Category: Semasa

  • Kerajaan teruskan usaha kembali dana SRC di luar negara – Azalina

    Kerajaan teruskan usaha kembali dana SRC di luar negara – Azalina

    KERAJAAN tidak pernah berhenti daripada meneruskan usaha mengembalikan mana-mana aset Malaysia di luar negara yang berkait dengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha berterusan digerakkan bukan hanya untuk mendapatkan kembali aset terbabit sama ada di Switzerland, tetapi juga di mana-mana negara lain.

    Beliau berkata demikian melalui jawapan kepada pertanyaan lisan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.

    Berdasarkan soalan, Ka Siong meminta penjelasan jika kerajaan mempunyai perancangan untuk mendapatkan kembali baki dana SRC berjumlah ASD$1.2 bilion yang dibekukan kerajaan Switzerland, serta langkah bakal diambil untuk mengembalikan dana terbabit.

    Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mendapat apa-apa pengesahan bahawa terdapat dana SRC berjumlah AS$1.2 bilion dibekukan oleh kerajaan Switzerland pada peringkat ini.

    “Bagaimanapun, kerajaan melalui Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang menjalankan usaha yang berterusan untuk mendapatkan kembali mana-mana aset sama ada di Switzerland atau mana-mana negara lain yang terbabit,” katanya, lapor Berita Harian.

    SRC ialah anak syarikat 1MDB sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012, dengan beban kewangannya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

    Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (AS$1.1 bilion) dilapor dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih AS$800 juta), Bank Julius Baer & Co Ltd di Hong Kong (AS$250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (AS$ 60 juta).

  • Tembak isteri: Mahkamah arah Lans Koperal jalani pemeriksaan mental

    Tembak isteri: Mahkamah arah Lans Koperal jalani pemeriksaan mental

    MAHKAMAH Majistret Kangar hari ini mengarahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dituduh membunuh isterinya menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.

    Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Pengarah Pendakwa Raya Perlis Mohd Nordin Ismail agar Mohamad  Nizarman Hassim, 27, menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Mohamad Nizarman yang memakai t-shirt berwarna merah dilihat beberapa kali mengesat air mata dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

    Dia didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 14 April  ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

    Media sebelum ini melaporkan tertuduh menembak mati isterinya di bilik tidur utama rumah keluarga mangsa.

  • Roger Ng dakwa kerajaan Malaysia ambil semua wangnya

    Roger Ng dakwa kerajaan Malaysia ambil semua wangnya

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang dihukum penjara 10 tahun pada minggu lalu kerana terbabit skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendakwa tidak mampu memenuhi tuntutan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) untuk dia turut membayar AS$35 juta (RM157.18 juta).

    Beliau mendakwa, ini kerana Kerajaan Malaysia sudah mengambil semua wangnya.

    Pendakwa raya persekutuan telah memohon Hakim Margo Brodie di Brooklyn, New York, supaya memerintahkan Ng dilucuthakkan jumlah itu berikutan wang diperoleh secara haram daripada konspirasi merompak dana kekayaan Malaysia, ketika dijatuhi hukuman pada 9 Mac lalu.

    Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah bahawa tiada penalti lain diperlukan dan anak guamnya tidak mempunyai dana dalam sebarang kes, menurut laporan Bloomberg.

    Brodie tidak membuat keputusan berhubung isu pelucuthakan berkenaan pada minggu lalu.

    Rabu lalu, hakim berkenaan memerintahkan kedua-dua belah pihak terbabit untuk mengemukakan hujah sama ada jumlah diminta pendakwa raya itu melanggar Pindaan Kelapan yang melarang denda berlebihan berserta hukuman kejam atau luar biasa.

    Pihak Ng, 51, berhujah bahawa Kerajaan Malaysia sudah merampas lebih AS$35 juta (RM157.18 juta) dari 11 akaun yang dipegang keluarganya.
    Dalam satu pemfailan di mahkamah, Agnifilo menegaskan rampasan itu bertujuan sebagai hukuman dan bukannya pemulangan dana.

    “Pegawai polis di Malaysia amat jelas bahawa polis mahukan semua wang dalam akaun berlainan itu; bukan sekadar pemulangan dana 1MDB yang dikesan,” tulis Agnifilo, menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi.

    Walaupun mendakwa terdapat asas lain untuk menolak tuntutan AS berhubung pelucuthakan itu, Agnifilo turut berhujah bahawa ia melanggar Pindaan Kelapan.

    Brodie berkata, beliau percaya pelucuthakan ‘diperlukan mengikut undang-undang’ bagi jenayah yang disabitkan ke atas Ng, namun mahu kedua-dua pihak menangani hujah Ng bahawa tuntutan AS$35 juta itu adalah sangat tidak wajar.

  • Murid Tahun 1 akan diajar lindung tubuh sendiri-KPM

    Murid Tahun 1 akan diajar lindung tubuh sendiri-KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan satu kit mengajar khas berkenaan garis panduan untuk sekolah bagi memahamkan kanak-kanak mengenai anggota sulit tubuh dan mengajar mereka supaya melindunginya.

    Kit khas berkenaan sudah disediakan untuk bulan pertama persekolahan yang akan bermula minggu depan.

    Menerusi garis panduan itu beberapa fakta mengenai kehidupan akan diajar kepada kanak-kanak mulai Tahun 1.

    Pelbagai program akan diadakan pada dua minggu pertama persekolah, iaitu fasa penyesuaian. Fasa ini akan bertumpu pada suai kenal dan mempersiapkan murid untuk persekolahan formal selepas tadika.

    Dua minggu berikutnya adalah fasa persediaan dan antara subjek yang akan diajar ialah Badan Saya Kepunyaan Saya.

    Kementerian berkata, murid akan diajar mengenai anggota sulit tubuh dengan bantuan gambar dan nama organ berkenaan dalam Bahasa Melayu.

    “Murid membincangkan persamaan dan perbezaan anggota seksual antara kanak-kanak lelaki dan perempuan berdasarkan gambar,” kata kementerian dalam Kit Program Transisi Tahun Satu edisi 2.0.

    Garis panduan itu antara lain mengadakan aktiviti perbincangan dengan murid berdasarkan soalan berikut:

    • Bolehkah kamu menunjukkan anggota seksual kepada orang lain? Mengapa?
    • Bolehkah anggota seksual kamu disentuh oleh orang lain? Mengapa?
    • Bolehkah kamu melihat dan menyentuh anggota seksual orang lain?

    “Guru perlu menegaskan kepada murid bahawa terdapat anggota badan yang boleh didedahkan dan ada yang harus ditutup.

    “Murid juga perlu dimaklumkan bahawa anggota seksual perlu ditutup dengan pakaian dalam,” tambahnya, lapor FMT.

  • Manoj Kurup ketuai bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara

    Manoj Kurup ketuai bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara

    KETUA bahagian perbicaraan dan rayuan Jabatan Peguam Negara, Manoj Kurup dilantik mengetuai bahagian pendakwaannya.

    Manoj menggantikan Nik Suhaimi Nik Sulaiman, yang bersara bulan lepas.

    Dusuki Mokhtar, timbalan Manoj, dinaikkan pangkat untuk mengetuai bahagian perbicaraan dan rayuan.

    Menurut pekeliling mengenai pelantikan mereka semalam, ditandatangani oleh Peguam Negara Idrus Harun, pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 3 April

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Projek Ziarah Gereja: …kenapa iklan di media sosial belum dipinda? – MAIS

    Projek Ziarah Gereja: …kenapa iklan di media sosial belum dipinda? – MAIS

    MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

    Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program itu pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.

    “Namun semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari lalu berkaitan dengan ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’, program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

    Melalui program itu belia yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput menyertainya termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, esok.

    Abdul Aziz berkata, bagi maksud program di gereja esok, program itu adalah berkaitan dengan pengetahuan mengenai agama Kristian.

    “Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain agama Islam.

    “Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.

    “Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,” katanya.

    Beliau berkata, MAIS mengambil pendekatan berhati-hati demi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

    “Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia.

    “Malah, Islam tidak melarang persahabatan dan toleransi dengan orang bukan Islam seperti yang dianjurkan dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8 iaitu Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusirmu dari kampung halaman kamu’,” katanya lapor BH.

    Jelas beliau, walaupun objektif program memberi pendedahan sesuatu agama yang diamalkan di negara ini dan bagi menjalin perpaduan erat dalam kalangan penganut pelbagai agama, mempelajari agama lain selain Islam di mana-mana gereja atau rumah-rumah ibadat agama lain memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu.

    “Ini bagi memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga pembabitan orang Islam dalam ritual agama lain.

    “Kaedah fiqh menekankan ‘menolak keburukan perlu didahulukan daripada mengambil kebaikan’, membawa maksud apa-apa aktiviti yang menggalakkan orang awam beragama Islam memasuki tempat ibadah orang bukan Islam secara terbuka untuk mempelajari agama bukan Islam lebih membawa kepada kesan negatif daripada kebaikan menjaga akidah kepada umat Islam khususnya belia Islam dan ia perlu ditolak dan disekat,” katanya.

    Justeru itu katanya, MAIS menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

  • Hisyam Teh ketuai pembelaan Sam dalam kes basikal lajak

    Hisyam Teh ketuai pembelaan Sam dalam kes basikal lajak

    PEGUAM kanan, Hisyam Teh Poh Teik kini akan mengetuai rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes basikal lajak.

    Perkara berkenaan disahkan Hisyam kepada FMT selepas menghadiri pengurusan kes hari ini.

    Sebelum ini, bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Gopal Sri Ram dilantik mengetuai pasukan pembelaan Sam. Beliau meninggal dunia pada 29 Jan.

    Rayuan Sam akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lalu.

    Wanita berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

  • Anggota Perhilitan maut akibat keracunan di atas Gunung Gelemat

    Anggota Perhilitan maut akibat keracunan di atas Gunung Gelemat

    SEORANG anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) meninggal dunia ketika menjalankan tugas di Gunung Gelemat Pasir Raja, Dungun, semalam.

    Mangsa, Muhammad Nazli Ajis, 36, yang berasal dari Jalan Jamaluang Mersing, Johor disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pukul 6.35 petang.

    Sebelum itu seorang anggota Perhilitan membuat aduan di Balai Bomba Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS memaklumkan seorang rakan setugasnya yang berada di gunung terbabit mengalami keracunan makanan dan berada dalam keadaan kritikal, pukul 2.30 petang.

    Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, anggota terbabit dikatakan bersama 12 lagi rakan setugas sedang mengadakan kerja-kerja persempadanan antara Taman Negara.

    “Untuk sampai ke lokasi kejadian mengambil masa selama dua hingga tiga hari dan kami mengambil keputusan untuk meminta bantuan helikopter.

    “Sebuah helikopter dari Unit Udara Bomba Subang melakukan penerbangan ke lokasi kejadian kira-kira pukul 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kesemua 13 anggota Perhilitan itu bertugas di kawasan gunung terbabit sejak 9 Mac.

    Menurutnya, helikopter Bomba tiba di Bandar AMBS pukul 5.48 petang sebelum bersama seorang pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan AMBS berlepas ke kawasan gunung terbabit.

    “Mangsa disahkan telah meninggal sebelum mayat mangsa dibawa pulang dengan helikopter terbabit ke AMBS.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Remaja tercucuk anak panah di hidung sewaktu menangkap ikan

    Remaja tercucuk anak panah di hidung sewaktu menangkap ikan

    SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun cedera setelah hidungnya tertusuk anak panah sewaktu menangkap ikan di Ranau petang semalam.

    Mangsa yang bersama rakannya sewaktu kejadian kemudian dikejarkan ke Hospital Ranau pukul 4.30 petang sejurus kemalangan itu berlaku.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukannya menerima panggilan pada pukul 4.59 petang daripada pihak hospital setelah cubaan mengeluarkan anak panah tersebut tidak berjaya.

    “Tiga orang pegawai bomba kemudian diarahkan ke hospital berkenaan bagi menjalankan operasi mengeluarkan anak panah terbabit.

    “Bilik kawalan Balai Bomba Dan Penyelamat Ranau terima panggilan kecemasan daripada pihak hospital terdapat seorang remaja tercucuk anak panah di bahagian hidungnya,” menurutnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat.

    Katanya, sejurus tiba, pasukan bomba bertindak memotong anak panah dengan menggunakan bolt cutter.

    “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya”, katanya, lapor Astro Awani.

    Operasi ditamatkan pada pukul 5.11 petang, selepas 10 minit usaha mengeluarkan anak panah tersebut berjaya.

  • Alami masalah kesihatan, Ustaz Azhar Idrus masuk hospital

    Alami masalah kesihatan, Ustaz Azhar Idrus masuk hospital

    PENCERAMAH bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan dipercayai kerana masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.

    Perkembangan mengenai masalah kesihatan UAI dimaklumkan menerusi akaun Facebook beliau semalam yang menyatakan Kuliah Maghrib Ambang Ramadan bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Kg Tadok, Kuala Telemong pada tarikh sama dibatalkan.

    “Ditangguhkan atas sebab kesihatan, Doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” tulis hantaran berkenaan.

    Dalam pada itu, lapor Berita Harian, beberapa tokoh agama dan pemimpin politik mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan dengan masalah kesihatan dihadapi Azhar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

    “Semoga Allah SWT terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan buat Murrabi Ummah yang disayangi ini.

    “Insya-Allah, sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat penyakit yang dilalui oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ini. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT jua tempat kita memohon,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menerusi satu hantaran Facebook turut mendoakan kesihatan Azhar.

    “Semoga kembali sihat seperti sedia kala buat Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus,” tulis beliau.

    Menurut hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus, kuliah Maghrib yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemung, Terengganu semalam terpaksa ditangguhkan pada waktu lain.

    “Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata hantaran Facebook Ustaz Azhar Idrus.

    Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar turut mendoakan Azhar diberi kesembuhan dan ‘Afiah .

    “Angkatlah dari hambaMu Ust Azhar Idrus akan sakitnya. Berilah kesembuhan padanya sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yg Maha Menyembuhkan, dan berilah ‘Afiah padanya sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yg Maha memberi ‘Afiah,” katanya dalam hantaran di Facebook.