Oleh BADLISHAH MAT
TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang membuat siaran langsung di media sosial dengan menyentuh berkaitan titah Sultan Kedah ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu menjadi perhatian pada persidangan tersebut, hari ini.
Ini kerana, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara terbuka menegur wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu kerana didakwa membuat tuduhan seolah-olah titah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah disediakan kerajaan negeri.
Menurut Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika membawa usul ucapan menjunjung kasih, tindakan sedemikian seolah-olah merendahkan institusi sultan.
“Sebelum membawa usul ini, saya ingin memberi ingatan kepada ahli Yang Berhormat untuk menjaga tutur kata berkaitan titah sultan yang dizahirkan di dewan ini, semalam. Walau kita bercakap di media sosial, janganlah buat tuduhan seolah-olah titah dizahirkan Tuanku itu disediakan kerajaan negeri kerana tindakan sedemikian merendahkan institusi sultan.
“Saya tengok di TikTok semalam, Kubang Rotan (Asmirul) ada menyebut perkara tersebut,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah yang ke-14, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana baru-baru ini berlaku perbahasan panas di Parlimen setelah terdapat bekas menteri yang menyebut kononnya titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disediakan kerajaan.
“Tetapi kali ini perkara itu diulang lagi di peringkat DUN Kedah. Saya zahirkan rasa kecewa atas sifat kurang cermat Kubang Rotan dalam TikTok semalam dan minta beringat lain kali,” katanya.
Sementara itu, Asmirul ketika ditemui menyifatkan, Muhammad Sanusi bersifat ‘melebih-lebih’ setelah tersalah faham mengenai maksud yang hendak disampaikan dalam siaran langsung TikTok tersebut.
“Yang saya pertikai bukan titah Tuanku tetapi ‘input’ disampaikan Menteri Besar untuk dimasukkan ke dalam titah baginda. Dalam siaran langsung TikTok itu, kami cakap mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan saya pertikaikan input yang diberikan Muhammad Sanusi berkaitan perkara itu.
“Mana-mana kerajaan pun biasanya akan beri ‘input’ kepada titah Tuanku dan kami yakin, Sultan Kedah amat bijaksana untuk menilai input diberikan itu betul atau salah. Saya tak pertikai titah baginda tetapi lebih kepada menghentam Menteri Besar kerana kadang-kadang apa yang disaran untuk dimasukkan ke dalam draf titah baginda itu tak betul,” katanya.
Asmirul Anuar berkata, beliau tidak bercadang untuk membuat permohonan maaf kerana beliau dan ADUN pembangkang lain amat menjunjung titah baginda.