SEORANG peniaga mendakwa kerugian kira-kira RM100,000 selepas khemah gerai jualan buah-buahan miliknya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Jalan Kubang Lembu, Alor Setar, hari ini.

Azlina Ibrahim, 47, berkata terdapat ramai pelanggan di dalam gerainya dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, namun semua mereka sempat menyelamatkan diri.

“Hujan tiba-tiba turun dengan lebat dan lima minit kemudian ribut yang kuat datang terus mengangkat dan terbangkan khemah gerai ke atas jalan raya.

“Ada dalam 10 orang di gerai termasuk anak saya, pekerja dan pelanggan. Mereka semua sempat lari keluar. Mujur juga khemah itu jatuh atas jalan dan tiada kenderaan yang melaluinya.

“Saya telah lebih 10 tahun berniaga di sini, memang terkejut kerana tidak pernah belaku kejadian seumpama ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Azlina memaklumkan dia baru mengambil buah-buah seperti tembikai, pisang, limau, mangga dan banyak lagi kini separuh daripadanya rosak dalam kejadian itu.

Turut berdepan detik cemas itu Muhammad Haikal Khairul Anwar, 15, yang menyedari kakaknya terbaring di bawah timbunan khemah yang diterbangkan itu.

Katanya, dia bergegas mengangkat kakaknya yang berusia 16 tahun itu lalu meminta orang ramai menghantarnya ke hospital.

“Hujan lebat masa itu, kami tengok khemah terangkat dan tiba-tiba saya tengok kakak rebah di bawah khemah tu, dia pitam,” katanya lapor Astro Awani.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin, berkata pihaknya menerima laporan pukul 3.30 petang sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, anggotanya terpaksa memotong beberapa pokok yang tumbang melintang ke atas jalan raya.

Bustan berkata, ketika ini anggota sedang melakukan kerja mengalihkan khemah dan tiang elektrik yang patah menghalang jalan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here