Category: Semasa

  • Mudahkan rakyat mengundi dalam PRN, kata Idris

    Mudahkan rakyat mengundi dalam PRN, kata Idris

    AHLI Parlimen Pembangkang, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi diadakan pada hari cuti atau Sabtu.

    Jelas beliau, ini membolehkan agar semua pengundi dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk keluar mengundi.

    “Kita tidak mahu mengulangi sejarah Pilihan Raya Kecil di Tioman, baru-baru ini, kita tengok keluar mengundi hanya 58.39 peratus.

    “Berikan hak kepada pengundi terutama mereka nak pulang dari negeri yang jauh,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Idris yang juga Naib Presiden Pas pada masa sama membangkitkan subsidi pengurusan kuarters dan rumah rasmi kerajaan.

    “Kita dapat melihat banyak hari ini, rumah kediaman untuk kakitangan kerajaan, terutama kuarters Kementerian Pendidikan yang dibina, kebanyakannya tidak digunakan.

    “Mungkin dulu dibuat hanya semata-mata nak buat, tapi tidak memikirkan tentang keperluan untuk diadakan kuarters tersebut,” katanya.

  • Tiga maut dua kenderaan bertembung

    Tiga maut dua kenderaan bertembung

    TIGA maut selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan, di Penampang, pukul 10.30 malam tadi.

    Nahas itu menyebabkan pemandu MPV Naza Kia dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi meninggal dunia.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Naza Kia yang dipercayai memandu melawan arus.

    “MPV itu kemudian bertembung dengan Perodua Myvi menyebabkan kedua-duanya rosak teruk di bahagian hadapan.

    “Tiga mangsa semuanya lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dalam Perodua Myvi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Haris berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Penampang untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Sanusi tegur sikap pembangkang ‘pertikai’ titah Sultan Kedah

    Sanusi tegur sikap pembangkang ‘pertikai’ titah Sultan Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang membuat siaran langsung di media sosial dengan menyentuh berkaitan titah Sultan Kedah ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu menjadi perhatian pada persidangan tersebut, hari ini.

    Ini kerana, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara terbuka menegur wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu kerana didakwa membuat tuduhan seolah-olah titah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah disediakan kerajaan negeri.

    Menurut Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika membawa usul ucapan menjunjung kasih, tindakan sedemikian seolah-olah merendahkan institusi sultan.

    “Sebelum membawa usul ini, saya ingin memberi ingatan kepada ahli Yang Berhormat untuk menjaga tutur kata berkaitan titah sultan yang dizahirkan di dewan ini, semalam. Walau kita bercakap di media sosial, janganlah buat tuduhan seolah-olah titah dizahirkan Tuanku itu disediakan kerajaan negeri kerana tindakan sedemikian merendahkan institusi sultan.

    “Saya tengok di TikTok semalam, Kubang Rotan (Asmirul) ada menyebut perkara tersebut,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah yang ke-14, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana baru-baru ini berlaku perbahasan panas di Parlimen setelah terdapat bekas menteri yang menyebut kononnya titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disediakan kerajaan.

    “Tetapi kali ini perkara itu diulang lagi di peringkat DUN Kedah. Saya zahirkan rasa kecewa atas sifat kurang cermat Kubang Rotan dalam TikTok semalam dan minta beringat lain kali,” katanya.

    Sementara itu, Asmirul ketika ditemui menyifatkan, Muhammad Sanusi bersifat ‘melebih-lebih’ setelah tersalah faham mengenai maksud yang hendak disampaikan dalam siaran langsung TikTok tersebut.

    “Yang saya pertikai bukan titah Tuanku tetapi ‘input’ disampaikan Menteri Besar untuk dimasukkan ke dalam titah baginda. Dalam siaran langsung TikTok itu, kami cakap mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan saya pertikaikan input yang diberikan Muhammad Sanusi berkaitan perkara itu.

    “Mana-mana kerajaan pun biasanya akan beri ‘input’ kepada titah Tuanku dan kami yakin, Sultan Kedah amat bijaksana untuk menilai input diberikan itu betul atau salah. Saya tak pertikai titah baginda tetapi lebih kepada menghentam Menteri Besar kerana kadang-kadang apa yang disaran untuk dimasukkan ke dalam draf titah baginda itu tak betul,” katanya.

    Asmirul Anuar berkata, beliau tidak bercadang untuk membuat permohonan maaf kerana beliau dan ADUN pembangkang lain amat menjunjung titah baginda.

  • Isu tebatan banjir tidak wajar dipolitikkan, rakyat sengsara nanti – Tuan Ibrahim

    Isu tebatan banjir tidak wajar dipolitikkan, rakyat sengsara nanti – Tuan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu tebatan banjir tidak wajar dipolitikkan kerana merupakan isu rakyat.

    “Sebelum ini saya sudah berkali-kali menyatakan bahawa projek tebatan banjir perlu disegerakan. Malah saya pernah mempersoalkan tindakan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang membatalkan projek tebatan banjir serta merta sejurus pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

    “Yang terbaru selepas beberapa episod berlaku banjir, PMX mengumumkan pula bahawa projek tebatan banjir yang berjumlah RM600 juta ini akan disegerakan.

    “Tidak wajar isu tebatan banjir ini dipolitikkan, sedangkan inilah isu rakyat. Jangan disebabkan tindakan kita, rakyat menjadi mangsa. Yang pasti, sudah ada rakyat terkorban menjadi mangsa banjir,” katanya.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata demikian dalam entri terbaharu menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Hari ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa satu langkah segera diambil bagi menangani isu banjir yang melanda beberapa daerah di Johor.

    Menurut Tunku Ismail, masalah banjir yang berlarutan setiap tahun dengan membabitkan kerugian harta benda di Johor perlu diatasi secepat mungkin dan menggesa keperluan sistem tebatan banjir yang baik perlu dilaksanakan pada kadar segera.

    “Kasihan pada rakyat yang susah kerana barang dan rumah rosak. Saya harap kerajaan boleh bertindak sebaik mungkin.

    “Setiap tahun, saya pergi (melawat mangsa banjir) terpaksa cakap benda yang sama, bersabar. Sampai bila saya nak suruh orang sabar? Kita pun naik malu nak cakap.

    “Saya harap kita boleh atasi secepat mungkin,” kata Tunku Ismail menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.

    Pada 5 Disember lalu, Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang diluluskan semasa Tuan Ibrahim menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air tidak diteruskan.

    Kata Anwar, ini kerana membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam reaksi balasnya berkata, Anwar tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui rundingan terus sebagai tidak teratur terutama membabitkan projek penting perlu disegerakan serta kecemasan.

    Jelas beliau, sebagai Menteri Kewangan, Anwar sepatutnya mengetahui bahawa rundingan terus kepada projek tebatan banjir yang perlu disegerakan bukanlah satu kesalahan perolehan.

    Beliau berkata, Anwar tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan mendapat kerugian lebih banyak.

  • Shahidan saran menteri agama dilantik jadi mufti besar negara

    Shahidan saran menteri agama dilantik jadi mufti besar negara

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mencadangkan agar kerajaan melantik menteri agama sebagai mufti besar bagi negara ini untuk menguruskan pentadbiran Islam di Malaysia, termasuk kebenaran menyampaikan ceramah.

    “Di negara lain ada tokoh agamawan yang dijadikan mufti besar dan dia menyelaraskan keseluruhan hal ehwal berkaitan Islam.

    “Pada dasarnya Islam adalah sama di mana-mana tempat pun, namun ia dibezakan oleh urusan pentadbiran.

    “Di Indonesia tak ada masalah… di seluruh dunia ada mufti besar.

    “Kita (Malaysia), kita ada mufti dari negeri-negeri dan (disebabkan itu) timbul masalah apabila negeri mengenakan syarat-syarat tertentu untuk sesuatu perkara.

    “Contohnya seperti (kebenaran) ceramah dan sebagainya. Ada negeri ni benarkan, negeri lain tak benarkan. Ini tak manis,” katanya berucap semasa membahaskan Belanjawan 2023 hari ini.

    Justeru Shahidan yang pernah menjadi Menteri Besar Perlis berpendapat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, wajar dijadikan mufti besar Malaysia.

    “Saya rasa dia tak wajar jadi menteri, dia patut jadi grand mufti. Dia hebat, saya kesian kepada dia (kerana) jadi menteri agama.

    “Justeru carilah jalan bagaimana nak selesaikan, nak selaraskan masalah agama,” katanya lagi.

    Shahidan turut menyentuk isu Beting Patinggi Ali di Sarawak serta ancaman terhadap kedaulatan negara yang berdepan dengan kuasa besar China.

    Justeru Shahidan yang kini menjadi Ahli Parlimen Pas-Perikatan Nasional (PN) bertanya sama ada wujud aset negara bagi memantau pergerakan kapal asing di perairan tersebut.

    Pada masa sama beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas sama seperti yang dilakukan oleh Indonesia di Kepulauan Natuna.

    “Kita tengok kawan kita di sempadan iaitu Kepulauan Natuna, mereka (China) tak boleh sentuh langsung sebab kerajaan di sana (Indonesia) akan mengejar mereka keluar, tapi mereka (China) ada di Beting Patinggi Ali dari 2013, sampai sekarang kita tak ambil tindakan.

    “Kita kena perjuangkan… orang Sarawak kena bersama dengan kami (PN) untuk meminta kerajaan Pusat ambil tindakan tegas ke atas kapal pengawal yang sudah berada di Beting Patinggi Ali.

    “Kita nak kerajaan buktikan kepada orang Sarawak yang kita mampu jaga keselamatan Sarawak dengan mengambil tindakan kepada (pencerobohan) di Beting Patinggi Ali,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pada Januari lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan kerajaan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak memandangkan ia berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

    Mindef memaklumkan dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

  • Amy Search kritik cadangan wang KWSP jadi cagaran pinjaman bank

    Amy Search kritik cadangan wang KWSP jadi cagaran pinjaman bank

    Penyanyi rock legenda, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, mengecam cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan pencarum menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk pinjaman peribadi di bank.

    Tegas beliau, langkah itu hanya akan menguntungkan institusi kewangan itu memungut faedah.

    “Pinjam bank mesti ada interest (faedah), sebab mana ada bank bagi pinjam tiada interest sebab duit bank duit orang ramai (pendeposit).

    “Lagi satu kalau tak bayar interest bertambah. Akhirnya interest pinjaman campur dengan interest lewat bayar akan jadi berganda-ganda.

    “Jadi untung besar bank,” katanya dalam ruang komen berkaitan video di Facebook yang membincangkan mengenai cadangan tersebut, lapor MalaysiaNow.

    Amy memberi amaran sebarang kegagalan untuk menjelaskan pinjaman bank akan menyebabkan simpanan KWSP seseorang dirampas.

    “Bank peduli apa? Sebab semua termaktub dalam perjanjian yang dah ditandatangani. Berhati-hatilah sahabat semua, jangan sampai duit KWSP habis disebabkan interest.

    “Jadi pinjam duit bank dan cagarkan KWSP bukan satu jalan yang bijak,” tambahnya.

    Anwar dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

  • Cagaran simpanan KWSP: Bukan selesaikan masalah, hanya bebankan hidup rakyat

    Cagaran simpanan KWSP: Bukan selesaikan masalah, hanya bebankan hidup rakyat

    CADANGAN agar simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan sebagai cagaran untuk pinjaman bank disifatkan tidak menyelesaikan masalah dihadapi pencarum.

    Sebaliknya kata Penganalisis Sosio Ekonomi dan Politik di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa, langkah itu hanya membebankan hidup rakyat dalam jangka masa panjang.

    Menurut beliau, buat masa sekarang, sebahagian besar pencarum KWSP di negara ini sangat memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kepelbagaian hidup.

    Katanya, majoriti para pencarum masih keliru dengan kaedah yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia pada masa ini.

    “Faktor kekeliruan dan kebimbangan para pencarum ini mungkin berkisarkan kepada apakah syarat-syarat yang akan ditetapkan kelak oleh pihak institusi kewangan?

    “Kedua, berapakah pula caj yang disyaratkan setiap pinjaman yang hendak dilakukan dan setakat mana pula jumlah simpanan KWSP yang perlu dicagarkan?

    “Seterusnya, berapa lama tempoh pinjaman pembayaran semula akan dikenakan. Akhir sekali, adakah memerlukan penjamin di atas cagaran yang hendak dilaksanakan kelak?” jelasnya kepada HarakahDaily.

    Perdana Menteri dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

    Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Ahmad Fauzi berkata, beliau percaya pencarum KWSP sangat mengalu-alukan langkah kerajaan pada masa ini untuk mencari apa sahaja formula terbaik untuk membantu rakyat yang terdesak akibat pelbagai faktor seperti pembiayaan hutang rumah, ansuran bulanan kereta, pinjaman peribadi, sewaan niaga dan pejabat serta mengimbangi pusingan modal perkhidmatan dan perniagaan masing-masing.

    “Dalam hal ini, sepatutnya pihak KWSP terlebih dahulu melancarkan satu bancian awal bagi mendapatkan maklum balas pencarum dan keperluan bagi menampung desakan kewangan yang dilihat boleh membantu pencarum secara tuntas,” katanya.

    Ahmad Fauzi sehubungan itu berharap kerajaan dapat menekankan kaedah yang boleh memberi manfaat besar kepada para pencarum dengan memohon institusi kewangan menawarkan syarat-syarat yang tidak membebankan pencarum.

    Menurut beliau lagi, KWSP sepatutnya tidak membebankan lagi pencarum yang sedia dibebani masalah kewangan ketika ini.

    “Ini kerana pencarum yang memohon membuat permohonan pengeluaran simpanan KWSP adalah daripada simpanan wang mereka sendiri dan sudah tentu mereka menyedari ia adalah simpanan mereka pada hari tua nanti,” katanya

    Sementara itu, Ahmad Fauzi percaya selain cadangan Perdana Menteri yang mahukan pencarum mencagarkan KWSP kepada institusi kewangan sebagai pilihan memerlukan kewangan itu, maka pihak kerajaan juga perlu melihat semula kepada kumpulan bersasar.

    “Jika dilihat, masih ramai pencarum yang mempunyai simpanan lebih RM200,000 yang dikirakan tiada masalah atau menjejaskan simpanan hari tua mereka andainya institusi KWSP membenarkan mereka membuat pengeluaran sebanyak RM10,000.

    “Kerajaan boleh terus melihat akan perkara itu dan perlu mempelbagaikan kaedah yang memberi pencarum pilihan bagi membuat pengeluaran KWSP masing-masing,” katanya.

  • 31 Mac keputusan permohonan Najib semak sabitan kes SRC International

    31 Mac keputusan permohonan Najib semak sabitan kes SRC International

    MAHKAMAH Persekutuan akan menyampaikan keputusannya berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International pada 31 Mac.

    Peguam Farhan Shafee, anggota pasukan guaman bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka menerima e-mel daripada pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan awal hari ini.

    Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mendengar hujahan daripada kedua-dua pasukan pembelaan Najib dan pihak pendakwaan selama enam hari antara 19 Jan dan 28 Feb.

    Hakim lain dalam panel itu terdiri daripada Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais, lapor FMT.

    Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan kesalahan oleh Hakim Nazlan Ghazali, ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

    Najib kemudian menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan memfailkan usul untuk menyemak semula keputusan itu pada September tahun lalu atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk haknya untuk mendapatkan khidmat guaman dan perbicaraan adil.

    Jika semakan itu dibenarkan, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos akan diketepikan dan panel baharu akan mendengar semula rayuan.

    Sekiranya semakan ditolak, pilihan terakhir Najib adalah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong. Dia sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan.

  • Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    PELAKSANAAN gaji minimum RM1,500 pada 1 Julai ini dikhuatiri masih tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup rakyat.

    Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, walaupun pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan pendapatan rakyat, namun tidak berguna jika harga barang turut meningkat.

    “Justeru itu, apakah tindakan kerajaan agar perkara sama tidak berulang? Walaupun naik gaji minimum, tetapi harga barang semakin naik, jadi kuasa pembeli semakin berkurangan.

    “Apakah perancangan jangka masa panjang, daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk kita mencari punca supaya perkara ini dapat diselesaikan, khususnya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, situasi berkenaan diyakini dapat diselesaikan jika nilai mata wang Malaysia kembali meningkat dan stabil.

    “Apabila nilai mata wang meningkat, kita juga mengawal harga barang walaupun kita tidak boleh kawal semuanya,” katanya.

    Bagi jangka masa panjang pula, kata Fuziah, ia memerlukan peranan daripada kementerian-kementerian, terutama Kementerian Ekonomi dalam inisiatif pendapatan rakyat.

  • 93 kilang tutup operasi sejak 2018 hingga 2022

    93 kilang tutup operasi sejak 2018 hingga 2022

    LEBIH 17,000 pekerja kilang diberhentikan dalam tempoh 2018 hingga Julai 2022, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Liew Chin Tong.

    Beliau berkata, jumlah berkenaan direkodkan susulan 93 syarikat perkilangan ditutup operasi sepenuhnya.

    “Syarikat pengilangan yang telah menutup operasi sepenuhnya dalam tempoh 2018 hingga Julai 2022, iaitu 93 syarikat pengilangan telah menutup operasi sepenuhnya melibatkan pemberhentian seramai 17,648 pekerja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Miti menyatakan apakah usaha kerajaan bagi memastikan syarikat besar tidak beralih arah dari Malaysia ke negara lain.

    Menurut Chin Tong, dalam tempoh sama juga, sebanyak 3,893 projek pengilangan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM503.3 bilion diluluskan.

    “Projek ini telah menyediakan 331,509 peluang pekerjaan, daripada jumlah ini sebanyak RM388.2 bilion atau pun 70 peratus pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM115.2 bioion atau 22.9 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

    Katanya, kerajaan melalui Miti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) juga sentiasa mengambil langkah proaktif menarik pelabur pelbagai sektor di Malaysia, termasuk memperkemaskan semula fokus dan strategi semasa.

    Jelasnya, negara merekodkan prestasi memberangsangkan dengan kelulusan pelaburan RM309.4 bilion dan RM264.6 bilion, masing-masing pada 2021 dan 2022.

    “Jumlah pelaburan yang diluluskan ini berpotensi mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu bagi tahun 2022,” katanya, lapor FMT.

    Katanya, Miti akan meneruskan dasar diperkenalkan kerajaan terdahulu untuk menarik FDI dan DDI termasuk tawaran gaji tinggi kepada pekerja bagi menarik rakyat tempatan terus bekerja dalam negara, berbanding berhijrah ke Singapura.