Category: Semasa

  • Jatuh-menjatuhkan kerajaan perkara biasa – Shahidan

    Jatuh-menjatuhkan kerajaan perkara biasa – Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Perikatan Nasional (PN) sememangnya bercita-cita untuk kembali menjadi kerajaan.

    Justeru katanya, usaha jatuh-menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa dan gabungan berkenaan juga yakin dapat menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding kerajaan sekarang.

    “Kami (PN) ada niat untuk menjadi kerajaan dan mampu jadi kerajaan yang baik. Angan-angan saya kalau jadi kerajaan akan buat yang lagi baik.

    “Salah ke kita cakap macam tu? Kita ada niat dan cita-cita untuk tukar kerajaan mungkin ia akan menjadi nyata pada masa akan datang atau bila-bila,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Yang Di-pertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau ditanya mengenai tindakan pihak lawan yang tidak berpuas hati susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menjangkakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang.

    Terdahulu pihak polis menerima laporan terhadap ahli Parlimen Marang itu yang dibuat Pemuda Amanah dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Sementara itu, Shahidan berkata, parti-parti kerajaan juga mempunyai cita-cita untuk mendapatkan Kelantan, Kedah dan Perlis pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang dan jatuh-menjatuhkan untuk jadi kerajaan adalah perkara biasa.

    “Jatuh-menjatuh untuk nak jadi kerajaan itu perkara biasa, pasal bulan lima (Mei) itu orang buat di Parlimen (tunjuk lima jari), orang buat tafsiran. Apa yang siasat-siasat?

    “Saya minta kerajaan siasat kenapa harga barang naik kerana rakyat sekarang tengah susah. Negara kita sudah cukup aman dan tidak ada gerakan atau rancangan untuk jatuhkan kerajaan, namun saya ada cita-cita untuk jadi kerajaan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Kerajaan sekarang polisinya tiada polisi, kata Takiyuddin

    Kerajaan sekarang polisinya tiada polisi, kata Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan apa polisi sebenar kerajaan berhubung keputusan usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.

    “Kita tanya menteri atas asas apa dan apa polisi serta pendekatan kerajaan.

    “Kalau itu dibuat kepada UMNO mungkin boleh dibuat kepada parti lain. Inilah kehendak kami dan kami hendak tahu.

    “Tapi kerajaan sekarang ini macam polisinya adalah tidak ada polisi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tersebut.

    Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta 832.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin Hassan berkata, langkah kerajaan dalam perkara itu dilihat akan turut memberi kesan kepada parti lain.

    Menurutnya, semua parti akan menggunakan pendekatan yang sama sebagai contoh Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO menyatakan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan majlis kerja tertinggi akan dipertandingkan setiap tiga tahun sekali.

    “Tiba-tiba ada usul mengatakan dua jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan. Ahli UMNO sendiri rujuk perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

    “Jadi keluar satu surat dan kita tidak tahu surat itu betul atau tidak. Kita tanya kepada menteri, adakah betul surat yang dikatakan ROS ini yang menyatakan usul tambahan UMNO tidak sah, bercanggah, bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO dan ROS arahkan supaya parti itu perbetulkan balik.

    “Itu suratnya kalau surat itu betul, tiba-tiba menteri guna kuasa budi bicaranya kecualikan UMNO daripada tertakluk kepada perkara itu. Kita tanya atas asas apa, dia tak jawab,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bersatu sebulat suara, Muhyiddin kekal presiden – Wan Saiful

    Bersatu sebulat suara, Muhyiddin kekal presiden – Wan Saiful

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu sebulat suara mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden parti itu.

    “Setakat ini kita sebulat suara menyatakan bahawa kita mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden dan saya kena sebut bahawa (kedudukan presiden) berbeza dengan kedudukan saya.

    “Saya adalah ketua penerangan yang dilantik, jadi, apabila dilantik maka saya rasa saya ada tanggungjawab untuk melepaskan tanggungjawab tersebut.

    “Tapi, Muhyiddin adalah pemimpin yang dipilih oleh ahli dan ahli menuntut supaya Muhyiddin kekal sebagai presiden,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Beliau mengulas jika Muhyiddin perlu melepaskan jawatannya seperti mana yang dilakukan bekas ketua penerangan Bersatu itu.

    Muhyiddin semalam meminta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

    Ahli Parlimen Pagoh itu juga berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

    Beliau juga berkata, akan mematuhi keputusan majlis tertinggi Bersatu berhubung kedudukannya sebagai presiden.

    MPT Bersatu juga akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu petang ini di Taman Melewar, Gombak.

    Sementara itu, usul mengenainya akan dikemukakan esok.

  • Ada Menteri Kewangan lain selain Lim Guan Eng semasa PH memerintah, soal Dr Marzuki

    Ada Menteri Kewangan lain selain Lim Guan Eng semasa PH memerintah, soal Dr Marzuki

    BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dengan sinis mempertikaikan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin berbohong isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.

    “Dia kata tunjuk bukti yang dia arah pengecualian cukai tersebut dibatalkan.

    “Saya tak nak kata Guan Eng tak cerdik. Cuma mungkin dia ingat orang lain tak secerdik dia,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

    Berikut kenyataan penuh Dr. Marzuki yang disiarkan di Facebooknya.

    Guan Eng kata Tan Sri Muhyiddin bohong mengenai pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary yang dibuat ketika Guan Eng adalah Menteri Kewangan.

    Dia kata tunjuk bukti yang dia arah pengecualian cukai tersebut dibatalkan.

    Saya tak nak kata Guan Eng tak cerdik. Cuma mungkin dia ingat orang lain tak secerdik dia.

    Menurut Seksyen 127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967, kuasa untuk memberikan pengecualian cukai terletak pada Menteri Kewangan. Ini petikan seksyen tersebut:

    “The Minister may, in any particular case exempt any person from all or any of the provision of this Act, either generally or in respect of any income of a particular kind or any class of income of a particular kind” .

    Seksyen 2 akta ini pula menyebut:

    “” Minister” means the Minister for the time being charged with the responsibility for finance”

    Ada Menteri Kewangan lain ke semasa PH memerintah?

  • Pelajar perempuan maut ditembak depan masjid di Pattani

    Pelajar perempuan maut ditembak depan masjid di Pattani

    SEORANG pesakit mental menembak mati seorang pelajar perempuan dalam satu kejadian di pekarangan sebuah masjid di Pattani, Thailand.

    Ketua Polis Daerah Muang Kolonel Jefferi Saimankul berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat, apabila suspek seorang penolong ketua kampung berusia 49 tahun, melepaskan tembakan ke arah mangsa yang sedang berbual dengan ibunya, di depan sebuah masjid di Mueang Pattani.

    Beliau berkata suspek yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda telah melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

    Mangsa yang berusia 14 tahun itu merupakan pelajar perempuan sebuah sekolah agama swasta.

    Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian belakang dan dada serta disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    “Suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan pacuan empat rodanya berjaya dikesan bersembunyi di sebuah rumah saudaranya. Selepas dua jam dipujuk, suspek menyerah diri.

    “Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, polis mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental yang sedang mendapatkan rawatan dengan mengambil ubat disarankan doktor,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Jenazah mangsa selamat dikebumikan pada Jumaat.

  • Muhyiddin luang masa tinjau Perhimpunan Agung Armada

    Muhyiddin luang masa tinjau Perhimpunan Agung Armada

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau Perhimpunan Agung Tahunan Armada, di Kuala Lumpur hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tiba pada pukul 2.30 petang dengan diiring beberapa pimpinan tertinggi parti itu.

    Ketika ini Ahli Parlimen Pagoh itu berada dalam dewan bagi mendengar perbahasan Armada yang diadakan secara tertutup.

  • Kes bekas pegawai tinggi polis pukul isteri kedua dirujuk ke TPR

    Kes bekas pegawai tinggi polis pukul isteri kedua dirujuk ke TPR

    KERTAS siasatan berhubung kejadian membabitkan seorang bekas pegawai kanan tinggi polis dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial baru-baru ini telah dihantar dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya masih menunggu maklum balas pihak berkenaan.

    “Kami telah hantar (kertas siasatan) dan mereka (pihak pendakwa raya) memerlukan masa untuk meneliti kes berkenaan. Oleh itu, polis masih menunggu maklum balas mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Town Hall Discussion Sempena Hari Polis ke-216 ‘Keselamatan Jalan Raya: Isu Kesesakan Lalulintas’ di KL Wellness City di Bukit Jalil hari ini.

    Beliau mengulas mengenai perkembangan kes siasatan pertelingkahan seorang bekas pegawai kanan tinggi polis dan isteri keduanya yang tular baru-baru ini.

    Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang ke longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang, di sini pada 19 Februari lalu, Azmi berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

    “Setakat ini, belum ada suspek tertentu terlibat kerana polis sedang mencari dan mengenal pasti suspek,” katanya.

  • PN yakin sokongan bertambah pada PRN susulan kes Muhyiddin

    PN yakin sokongan bertambah pada PRN susulan kes Muhyiddin

    AHLI Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN akan mengadakan jelajah seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Kita akan mengadakan road show ke seluruh negara menerangkan kepada rakyat tentang isu.

    “Kita akan pergi ke semua negeri kerana kita bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat dan penyokong. Kita rasa bertanggungjawab menjelaskan apa yang sedang berlaku dan apa yang akan kita buat.

    “PN akan menggabungkan segala kekuatannya untuk PRN yang tak lama lagi,” katanya kepada media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu hari ini.

    Hadir sama dan merasmikan mesyuarat itu ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Semalam Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, gabungan itu berpandangan pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin akan menambahkan lagi kekuatan PN berdepan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Beliau berkata, pihaknya menerima respon yang baik daripada rakyat susulan perdakwaan terhadap bekas perdana menteri itu.

    “Kita melihat dengan keadaan tuduhan-tuduhan yang dikenakan itu, kita menerima respon yang baik daripada rakyat bahawa ia perancangan untuk melemahkan PN .

    “Saya tak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, sebaliknya akan menambahkan lagi sokongan.

    “Sesuatu yang berlaku terutamanya kepada pembangkang akan memberikan kelebihan. Kita yakin tidak akan melemahkan kita sebaliknya akan menambahkan kekuatan kita,” katanya, lapor MalaysiaKini

    Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika mengulas sejauh mana pendakwaan terhadap Muhyiddin akan menjejaskan kekuatan PN dalam PRN di enam negeri akan datang.

  • ‘Rakyat minta pengeluaran bersasar, bukan cagar simpanan KWSP’

    ‘Rakyat minta pengeluaran bersasar, bukan cagar simpanan KWSP’

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kesal dengan cadangan kerajaan agar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu jelas berbeza dengan apa yang menurutnya sebagai kehendak rakyat, serta apa yang pernah disuarakannya sendiri sebelum ini.

    “Bila rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, apa jawapan menteri kewangan (Anwar)? Dia suruh cagar pula simpanan kita kepada bank.

    “Rakyat tengah susah, bagi pengeluaran yang bersasar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Wan Fayhsal berkata, kerajaan seharusnya membawa cadangan yang lebih baik dan dapat membantu rakyat secara jangka panjang.

    “Bukan itu (simpanan KWSP dijadikan cagaran) yang rakyat mahu. Jika tengok semua komen, sekurang-kurangnya oleh netizen, semuanya negatif,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Pada 9 Mac lalu, Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengemukakan cadangan itu yang menurutnya hanya bagi mereka yang benar-benar terdesak dan hanya diberikan kepada pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP.

    Cadangan itu dibantah sejumlah pihak, antaranya NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia yang menyifatkan ia langsung tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.

    Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) pula berpandangan cadangan itu dibuat tanpa penelitian sewajarnya.

  • Ada usaha kecilkan pengundi Melayu – Armada Bersatu

    Ada usaha kecilkan pengundi Melayu – Armada Bersatu

    TERDAPAT usaha mengecilkan saiz jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh kerajaan.

    Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu adalah selaras dengan konsep ‘Malaysian- Malaysia’ yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tatkala politik bangsa Melayu kini sedang berpecah belah.

    Tegas Ahli Parlimen Machang itu, sekiranya usaha licik tersebut berjaya dilakukan, struktur sosial dan ekonomi rakyat bakal berubah.

    “Tidak keterlaluan untuk saya katakan, keadaan politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan PRU17 serta dekad mendatang bakal berubah sama sekali

    “Justeru saya menyatakan kewujudan Bersatu dalam membawa naratif baharu perjuangan Melayu amat diperlukan,” katanya ketika Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, wakil rakyat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai keabsahan demokratik untuk menawarkan satu pembawakan baharu kepada politik Melayu agar tidak terus tenggelam dalam pembawakan politik yang diterajui PH.

    “Tahap keyakinan Melayu yang rendah terhadap PH kini sebenarnya adalah satu signal jelas dan nyata tentang betapa dahaganya bangsa Melayu kini kepada kepimpinan politik dan kerajaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.