Category: Semasa

  • BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    PELANTIKAN dua jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikecam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

    Ia merujuk kepada lantikan dua pemimpin UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa 1 Mac 2023.

    Satu lagi lantikan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkuatkuasa 10 Mac lalu.

    Pertubuhan sivil itu juga mengecam pelantikan Datuk Husam Musa selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

    “Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika UMNO sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang, justeru pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.

    “Kami mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme,” kata nya menerusi kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Menerusi kenyataan sama, BERSIH menjelaskan sekurang-kurangnya 25 ahli politik telah dilantik sebagai pengarah dalam GLC atau Badan Berkanun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

    Bilangan ini meningkat semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik.

    “Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik untuk memegang sebarang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya mana-mana pelantikan dibuat dengan telus selepas calon-calon menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar ‘ganjaran politik’ untuk mendapatkan sokongan,” katanya lagi.

    Bagi tujuan mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan badan berkanun, BERSIH telah mencadangkan:

    a) Larangan melantikan wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini telah dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.

    b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.

    c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. Sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.

    Selain itu, BERSIH turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi terbabit dengan segera selain meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekali gus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut.

  • TH keluar surat tawaran haji kepada 31,600 jemaah mulai Rabu

    TH keluar surat tawaran haji kepada 31,600 jemaah mulai Rabu

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran haji bagi tahunb2023 secara berperingkat-peringkat mulai Rabu ini.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, tawaran tersebut melibatkan 31,600 jemaah haji, dengan TH mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020.

    “Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji akan dikeluarkan bermula pada hari Rabu, 22 Mac secara berperingkat dan bakal haji terpilih boleh menyemak tawaran haji melalui aplikasi THiJARI.

    “TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023.

    “Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH berdekatan.

    Jelas Amrin lagi, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac ini, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram, lapor Astro Awani.

  • Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MUFTI Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang menegaskan umat Islam dilarang berkunjung atau menziarahi rumah ibadat agama lain tanpa sebarang tujuan atau kepentingan berbuat demikian kerana dikhuatiri memesong akidah terutama melibatkan golongan muda.

    Beliau berkata, hanya golongan dan individu tertentu sahaja yang dibolehkan berbuat demikian namun dengan syarat tidak menyertai apa-apa ritual agama terbabit serta perkara lain berkaitan akidah.

    “Menziarahi rumah ibadat bukan Islam bukanlah suatu yang statik yang dikatakan tidak boleh dan begitu juga nak dikatakan boleh iaitu melihat kepada siapa yang akan membuat kunjungan itu.

    “Kunjungan-kunjungan yang ada keperluan dan kepentingan daripada kalangan pemimpin dan tokoh-tokoh agamawan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi yang tidak memberi kesan terhadap akidah misalnya, maka kunjungan itu dibolehkan.

    “Jika secara umum melibatkan remaja memang dilarang kerana persiapan dalaman golongan itu belum cukup untuk mereka berhadapan perkara-perkara seperti ini yang dibimbangi akan menyebabkan akidah mereka terjejas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ yang mempelawa belia bukan Kristian untuk menyertai program itu. Namun, program dijadual berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes di Klang, Selangor telah dibatalkan.

    Jelas Syeikh Fadzil, golongan tertentu yang dibolehkan berkunjung ke rumah ibadat itu juga harus memiliki ketahanan dan kekuatan iman yang diyakini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada akidah mereka.

    “Itu pun ziarah untuk satu tujuan yang kita katakan ada keperluan dari segi hubungan dalam masyarakat. Jika ada keperluan pun ada batasannya supaya kita tidak melakukan ritual yang betul-betul berbentuk keagamaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali berkata, pihaknya melalui perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan empat kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini bermula daripada RM6.50 hingga RM21.

    Katanya, penetapan harga zakat fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg).

    “Penentuan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan pelbagai jenis tanaman padi di Kedah serta bentuk geografi, ada daerah yang usahakan tanaman padi setahun sekali dan dua kali setahun, beras di Sik contohnya berbeza dengan beras di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

    “Tahun ini ada kadar baharu RM6.50 iaitu untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan (10 peratus hancur) dan setaraf dengannya. Kadar RM7 pula bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan (5 peratus hancur) dan setaraf dengannya.

    “Zakat fitrah RM14 ditetapkan bagi penduduk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya dan RM21 untuk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” jelasnya.

  • ‘Kerajaan berbagai kaum tak akan tumpu masalah Melayu’ – Tun M

    ‘Kerajaan berbagai kaum tak akan tumpu masalah Melayu’ – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kepimpinan orang Melayu yang bersikap berbilang kaum tidak akan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah orang Melayu yang menghadapi kemungkinan hilang kuasa di negara sendiri.

    Beliau yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu berkata, hakikatnya masalah orang Melayu hanya akan dapat ditangani oleh orang Melayu yang bersemangat kemelayuan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan berbagai kaum walaupun dipimpin oleh Melayu dan ramai anggota terdiri daripada Melayu.

    “Kepimpinan dan anggota Melayu ini tidak memberi tumpuan kepada masalah orang Melayu kerana itu akan ditakrif sebagai perkauman.

    “Sebenarnya berbilang kaum atau ‘multiracial’ bermakna keutamaan kepada kaum yang maju dan berkeupayaan,” dakwanya menerusi satu nota kepada orang Melayu yang bertarikh 10 Mac lalu.

    Nota itu dimuat naik Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya dla Facebooknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menjelaskan, orang Melayu yang rata-rata miskin dan kurang kemampuan (kurang kecekapan berniaga, kurang modal, tidak berada dalam jaringan, rendah pelajaran dan lain-lain) tidak akan dapat peluang yang diwujudkan.

    “Hari ini kerana miskin orang Melayu menjual tanah mereka. Di Pulau Pinang dikatakan jumlah Melayu lebih ramai daripada orang Cina. Tetapi kurang hanya dua peratus tanah di bahagian pulau, Pulau Pinang dimiliki oleh orang Melayu.

    “Tiba masanya kita bersama-sama mencapai satu ketetapan untuk pertahankan kelangsungan bangsa dan tanah air kita,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Banjir Johor: Sektor pertanian rugi RM35.5 juta, 4,682 usahawan terjejas

    Banjir Johor: Sektor pertanian rugi RM35.5 juta, 4,682 usahawan terjejas

    BENCANA banjir besar yang melanda Johor sejak 28 Februari lalu hingga kini mengakibatkan sektor pertanian di negeri itu merekodkan kerugian RM35.5 jut.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, bencana alam itu turut menjejaskan sebanyak 4,862 usahawan tani.

    Beliau bagaimanapun berkata, angka sebenar jumlah kerugian dan usahawan tani terjejas dijangka lebih tinggi susulan banjir masih melanda Batu Pahat dan Muar.

    Katanya, usahawan tani terbabit meliputi pelbagai subsektor tanaman, penternakan, perikanan dan industri asas tani bimbingan jabatan bawah portfolio sektor pertanian

    “Setakat ini, sektor pertanian Johor mencatatkan kerugian berjumlah RM35.5 juta dengan 4,862 usahawan tani terjejas. Namun, jumlah sebenar kerugian sektor pertanian dan usahawan tani terjejas hanya akan diketahui selepas banjir di Batu Pahat dan Muar pulih.

    “Bagi mempercepatkan pelaksanaan bantuan kepada pengusaha yang terjejas banjir, langkah alternatif telah diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan. Ia termasuk membuat bancian awal ke kawasan terjejas banjir untuk mendapatkan anggaran awal kerugian dan juga setelah banjir surut.

    “Secara keseluruhan, kerajaan amat mengambil berat nasib mangsa banjir, terutama dalam kalangan pengusaha sektor pertanian.

    “Selain mengambil kira kebajikan pengusaha, bantuan diberikan juga penting bagi pelaksanaan semula aktiviti pengeluaran agromakanan untuk menjamin sekuriti makanan negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) mengenai usaha kerajaan membantu usahawan dalam sektor pertanian dan penternakan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Zahari berkata, Kerajaan Johor sudah berbincang dengan agensi berkaitan dan memberi jaminan peruntukan menerusi pelbagai agensi bawah kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa banjir dalam masa sebulan selepas membuat penilaian serta pengesahan.

    Menyentuh dakwaan birokrasi dihadapi usahawan tani pula, beliau berkata, pihaknya maklum akan perkara itu dan sudah mengingatkan jabatan supaya tiada birokrasi serta menjalankan penilaian dengan betul.

    “Dua hari lalu, saya mendapat makluman bahawa ada pihak yang mohon lain, dapat barang lain. Yang ini pun saya telah membuat teguran pada jabatan berkaitan. Saya akan mendapatkan maklumat kenapa ia berlaku.

    “Contohnya, mereka memerlukan pagar, namun dapat mesin rumput. Ini tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak pasti di mana silapnya tetapi saya cuba membantu mereka yang terkesan banjir,” katanya.

  • KDN serah kepada SPRM siasat penyelewengan sukuk

    KDN serah kepada SPRM siasat penyelewengan sukuk

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pegawai KDN yang disyaki terlibat dalam penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPRM harus diberi ruang seluas-luasnya untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang.

    Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, SPRM bebas menjalankan apa jua siasatan yang sesuai dengan tugas dan kewujudannya.

    Rabu lepas, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan ketua pegawai kewangan sebuah syarikat bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk yang melibatkan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Kesemua suspek yang berumur antara 40 dan 55 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dan beberapa media turut melaporkan SPRM dijangka memanggil pegawai KDN bagi membantu siasatan.

    Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kebajikan warga Polis Diraja Malaysia, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu adalah satu usaha yang berterusan, dan bukan bermusim atau dilakukan bersempena sambutan Hari Polis semata-mata.

  • Bekas pemain bass XPDC meninggal dunia

    Bekas pemain bass XPDC meninggal dunia

    BEKAS pemain bass pertama kumpulan XPDC (Tragedy) Man Tobey, 58, meninggal dunia tengah malam tadi selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Selayang.

    Allahyarham Man Tobey atau nama sebenarnya Yahya Rashid yang juga pernah bermain untuk kumpulan Meditasi dan Garuda menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.04 tengah malam di hospital itu.

    Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan, jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Garing, Rawang.

    Allahyarham meninggalkan balu, Zamidah Ishak, 62, dan dua anak, Nurul Fatin Athirah, 25, dan Nur Anis Sofea, 23.

    Man Tobey terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 30 Mei tahun lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

    Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Templer-Rawang sekitar pukul 10 pagi itu, Man Tobey sedang menunggang motosikal dari arah Selayang untuk pulang ke rumahnya di Rawang.

    Difahamkan Man Tobey juga menjalani pembedahan kedua iaitu menebuk leher untuk memasang alat pernafasan dan tidak mampu bercakap lagi selepas itu.

  • Kelantan mahu bina 15 PSK terutama di kawasan sering banjir

    Kelantan mahu bina 15 PSK terutama di kawasan sering banjir

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu hari diberitahu, kerajaan negeri bercadang membina 15 pusat pemindahan kekal (PPK) membabitkan setiap jajahan khususnya kawasan yang sering terdedah kejadian banjir.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, kerajaan mengenal pasti 15 lokasi di seluruh negeri iaitu 12 kawasan tanah kerajaan dan selebihnya perlu dibuat pengambilan balik tanah.

    “Lokasi dikenal pasti membabitkan tiga di Pasir Puteh, masing-masing dua di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan masing-masing satu di Tumpat, Pasir Mas, Machang serta Jeli.

    “Sementara itu, tiga lokasi yang perlu dibuat pengambilan tanah adalah di jajahan Pasir Puteh iaitu Padang Pak Amat, Cherang Ruku dan Changgai.

    “Kerajaan juga berbincang dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membina sekurang-kurangnya tiga PPK dahulu iaitu Kompleks Kebajikan Madinah As Salam (Kota Bharu), Kampung Pengkalan Nangka (Tumpat) dan Kampung Kelapa Wangi (Pasir Mas),” katanya.

    Mumtaz berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Rodzi Ja’afar (Gaal – Pas) pada sidang keempat penggal kelima DUN Kelantan ke-14.

    Sementara itu menjawab soalan tambahan dikemukakan Ramli Mamat (Bunut Payong – Pas) sama ada praktikal dibuna PPK kerana banjir bersifat sementara, Mumtaz menegaskan kemudahan itu juga boleh digunakan untuk keperluan bencana lain.

    “PPK itu juga akan diguna dalam segala hal yang membabitkan krisis dan bencana, sebaliknya bukan melibatkan banjir semata-mata.

    “Kita melihat kadang-kadang pusat pemindahan sementara (PPS) ini menggunakan sekolah dan ia mengganggu sistem persekolahan. Bencana banjir berlaku tidak menentu dan mengikut musim. Jadi PPK perlu untuk kemudahan rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tumpat, lapor Malaysiakini.

  • Jangan nyalakan api Islamofobia dalam negara

    Jangan nyalakan api Islamofobia dalam negara

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    SAYA ingin mengingatkan pihak tertentu agar tidak berterusan menyalakan api Islamofobia dengan tuduhan yang melulu terhadap mereka yang memperjuangkan agama. Gesaan seorang pemimpin utama PKR menyerang golongan yang berpolitik berpandukan agama ibarat menentang seruan yang dianjurkan di dalam al-Quran sendiri.

    Sayugia diingatkan bahawa Islam adalah agama bernegara dan politik adalah jalan mentadbir urus negara dengan agama. Politik menjadi tunjang agama malah sebahagian besar para Rasul dan Sahabat utama Nabi S.A.W merupakan ahli politik. Justeru, tidak layak bagi seseorang memperkecilkan hubungan politik dan agama.

    Namun, tidaklah menghairankan bagaimana Islamofobia cuba dihalakan kepada perjuangan Islam dengan pelbagai alasan yang direka-reka. Kita sedar mereka cuba mensudutkan perjuangan agama dengan gelaran ekstremisme yang menyeleweng.

    Tuduhan ekstrem dan usaha membangkitkan Islamofobia oleh pemimpin lawan adalah ‘grand design’ ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung. Kesemua ini dilakukan demi memastikan ‘swing voters’ selepas kekalahan besar PH dalam kalangan pengundi muda dan Melayu-Islam.

    Walau bagaimanapun, ia tidak mampu mengubah perspektif rakyat yang menilai prestasi semasa Kerajaan Persekutuan secara objektif. Ketiadaan dasar yang coherent, substantif serta bersepadu dalam menyelesaikan permasalahan asas rakyat jelas menunjukkan hala tuju dasar Kerajaan Persekutuan ketika ini semakin tersasar.

    Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat/Ahli Parlimen Pokok Sena

  • Dana asing terus tinggalkan pasaran saham tempatan

    Dana asing terus tinggalkan pasaran saham tempatan

    DANA asing terus meninggalkan Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut dengan jualan bersih asing berjumlah RM536 juta dicatatkan pada minggu lalu, demikian kata MIDF Research.

    Namun, firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan asing itu lebih rendah sebanyak 3.8 peratus berbanding RM556.9 juta pada minggu sebelumnya.

    Katanya, dana asing menjadi penjual bersih setiap hari sepanjang minggu lalu, dengan jumlah jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Selasa sejumlah RM251.3 juta, diikuti RM99.7 juta pada Khamis dan RM90.3 juta pada Jumaat.

    “Sentimen kekal lemah berikutan cabaran yang dihadapi dalam sektor perbankan Amerika Syarikat (AS).

    “Pelabur asing menjadi penjual bersih untuk 13 hari dagangan sejak 1 Mac. Mereka mencatatkan jualan bersih RM1.78 bilion setakat ini bagi tahun ini.

    “Daripada 11 minggu setakat tahun ini, mereka menjadi penjual bersih untuk lapan minggu,” katanya.

    Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM67.9 juta), teknologi (RM13.2 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta).

    Ia berkata, sektor yang menyaksikan pengaliran keluar asing bersih pula ialah perkhidmatan kewangan (RM359.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM90.3 juta) dan produk pengguna dan perkhidmatan (RM63.5 juta).

    Sementara itu, MIDF Research berkata, institusi tempatan terus menyokong ekuiti domestik, dengan belian bersih bagi tiga minggu berturut-turut sebanyak RM565.7 juta.

    Angka itu adalah jumlah mingguan tertinggi bagi 2023 dan tertinggi sejak minggu berakhir 9 Disember 2022.

    Institusi tempatan adalah pembeli bersih setiap hari, paling tinggi dilihat pada Jumaat sebanyak RM187.7 juta dan mereka juga telah menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 1 Mac.

    Pembelian bersih dalam ekuiti sebanyak RM1.76 bilion ekuiti dicatatkan membabitkan institusi tempatan, sementara peruncit tempatan menjadi penjual bersih pada kadar RM29.7 juta minggu lalu selepas belian bersih tiga minggu berturut-turut.

    Penjualan bersih setiap hari dicatatkan peruncit tempatan, kecuali pada Selasa apabila mereka membeli RM113.2 juta.

    Jumlah jualan bersih tertinggi oleh peruncit tempatan adalah pada Jumaat sebanyak RM97.5 juta.

    “Setakat ini, mereka membeli bersih RM14.8 juta ekuiti, dengan enam daripada 11 minggu belian bersih.

    “Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 18.4 peratus, institusi tempatan sebanyak 40.4 peratus dan pelabur asing sebanyak 51.0 peratus,” katanya lapor BH.