Category: Semasa

  • 6 ahli ajaran sesat Si Hulk hina Nabi di TikTok dikenal pasti

    6 ahli ajaran sesat Si Hulk hina Nabi di TikTok dikenal pasti

    POLIS mengenal pasti enam individu dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat Si Hulk yang menghina Islam dan Nabi Muhammad di aplikasi TikTok.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 30-an dan berasal di Johor dan identiti mereka dikesan berdasarkan dua video berasingan dimuat naik yang jelas menunjukkan wajah enam pelaku itu.

    Justeru, pihaknya menggesa semua enam individu berkenaan tampi menyerah diri sebelum mereka ditahan polis.

    “Kami bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dalam kes berkenaan.


    “Kita masih siasat maklumat berkaitan mereka dan berharap mereka tampil serah diri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaimi Mohamammad sebagai sesat.

    Ia juga menyeleweng dan bercanggah akidah, syariah serta akhlak Islam sejak Julai 2021.

    Pada 19 Mac lalu, tukar rakaman video berdurasi seminit 17 saat memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat menyeleweng akidah, antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

    Terdahulu, dua individu berbeza juga menyebarkan rakaman berkaitan fahaman itu di medium sama.

  • Shahidan persoal pendirian kebebasan bersuara PH selepas akaun TikTok disekat

    Shahidan persoal pendirian kebebasan bersuara PH selepas akaun TikTok disekat

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung hak kebebasan bersuara selepas akaun TikTok miliknya disekat ketika berucap dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Menurut Shahidan, akaun TikTok miliknya disekat selama 10 minit apabila giliran beliau berucap pada sesi berbahas peringkat jawatankuasa yang mana beliau hanya diberi masa selama lima minit.

    Wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan menyekat akaun media sosialnya itu menghairankan apabila beliau tidak menyentuh apa-apa topik sensitif, malah sedang memuji kerajaan.

    “Saya tidak patut dihalang sebab saya bercakap di Parlimen.

    “Hak saya dinafikan bukan saja oleh pelbagai pihak tetapi TikTok kerana pihak kerajaan telah berbincang dengan TikTok,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    “Di antara perkara yang saya tidak akan sentuh ialah raja-raja, agama dan bangsa. Kalau kita sentuh (topik ini) tidak akan ada kekebalan di Parlimen.

    “Tetapi untuk lain kita bebas. Kenapa dibuat begini? Kenapa nak sengsarakan orang yang bercakap tentang masalah rakyat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau kos sara hidup yang meningkat.”

    Mengulas lanjut, Shahidan turut mengingatkan kerajaan hak kebebasan bersuara adalah antara perkara yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).

    Justeru, beliau mempersoalkan keadaan seperti sudah berubah apabila antara langkah awal yang dilakukan PH sebaik memerintah ialah melakukan perbincangan dengan pihak sosial media.

    “Mereka telah merujuk kepada Perkara 10(1)(a) Lembaga Persekutuan yang memperuntukkan setiap warga Malaysia mempunyai kebebasan dan bersuara.

    “PH berjuang habis-habisan mengenai hak dan kebebasan. Bila perintah, perkara pertama mereka lakukan ialah berbincang dengan dengan pihak sosial media,” katanya lapor Malaysianow.

    Dalam maklum balas kepada persoalan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching kemudian menafikan pembabitan kerajaan berhubung sekatan terhadap akaun TikTok Shahidan.

  • KPM kaji keperluan ambil pembantu atasi beban tugas guru

    KPM kaji keperluan ambil pembantu atasi beban tugas guru

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas guru ketika ini, Dewan Negara diberitahu.

    Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, selain itu, KPM sudah melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan 2023-2024.

    Antara langkah itu ialah memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid serta pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2023 melibatkan guru kepada setahun sekali saja.

    “Menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel dalam sistem e-kehadiran sekolah KPM, iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang, pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar institut pendidikan guru dan institusi pengajian tinggi.

    “Mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja. Selain itu, autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah diperkukuh dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Arman Azha Abu Hanifah mengenai rangka perancangan kementerian bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendidik, dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

    Lim turut memaklumkan tindakan guru bersara awal akan mengurangkan tenaga guru berpengalaman, namun perkara itu tidak dapat dihalang kerana ia hak setiap guru.

    “Kita tidak boleh memaksa mereka terus berkhidmat, namun KPM akan cuba sedaya-upaya menggalakkan guru terus mengajar sehingga tibanya waktu mereka bersara wajib pada usia 60 tahun.”

  • Mahkamah Rayuan benar kurangkan ganti rugi kepada waris pemuda mati ditembak

    Mahkamah Rayuan benar kurangkan ganti rugi kepada waris pemuda mati ditembak

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini membenarkan rayuan kerajaan dan polis untuk mengurangkan jumlah ganti rugi kepada keluarga tiga pemuda yang terbunuh akibat ditembak dalam kejadian di zon perindustrian Glenmarie di Shah Alam, Selangor, 13 tahun lepas.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang membenarkan rayuan itu, mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM649,200.

    Perayu, yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kematian tiga pemuda itu, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jun 2021, yang memberikan award berjumlah RM1.52 juta kepada keluarga ketiga-tiga pemuda itu dengan setiap keluarga menerima kira-kira RM500,000 sebagai ganti rugi.

    Tiga pemuda yang terbunuh dalam kejadian yang berlaku pada 13 Nov 2010 itu ialah Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhammad Hanafi Omar, 22.

    Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Azizah berkata mahkamah juga mengetepikan award ganti rugi sebanyak RM100,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada keluarga untuk tuntutan di bawah Seksyen 8 Akta Undang-undang Sivil dan RM100,000 untuk ganti rugi teladan.

    Mahkamah juga mengetepikan RM100,000 ganti rugi am yang diberikan kepada keluarga dan menggantikannya dengan RM10,000 bagi kematian.

    Hakim itu berkata RM100,000 untuk ganti rugi teruk dan RM100,000 untuk misfeasans awam kekal.

    Mahkamah juga mengekalkan RM11,200 sebagai tuntutan tanggungan untuk keluarga Mohd Hairul dan RM8,000 dalam tuntutan tanggungan untuk keluarga Muhammad Hanafi.

    Ini bermakna setiap keluarga akan mendapat pembayaran ganti rugi sebanyak RM210,000.

    Keluarga ketiga-tiga pemuda itu pada mulanya gagal dalam saman mereka di Mahkamah Tinggi pada 2015.

    Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2016 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan polis dan kerajaan bertanggungjawab menyebabkan kematian ketiga-tiga pemuda itu.

    Mahkamah kemudian memerintahkan kes itu dibawa untuk penilaian ganti rugi di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang kemudiannya memberikan award berjumlah RM207,000 kepada tiga keluarga itu.

    Keluarga tersebut yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu telah merayu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam agar ganti rugi dinilai semula dan award berjumlah RM1.5 juta diberikan kepada mereka.

    Pada 12 Nov 2013, keluarga tiga pemuda itu telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di Shah Alam terhadap ketua polis daerah Shah Alam, ketua polis Selangor, Ketua Polis Negara, kerajaan Malaysia dan pegawai polis.

    Saman itu difailkan oleh ibu bapa Shamil, Shapiei Zainal Abidin dan Norhafizah Mad Razali, ibu Hairul Hamidah Kadar dan adik Hairul,

    Norhaliza Tuah, dan ibu bapa Hanifi, Omar Abu Bakar dan Noriah Darus.

    Dalam pembelaan mereka, polis berkata mereka mengesyaki pemuda itu adalah anggota ‘Geng Minyak’, dikatakan terlibat dalam beberapa siri samun di stesen minyak tetapi disangkal oleh keluarga tersebut yang mengatakan ketiga-tiga pemuda itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    Keluarga tersebut mendakwa pemuda itu dibunuh dalam ‘gaya pembunuhan’ berdasarkan kedudukan peluru memasuki badan mereka.

    Peguam Kanan Persekutuan Noerazlim Saidil mewakili kerajaan dan polis manakala peguam Zaid Malek mewakili keluarga pemuda.

  • Lacur: Ibu tunggal didenda RM2,500

    Lacur: Ibu tunggal didenda RM2,500

    SEORANG ibu tunggal dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret George Town hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melacurkan diri di sebuah hotel di George Town, Ahad lepas.

    Nadzirah Azizoh @ Azizam, 43, mengaku bersalah terhadap dakwaan melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Penang antara pukul 2 pagi dan 2.25 pagi 19 Mac lepas, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Majistret Azlan Basri turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Sementara itu di mahkamah yang sama dua lagi wanita Nurul Najihah Abu Bakar, 23, dan Nor Hafiza Rosli, 32, mengaku tidak bersalah dan memohon bicara selepas pertuduhan sama dibacakan terhadap mereka.

    Nurul Najihah dan Nor Hafiza masing-masing dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan Azlan menetapkan tarikh 28 Jun untuk sebutan semula kes.

    Di Mahkamah Majistret berasingan, dua lagi wanita Rozita Abdullah Sani, 33, dan Nurul Aniza Sarizan, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret R. Manomani.

    Manomani membenarkan Rozita dan Nurul Aniza diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April serta 28 Jun untuk sebutan semula.

    Kesemua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil dan M. Darrshini manakala kesemua tertuduh diwakil peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Cheah Eng Soon dan Hazarul Iqram Rozahan.

  • Kerajaan mahu larang penstriman langsung aktiviti seksual kanak-kanak

    Kerajaan mahu larang penstriman langsung aktiviti seksual kanak-kanak

    PINDAAn kepada undang-undang berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan merangkumi peruntukan mengharamkan penstriman langsung aktiviti seksual.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang (RUU) di Dewan Rakyat.

    Tujuannya kata Ahli Parlimen Pengerang itu, bagi meminda Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 pada 27 Mac ini.

    RUU itu antara lain bertujuan mengharamkan tindakan ‘terlibat secara langsung, menganjur, mempromosi, mengarah mangsa atau menerima wang’ berhubung penstriman langsung aktiviti seksual membabitkan kanak-kanak.

    “Cadangan hukuman untuk kesalahan itu adalah penjara 20 tahun atau denda RM50,000,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini, lapor FMT.

    Azalina berkata, individu terlibat dalam peras ugut seksual kanak-kanak juga satu kesalahan di bawah undang-undang itu dengan cadangan hukuman adalah 10 tahun penjara.

    Katanya, istilah pornografi kanak-kanak dalam Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak akan dipinda kepada bahan penganiayaan seksual kanak-kanak untuk meluaskan definisinya.

    Pindaan lain terhadap akta itu termasuk menggubal peruntukan yang membenarkan keterangan diambil daripada kanak-kanak daripada kontak kali pertama, seperti di balai polis dan hospital, bagi mengelakkan mereka memberi keterangan beberapa kali.

    Pembaharuan undang-undang itu termasuk peruntukan mengenai prosiding khas mesra kanak-kanak, contohnya memberi kuasa kepada hakim untuk mengawal bentuk soalan daripada peguam dan pilihan pendengaran secara rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu hadir ke mahkamah.

    Mahkamah juga akan diberi kuasa untuk mengarahkan penjenayah membayar pampasan kepada mangsa untuk kos berkaitan perkhidmatan kaunseling, rawatan dan pemulihan.

    Fasa dua pembaharuan undang-undang berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan merangkumi libat urus dengan Majlis Peguam berkaitan pindaan Akta Keterangan 1950 membabitkan keperluan undang-undang untuk bukti menyokong.

    Pindaan Akta Keterangan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Mei atau Jun nanti.

    Turut hadir dalam sidang media hari ini adalah Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki, Ketua Perlindungan Kanak-kanak Unicef Malaysia, Saskia Blume dan pakar perlindungan kanak-kanak Unicef, S. Selvi.

  • Kanak-kanak dua tahun maut jatuh dalam air kumbahan

    Kanak-kanak dua tahun maut jatuh dalam air kumbahan

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh ke dalam air kumbahan di Kok Lanas, Kota Bharu, semalam.

    Kejadian pada pukul 2.30 petang itu disedari ibu dan bapa tirinya apabila mendapati tiada kelibat Muhammad Azim Abdul Rahim.

    Ibu mangsa, Nur Ain Nabihah Mohd Zamri, 24, berkata, semasa kejadian dia dan suami, Mohd. Khairi Jauhari Mohd. Yusuf, 36, berada di kedai roti canai milik mereka.

    Pasangan tersebut kemudian menyedari ketiadaan anak bongsu daripada dua beradik itu.

    “Saya dan suami cuba mencari di sekitar kedai dan kawasan berhampiran sebelum terlintas untuk memeriksa kawasan kumbahan yang terletak dalam jarak lima meter.

    “Sebaik tiba di kawasan itu saya lihat sesuatu yang pelik, lumut di dalam air kumbahan tersebut sudah tiada.

    “Melihat situasi itu, suami telah meminta adiknya turun ke dalam kumbahan terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lorong Pondok Haji Muhammad, Selising di Pasir Putih, hari ini.

    Nur Ain Nabihah berkata, anaknya ditemui tidak sedarkan diri di dasar air sedalam 0.4 meter itu oleh adik iparnya.

    Menuruntya, dia dan suami terus membawa Muhammad Azim ke Klinik Kesihatan Kok Lanas untuk mendapatkan rawatan.

    “Kira-kira 15 minit selepas menerima rawatan di klinik anak disahkan telah meninggal dunia.

    “Sebelum kejadian arwah berperangai pelik, dia banyak merengek seperti gelisah sedangkan sebelum ini dia tidak pernah begitu kerana seorang yang ceria serta aktif,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jawa pada pukul 8.30 pagi tadi.

  • Pembantu tadbir dipenjara 13 bulan, guna wang khairat kematian peneroka

    Pembantu tadbir dipenjara 13 bulan, guna wang khairat kematian peneroka

    SEORANG pembantu tadbir terpaksa menyambut hari pertama Ramadan di penjara selepas Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadapnya, bermula hari ini.

    Mohd. Azlan Jainal, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menggunakan cek palsu RM64,734 dan kesalahan itu dilakukan antara Mac hingga April 2021.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM68,500 untuk semua pertuduhan terbabit selain mengenakan hukuman penjara 29 bulan jika tertuduh gagal membayar semua denda berkenaan, lapor Harian Metro.

    Menurut fakta kes, tertuduh yang sebelum ini pernah bertugas di Felda Jengka 12 Melor, Maran, telah mengeluarkan 10 keping cek atas namanya sedangkan catatan pada kaki cek yang dibuat oleh tertuduh adalah nama peneroka yang telah meninggal dunia bagi tujuan bayaran khairat kematian.

    Pada masa sama, Pengurus dan Penyelia Felda terbabit turut mengesahkan mereka tidak pernah menandatangani semua cek berkenaan.

    Dalam prosiding rayuan, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan berikutan mempunyai lima tanggungan iaitu isteri dan empat anak, manakala isterinya tidak bekerja.

    Tertuduh juga memberitahu menggunakan wang berkenaan bukan untuk tujuan peribadi sebaliknya untuk membeli peralatan pejabat dan menjayakan program.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rif’ah ‘Izzati Abdul meminta mahkamah mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

    Hakim kemudian menjatuhkan hukuman antara lapan bulan hingga 13 bulan penjara yang berjalan serentak selain mengenakan denda antara RM5,000 hingga RM7,500 bagi setiap 10 pertuduhan berkenaan.

  • Dr. Zakir Naik mungkin dihantar pulang ke India

    Dr. Zakir Naik mungkin dihantar pulang ke India

    PENCERAMAH bebas, Dr. Zakir Naik berkemungkinan akan dihantar pulang dari Oman ke India.

    Portal Telegraph India melaporkan, agensi perisikan India berhubung dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir Naik semasa lawatannya ke Oman yang dijadualkan pada hari ini (23 Mac), kata laporan itu.

    Zakir Naik, seorang pendakwah Islam berasal dari India menetap di Malaysia sejak 2017.

    Kerajaan Oman, baru-baru ini, menjemput Zakir Naik untuk menyampaikan dua kuliah agama di ibu kota Muscat, pada 23 Mac dan 25 Mac, sempena Ramadan.

    Menurut laporan itu, Kedutaan India di Oman berhubung dengan agensi kerajaan negara itu untuk menahan Zakir Naik dan menghantarnya pulang ke India.

    India berkemungkinan menghantar pasukan undang-undang untuk tindakan susulan selepas penahanan Zakir Naik, kata laporan itu, sambil menambah bahawa perkara itu sudah dibawa kepada perhatian Duta Oman oleh Menteri Luar India.

    Zakir Naik , 57, melarikan diri dari India pada 2016 selepas organisasinya Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) diharamkan di negara itu.

    Media sebelum ini melaporkan Zakir Naik dituduh dengan pengubahan wang haram oleh pendakwa raya di India.

    Selain pengubahan wang haram, pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.

    Pada 2019, beliau dilarang menyampaikan syarahan di Malaysia.

    Selain India, rangkaian TV Peacenya juga diharamkan di Bangladesh, Kanada, Sri Lanka, dan United Kingdom.

  • Pemandu treler gilis murid sekolah dipukul orang awam

    Pemandu treler gilis murid sekolah dipukul orang awam

    POLIS mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang pemandu treler yang dipukul oleh orang awam semasa kejadian kemalangan maut babit kenderaan itu dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong, di Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemandu berusia 36 tahun itu, cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebagai pesakit luar.

    “Pemandu telah buat laporan di Balai Polis Pandamaran, di Klang petang semalam berhubung kes dia dipukul oleh individu yang belum dikenal pasti.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menrutnya, punca kejadian dipercayai motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.

    “Semasa kejadian, treler dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan treler berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya.

    “Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang treler, meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

    Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Yunus Abd. Rahim di talian 011-25300305 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan.