat apa pun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, beberapa pimpinan tertinggi Bersatu turut hadir antaranya Naib Ketuanya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin, Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dan lain-lain.

    Perhimpunan kali keempat ini juga menyaksikan seramai 429 perwakilan dari seluruh negara yang hadir.

  • Malaysia berdepan ketidaktentuan politik selepas Muhyiddin didakwa

    Malaysia berdepan ketidaktentuan politik selepas Muhyiddin didakwa

    MALAYSIA mungkin berdepan polarisasi politik berterusan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berisiko berdepan tindak balas negatif apabila pentadbirannya melakukan pendakwaan terhadap musuh dan juga pendahulunya Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

    Muhyiddin yang merupakan Perdana Menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung projek yang dilancarkan di bawah kepimpinannya.

    Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan berkata pertuduhan itu hanya bermotifkan politik.

    Namun begitu perkara tersebut dinafikan Anwar, sambil berkata proses berkenaan dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

    Penganalisis politik di Universiti Nottingham Asia Research Institute, Bridget Welsh berkata, kes itu mampu menjadikan kerajaan Anwar lebih tidak popular dalam kalangan kelompok konservatif, dengan pengundi Melayu lebih condong memilih blok pembangkang walaupun pemimpin kanan gabungan itu berdepan pertuduhan rasuah.

    Katanya, ini seterusnya boleh membawa lebih banyak ketidaktentuan politik dalam negara yang menyaksikan lima Perdana Menteri dalam tempoh enam tahun.

    “Kerajaan campuran dipimpin Anwar dijangka berdepan cabaran hebat daripada gabungan Muhyiddin pada enam pilihan raya negeri, yang dijangka berlangsung menjelang Jun ini.

    “Ia adalah ujian besar bagi Anwar, yang mempunyai pemimpin dalam Kabinetnya yang berdepan kes rasuah.

    “Pentadbirannya akan berdepan krisis kredibiliti yang meluas melainkan ada usaha untuk melakukan reformasi sebenar.

    “Naratif penganiayaan ini memberi kesan kepada dinamik polarisasi politik Malaysia,” katanya kepada Reuters.

    Muhyiddin merupakan bekas Perdana Menteri kedua dalam sejarah Malaysia yang didakwa atas tuduhan rasuah sejurus selepas kalah dalam pilihan raya, dan kesnya menarik perhatian kepada pelbagai retakan dalam politik negara.

  • Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka

    Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka

    SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cempaka di Kuantan semalam.

    Mangsa, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15 dari Taman Kempadang Perdana merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian itu, empat rakan mangsa masing-masing berusia 15 tahun selamat.

    “Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakannya datang ke pantai itu kira-kira pukul 3.30 petang untuk mandi-manda.

    “Semasa sedang mandi di tepi pantai, mereka dipercayai telah dipukul ombak dan hanyutkan arus ke kawasan yang agak dalam.

    “Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang selamat meminta bantuan daripada penduduk berhampiran sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat.

    Wan Mohd. Zahari berkata, susulan maklumat ditera, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasukan Polis Marin dan Agensi Pengiatkuasaan Maritim Malaysian (Maritim Malaysia).

    “Penugasan SAR bertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat memandangkan penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, operasi SAR mangsa yang hilang diteruskan pada pagi tadi.

  • ‘Lim Guan Eng Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu’ – Muhyiddin

    ‘Lim Guan Eng Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Lim Guan Eng bahawa beliau berbohong berkenaan pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, dakwaan Guan Eng tersebut tidak benar sama sekali dan berikut adalah kenyataan media Muhyiddin berkenaan isu tersebut;

    Saya merujuk kepada beberapa kenyataan media oleh Lim Guan Eng berkaitan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al Bukhary. Lim Guan Eng tidak menyentuh langsung intipati apa yang telah saya katakan.

    Saya menerima surat rayuan daripada Yayasan Al-Bukhary semasa saya menjadi Perdana Menteri. Saya dimaklumkan bahawa pihak yayasan telah menerima pengecualian cukai untuk kerja-kerja amal Islam. Pengecualian cukai tersebut diberikan di bawah S.127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pada bulan Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini dengan mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti terhadap Yayasan Al-Bukhary.

    Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu. Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Al-Bukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam.

  • ‘Tak lupa jasa Abah’

    ‘Tak lupa jasa Abah’

    KALAU tidak kerana Abah, mungkin saya dah hilang punca kerana masalah dalam perniagaan, demikian luah seorang individu yang juga penyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz itu berkata, langkah Muhyiddin yang membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pandemik Covid-19 lalu disifatkan jasa yang terlalu besar bagi dirinya.

    “Beliau pemimpin yang cakna kepada masalah rakyat, dengan pengeluaran KWSP yang dibenarkan beliau ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu pandemik Covid-19 lalu berjaya menyelamatkan perniagaan saya yang bermasalah.

    “Jasa beliau cuma Allah sahaja yang mampu membalasnya, saya tak akan lupa sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

    Menurutnya, dia sanggup hadir seawal pukul 6 pagi bagi memberikan sokongan terhadap pemimpin Bersatu itu.

    “Saya datang dari Kedah bersama rakan-rakan yang lain, kami tak kisah walaupun tempuh perjalanan hampir lima jam untuk ke sini.

    “Saya doakan agar Muhyiddin dipermudahkan urusan, doa kami semua sentiasa bersama beliau,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Lebih 200 penyokong Muhyiddin berkumpul di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan terhadap beliau.