Category: Semasa

  • Dah ada ‘Datuk’ nak ‘Datuk Seri’, lelaki rugi hampir RM400,000 ditipu

    Dah ada ‘Datuk’ nak ‘Datuk Seri’, lelaki rugi hampir RM400,000 ditipu

    SEORANG lelaki bergelar Datuk kerugian hampir RM400,000 susulan diperdaya membayar secara ansuran sejak 2019 bagi mendapatkan darjah kebesaran Datuk Seri.

    Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan itu enam lelaki diberkas dalam empat serbuan berasingan di Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, dan Johor, pada Selasa, oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Melaka.

    “Semua suspek berusia lingkungan 33 dan 44 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 2019 selepas mangsa yang juga ahli perniagaan dihubungi seorang daripada suspek yang menyamar sebagai ‘Datuk Fadhil’ dari Istana Negara.

    “Mangsa berusia 63 tahun dihubungi lelaki bergelar ‘Datuk Fadhil’ yang kononnya dari Istana Negara dan memaklumkan dia akan diberikan gelaran Datuk Seri, namun perlu melalui proses pembayaran sebanyak RM300,000 sebelum diberikan pingat.

    “Tanpa rasa curiga mangsa kemudian bersetuju dan mula membuat 13 transaksi pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berbeza diberikan oleh suspek bernilai keseluruhan RM396,400 sejak 21 Jun 2019,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, suspek pada 30 Mac 2021 ada menghubungi mangsa memaklumkan akan menghantar wakil berjumpa dengannya di luar pintu 2 Istana Negara bagi urusan pembayaran baki RM70,000 serta serahan surat tawaran watikah ‘Datuk Seri’.

    Mangsa ujar beliau, mengikut arahan dan menandatangani serta meletakkan cap ibu jarinya ke atas surat tawaran itu.

    Katanya, selepas membuat semakan, mangsa mendapati tawaran watikah diberikan itu adalah palsu.

    Christopher berkata, semua suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Tingkatkan kadar gaji untuk menoktahkan beban kos sara hidup

    Tingkatkan kadar gaji untuk menoktahkan beban kos sara hidup

    ISU kos sara hidup tidak dapat diselesaikan melainkan kadar kenaikan gaji adalah seiring dengan kadar inflasi.

    Penganalisis Ekonomi Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan ketika ini di bawah inisiatif Rahmah hanya bersifat jangka masa pendek.

    Jelasnya, apa yang berlaku hari ini ialah pergerakan harga inflasi yang lebih pantas berbanding peningkatan gaji dan berbeza sekiranya harga barang dan gaji naik seiring.

    “Itu tiada masalah. Situasi ini lebih memburuk akibat Covid-19. Sebelum Covid-19, 39 peratus pekerja bergaji RM2,000 ke bawah. Kalau kita ambil kira julat pendapatan RM3,000, angka pekerja yang menerima gaji sedemikian boleh mencecah 60 peratus.
    Tetapi angka itu jauh lebih rendah pascapandemik.

    “Jadi, itu yang menyebabkan kos sara hidup semakin meruncing. Pemerhatian saya, isu ini masih membelenggu meskipun ada inisiatif Menu Rahmah,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro Awani.

    Justeru, Mohd. Yusof mencadangkan agar kenaikan gaji dimulakan di peringkat sektor awam sebelum diikuti oleh sektor swasta.

    “Isu gaji kita perlu faham bahawa, tidak ada jalan lain, kita mesti naikkan gaji. Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya naikkan gaji penjawat awam gred rendah, ada meritnya,” ujar beliau.

    Jelasnya ini kerana, kalau diihat perjalanan ekonomi Malaysia, gaji akan bergerak dalam sektor swasta apabila sektor kerajaan bergerak dahulu.

    Mohd. Yusof turut mencadangkan agar Kementerian Kewangan (MOF) atau Kementerian Ekonomi yang mengetuai usaha menangani kos sara hidup, berbanding dasar kerajaan semasa yang meletakkan tugas ini di bahu KPDN.

    Asas kepada cadangan itu, katanya, adalah kerana MOF dan Kementerian Ekonomi mempunyai kuasa menentukan kaedah perbelanjaan dana kerajaan, khususnya dana pembangunan.

    Oleh itu, kementerian-kementerian ini boleh membuat keputusan yang lebih berkesan dengan peruntukan yang lebih besar, tambahnya.

  • Syamsul mohon doa orang ramai, mula proses JKP dengan Puteri Sarah hari ini

    Syamsul mohon doa orang ramai, mula proses JKP dengan Puteri Sarah hari ini

    PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof mahu orang ramai mendoakan yang terbaik agar proses penyelesaian melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) seperti diputuskan Mahkamah Syariah yang bermula hari ini, menjadi penamat terhadap kemelut rumah tangga bersama isteri pertama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

    Terdahulu, Syamsul tiba di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada pukul 9.35 pagi, disusuli Puteri Sarah, yang ditemani adik perempuannya, Raja Sofea, kira-kira sejam kemudian.

    “Hari ini, kami jalani proses JKP. Semoga daripada sesi ini, Sarah boleh berbaik dan berbincang dengan saya.

    “Saya difahamkan Sarah ditemani ahli keluarga. Tidak tahu lagi macam mana, doakan yang terbaik dan kita jumpa selepas ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di pekarangan JAWI, pagi tadi, lapor Berita Harian.

    Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

    Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Berdasarkan dokumen diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai adalah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri, menurut hukum syarak.

    Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Kes Zahid saman fitnah terhadap Tun M, perbicaraan 6 November

    Kes Zahid saman fitnah terhadap Tun M, perbicaraan 6 November

    SAMAN fitnah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dibicarakan selama empat hari mulai 6 November depan.

    Peguam defendan Mior Nor Haidir Suhaimi mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa tarikh perbicaraan dari 6 hingga 9 November ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini.

    Peguam Intan Hanis Afiqah Razali mewakili Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Pada April tahun lepas, Presiden UMNO, Zahid memfailkan saman sivil terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan bahawa plaintif telah bertemu defendan untuk cuba memihak kepada Dr. Mahathir kerana Zahid menjangkakan beliau akan menghadapi pertuduhan jenayah.

    Bagaimanapun, pertemuan tersebut dilaporkan berlaku sebelum Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri pada 2018.

    Kenyataan Dr. Mahathir itu didakwa dibuat semasa sidang media di Putrajaya pada 23 Februari tahun lepas. Beliau menjawab soalan jika Zahid pernah bertemu dengannya semasa menjadi Perdana Menteri untuk membincangkan kes mahkamah rasuah yang terakhir.

    Zahid, dalam pernyataan tuntutannya, menafikan pernah bertemu Dr. Mahathir untuk membincangkan kes mahkamahnya atau sebarang tindakan agensi penguatkuasaan sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan Dr. Mahathir itu fitnah dan berniat jahat.

    Bekas Perdana Menteri itu pada 2 Mac tahun lalu menafikan memfitnah Zahid dalam jawapan kepada notis samannya.

    Zahid menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta injunksi untuk Dr. Mahathir, pegawai, pembantu atau ejennya daripada mengulangi kenyataan yang didakwa memfitnah itu, serta mengarahkan bekas Perdana Menteri itu untuk berusaha memadam atau mengedit rakaman kenyataannya yang disiarkan oleh media.

  • Rohana dah pulangkan AS$10 juta kepada SPRM

    Rohana dah pulangkan AS$10 juta kepada SPRM

    Rohana Rozhan, bekas teman wanita pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner, telah memulangkan wang tunai dan aset berkaitan 1MDB AS$10 juta (RM44.3 juta) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Demikian menurut laporan Utusan Malaysia, yang memetik sumber yang biasa dengan kes itu.

    Menurut sumber berkenaan, bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd itu menyerahkan wang tunai dan aset kepada kerajaan Malaysia tahun lepas, selepas SPRM menyelesaikan siasatan kes itu.

    “Beliau (Rohana) sudah pulangkan semua wang dan aset yang berkenaan kepada SPRM yang kemudian di­salurkan kepada kerajaan,” kata sumber seperti dipetik oleh portal berita itu.

    “Pihak SPRM sudah selesai dan setakat ini tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan berhubung dana 1MDB daripada Rohana,” kata sumber lagi.

    Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat memberikan butiran terperinci tentang pulangan dana dan aset, serta prosedur yang terlibat.

    Semalam, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman dalam jawapan bertulis parlimen berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui sekiranya bekas pegawai eksekutif Astro, Rohana Rozhan telah memulangkan wang AS$10 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Azalina menjawab soalan Lim Lip Eng (PH – Kepong) yang bertanya kepada Perdana Menteri apakah Rohana telah memulangkan wang tunai berjumlah AS$10 juta itu.

    Februari tahun lalu, Leissner memberitahu mahkamah Amerika Syarikat (AS) bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia, termasuk Rohana.

    Pada satu ketika, Leissner membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS Kimora Lee Simmons pada 2013.

    Dalam keterangannya Leissner berkata, dia membeli rumah itu kerana Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

    Susulan itu media tempatan melaporkan Rohana bersetuju memulangkan aset AS$10 juta itu, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada SPRM, yang pada masa itu telah pun menemu bualnya.

    Pada Mac tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya Sruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Rohana disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) dan harta Rohana di London serta aset lain dibekukan.

    Pada 13 Mac lalu, Parlimen diberitahu baki hutang 1MDB ialah sebanyak RM9.7 bilion manakala RM41.6 bilion aset 1MDB telah diperoleh semula.

  • Bendung penularan pemikiran songsang LGBT – Pas Selangor

    Bendung penularan pemikiran songsang LGBT – Pas Selangor

    PENULARAN pemikiran songsang lesbian, gay bisexual dan transgender (LGBT) perlu dibendung semua pihak daripada terus merosak budaya, nilai dan idealisma generasi baru.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan juga digesa mengambil tindakan lebih proaktif bagi mengekang penularan promosi, merekrut anak muda menyertai dan mendanai aktiviti berkait LGBT di negeri itu khususnya.

    Menurutnya, program berkait LGBT yang dijangka dianjurkan pada 30 Mac ketika bulan Ramadan membangkitkan kemarahan dan mewujudkan suasana yang tidak harmoni ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar negara menunaikan umrah

    “Pas Selangor mengajak semua pihak termasuk wakil agama untuk bersama-sama membendung penularan pemikiran songsang LGBT ini daripada terus merosak budaya, nilai dan idealisma generasi baru dalam membina Negeri Selangor yang lebih bersih dan sejahtera melalui tanda pagar #menoktahkanLGBTtiadaHIV,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari telah mendedahkan promosi program Thai Hot Guy di Dewan Rakyat, Rabu lepas.

    Katanya, ia diikuti kenyataan media oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penganjuran program tidak bermoral itu bagi menghormati bulan Ramadan.

    Promosi itu juga katanya telah mengundang bantahan Pas Bukit Bintang selain menjadi trending di twitter melalui kicauan Ketua Penerangan Pas Gombak, Dr. Fairuz Azmi sehingga 60 laporan polis dibuat.

    “Justeru Pas Selangor mengucapkan tahniah atas ketegasan pihak PDRM yang ditunjukkan oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah sehingga membawa kepada pembatalan program berkait LGBT dan permohonan maaf daripada pemilik sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak di ibu kota,” katanya.

  • Dadah RM3.22 juta dalam kawasan perumahan berpagar dirampas

    Dadah RM3.22 juta dalam kawasan perumahan berpagar dirampas

    SEBANYAK 44.3 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3.22 juta dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Selasa lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua dadah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan berpagar di bandar raya tersebut.

    “Kita dapati modus operandi yang digunakan oleh sindiket dadah berkenaan kali ini adalah kawasan perumahan gated dan guarded (berpagar dan berpengawal).

    “Ini bagi tujuan tidak ada yang mengekori mereka selain itu, menjadikan kereta yang diparkir di hadapan rumah sebagai stor, bagi menyelamatkan kegiatan haram ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis telah rampas 119,750 pil eramin5 seberat 36.9 kilogram (kg) bernilai RM2.7 juta, serbuk ekstasi (5.36kg bernilai RM270,000, ketamin (903 gram bernilai RM140,000 selain pil ekstasi dan ‘magic mushroom’ bernilai RM3.2 juta.

    Dadah-dadah tersebut katanya, jika terlepas ke pasaran, boleh digunakan oleh 150,000 orang.

    Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas empat kenderaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 serta pelbagai barang kemas dan wang tunai pada serbuan berkenaan.

    “Secara keseluruhannya, harta yang disita berjumlah RM210,000 manakala jumlah keseluruhan dadah dan harta yang dirampas adalah RM3.5 juta,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan yang dijalankan mulai 3.30 petang hingga 5 petang itu, polis turut berjaya menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 34 dan 36 tahun dipercayai pengedar dan juga penjaga stor untuk siasatan lanjut.

    Katanya, hasil siasatan mendapati seorang daripada lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah dan seorang lagi positif dadah.

    “Siasatan kita teruskan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan perintah reman terhadap kedua-dua lelaki ini telah diperoleh selama tujuh hari mulai 22 hingga 28 Mac untuk siasatan lanjut.

    “Secara keseluruhannya, seramai 4,000 individu dipercayai penagih dan pengedar yang terlibat dengan dadah di sekitar negeri Johor dengan hampir 850kg dadah bernilai hampir RM10 juga telah dirampas,” katanya.

  • Dugaan Ramadan, khemah niaga diterbangkan ribut, peniaga rugi RM100,000

    Dugaan Ramadan, khemah niaga diterbangkan ribut, peniaga rugi RM100,000

    SEORANG peniaga mendakwa kerugian kira-kira RM100,000 selepas khemah gerai jualan buah-buahan miliknya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Jalan Kubang Lembu, Alor Setar, hari ini.

    Azlina Ibrahim, 47, berkata terdapat ramai pelanggan di dalam gerainya dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, namun semua mereka sempat menyelamatkan diri.

    “Hujan tiba-tiba turun dengan lebat dan lima minit kemudian ribut yang kuat datang terus mengangkat dan terbangkan khemah gerai ke atas jalan raya.

    “Ada dalam 10 orang di gerai termasuk anak saya, pekerja dan pelanggan. Mereka semua sempat lari keluar. Mujur juga khemah itu jatuh atas jalan dan tiada kenderaan yang melaluinya.

    “Saya telah lebih 10 tahun berniaga di sini, memang terkejut kerana tidak pernah belaku kejadian seumpama ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Azlina memaklumkan dia baru mengambil buah-buah seperti tembikai, pisang, limau, mangga dan banyak lagi kini separuh daripadanya rosak dalam kejadian itu.

    Turut berdepan detik cemas itu Muhammad Haikal Khairul Anwar, 15, yang menyedari kakaknya terbaring di bawah timbunan khemah yang diterbangkan itu.

    Katanya, dia bergegas mengangkat kakaknya yang berusia 16 tahun itu lalu meminta orang ramai menghantarnya ke hospital.

    “Hujan lebat masa itu, kami tengok khemah terangkat dan tiba-tiba saya tengok kakak rebah di bawah khemah tu, dia pitam,” katanya lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin, berkata pihaknya menerima laporan pukul 3.30 petang sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian.

    Katanya, anggotanya terpaksa memotong beberapa pokok yang tumbang melintang ke atas jalan raya.

    Bustan berkata, ketika ini anggota sedang melakukan kerja mengalihkan khemah dan tiang elektrik yang patah menghalang jalan raya.

  • Lelaki bergelut di IPD Besut buat provokasi terhadap polis – KPD

    Lelaki bergelut di IPD Besut buat provokasi terhadap polis – KPD

    POLIS menahan seorang penghantar makanan yang bergelut dengan anggota polis berpakaian seragam selepas lelaki itu membuat provokasi serta melibas cota dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Jertih, pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata insiden pergelutan itu dipercayai telah dirakam oleh orang awam, sebelum video rakaman itu didapati tular di laman TikTok, hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

    Beliau berkata kejadian berlaku selepas lelaki dengan pakaian seragam penghantar makanan itu mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan membuat provokasi, di samping melibas cota terhadap anggota polis yang sedang bertugas di pos pengawal IPD Besut.

    “Kami ingin menegaskan bahawa sepanjang melaksanakan tangkapan, kekerasan paling minimum yang mungkin terpaksa digunakan, dan dalam kejadian itu seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya saringan air kencing mendapati suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata berbahaya 1958.

  • Polis buru 20 individu merusuh di premis pengurusan mayat

    Polis buru 20 individu merusuh di premis pengurusan mayat

    POLIS sedang memburu 20 individu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap yang melakukan rusuhan dalam satu upacara pengebumian di sebuah premis pengurusan mayat bukan Islam di Bandar Raya Johor Bahru Selasa lepas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehari sebelum kejadian, seorang lelaki berusia 30an yang mempunyai beberapa rekod jenayah telah ditembak menggunakan senjata api di Taman Melodies di Johor Bahru.

    “Pada 20 Mac lepas, ada seorang lelaki telah ditembak namun siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan tersebut.

    “Keesokan harinya, semasa upacara pengebumian mangsa, sekumpulan 20 individu telah datang dan membuat kekacauan di tempat sembahyang mendiang, jadi usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan juga Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

    Ditanya sama ada pembunuhan itu berkait dengan satu lagi kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 2017, Kamarul Zaman berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan terbabit.

    Pada 17 Disember 2017, seorang lelaki berusia 30an dilaporkan mati ditikam dan dilanggar dengan sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki, di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20an yang dipercayai isterinya, sedang mengisi angin tayar kereta di stesen tersebut.