Category: Semasa

  • Syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah jual telur lebih harga maksimum

    Syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah jual telur lebih harga maksimum

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH syarikat peruncitan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas atas pertuduhan, menjual telur melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan di Bandar Dato Onn, pada 2 Januari lalu.

    Pengarah syarikat berkenaan iaitu seorang wanita berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut kertas pertuduhan, rangkaian kedai runcit milik syarikat terbabit menjual barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred B dengan harga 70 sen sebiji.

    Nilai itu melebihi harga maksimum runcit yang ditentukan dalam Jadual Ketiga (Perenggan 4) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) iaitu 43 sen sebiji.

    Kesalahan dilakukan di premis Kumpulan Usaha Keluarga Jaya Sdn. Bhd. di 44, Jalan Perjiranan 2, Bandar Dato Onn, Johor Bahru pukul 11.30 pagi, 2 Januari lalu mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18 (a) akta sama.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, manakala syarikat berkenaan diwakili peguam Farah Wahidah Mohd. Sharip.

    Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen.

  • Rosmah ikrar lawan saman syarikat pemborong barang kemas

    Rosmah ikrar lawan saman syarikat pemborong barang kemas

    DATIN Seri Rosmah Mansor berikrar untuk membela diri terhadap saman yang difailkan oleh syarikat pemborong barang kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL berhubung 43 barang kemas yang hilang.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu nekad berbuat demikian melalui firma guaman Reza Rahim & Rajivan.

    Menurut firma guaman berkenaan: “Anak guam kami akan menentang dan mempertahankan saman yang difailkan terhadapnya dengan bersungguh-sungguh.”

    Firma itu menambah Rosmah masih belum diserahkan writ dan pernyataan tuntutan berhubung perkara ini.

    Pada ketika ini, firma itu berkata anak guamnya juga menyatakan bahawa saman yang sama sebelum ini difailkan oleh syarikat yang sama dan ditarik balik dalam perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Sambil memberi amaran kepada semua pihak agar tidak membuat kenyataan spekulatif mengenai perkara itu, firma itu menyatakan bahawa ia boleh dianggap sebagai sub-judis prosiding undang-undang atau memfitnah Rosmah.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa syarikat yang berpangkalan di Beirut itu telah memfailkan semula saman itu dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan David Gurupatham dan Koay.

    Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3. 8 juta) kepada defendan, diserahkan sendiri melalui dua ejennya.

    Syarikat itu berkata, Rosmah telah mengakui penerimaan barang tersebut.

    Syarikat itu juga mendakwa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, turut mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas berkenaan tetapi menyatakan kesemua barangan itu tidak lagi berada dalam simpanannya kerana dirampas dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.

    Sebelum ini, Global Royalty menyatakan bahawa wakilnya, yang memeriksa barang rampasan dari 25 Oktober hingga 3 November 2021, hanya menemui satu gelang berlian daripada 44 barang milik firma itu.

    Dalam pernyataan tuntutan terbarunya, Global Royalty menuduh Rosmah berbohong bahawa 43 barang berharga itu adalah di bawah jagaan pihak polis.

    Ini adalah antara barang yang dirampas pada Mei 2018 daripada kediaman yang dikaitkan dengan Najib semasa siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

  • Polis tahan lima lelaki pukul,campak wanita bawah jambatan

    Polis tahan lima lelaki pukul,campak wanita bawah jambatan

    POLIS menahan lima lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat memukul dan mencederakan seorang wanita serta mencampakkan mangsa ke bawah Jambatan Kampung Sawah, Banting, kira-kira 30 kilometer dari Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada Khamis lepas, 3.25 pagi, mengatakan telah terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan itu. 

    Katanya wanita tempatan berumur 52 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan itu diselamatkan oleh orang awam yang kemudian menghantar mangsa ke Hospital Banting, selepas sekitar sejam kejadian berkenaan. 

    “Hasil temu bual awal, kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata mangsa telah dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian dicampakkan di jambatan tersebut.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat telah berjaya membuat tangkapan terhadap lima orang lelaki warga tempatan pada petang hari yang sama di sekitar Banting dan merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan,” katanya.

    Katanya kesemua suspek berumur antara lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

    “Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

  • Lelaki cabul bekas jiran dipenjara lima hari, denda RM2,000

    Lelaki cabul bekas jiran dipenjara lima hari, denda RM2,000

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Kulai hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan bekas jirannya pada Khamis lalu.

    Tertuduh, Kharoul Kasim, 38, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Belimbing, Senai pukul 1.45 pagi, pada 13 April lalu, lapor Sinar Harian.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman penjara lima hari dari tarikh tangkapan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda kepada tertuduh.

    Mengikut fakta kes, lelaki berkenaan mengambil mangsa dan anak lelaki mangsa berusia setahun tujuh bulan ke rumah tumpangan untuk berbincang berkaitan urusan mencari rumah sewa.

    Ketika dalam bilik berkenaan, tertuduh menolak mangsa ke katil, memeluk dan menutup mulut mangsa.

    Ketika kejadian mangsa sempat menghantar lokasi kepada teman lelakinya.

  • Pemandu buat pusingan U sebabkan nahas dua remaja maut, didenda RM7,000

    Pemandu buat pusingan U sebabkan nahas dua remaja maut, didenda RM7,000

    MAHKAMAH Majistret Slim River, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap pemandu lori tangki yang membuat pusingan U sehingga menyebabkan dua remaja perempuan maut dalam nahas di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Mac lalu.

    Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh P. Yuaraj, 30, mengaku bersalah.

    Astro Awani melaporkan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan itu didakwa memandu lori tangki jenis Volvo, tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu dengan cara telah membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan membuat pusingan U.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 121 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, arah utara, di dalam daerah Muallim, pukul 10.58 malam, 29 Mac lepas.

    Dia didakwa dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt.

    Tertuduh membayar denda tersebut.

    Pada 30 Mac lalu, media melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara dekat Slim River, sehari sebelumnya.

    Dalam kejadian berhampiran dengan Kampung Kelawar itu mangsa maut dikenali sebagai Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, bersama pembonceng Nur Nabila Rosdi, 19.

  • Anak bulan tidak mungkin nampak Khamis ini – IAC

    Anak bulan tidak mungkin nampak Khamis ini – IAC

    PUSAT Astronomi Antarabangsa (IAC) menjangkakan tiada kemungkinan anak bulan Syawal kelihatan pada Khamis ini dan dengan itu Aidilfitri diramal jatuh Sabtu bersamaan 22 April ini.

    Badan astronomi yang berpangkalan di Abu Dhabi itu dalam satu kenyataan di akaun Twitternya memberitahu, ramalan dibuat berdasarkan maklumat astronomi.

    Bagaimanapun, tarikh sebenar Aidilfitri hanya akan disahkan oleh pihak berkuasa selepas melihat anak bulan.

    Menurut IAC, penampakan anak bulan pada petang Khamis adalah sangat sukar kerana ia memerlukan teleskop yang tepat, pemerhati profesional, dan keadaan cuaca yang luar biasa.

    “Melihat anak bulan pada Khamis tidak boleh dilakukan dengan mata kasar dari mana-mana sahaja di Arab dan negara Islam.

    “Ia tidak mungkin dilakukan dengan teleskop di kebanyakan negara Arab, kecuali bahagian Afrika Barat bermula dari Libya, dan oleh itu Sabtu kemungkinan besar akan menjadi hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

    Penglihatan kekal sangat sukar dan memerlukan teleskop yang tepat, pemerhati profesional dan keadaan cuaca yang luar biasa.

    Pusat itu berkata, sambil menyatakan bahawa gabungan faktor itu jarang berlaku, dan oleh yang demikian anak bulan tidak dijangka dilihat walaupun menggunakan teleskop dari mana-mana sahaja di dunia Arab.

    IAC menyatakan bahawa kemungkinan melihat anak bulan dengan teleskop dari beberapa bahagian dunia Islam pada Khamis, dan disebabkan berlakunya konjugasi sebelum matahari terbenam, dan terbenamnya bulan selepas matahari terbenam di semua wilayah negara Islam.

    Berikutan itu, negara Islam dijangka dan berkemungkinan akan mengumumkan permulaan bulan Syawal pada Jumaat.

    Bagi negara yang memerlukan penglihatan yang betul dengan mata kasar sahaja atau penglihatan tempatan yang betul dengan teleskop, mereka dijangka terus berpuasa hingga genap 30 hari.

    Maka, Aidilfitri akan jatuh pada Sabtu untuk negara terbabit, lapor Agensi.

  • Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

    Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

    AHLI Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mendedahkan nombor telefonnya digodam individu tidak bertanggungjawab dengan meminta wang daripada kenalannya.

    Menurutnya, kejadian disedari apabila dihubungi rakan kira-kira pukul 1 tengah hari pada 11 April lalu ketika berada di rumahnya di Tangga Batu, Melaka.

    Katanya, setakat ini lima kenalannya ‘terjerat’ dengan taktik scammer terbabit yang menggunakan lima nombor telefon WhatsApp hingga kerugian ribuan ringgit.

    “Asalnya dia (scammer) mengguna profil gambar saya untuk meminjam wang daripada kenalan.

    “Kemudian dia gunakan profil rakan saya itu untuk menipu saya pula dengan mengatakan nombor telefon saya digodam dan meminta tangkap layar komunikasi terakhir di Telegram.

    “Disebabkan terperdaya saya menghantar tangkap layar komunikasi seperti dimintanya hingga scammer itu dapat mengakses semua nombor dalam telefon saya,” katanya ditemui media di pejabatnya di Tangga Batu.

    Bakri membuat laporan di Balai Polis Tangga Batu pada 12 April selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Setakat ini, lima kenalan saya sudah memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 hingga RM3,000 ke dalam akaun scammer terbabit dengan dua daripada mereka adalah pegawai bank.

    “Saya hairan bagaimana mereka terpedaya tapi rakan beritahu mereka serahkan duit sebab percaya saya,” katanya yang meminta orang ramai berhati-hati jika menerima mesej daripada nombor telefon suspek.

    Bakri turut kesal apabila mendakwa scammer terbabit masih bebas menghantar mesej selepas laporan dibuat.

    “Sepatutnya SKMM terus halang nombor telefon scammer terbabit apabila terima aduan.

    “Jadi, pandangan saya sistem aduan SKMM perlu ditambah baik dan Insya-Allah perkara ini saya akan bawa ke Parlimen selain membuat hebahan menerusi TikTok,” katanya, lapor BH Online.

  • Najib bimbang pelaburan 1MDB di luar negara – Saksi

    Najib bimbang pelaburan 1MDB di luar negara – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan kebimbangannya kepada seorang pegawai bank Singapura mengenai pelaburan 1MDB di luar negara pada 2014.

    Kevin Michael Swampillai, bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan BSI Bank cawangan Singapura, memberi keterangan bahawa ia merupakan tanggapannya semasa panggilan telepersidangan Najib dengan salah seorang pegawai bank itu.

    Saksi pendakwaan ke-44 itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB.

    Menurutnya, bekas menteri kewangan itu berkomunikasi dengan pengurus perhubungan BSI ketika itu Yak Yew Chee berhubung pelaburan berbilion ringgit dalam Bridge Global Absolute Return Fund.

    Kevin berkata, dia mendengar panggilan telesidang itu dan mengingati bahawa Najib bertanya mengenai penilaian dana dan meminta dokumen tambahan yang membuktikan nilai sebenar dana luar negara itu.

    “Tanggapan saya ialah dia (Najib) bimbang, ini dimaklumkan kepada Yak. Saya tidak tahu sifat kebimbangan tersebut, tetapi ia berkaitan nilai dana (di mana wang 1MDB berakhir),” kata saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Katanya lagi, perbualan itu hanya berlarutan selama lima minit, lapor MalaysiaKini.

    Bekas pegawai bank itu menjelaskan bahawa dia memahami kebimbangan itu kerana lazimnya media massa melaporkan isu salah satu daripada dana 1MDB ini yang melalui BSI dan kepada dana pelaburan luar negara seperti Brazen Sky Limited.

    Kevin berkata, tanggapannya terhadap kebimbangan Najib adalah mengenai laporan media berhubung dakwaan kaitan antara Brazen Sky dan Good Star Limited yang antara lain didakwa sebagai kenderaan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

    Saksi itu sebelum ini memberi keterangan bahawa Najib tahu tentang sifat ‘kabur’ pelaburan dana 1MDB melalui BSI dan urusan berterusan Yak dengan Low berhubung urus niaga akaun 1MDB dan syarikat berkaitan lain di bank itu.

    Kevin juga sebelum ini memberi keterangan mengenai panggilan telesidang antara Najib dan Yak, tetapi tidak secara terperinci.

    Keterangan Kevin menyentuh sebahagian daripada aliran wang 1MDB yang rumit, merangkumi empat fasa yang merangkumi tempoh tiga tahun yang didakwa dikaitkan dengan Najib.

    Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.

    Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    Pada 23 Okt 2020, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan larangan seumur hidup ke atas Kevin berhubung urusan 1MDB.

  • Pemandu lori didakwa miliki diesel bersubsidi

    Pemandu lori didakwa miliki diesel bersubsidi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU Lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyeleweng 1,450 liter diesel bersubsidi tahun lalu.

    Moo Yit Lim, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Berdasarkan kewqrtas pertuduhan, Lim didakwa memiliki barang kawalan yang juga adalah barang berjadual itu dalam dua tong plastik putih dalam lori Daihatsu ketika diserbu polis di Jalan Setia 11/3, Taman Setia Indah di Johor Barhu pukul 8 malam pada 27 Julai 2022.

    Sehubungan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

    Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta sama.

    Mengikut fakta kes, pemeriksaan badan ke atas tertuduh menemukan kunci dan resit pembelian diesel dari pelbagai stesen minyak sebanyak 22 keping berjumlah RM4,300.

    Tertuduh gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk menyimpan dan berurusan dengan bahan bersubsidi itu apabila diminta oleh anggota serbuan.

    Pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati pengubahsuaian dilakukan terhadap lori terbabit dengan terdapat sambungan paip dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan.

    Sebuah pam dipasang dan disambungkan pada tangki utama kenderaan bertujuan untuk memindahkan diesel dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan yang telah diubahsuai pada kenderaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff manakala orang kena saman (OKS) tersebut tidak diwakili peguam.

  • Sivakumar tak perlu ‘direhatkan’, kata Anwar

    Sivakumar tak perlu ‘direhatkan’, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

    “Dalam kes khususnya Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, itu tak wajar kita berikan apa-apa telahan selain daripada kenyataan yang beliau dipanggil untuk berikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

    Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM pukul 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.

    Sebelum ini Warta Rakyat melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

    Hari ini, Sivakumar menafikan laporan media kononnya kediaman beliau digeledah SPRM semalam.

    Penafian itu selepas tular berita mendakwa SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia itu.

    Ini dikatakan sebahagian daripada siasatan dijalankan SPRM susulan dakwaan kes rasuah dalam pengambilan pekerja asing yang turut membabitkan beberapa pegawai kanan kementerian terbabit.