Category: Semasa

  • Ketua Pembangkang DUN Melaka hormat keputusan Sulaiman letak jawatan

    Ketua Pembangkang DUN Melaka hormat keputusan Sulaiman letak jawatan

    KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sulaiman atas jasa dicurahkannya sepanjang memegang jawatan itu.

    “Kami mengambil pendirian tidak mencampuri urusan kemelut politik yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) Melaka.

    “Saya dan ADUN PN yang lain akan kekal komited sebagai pembangkang yang berwibawa.

    “Kami akan terus memperjuangkan suara rakyat dan menjadi check and balance (semak dan imbang) yang baik kepada Kerajaan Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.

    Mohd Yadzil turut berharap agar Ketua Menteri baharu akan terus membawa agenda rakyat yang masih tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi serta mampu menyelesaikannya di samping membawa kemajuan kepada negeri Melaka.

    Spekulasi pertukaran Ketua Menteri Melaka mula dilaporkan media sejak semalam susulan tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp mengenai istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu akan berlangsung esok.

    Antara nama yang disebut-sebut menggantikan Sulaiman ialah ADUN Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

  • Sah! Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu esok

    Sah! Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu esok

    PEJABAT Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan esok.

    Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

    “Berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara ,7 Perlembagaan Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

    “Yang di-Pertua Negeri Melaka telah pun menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, istiadat itu akan diadakan di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri pada pukul 3 petang esok.

    Sulaiman, sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri.

    Melaka kemudian terpaksa pula mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 erusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Difahamkan jawatan itu akan digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

  • Penjara sesak, banduan lebih kapasiti

    Penjara sesak, banduan lebih kapasiti

    KEADAÀN di seluruh institusi penjara semakin sesak apabila terdapat seramai 78,236 orang banduan yang ditahan ketika ini sekali gus melebihi kapasiti sebenar.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kapasiti yang sepatutnya adalah 65,762 orang sahaja dan itu menunjukkan lebihan seramai 6,675 atau 10.15 peratus banduan di fasiliti berkenaan.

    “Jumlah tersebut meliputi 39 fasiliti penjara dan tiga fasiliti melibatkan Sekolah Henry Gurney,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta kerajaan memperincikan jumlah banduan dan perincian fasiliti penjara serta apakah nisbah warden penjara kepada bilangan banduan.

    Saifuddin turut memaklumkan, perbandingan pegawai penjara atau warden dengan banduan di setiap penjara adalah pada nisbah satu pegawai kepada tiga hingga lima banduan.

    “Jumlah itu berubah berasaskan kepada kategori keselamatan penjara, kategori banduan serta keperluan dalam bentuk melaksanakan pelbagai program latihan dan pemulihan banduan.

    “Dari semasa ke semasa, Jabatan Penjara menjalankan kajian mengenai kesesuaian nisbah pegawai penjara dengan banduan bagi memastikan keperluan dan penempatan pegawai adalah selaras dengan tahap keselamatan penjara, kategori banduan sesebuah penjara dan keperluan pemulihan,” katanya, lapor FMT.

  • ‘Bukan saya yang sebar video itu, rakaman untuk lindung diri’ – Isteri Musa Hassan

    ‘Bukan saya yang sebar video itu, rakaman untuk lindung diri’ – Isteri Musa Hassan

    ISTERI bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengecam tindakan individu yang menularkan rakaman video memaparkan pergaduhan mereka baru-baru ini.

    Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, pergaduhan itu berlaku berikutan tidak bersetuju dengan permintaan Musa yang mahu sebahagian harta walaupun aset terbabit dibelinya sebelum berkahwin.

    “Video tular itu dirakam bagi melindungi diri saya selain digunakan sebagai bukti di mahkamah jika perlu.

    “Bukan saya sebar, saya pun terkejut. Apa yang pasti, rakaman itu saya hanya serahkan kepada polis semasa siasatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    “Saya sama sekali tidak berniat menjadikan rakaman itu tular apatah lagi menjatuhkan reputasi mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

    Elly Afizahwati menyatakan perasaan kesal apabila video tular itu turut mendedahkan wajah anak yang baru berusia lapan tahun.

    Mengulas berkenaan perkongsian suaminya berkenan ciri-ciri isteri derhaka, ibu kepada seorang anak itu berkata, Musa sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik terlebih dulu.

    “Dia sebagai lelaki sepatutnya menunjukkan sifat dan tauladan baik kepada anak dan isteri…dia kena betulkan diri dia dulu.

    “Sebelum ini saya ambil pendirian berdiam diri dan tidak membuat komen balas terhadap insiden berkenaan dan kenyataan media Tan Sri (Musa) kerana ada rundingan penyelesaian antara peguam syarie,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan kanak-kanak dalam rakaman itu.

    Susulan itu, Musa dalam satu ciapan di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya susulan penularan video berkenaan.

    Polis mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya selepas rakaman video pertelingkahan itu tular.

    Susulan itu Musa dilapor berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baru sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun malah sudah enam bulan tidak tinggal sebumbung.

    Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak.

  • Sulaiman enggan mengulas punca meletak jawatan sebagai Ketua Menteri

    Sulaiman enggan mengulas punca meletak jawatan sebagai Ketua Menteri

    DATUK Seri Sulaiman Md. Ali enggan menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media apabila ditanya punca beliau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Beliau sebaliknya hanya menunjukkan isyarat tangan meminta maaf apabila diminta mengulas soal peletakan jawatannya.

    Sulaiman yang dilihat masih memasuki di Kompleks Seri Negeri, di Ayer Keroh, pagi tadi meninggalkan pejabatnya pada pukul 11.03 pagi ini dengan menaiki kenderaan jenis Mercedes Benz, lapor Astro Awani.

    Beliau juga mengunci mulut meskipun kira-kita 20 petugas media cuba mendapatkan reaksinya ketika keluar dari kompleks berkenaan.

    Difahamkan, Sulaiman hadir ke pejabatnya hari ini untuk berjumpa kakitangan dan bukan meneruskan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Menurut sumber, setakat tengah hari ini juga tiada sebarang pertemuan antara beliau dan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam meskipun Tun Mohd. Ali pada sebelah pagi tadi turut dilihat memasuki Kompleks Seri Negeri.

    Sehingga kini, Sulaiman mahupun Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi memperjelaskan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu ketika ini.

  • Pesawah mengaku tidak bersalah dera anak tiri

    Pesawah mengaku tidak bersalah dera anak tiri

    SEORANG pesawah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas tuduhan mendera anak tiri di sebuah rumah di Jejawi, Arau pada awal bulan ini.

    Tertuduh, Muhammad Sofi Ramli, 31, mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

    Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Sofi didapati menganiaya kanak-kanak berusia enam tahun dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada mangsa.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Alor Lanchang, Jejawi Dalam, Arau antara 8 hingga 14 Mac lalu, lapor Harian Metro.

    Justeru tertuduh melakukan perbuatan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

    Jun Keong dalam permohonannya meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan dilarang sama sekali mendekati mangsa dalam tempoh jaminan itu.

    Syed Muhammad Anwar bagaimanapun menganggap jaminan RM20,000 adalah terlalu tinggi buat anak guamnya dan merayu pertimbangan mahkamah agar dapat memberikan hukuman yang minimum.

    Ini disebabkan anak guamnya hanya mengusahakan bendang padi dengan pendapatan yang tidak menentu selain menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak kecil masih bersekolah.

    Selain itu, Syed Muhammad Anwar berjanji anak guamnya itu juga akan sentiasa melapor diri ke balai polis berdekatan dan tidak akan mendekati mangsa ketika berada dalam tempoh jaminan mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat selain tidak dibenarkan mendekati mangsa selama tempoh jaminan.

    Mangsa kini sudah ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

    Mahkamah menetapkan 3 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Isteri Musa Hassan fail permohonan cerai kerana shiqaq

    Isteri Musa Hassan fail permohonan cerai kerana shiqaq

    ISTERI bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shaj Alam hari ini.

    Isterinya, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

    Beliau hadir bersama peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud mengemukakan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

    “Tan Sri pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

    Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, isteri kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika hadir menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mahkamah menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes, lapor Harian Metro.

    Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

    Terdahulu, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak dalam rakaman itu.

    Susulan itu, Musa dalam satu ciapan di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya susulan penularan vide berkenaan.

    Polis mengesahkan, membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya selepas rakaman video pertelingkahan itu tular.

  • Sulaiman, TYT masuk pejabat di Seri Negeri seperti biasa

    Sulaiman, TYT masuk pejabat di Seri Negeri seperti biasa

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dilihat masih memasuki pejabatnya seperti biasa di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh hari ini dalam keadaan pertukaran jawatan Ketua Menteri sedang hangat diperkatakan.

    Beliau memasuki kompleks berkenaan pada pukul 8.59 pagi tadi meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Difahamkan beliau hadir ke pejabatnya hari ini untuk berjumpa kakitangan dan bukan meneruskan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka.

    “Masuk untuk kali terakhir sahaja, tidak ada buat kerja apa-apa pun (hanya) berjumpa kakitangan,” kata sumber terdekat di Pejabat Ketua Menteri kepada Astro Awani.

    Angin politik Melaka kembali bertiup kencang apabila negeri itu dijangka bakal menerima ketua menteri baharu Jumaat ini selepas Sulaiman dikatakan melepaskan jawatan itu.

    Difahamkan jawatan itu akan digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
    Menurut sumber terdekat Pejabat Ketua Menteri, Istiadat Angkat Sumpah berkenaan akan di adakan pada pukul 3 petang esok di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

    Sehingga kini, Sulaiman mahupunSetiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi memperjelaskan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu ketika ini, lapor Astro Awani.

    Sulaiman sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri.

    Melaka kemudian terpaksa pula mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 erusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Bagaimanapun, selepas PRN Melaka November 2021 lalu, situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan.

    Ia selepas ada pihak Ab. Rauf yang juga berhasrat untuk mengambil alih jawatan berkenaan meskipun beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri itu sudah beberapa kali menafikannya.

    Tinjauan Astro Awani di pekarangan Kompleks Seri Negeri sejak 7.30 pagi tadi juga mendapati selain petugas media, pasukan polis turut berada di lokasi bagi mengikuti rapat gelora politik yang sedang melanda ketika ini.

    Tun Mohd. Ali juga dilihat memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri pada pukul 9.53 pagi, bagaimanapun belum dapat dipastikan adakah bakal berlaku pertemuan bersama Ahmad Zahid seperti yang disebut-sebut semalam.

  • SPRM nafi buat pendakwaan terpilih siasatan Kertas Pandora

    SPRM nafi buat pendakwaan terpilih siasatan Kertas Pandora

    KETUA Pesuruhjayanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan pihaknya membuat pendakwaan terpilih terhadap siasatan Kertas Pandora.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan ahli ekonomi politik, Edmund Terence Gomez bahawa pemimpin dari blok kerajaan tidak dipanggil oleh SPRM, walaupun dinamakan dalam dokumen yang bocor itu.

    “Bagi Kertas Pandora, SPRM memberi tumpuan kepada Orang Terdedah Politik yang mempunyai kuasa dan kedudukan semasa didakwa melakukan salah laku, dan disyaki telah menyalahgunakan kuasa mereka.

    “SPRM bebas untuk menyiasat selagi ada sebab untuk mempercayai bahawa mereka mempunyai kedudukan dan kuasa serta disyaki berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa. Tidak kira siapa.

    “SPRM tidak mengamalkan pendakwaan terpilih kerana kami bebas menyiasat tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak lain,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini.

    Azam menambah, suruhanjaya itu tidak dapat membuka penyiasatan mengikut kehendak mereka, kerana ia mesti berdasarkan fakta dan bukti mengikut prosedur operasi standard dan undang-undang yang diperuntukkan.

    Edmund Terence Gomez
    Pada 25 Mac, Gomez mempersoalkan mengapa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Ahli Parlimen Selayang, William Leong tidak disiasat oleh SPRM berhubung Kertas Pandora.

    Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mendakwa hanya bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang dipanggil SPRM.

    Kemas kini terakhir berhubung siasatan SPRM terhadap Kertas Pandora adalah pada Februari, di mana dilaporkan bahawa kenyataan bekas menteri direkodkan mengenai kekayaan luar pesisirnya.

    Individu itu tidak dinamakan, seperti amalan biasa apabila melibatkan orang yang masih belum didakwa di mahkamah.

    Bagaimanapun, bekas menteri itu disifatkan sebagai pegawai kanan dalam pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dilaporkan diminta, antara lain, menjelaskan aliran wang dan pelaburan ke dalam 12 syarikat luar pesisir yang berdaftar di bawahnya dan ahli keluarganya di luar negara.

    Portal berita, memetik sumber, melaporkan bahawa anak bekas perdana menteri juga telah dipanggil untuk disoal siasat, dengan lebih ramai dijangka dipanggil untuk disoal siasat.

    Pertanyaan oleh Malaysiakini berhubung bilangan orang yang disiasat tidak dijawab.

    Bagaimanapun, Azam berkata, siasatan SPRM masih berjalan dan agensi lain turut menyiasat perkara itu.

    “Seandainya nama ahli perniagaan ada dalam Kertas Pandora, dia mungkin tidak mempunyai kuasa dan kedudukan untuk menyalahgunakan kuasanya…jadi ia mungkin bukan sesuatu di bawah bidang kuasa SPRM. Agensi lain seperti (Lembaga Hasil Dalam Negeri) boleh menyiasatnya untuk pengelakan cukai.

    “Dalam perkara ini (Kertas Pandora), SPRM bukan satu-satunya agensi yang menyiasat, polis, LHDN dan NFCC (Pusat Jenayah Kewangan Nasional) juga sedang menyiasat,” katanya.

    Kertas Pandora ialah kebocoran dokumen kewangan dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus ‘shell company’ dan amanah di kawasan bebas cukai di seluruh dunia.

    Dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk Malaysiakini.

    Zahid, Zafrul, Daim, antara lain dinamakan dalam kebocoran itu. Mereka masing-masing berkata pada 2021 bahawa akaun mereka digunakan untuk tujuan yang sah.

    Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi dalam beberapa keadaan, amalan itu telah dikaitkan dengan pengelakan cukai. Dalam kes lain, ia adalah percubaan untuk mengekalkan kerahsiaan atas pelbagai sebab.

  • KWSP Bersasar: Rakyat mesti terus bersuara

    KWSP Bersasar: Rakyat mesti terus bersuara

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat mesti terus bersuara memperjuangkan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

    Katanya, jika rakyat boleh menang dalam memperjuangkan isu Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), tidak mustahil kejayaan juga boleh dicapai dalam isu KWSP.

    “Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

    “Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

    Berikut kenyataan penuh Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu.

    KALAU KITA BOLEH MENANG DALAM ISU SSPN, KITA JUGA BOLEH MENANG #KWSPBERSASAR

    Setelah diasak oleh rakyat melalui Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Anwar Ibrahim mengaku kalah dan mengekalkan pelepasan cukai bagi para penabung SSPN.

    Semasa saya berusaha menaikkan kadar pelepasan ini ke RM8,000, matlamat saya ialah memastikan kita dapat mengubah budaya rakyat daripada berhutang kepada menabung. Kerajaan PH-UMNO seharusnya menyokong matlamat ini agar anak muda tidak terus terbeban dengan hutang.

    Malangnya kerajaan PH-UMNO mempunyai niat menghapuskan insentif kepada rakyat. Sikap anti-rakyat PH-UMNO hanya berubah setelah rakyat bersuara tidak menyebelahi mereka.

    Sudah pasti mereka akan berlakon seolah-olah mereka mendengar suara rakyat. Tapi kita jangan lupa. Niat asal mereka adalah untuk menghapuskan insentif yang bagi manfaat kepada rakyat. Niat buruk ini tidak hilang dengan mudah.

    Kalau saya dan beberapa Ahli Parlimen tidak bercakap dalam isu #SSPN, entah-entah mereka akan bulldoze dan teruskan begitu saja.

    Langkah seterusnya ialah untuk mengusahakan agar rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP secara bersasar.

    KWSP adalah wang pencarum. Bukan wang kerajaan. Kerajaan PH-UMNO ini nampaknya hidup di alam kayangan dan berterusan menafikan kesusahan dan rintihan rakyat. Sehingga wang rakyat pun mereka anggap seperti milik peribadi mereka.

    Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

    Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!