Category: Semasa

  • Ceroboh Masjid Al-Aqsa: Kecaman barat, PBB hanya berpura-pura-Hadi

    Ceroboh Masjid Al-Aqsa: Kecaman barat, PBB hanya berpura-pura-Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kecaman negara barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Israel berhubung pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa hanya sekadar berpura-pura.

    “Kedua-dua pihak ini hakikatnya lebih berpihak kepada rejim tersebut semenjak dahulu lagi.

    “Sejarah PBB sendiri adalah terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel dengan tujuan yang dirancang serta mempersenjatainya. Maka, sebarang resolusi yang bertindak terhadap negara Zionis oleh mereka akan dihapuskan dengan kuasa veto yang berada pada pihaknya.

    “Tindakan itu membuat PBB dan undang-undang antarabangsa mudah ditembusi, sehingga memudahkan Zionis melakukan tindakan zalim dan memiliki senjata pemusnah yang diharamkan oleh masyarakat dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

    Katanya, kewujudan pangkalan tentera barat di Timur Tengah juga hanya bertujuan memberi sekuriti terhadap Israel dan bukannya menjadi faedah kepada masyarakat Aarab di sana.

    Beliau berkata, mana-mana pihak yang berupaya menentang rejim Zionis itu akan dimusnahkan dengan alasan keamanan seperti serangan terhadap Libya, Iraq dan kini ancaman tersebut sedang ditujukan terhadap Iran.

    “Iran kini sedang digeruni kerana menjadi saingan ketenteraan besar buat Israel.

    “Pencapaian mereka dalam kemajuan teknologi tinggi yang boleh mencabar kekuatan Israel dan negara besar yang berada di bawah ketiak Israel yang berpangkalan di rantau Asia Barat.

    “Bantuan Iran juga boleh memperkasakan pejuang Palestin khususnya kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad, di samping kewujudan Hizbullah di Lubnan. Perkara yang tidak mampu dilaksanakan oleh negara Arab yang berjiran serta negara Islam yang bersaudara,” jelasnya.

    Bagaimanapun Abdul Hadi menyatakan perkara itu tidak menafikan hakikat umat Islam kini sedang berpecah belah sehingga menyebabkan mudah dicaturi oleh pihak musuh.

    “Negara-negara Islam masih dimanipulasi oleh negara besar yang dipengaruhi Zionis sehingga ada sebahagian daripada mereka yang diperhambakan laksana lembu susu yang diperah oleh gembalanya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bayaran BKKA pesawah, pekebun getah, nelayan, sukarelawan juga pada 14 April

    Bayaran BKKA pesawah, pekebun getah, nelayan, sukarelawan juga pada 14 April

    GOLONGAN pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform turut menerima bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang diawalkan pada 14 April selain penjawat awam.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    “Ini akan manfaat hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, BKKA kepada kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah juga diawalkan pada 14 April.
    Mengulas lanjut tambah Anwar, selain BKKA sebanyak RM1.26 bilion diperuntukan menerusi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) yang telah diawalkan mulai 5 April lalu.

    Ia melibatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.
    “Saya turut serta turun padang hari ini bagi melihat proses penunaian STR2 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Meru Raya.

    “Alhamdulillah, proses dimudahkan dengan pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima, manakala penerima yang tiada akaun boleh membuat penunaian di semua cawangan BSN,” katanya lagi menurut laporan Astro AWANI.

    BKAA, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri, tarikh bayaran, pesawah,

  • Isu Laut China Selatan: Kesediaan Anwar berunding tindakan lemah

    Isu Laut China Selatan: Kesediaan Anwar berunding tindakan lemah

    KESEDIAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan China berhubung kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) disifatkan sebagai tindakan yang takut dan lemah kepada kuasa besar itu.

    Setiausaha Agung Berjasa, Mohd. Hamdan Mohd. Shariff berkata, keterbukaan Anwar dalam membincangkan perkara berkenaan dengan China seperti membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara.

    “Tindakan berkenaan menunjukkan Perdana Menteri terlalu takut dan lemah apabila berhadapan dengan isu pencerobohan China di Laut China Selatan.

    “Memberi ruang dan rundingan di atas sempadan EEZ negara daripada seorang Perdana Menteri Malaysia amatlah memalukan sekali gus membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara,” katanya lapor portal Ismaweb.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kesediaan Anwar untuk berunding dengan China berhubung isu pertembungan di kawasan yang bertindih sedangkan kawasan yang dimaksudkan itu adalah kawasan EEZ milik Malaysia secara sepenuhnya.

    Mengkritik ketersediaan berunding itu, Mohd. Hamdan berkata, sebagai pemimpin beliau perlu mengetahui perkara asas mengenai kedudukan sempadan negara yang wajib dipertahankan dengan segala sumber kekuatan.

    Namun, katanya, amat menyedihkan apabila kenyataan Perdana Menteri adalah sebaliknya kerana mencerminkan kelemahan gaya pentadbiran yang begitu ketara.

    “Kita perlu jelas bahawa Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 menyatakan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12 batu nautika laut wilayah diukur dari garis dasar, biasanya dari paras air surut di pantai.

    “Negara pesisir mempunyai kedaulatan di wilayah laut, yang juga meliputi kedaulatan ke atas dasar laut, air laut serta ruang udara di atasnya”, tegas beliau.

    Atas dasar itu, Mohd. Hamdan menggesa kerajaan pimpinan Anwar supaya lebih tegas mempertahankan kedaulatan negara, menjaga sempadan negara dari sebarang pencerobohan yang biadap terutamanya daripada China.

  • Padah main mercun ubah suai, tangan lelaki ‘hancur’

    Padah main mercun ubah suai, tangan lelaki ‘hancur’

    TINDAKAN seorang lelaki disyaki bermain mercun yang diubah suai membawa padah apabila cedera parah di kedua-dua belah tangan dan luka di badan dalam kejadian di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

    Kejadian membabitkan lelaki berusia 27 tahun itu berlaku berdekatan rumah mereka kira-kira pukul 3.30 pagi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail, insiden itu disedari abang mangsa berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi letupan yang kuat.

    Katanya, abang mangsa pada awalnya menyangka berlaku pergaduhan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

    “Bagaimanapun, sebaik bergegas keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan disyaki akibat letupan mercun yang diubah suai,” katanyamenurut laporan Harian Metro hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Zaki berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    “Ini adalah kejadian kedua yang direkodkan di daerah ini akibat mercun selepas empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lalu,” katanya.

  • Bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri diawalkan 14 April

    Bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri diawalkan 14 April

    TARIKH pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan daripada 17 April kepada 14 April ini setelah dipersetujui kerajaan.

    Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed, perubahan tarikh itu dibuat setelah mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan bagi menyambut perayaan tidak lama lagi.

    “Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi, kerajaan telah bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan daripada 17 April 2023 kepada 14 April 2023.

    “Tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi surat rasmi hari ini lapor Sinar Harian.

    Ketika membentangkan Belanjawan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pemberian BKKA adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.

    BKKA adalah bantuan hari raya bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

    Pada 24 Mac, Zulkapli berkata, bahawa penjawat awam dan pesara kerajaan yang layak bakal menerima BKKA 2023 pada 17 April ini. — Sinar Harian

  • ‘Sambutan Raya saya akan lebih tenang’ – Puteri Sarah

    ‘Sambutan Raya saya akan lebih tenang’ – Puteri Sarah

    PELAKON Puteri Sarah Liyana menyatakan rasa syukur urusan perceraiannya dengan pengarah, Syamsul Yusof akhirnya dipermudahkan.

    Puteri Sarah berkata, tidak mahu bermusuhan dan lega segalanya selesai dengan dengan baik.

    “Sambutan raya saya akan lebih gembira dan tenang. Yang penting saya tak mahu bermusuh dan berdendam. Itu sahaja.

    “Sebelum ini banyak benda tak terjawab. Sekarang ini sudah terjawab. Saya hanya mahu ketenangan. Alhamdullillah saya sudah dapat,” katanya ketika ditemui selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

    Tambah Sarah lagi, beliau tidak mempunyai masalah untuk membenarkan anak-anak bertemu Syamsul sekiranya Pengarah filem Mat Kilau itu memberi kerjasama.

    “Anak-anak juga tiada masalah beraya dengan dia, kalau Syamsul beri kerjasama, saya pun akan beri kerjasama. Tiada apa nak bermusuhan dan bergaduh. Semua sudah selesai, demi kebaikan anak-anak.

    “Saya okay sahaja, saya tak nak lebih-lebih pun. Yang penting dia pun dapat jumpa anak,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Tambah Puteri Sarah, perbincangan malam semalam juga berlaku pada saat akhir. Bagaimanapun, pelakon itu tidak mahu memperincikan siapa yang hadir pada perbincangan tersebut.

    Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah, Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon, Puteri Sarah Liyana.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof bersama Puteri Sarah ketika hadir bagi sebutan permohonan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

    Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

    Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

    Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd. Rais mewakili Syamsul atau Mohd. Syamsul Mohd. Yusof.

    Sebelum ini, sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

    Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

    Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, senggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua.

    Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya ‘pegawai JKM’

    Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya ‘pegawai JKM’

    MENYAMAR sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum memperdayakan warga emas di sekitar daerah Jeli dengan menawarkan bantuan bulanan serta rumah baharu.

    Suspek yang merupakan seorang wanita menaiki sebuah Perodua Axia berwarna hijau bersama seorang lelaki menyasarkan golongan warga emas.

    Itu modus operandi seorang wanita berusia 40-an tersebut dalam mencari dan menipu mangsanya.

    Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zali, 51, berkata, pada Ahad, ibu dan ayah mentuanya yang tinggal di Kampung Lawar di Jeli telah didatangi ‘pegawai JKM’ yang kononnya ingin melakukan bancian.

    “Wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai pegawai dari JKM Tanah Merah dan menawarkan bantuan bulanan berjumlah RM500 serta sebuah rumah baharu.

    “Dia juga meminta ibu dan ayah mentua membayar deposit RM2,500 bagi melancarkan proses bantuan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, kerana terperdaya dengan kata-kata tersebut pasangan warga emas berusia 73 dan 82 tahun itu telah menyerahkan barang kemas sebagai gantian kepada wang tunai.

    Ujarnya, ibu mentua telah memberikan seutas gelang tangan, rantai leher dan sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM6,3000.

    Zali memberitahu, wanita tersebut berjanji akan kembali semula pada Rabu ini untuk membawa kedua mentua melihat rumah baharu yang akan diberikan kepada mereka.

    “Tersedar seperti ditipu, kami sekeluarga telah membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang untuk tindakan selanjutnya.

    “Selepas kejadian ini tersebar kami juga dimaklumkan terdapat beberapa warga emas di sekitar jajahan Jeli yang telah ditipu menggunakan modus operandi sama. Ada yang mengalami kerugian sehingga RM10,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

  • Isu perkauman: Kerajaan didakwa terdesak kaitkan pemimpin PN

    Isu perkauman: Kerajaan didakwa terdesak kaitkan pemimpin PN

    KERAJAAN didakwa ketandusan isu sehingga mengaitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan kenyataan berunsur perkauman.

    Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd. Harun Esa berkata, isu tersebut telah reda dan kembali dibangkitkan supaya rakyat memandang serong terhadap parti berkenaan.

    Beliau menyifatkan itu sebagai tindakan politik terdesak pihak kerajaan yang ketandusan isu untuk mengaitkan pembangkang dengan kesalahan.

    “Isu ini sudah lama dan sudah reda namun seperti mereka ini (kerajaan) masih dengan mentaliti ‘pembangkang’ kerana menghangatkan sesuatu isu supaya rakyat pandang serong kepada PN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau mengulas isu dua pemimpin PN iaitu Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ahli Parlimen Permatang Pauh yang Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan disiasat berhubung kenyataan berunsur perkauman.

    Jelas Mohd. Harun, Abdul Hadi yang didakwa berunsur perkauman itu mempunyai asas.

    “Tidak ada salah apa yang Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi) sebut itu malah ia juga telah diakui oleh kajian dari universiti tempatan bahawa 88 peratus daripada pemberi rasuah adalah dalam kalangan bukan Melayu.

    “Sepatutnya pihak berkuasa memandang positif dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk membasmi perkara ini,” ujarnya.

    Beliau berkata, kerajaan juga perlu menukar kaedah membasmi rasuah dengan memerangi golongan pemberi rasuah bukan sekadar penerima rasuah.

    “Gejala rasuah ini berbentuk dua hala. Apabila ada ‘demand’, pasti ada ‘supply’ nya. Jadi untuk menghapuskannya perlu juga diperangi pemberinya dahulu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat PN.

    Katanya, Abdul Hadi disiasat kerana mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia manakala Muhammad Fawwaz pula didakwa memfitnah orang bukan Islam.

  • Pengamal perubatan tradisional didakwa perdaya warga emas RM460,000

    Pengamal perubatan tradisional didakwa perdaya warga emas RM460,000

    SEORANG pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang warga emas dengan memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran lebih RM460,000.

    P Wicknesvaran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Wicknesvaran didakwa memperdayakan G Kanniason, 60, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM467,935 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Yap Kwan Seng, Menara Ampang di Kuala Lumpur pada 21 Julai hingga 29 Disember 2022, mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan kes.

  • Bekas presiden MHS tarik balik saman libel terhadap Ramasamy

    Bekas presiden MHS tarik balik saman libel terhadap Ramasamy

    BEKAS Presiden Malaysian Hindu Sangam (MHS), R.S. Mohan Shan menarik balik saman libel yang difailkannya terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy kerana memperlekehkannya sebagai ketua agama berhubung prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa perayaan Thaipusam tahun lepas.

    Peguam Mohan, Rajesh Nagarajan, memaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman Ros Mawar Rozain bahawa anak guamnya tidak berhasrat meneruskan kes selepas menilai semula perkara itu.

    Peguam utama Ramasamy, Shamsher Singh Thind turut mengesahkan perkara yang dimaklumkan kepadanya awal pagi tadi.

    Ros Mawar kemudiannya membatalkan saman itu tanpa mengeluarkan arahan mengenai kos. Mohan juga tidak dibenarkan memfailkan saman baharu mengenai perkara sama.

    Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama lima hari mulai hari ini, lapor FMT.

    MHS dan Mohan memfailkan saman pada 8 Mac tahun lepas, tetapi pertubuhan keagamaan itu menarik balik tindakannya bulan lepas atas terma yang sama seperti hari ini.

    Pemegang jawatan baharu juga telah mengambil alih pengurusan MHS berikutan mesyuarat agung tahunannya bulan lepas.

    Saman itu berpunca daripada catatan Facebook Ramasamy yang dibuat pada Januari tahun lepas, sebagai respons terhadap amaran Mohan tentang bahaya ‘kluster Thaipusam’, terutamanya dengan kemunculan varian Covid-19 baharu, Omicron.