Category: Semasa

  • Pelajar maut ketika dalam perjalanan ke sekolah

    Pelajar maut ketika dalam perjalanan ke sekolah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pelajar tingkatan lima meninggal dunia apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya bertembung dengan kereta Proton Saga di Jalan Felda Sungai Tiang dekat Jalan Felda Sungai Tiang, Pendang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi ketika mangsa, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17 dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang selepas menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

    Setibanya di lokasi kejadian katanya, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang kiri.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa terbabas ke kanan jalan dan berlanggar pula dengan pokok serta Pejabat Felda Sungai Tiang.

    “Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas ke kanan jalan dan berlanggar pula dengan pokok serta Pejabat Felda Sungai Tiang

    Sementara itu ibu mangsa, Halimaton Naimah Mat Isa, 37, memaklumkan, kemalangan itu berlaku tidak lama selepas Muhammad Hasrul menghantar dua adiknya yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

    Katanya, Muhammad Hasrul bersama dua adiknya iaitu Noor Salihatul Nabila, 12 dan Faiz Qayyum, 10, keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi.

    “Saya terkejut apabila suami, Ibrahim Ahmad, 48, menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi.

    “Kami ke lokasi kejadian namun jasad anak telah dibawa menaiki ambulans menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
    Disebabkan itu, kami terus ke Unit Forensik HSB untuk menuntut jenazah anak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Unit Forensik HSB, hari ini.

    Difahamkan motosikal ditunggang Muhammad Hasrul bertembung dengan kereta dipandu seorang guru wanita yang mengajar di sekolah adik mangsa.

    Mengulas lanjut Halimaton berkata, beliau sekeluarga amat merasai kehilangan Muhammad Hasrul yang mesra dipanggil ‘Abang Chik’.

    “Sebagai anak sulung dari lima beradik, dia memang menjadi harapan keluarga. Selama ini pun jika cuti sekolah, dia rajin membantu menambah rezeki keluarga dengan menolong saya menoreh getah atau bersama ayahnya mengawal lalu lintas di kuari,” katanya.

  • Tak lagi fikir soal MN, UMNO fokus kerjasama kerajaan perpaduan

    Tak lagi fikir soal MN, UMNO fokus kerjasama kerajaan perpaduan

    UMNO tidak lagi memikirkan soal Muafakat Nasional (MN) sebaliknya terus fokus bekerjasama dengan kerajaan perpaduan bagi mewujudkan kerajaan stabil, kata Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki.

    Beliau berkata, ini susulan pendirian Pas sebelum ini yang dilihat mengkhianati UMNO kerana bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Kita hari ini harus fokus seperti apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk perpaduan nasional. Bukan hanya soal Melayu Islam, tetapi juga soal negara.

    “Kenapa mereka begitu angkuh menolak titah diraja di peringkat awal? Dalam keadaan sebaliknya kita perlu fokus kepada kestabilan negara,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bahawa MN yang ditubuhkan Pas dan UMNO masih bernyawa sungguhpun dalam keadaan ‘pengsan’ ketika ini.

    Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata, beliau melihatnya atas asas penyatuan ummah dan agenda mereka tidak pernah dihentikan.

    Mengenai perkara itu, Asyraf mempersoalkan mengapa hasrat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) ditolak jika masing-masing khususnya Pas memikirkan soal penyatuan Melayu dan Islam.

    “Kalau betul mereka memikirkan soal penyatuan ummah, kenapa Pejuang tidak diterima PN pula atas alasan mengganggu pembahagian kerusi? Maknanya mereka hanya memikirkan soal kerusi dan menang pilihan raya sedangkan yang sepatutnya diletakkan keutamaan adalah soal penyatuan ummah.

    “Jelas sekali mereka yang cakap sendiri mengenai faktor kenapa gagalnya Muafakat Nasional, ia hanyalah soal perebutan kuasa. Itu jawapannya,” katanya.

  • Isu pengecualian cukai: Guan Eng failkan saman terhadap Muhyiddin hari ini

    Isu pengecualian cukai: Guan Eng failkan saman terhadap Muhyiddin hari ini

    BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan bahawa dia membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

    Pasukan peguam yang mewakili bekas ketua menteri Pulau Pinang itu memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) di Kuala Lumpur pagi tadi.

    Pada 15 Mac lalu, Guan Eng menghantar surat tuntutan dan memberi tempoh selama tujuh hari kepada Muhyiddin agar memohon maaf atas dakwaan bahawa dia membatalkan pengecualian cukai yayasan tersebut.

    Ahli Parlimen Bagan itu juga menafikan dakwaan berkenaan, lapor Malaysiakini.

    Pada 22 Mac lalu, Lim yang juga pengerusi DAP membuat laporan polis terhadap pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berhubung dakwaan berkenaan.

    Muhyiddin mendakwa pembatalan pengecualian cukai yayasan itu dilakukan ketikaLim memegang jawatan Menteri Kewangan.

    Menurut salinan pernyataan tuntutan saman sivil itu, Guan Eng mendakwa Muhyiddin memfitnahnya melalui kenyataan yang disiarkan pada tiga tarikh berasingan iaitu pada 9 dan 11 Mac melalui Facebook dan pada 12 Mac ketika ditemu bual oleh pihak media.

    Plaintif mendakwa kenyataan pertama yang dibuat oleh defendan di FB selepas dia dibebaskan daripada siasatan SPRM, sengaja dibuat dengan tujuan mencari ‘publisiti murahan’ sambil cuba mengalihkan perhatian orang ramai kepada pengerusi DAP itu dengan ‘dakwaan yang tidak wajar dan palsu’.

    Guan Eng mendakwa kenyataan ketiga dibuat kepada pihak akhbar selepas defendan memberi ucapan penggulungan pada majlis Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur.

    Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat kerana niat jahat dan antara lain membayangkan bahawa dia telah menyalahgunakan kuasanya pada masa itu dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu sedangkan organisasi sedemikian tidak dikenakan cukai.

    Pengerusi DAP itu bukan sahaja menafikan dakwaan itu malah mendakwa ia bermotifkan politik dengan niat jahat untuk memburukkan imejnya dengan menggambarkan dirinya sebagai seorang rasis dan anti-Islam.

    Plaintif berkata beliau bersedia mengemukakan bukti di mahkamah untuk menafikan dakwaan defendan, termasuk kenyataan media oleh Kementerian Kewangan pada 23 Mac yang menyatakan bahawa menteri kewangan dan pegawai kementerian ketika itu tidak membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

    Guan Eng berkata dakwaan itu terbukti tidak benar berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggahnya semasa sidang parlimen sebelum 21 Mac.

    Plaintif mendakwa defendan tidak melakukan sebarang usaha untuk mengesahkan dakwaan itu dengannnya sebelum kenyataan itu disiarkan.

    Lim berkata selepas surat tuntutan dikeluarkan, Muhyiddin melalui jawapan daripada peguam caranya bertarikh 21 Mac enggan bersetuju dengan tuntutan plaintif bagi permohonan maaf.

    Menerusi writ saman itu, Guan Eng memohon permohonan maaf Muhyiddin dan menarik bakik ketiga-tiga kenyataan yang didakwa berunsur fitnah melalui akaun FB dan Twitter defendan serta permohonan maaf yang disiarkan di semua akhbar di Malaysia dan beberapa portal berita dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

    Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan punitif; injunksi untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah selanjutnya; dan perintah supaya defendan mengeluarkan kenyataan itu dari akaun Facebook dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.

    Guan Eng juga menuntut faedah lima peratus ke atas jumlah yang dianugerahkan yang dikira dari tarikh memfailkan tuntutan mahkamah sehingga tarikh realisasi penuh, kos, dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam Muhyiddin untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

  • PN bawa usul minta penjelasan kesan lawatan Anwar ke Saudi

    PN bawa usul minta penjelasan kesan lawatan Anwar ke Saudi

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu.

    Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang menyatakan usul tersebut diterima pada pukul 9.50 pagi hari ini.

    Selain itu beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili blok pembangkang juga menghantar soalan berhubung hal ini untuk sesi soal jawab perdana menteri (PMQT) yang dijadualkan pagi esok.

    “Kami ikut semua saluran demokrasi untuk membawa kepentingan rakyat dalam hal ini iaitu membabitkan penambahan kuota jemaah haji sebanyak 10,000 orang. Kedua, penambahan barang dagangan minyak sawit berjumlah 500,000 tan bernilai RM1 bilion.

    “Semua perkara ini telah disepakati antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi hasil pertemuan rasmi antara Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri kelapan pada Mac 2021 dengan Putera Mahkota Mohamed Salman, kini perdana menteri Arab Saudi.

    “Kita tidak mahu kegagalan lawatan ini memberi kesan kepada kepentingan rakyat yang telah dicapai dahulu,” katanya dalam hantaran di media sosial, lapor Malaysiakini.

  • Peniaga ikan pekasam mengaku tidak salah buat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor

    Peniaga ikan pekasam mengaku tidak salah buat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor

    SEORANG peniaga ikan pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di laman sosial Twitter, pada tahun lepas.

    Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil ‘Fadzelli6’.

    Hantaran tersebut dibaca pada 25 Nov tahun lepas kira-kira 2 petang di Tingkat 19, Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

    Nor Fadzelli didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazil Sani Mohamed Fadzil yang mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan kepada Nor Fadzelli.

    Tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan dia sebagai anak sulung menanggung lima beradik dengan hanya membantu ibunya menjual ikan pekasam.

    Azrol membenarkan Nor Fadzelli diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

  • Wanita warga emas maut ketika melintas jalan ke masjid

    Wanita warga emas maut ketika melintas jalan ke masjid

    SEORANG warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas di jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan hadapan Masjid Rhu Muda, Kampung Seberang Marang, Marang, malam tadi.

    Mangsa, Esah Awang, 72, dari rumahnya dipercayai melintas jalan untuk menunaikan solat di Masjid Rhu Muda, Marang.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md Dris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu lebih kurang pada jam 8.50 malam.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari rumah yang terletak sebelah pantai melintas jalan untuk pergi solat di Masjid Rhu Muda yang terletak sebelah jalan.

    “Ketika melintas jalan, mangsa dilanggar oleh sebuah kereta yang dipercayai datang dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu.

    “Kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti dan belum tampil membuat laporan polis serta polis sedang mengesannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Zain berkata, akibat daripada perlanggaran terbabit, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987.

  • Edar minuman keras tanpa cukai, dua beradik didakwa sogok polis RM25,000

    Edar minuman keras tanpa cukai, dua beradik didakwa sogok polis RM25,000

    DUA beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberikan rasuah sebanyak RM25,000 kepada seorang penolong penguasa polis agar tidak diambil tindakan kerana mengedar minuman keras tanpa cukai sah pada Jun tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Ragubathi Anamaley, 42, dan Vijayakumar Anamaley, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, dua beradik itu didakwa secara bersama-sama dengan niat telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang sebanyak RM25,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia, iaitu penolong penguasa polis yang bertugas di Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

    Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk melepaskan mereka daripada dikenakan tindakan di bawah seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai yang sah.

    Perbuatan itu dilakukan di satu premis restoran dan bar di Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2022.

    Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras menawarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Mahendren Naidu memohon jaminan rendah dengan alasan jumlah jaminan yang ditawarkan keterlaluan dan membebankan selain dua beradik itu juga menganggung ibu bapa yang menghidap strok.

    Hakim Azura kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara selain syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen, lapor Utusan TV.

  • Pembantu tadika rugi RM167,525 diperdaya Macau Scam

    Pembantu tadika rugi RM167,525 diperdaya Macau Scam

    SEORANG pembantu tadika menanggung kerugian sebanyak RM167,525 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam dalam kejadian di Kuala Terengganu, pada Januari lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pada mulanya mangsa berusia 56 tahun menerima panggilan mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM68,000 kerana dimasukkan wad.

    “Selepas panggilan daripada pihak insurans itu, mangsa kemudian dihubungi oleh polis dari Selangor dan dimaklumkan terbabit dalam pengubahan wang haram serta rasuah.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada ketua polis balai yang bertanyakan maklumat peribadi sebelum menerima panggilan daripada pihak pendakwa raya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, mangsa diminta memindahkan semua wang ke dalam salah satu akaun miliknya dengan nombor talian akaun itu sudah ditukar manakala nombor pinnya juga diberikan pihak suspek sambil memaklumkan wang milik mangsa akan dijaga Bank Negara.

    “Suspek juga mengarahkan mangsa memadamkan setiap transaksi panggilan berkenaan dan mangsa memaklumkan memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaunnya seperti diarahkan,” katanya.

    Abdul Rahim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada anak saudaranya ketika mahu meminjam wang bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

    Katanya, pemeriksaan mendapati wang mangsa dipindahkan secara berperingkat ke akaun tidak dikenali dalam tempoh bermula 26 Januari hingga 9 Mac lalu membabitkan kerugian sebanyak RM167,525.

    “Mangsa membuat laporan polis pada 19 Mac lalu untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kereta masuk sungai, lelaki dikhuatiri lemas cuba selamat anak

    Kereta masuk sungai, lelaki dikhuatiri lemas cuba selamat anak

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anak berusia lima tahun yang terperangkap dalam kereta selepas terhumban ke dalam sungai di Kampung Imbahan, Putatan semalam.

    Insiden berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Lasibi Lawahidu, 40-an, terjun ke dalam sungai selepas Perodua Myvi yang dinaiki anaknya, Mushab Umair Lasibi, 5, tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.

    Ketua Polis Penampang, Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebelum kejadian mangsa sedang memancing di tebing manakala anaknya berada dalam kenderaan terbabit dalam keadaan enjin dihidupkan.

    “Kereta terbabit tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai, menyebabkan mangsa terus terjun untuk menyelamatkan anaknya.

    “Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.

    “Ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam,” katanya, menurut Harian Metro.

    Anak mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Rony Sikawan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.

    “Setakat 11 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya yang memaklumkan operasi akan bersambung hari ini.

  • Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

    Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

    SEORANG penagiha dadah memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli bahan terlarang itu untuk melampiaskan nafsu ketagihannya di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah semalam.

    Perbuatan berkenaan menyebabkan warga emas berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di kepala, dahi dan mata serta sakit pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di hadapan pintu rumah mereka.

    Beliau berkata, ibu dan anaknya yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal berdua di rumah tersebut.

    “Semasa kejadian suspek telah bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala mangsa.

    “Kejadian tersebut telah dirakam oleh cucu wanita terbabit yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada keengganan warga emas berkenaan memberikan wang kepada suspek sehingga dia sanggup bertindak luar kawalan.

    Ujarnya, sebelum ini juga suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering mengamuk meminta wang dengan mangsa.

    Mohd. Haki memberitahu, lelaki berkenaan yang merupakan bekas anggota tentera dan telah dibuang kerja pada tahun 2013 serta merupakan anak keempat daripada lima beradik.

    “Ekoran daripada kejadian itu mangsa telah alami kecederaan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

    “Suspek telah berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati dia telah mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

    “Hasil ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.