Category: Semasa

  • ADUN Pas tegur kerajaan Kelantan:Membangun bersama Islam tapi abai ruang solat

    ADUN Pas tegur kerajaan Kelantan:Membangun bersama Islam tapi abai ruang solat

    HASSAN Mahamood (PN-Tawang) menegur
    kerajaan negeri Kelantan supaya menitikberatkan kepada aspek ruangan kawasan solat dalam sebarang perancangan pembangunan mereka.

    Perkara itu dibangkitkan Hassan ketika bangun mengemukakan soalan tambahan berhubung perancangan pembangunan Terminal KB Sentral.

    “Tadi Exco ada menyebut beberapa komponen yang akan dibina, bagaimana dengan ruangan solat?
    Maaflah saya nak tegur kerajaan, lepas-lepas dah walaupun kita Membangun Bersama Islam tetapi kerajaan dalam merancang itu tidak memberi perhatian kepada ruangan solat, termasuklah di lapangan terbang.

    “Saya nak tanya kerajaan dalam komponen ini ada atau tidak untuk bina ruangan masjid?

    “Kita kadang-kadang malu, kita pergi ke Bangkok di lapangan terbangnya ruangan solat luas. Dia (Thailand) Buddha, kita Islam tapi nak sembahyang berjujuk beratur,” kata wakil rakyat Pas itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)di Kota Bharu, hari ini.

    Membangun Bersama Islam merupakan slogan dan dasar dan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang bermula sejak Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar.

    Sementara itu Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Hanifa Ahmad mengakui terlepas pandang untuk menyatakan kemudahan itu ketika menjawab pertanyaan mengenai perkembangan projek KB Sentral tersebut.

    “Sebenarnya ada ruang solat, akan bina surau. Cadangan kita nak wujudkan masjid tetapi ia sudah ada berhampiran.

    “Maka kita cadangkan supaya didirikan surau di tengah-tengah kompleks KB Sentral. Ada dalam pelan, tadi saya tertinggal (sebut),” katanya.

    Untuk rekod projek KB Sentral turut dikenali sebagai Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang dirancang kerajaan Kelantan sebelum ini tergendala kerana tiada kesanggupan bagi pihak kontraktor.

    Ini menjadi perhatian ramai selepas tularnya keadaan stesen bas berkenaan yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai sangat daif.

    Terminal itu menempatkan stesen bas utama bagi bas-bas ekspres keluar masuk Kota Bharu.

    Terdahulu Hanifa (PN-Pengkalan Pasir) menjelaskan projek penbangunan KB Sentral yang akan menelan belanja keseluruhan bernilai RM172 juta itu sudah melalui proses lantikan kontraktor.

    Secara asas menurutnya pembangunan KB dan diintegrasi dengan stesen ECRL di Tunjong, Kota Bharu.

    “Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan siap pada pada 2027, manakala KB Sentral akan siap pada 2026,” lapor Malaysiakini.

    “Cadangan projek KB Sentral merupakan terminal bas bergred A akan merangkumi komponen terminal bas ekspres, terminal bas henti-henti, stesen teksi dan e-hailing, parkir awam, hotel, apartmen, pusat membeli-belah, kafe dan kemudahan awam lain,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Rohani Ibrahim (PN-Tanjung Mas).

  • DUN Johor guna pengimbang ganti istilah pembangkang

    DUN Johor guna pengimbang ganti istilah pembangkang

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor kini menggunakan istilah pengimbang bagi merujuk semua ADUN pembangkang di negeri itu bagi menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Khamis lepas.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri.

    “Sebagaimana yang telah dimulakan oleh ADUN Machap (Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi) semalam, kita akan menggunakan istilah pengimbang, lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristik untuk mewujudkan DUN yang lebih berwibawa.

    “Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih,” kata Mohd Puad pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 hari ini.

    Pada titah perasmian pembukaan, Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang berikutan peranan mereka yang disifatkan sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

    Menurut Sultan Johor gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

    Baginda bertitah mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

  • RM18 juta kerugian akibat kes penipuan

    RM18 juta kerugian akibat kes penipuan

    TIMBALAN Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh memberitahu, hampir RM18 juta nilai kerugian akibat kes penipuan dilaporkan di negeri itu Pulau Pinang hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

    Menurutnya, ini membabitkan 668 kes dan daripada jumlah berkenaan kerugian paling besar melibatkan penipuan telekomunikasi iaitu hampir RM9.7 juta daripada 160 kes yang dilaporkan.

    “Kes penipuan lain melibatkan e-dagang dengan nilai kerugian RM3.5 juta daripada sebanyak 281 kes yang dilaporkan serta penipuan pelaburan membabitkan nilai kira-kira RM3.1 juta (63 kes).

    “Kes penipuan lain adalah e-kewangan iaitu RM724,469 melibatkan 70 kes; pinjaman tidak wujud sebanyak RM632,611 membabitkan 61 kes; Love dan Parcel Scam sebanyak RM294,077 dengan 13 kes dan sindiket ah long dengan nilai RM7,000 dengan 20 kes,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Bukit Mertajam, hari ini.

    Fisol berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang pula sepanjang tahun ini setakat 28 Februari lalu juga berjaya menumpaskan sebanyak tujuh sindiket pengedaran dadah jenis heroin; ketamin; ganja dan syabu menerusi beberapa siri Op Mutiara.

    “Menerusi operasi ini, seramai 2,878 orang telah berjaya ditahan dan 40 kertas siasatan telah dibuka manakala nilai rampasan sebanyak RM5.32 juta serta hasil sitaan harta pula sebanyak RM2.98 juta,” katanya.

  • ADUN Muda gesa Johor jadi teladan, beri peruntukan sama rata

    ADUN Muda gesa Johor jadi teladan, beri peruntukan sama rata

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz mahu penggubalan enakmen segera dilakukan bagi membolehkan semua wakil rakyat di Johor mendapat peruntukan sama rata.

    ADUN daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, langkah menjamin semua wakil rakyat mendapat peruntukan sama dari kerajaan menjadi keutamaannya.

    “Ini adalah antara pembaharuan yang perlu dilaksanakan dan Johor boleh menjadi teladan kepada negeri lain dengan meluluskan enakmen sebegitu.

    “Kita tak perlu tunggu lagi setiap penggal untuk menentukan sekiranya ada peruntukan yang akan diberikan kepada ADUN-ADUN pengimbang kerajaan (pembangkang).

    “Saya juga percaya bahawa kita tak perlu tunggu akta ini untuk lulus dan digazetkan di peringkat persekutuan,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

    Peruntukan setara kepada semua wakil rakyat menjadi antara isu yang dibangkitkan oleh banyak pihak termasuk dalam kalangan wakil rakyat kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

    Sejak beberapa lama ahli parlimen atau ADUN kerajaan akan diberi peruntukan tertentu, manakala pembangkang menerima peruntukan yang jauh lebih kecil.

    Bagaimanapun untuk rekod sekiranya akta mengenai peruntukan setara itu diluluskan di peringkat Persekutuan, itu tidak melibatkan negeri secara automatik.

    Sebaliknya kerajaan negeri perlu mengemukakan usul kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diluluskan.

    Amira Aisya berkata, isu tersebut tidak boleh dianggap remeh oleh sesiapa pun terutama apabila ia membabitkan rakyat secara langsung.

    “Johor sekali lagi boleh menunjukkan kepada semua bangsanya bahawa semua wakil rakyat dalam DUN ini meletakkan kebajikan bangsa Johor lebih tinggi daripada agenda parti politik,” katanya.

    Isu mengenai pembahagian peruntukan itu pernah dibangkitkan semasa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menjadi Menteri Besar Johor pada akhir 2021.

    Pada November tahun itu Hasni mengumumkan bahawa kesemua 56 Adun di negeri terbabit akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setahun.

    Dalam manifesto pilihan raya negeri BN pada Mac tahun lalu juga parti terbabit turut berjanji untuk terus memberikan peruntuan yang sama kepada semua ADUN sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang.

  • Lebih ramai keluarga bergelut kos sara hidup selepas 3 bulan tahun baru

    Lebih ramai keluarga bergelut kos sara hidup selepas 3 bulan tahun baru

    JIKA diikutkan pada penyata gaji bulanan Rashid dan isterinya, Akma yang mencecah hampir RM10,000 bila digabungkan, mereka sepatutnya tidak berada dalam situasi yang sukar melibatkan isu kewangan.

    Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu mendapati mereka semakin kekurangan wang simpanan sehingga terpaksa menggunakan wang tabungan untuk masa depan empat orang anak yang masih di kecil dan bersekolah.

    Menurut Rashid, 37, semuanya bermula pada Januari apabila dia mula perasan wang yang diperuntukkan untuk belanja dapur meningkat sebanyak RM117-RM120 sebulan sedangkan kuantiti dan jenis barangan yang dibeli adalah sama setiap bulan.

    “Saya dan isteri mengurangkan item yang dibeli untuk berjimat tetapi harga yang dibayar masih tinggi.

    “Ketika itu kami sedar harga barangan sememangnya sudah makin tinggi dan tidak mampu lagi membeli dengan kuantiti yang biasa,” katanya ketika ditemui.

    Katanya, apabila masuk Februari, mereka juga perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana cuti persekolahan akhir penggal akhir bagi sesi 2022.

    Ketika itu katanya, dia dan isteri perlu menyediakan belanja yang lebih untuk memasak dan membayar pengasuh sepanjang cuti persekolahan kerana anak-anak berada di rumah sewaktu mereka bekerja.

    Masuk sahaja Mac, Rashid pening memikirkan kos perbelanjaan untuk kembali ke sekolah sempena pembukaan sesi persekolahan yang bermula minggu depan.

    Anak sulungnya memerlukan pakaian baharu selepas lebih dua tahun tak bertukar kerana tidak hadir ke sekolah secara fizikal.

    Kini, tubuh badan anak-anaknya juga semakin tinggi dan besar memerlukan dia membelikan pakaian seragam yang baharu.

    “Bulan Mac juga saya dengan isteri kena simpan duit untuk puasa. Tapi, kami tak boleh nak asingkan langsung untuk belanja puasa.

    “Ini buatkan kami risau. Poket makin kering dan mungkin kami ikat perut untuk berpuasa,” kata suami isteri itu ketika dihubungi MalaysiaNow.

    Rashid dan Akma yang bekerja dalam sektor perkhidmatan awam antara puluhan ribu keluarga yang sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan seharian rakyat Malaysia.

    Tinjauan dalam media sosial juga mendapati lebih ramai keluarga merentasi kaum menyuarakan kebimbangan masing-masing terhadap kemelut kewangan dan sara hidup yang semakin tidak menentu.

    Rata-rata mereka mengakui tidak bersedia untuk berdepan Ramadan dan seterusnya sambutan Aidilfitri yangr sememangnya memerlukan perbelanjaan lebih tinggi untuk pulang ke kampung dan penyelenggaraan kenderaan.

    Sejak awal 2023, ahli dan pakar ekonomi sudah memberi amaran kenaikan harga barang dan kos sara hidup sama ada di bandar atau luar bandar akan terus menjadi cabaran sepanjang tahun.

    Ini terutamanya apabila dilaporkan kadar inflasi di Malaysia akan berada sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.

    Dengan kadar itu, kesan inflasi dijangka terus memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.

    Dalam pada itu, pakar kewangan keluarga Fazli Sabri mengakui kewujudan kebimbangan tersebut dalam kalangan masyarakat buat masa ini.

    Katanya, keadaan ini seharusnya menjadi titik tolak dalam kehidupan seharian masyarakat untuk semua berubah.

    Ujarnya, berdasarkan kajian-kajian semasa mendapati majoriti individu tidak membuat perancangan rapi untuk perbelanjaan yang dipanggil ‘seasonal expenses’ ataupun perbelanjaan bermusim.

    Contohnya perbelanjaan untuk musim sekolah, cuti sekolah dan perayaan.

    Disebabkan itu, ianya menjadi bebanan dan menimbulkan masalah kepada rata-rata individu atau keluarga.

    “Berapa kali sudah kita melalui perbelanjaan musim persekolahan? Berapa banyak juga kita lalui musim perayaan?

    “Banyak kali, bukan? Perkara yang sama juga tiap-tiap tahun alami dan lalui,” katanya.

    Atas sebab itu, beliau menyifatkan sikap itu seolah-olah seperti tidak belajar daripada pengalaman yang lepas.

    Sementara itu, sepasang suami isteri dari Kajang, Selangor bersetuju dengan Fazli mengenai persediaan rapi dalam perbelanjaan bermusim.

    Guna Gurusamy dan isterinya Karvita berkata, sejak berkahwin 12 tahun lalu mereka tekun menabung wang untuk beberapa jenis perbelanjaan.

    Pertama, peruntukan untuk insurans kenderaan yang memerlukan belanja besar setiap tahun.

    Selain itu, tabung khas perayaan dan cuti sekolah untuk membawa anak-anak menziarahi keluarga sambil melancong.

    Bagaimanapun, ‘rentak’ menabung mereka hilang arah disebabkan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi sehingga terpaksa menggunakan wang tabungan tersebut.

    “Sebelum ini, duit tabung ada lebih boleh simpan untuk beli barang atau melancong dua kali setahun.

    “Sekarang susah. Makan pun kena jimat lauk. Anak-anak pun dah besar mereka tahu semua mahal sebab mereka pun sudah pandai keluar beli sendiri naik basikal dengan kawan-kawan,” kata Guna kepada MalaysiaNow.

    Guna yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan di sebuah kondominium berdekatan rumahnya mengakui emosinya terganggu setiap kali memikirkan isu kewangan keluarga.

    “Saya pernah keluarkan duit KWSP sebelum ni, duit itu digunakan untuk baiki kereta isteri.

    “Sekarang dia guna untuk pandu kereta e-hailing dan cari rezeki juga untuk keluarga. Nasib baik ada duit KWSP. Kalau tak kereta jadi besi buruk,” katanya.

    Kini, Guna berkata dengan kedua-dua mereka bekerja lebih 12 jam sehari pun masih belum mampu menampung kehidupan seharian mereka.

    Malah, anak sulungnya yang berusia 13 tahun juga terpaksa menjadi ‘pengasuh’ di rumah untuk menjaga dua lagi anaknya yang masih kecil.

    Disebabkan kekangan wang, mereka tidak mampu untuk mengupah pengasuh dari luar.

    “Makan pun cukup-cukup sahaja. Lepas tu kebajikan anak-anak pun kita terpaksa gadaikan sebab tak mampu.

    “Macam-macam boleh berlaku ketika saya dan isteri tiada di rumah. Tapi kami doa supaya semua baik sahaja.”

    Guna berharap kerajaan segera mencari jalan membantu rakyat dalam menyelesaikan kemelut kewangan yang saban hari mengecam emosi dan rutin harian mereka.

    Baginya, kerajaan yang gagal adalah kerajaan yang membiarkan rakyatnya berlapar, ikat perut dan berterusan dibelenggu permasalahan terutamanya melibatkan wang.

    “Tolonglah kita, kita cuma nak bagi anak-anak dan isteri makan. Hidup selesa,” katanya berharap.

  • 229,861 murid, pelajar mula sesi baharu sekolah di P. Pinang

    229,861 murid, pelajar mula sesi baharu sekolah di P. Pinang

    SERAMAI 229,861 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan baharu bagi Kalendar Akademik 2023-2024 di 398 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang hari ini.

    Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, seramai 128,480 orang terdiri daripada murid sekolah rendah peringkat darjah satu hingga darjah enam.

    Selain itu, jelasnya, murid darjah satu pula melibatkan seramai 19,862 sekali gus pihaknya berharap murid-murid berkenaan memasuki alam persekolahan dengan penuh ceria dan memberi makna kepada mereka.

    “Pada minggu pertama sesi akademik kali ini juga, sesi pembelajaran dimulakan dengan pelbagai aktiviti yang dipenuhi elemen-elemen didik hibur bagi memastikan murid dan pelajar berasa seronok ke sekolah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi Kalendar Akademik 2023-2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al- Mashoor, Georgetown hari ini.

    Menurut Abdul Rashid, antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan pada minggu pertama sesi persekolahan kali ini ialah berkonsepkan didik hibur seperti riadah, sukan dan sebagainya.

    Jelasnya, ia bertujuan memastikan murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan minda yang seronok memandangkan perlu berada di sekolah kira-kira lapan jam sehari.

    ”Kita tidak boleh membayangkan sekiranya dalam tempoh lapan jam di sekolah itu mereka berada dengan jiwa tidak tenteram dan ketakutan,” katanya.

    Tambahnya, pada minggu pertama ini juga, para guru boleh menentukan kaedah PdP yang sesuai serta mengandungi elemen didik hibur kepada murid serta pelajar masing-masing.

    Jelas beliau, ia termasuk dengan membawa murid dan pelajar mereka untuk belajar di luar kelas.

    Dalam masa sama, ujarnya, pada minggu pertama ini juga, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta waris pelajar dan murid digalakkan untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak sekolah.

    “Ibu bapa bagi murid darjah satu serta Tingkatan Satu juga digalakkan untuk berjumpa dengan para guru bagi memahami proses pembelajaran dan persekolahan,” katanya.

  • 10 ditahan kes pukul lelaki hingga mati di pusat hiburan

    10 ditahan kes pukul lelaki hingga mati di pusat hiburan

    POLIS menahan 10 lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan dekat Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5 hingga 7 pagi, semalam.

    Pihak polis katanya, menerima satu laporan mengenai kejadian seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipukul di Kompleks Metro Pudu pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.40 petang, hari yang sama.

    “Susulan kejadian itu, satu operasi khas diadakan bermula pukul 10.30 malam tadi hingga pukul 12.15 tengah malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wang Maju bagi mengesan suspek.

    “Hasil operasi, kita menahan lapan lelaki warga tempatan berusia di antara 20 tahun hingga 37 tahun serta dua lelaki warga negara asing berusia di antara 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar ibu kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ashari berkata, siasatan lanjut mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku di antara mangsa dan kumpulan suspek.

    Katanya, semua suspek akan dikemukakan kepada mahkamah untuk proses reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Polis ujar beliau, memberi amaran agar orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian ini.

    “Kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Jalaluddin bakal MB Negeri Sembilan?

    Jalaluddin bakal MB Negeri Sembilan?

    AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dikatakan bakal dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru sekiranya Barisan Nasional (BN) mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

    Sepekulasi tersebut mula timbul ketika ini dan berpandangan Jalaluddin mungkin akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui yang ketika ini disandang Mohd. Razi Mohd. Ali.

    Mohd Razi adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu dan dikatakan sedia memberi laluan kepada Jalaluddin sekiranya diarahkan berbuat demikian.

    Bagaimanapun sehingga hari ini belum ada kata putus daripada Pakatan Harapan (PH) dan BN mengenai pengagihan kerusi selain memuktamadkan siapa Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu menang di negeri ini.

    Desas-desus itu timbul berikutan Jalaluddin dilihat memiliki kelebihan kerana pernah menjadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama dua penggal, Exco kerajaan negeri selain mempunyai pengalaman sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

    Jalaluddin antara Ketua Bahagian UMNO di negeri itu yang mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus itu ketika ditemui di Kompleks UMNO Jelebu, semalam, Jalaluddin hanya menjawab ringkas: “No komen”.

  • Kerajaan Anwar diktator, kata Tun M selepas program ‘Proklamasi Melayu’ batal

    Kerajaan Anwar diktator, kata Tun M selepas program ‘Proklamasi Melayu’ batal

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengecam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersikap diktator selepas program Proklamasi Melayu menampilkan beliau yang dijadual hari ini dibatalkan.

    Bekas Perdana Menteri itu mengkritik kerajaan kerana tidak membenarkan program itu berlangsung sambil berkata, orang Melayu ada hak untuk berkumpul dan suara mereka didengari.

    “Ini adalah kerajaan diktator kerana tidak benarkan orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati atau mengkritik kerajaan.

    “Tetapi ketika mereka menjadi pembangkang, mereka setiap minggu mengadakan demonstrasi,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Kata Dr Mahathir, beliau mungkin pernah digelar sebagai diktator ketika pemerintahannya, tetapi beliau berundur sebagai Perdana Menteri atas kerelaan sendiri.

    “Diktator mana yang hendak letak jawatan?,” soalnya yang merujuk apabila beliau meletak jawatan pada 2003 dan sekali lagi pada 2020.

    Semalam, penganjur dilapor memutuskan untuk menangguhkan acara itu selepas dua lokasi yang ditempah membatalkan tempahan itu.

    Kira-kira 300 peserta dijangka menghadiri acara tersebut.

    Dr. Mahathir juga mempersoalkan mengapa kerajaan ketika ini sangat takutkan orang Melayu sehingga tidak membenarkan mereka berkumpul.

    Ujarnya, orang Melayu ketika pemerintahan penjajah British dahulu diberi lebih hak untuk bersuara, berkumpul dan membentuk parti politik.

    “Kerajaan sekarang diketuai Melayu tetapi mahu mendiamkan Melayu,” katanya yang merujuk kepada Anwar, lapor FMT.

  • Penyelesaian Goldman Sachs: Muhyiddin terlalu murah hati-Tun M

    Penyelesaian Goldman Sachs: Muhyiddin terlalu murah hati-Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia sepatutnya menerima pampasan lebih tinggi daripada Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, berbanding penyelesaian yang dicapai ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bagaimanapun, Mahathir berkata perkara itu tidak berlaku kerana Muhyiddin terlalu bermurah hati.

    “Kita berpendapat Goldman Sach patut bayar lebih daripada yang dipersetujui oleh Muhyiddin.

    “Muhyiddin begitu murah hati, dia bayar sikit saja duit cukuplah. Tetapi kita berpendapat bahawa Goldman Sach sepatutnya bayar sekurang-kurangnya AS$ 8 bilion,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas adakah kerajaan dibawah pentadbirannya sebelum ini mencapai penyelesaian lebih tinggi dengan Goldman Sachs berbanding yang diumumkan Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri kelapan.

    Ini selepas NGO Aliran semalam menggesa kerajaan untuk menjalankan audit forensik terhadap penyelesaian yang dicapai pada Julai 2020 tersebut, iaitu sebanyak AS$2.5 bilion dan aku janji AS$1.4 bilion untuk aset boleh diperoleh semula.

    Menurut Aliran, jumlah itu lebih rendah daripada AS$9.6 bilion yang dianggarkan bekas peguam negara Tommy Thomas, seperti yang dinyatakan dalam memoirnya, My Story: Justice in the Wilderness.

    Bulan lalu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani turut menggesa siasatan terhadap penyelesaian itu.

    Pada 4 November 2019, iaitu kira-kira tiga bulan sebelum dia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata kerajaan masih berunding dengan Goldman Sachs mengenai jumlah pampasan, selepas tawaran yang dibuat bank tersebut dianggap terlalu rendah.

    Sebulan kemudian, Dr. Mahathir menyuarakan harapan agar penyelesaian luar mahkamah dapat dicapai dengan Goldman Sachs tetapi tetap menegaskan pampasan AS$1 bilion yang ditawarkan terlalu kecil.

    Beliau ketika itu berkata, kerajaan menuntut $7.5 bilion daripada Goldman dan rundingan masih berjalan.