Category: Semasa

  • Mahkamah benar pulang sementara pasport Syed Saddiq

    Mahkamah benar pulang sementara pasport Syed Saddiq

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memulangkan sementara pasport Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membolehkan Ahli Parlimen Muar itu menghadiri dua sidang antarabangsa bulan depan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Azhar Abdul Hamid mengarahkan pasport itu dikembalikan kepada presiden Muda itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Afif Ali tidak membantah permohonan Syed Saddiq.

    Dalam permohonannya, Syed Saddiq berkata, beliau akan menyertai kursus antarabangsa mengenai polisi dadah di Switzerland selama lima hari mulai 1 Mei.

    Beliau kemudiannya akan menghadiri dan berucap pada Persidangan Kepimpinan Asia 2023 di Korea Selatan, yang akan diadakan pada 15 hingga 18 Mei.

    Azhar memerintahkan bekas menteri belia dan sukan itu mengembalikan pasport ke mahkamah selewat-lewatnya pada 20 Mei.

    Pihak pembelaan dalam perbicaraan rasuah Syed Saddiq menutup kesnya pada 14 Mac. Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk membuat keputusan.

    Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Jalan Stesen Sentral 2 pada 6 Mac 2020.

    Dia juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk dirinya dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya antara 8 dan 21 Apr 2018.

    Syed Saddiq berdepan dua lagi tuduhan pengubahan wang membabitkan dua transaksi berjumlah RM50,000 setiap satu, dipercayai hasil aktiviti haram, dengan memindahkannya daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB, di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Pada 28 Okt tahun, dia diperintahkan membela diri atas semua tuduhan setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Seramai 30 orang saksi memberikan keterangan untuk pendakwaan.

  • Puteri Sarah harap Syamsul lafaz cerai, mahu ‘move on’

    Puteri Sarah harap Syamsul lafaz cerai, mahu ‘move on’

    “Harapnya Syamsul lafazkan (cerai). Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula”.

    Itu reaksi pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebelum prosiding lafaz cerai yang dijadualkan di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada pukul 11 pagi ini.

    Puteri Sarah, 38 mengakui, dia tidak sabar untuk dilepaskan daripada perkahwinan dengan suaminya, Syamsul Yusof.

    Katanya apa yang diharapkannya ialah Syamsul melafazkan cerai terhadapnya seperti dipersetujui bersama sebelum ini bagi memberi peluang kepadanya untuk memulakan hidup baharu dengan lebih tenang.

    “Saya tak sabar dan gembira. Saya nak ‘move on’, tolong doakan. Harapnya Syamsul lafazkan. Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula.

    “Saya berharap semoga kami selesaikan dengan baik dan dipermudahkan. Percepatkan kes dan tiada lagi pergaduhan atau tidak puas hati, saya mahu selesaikan semua hari ini.

    “Sebab saya ada banyak lagi kerja tertangguh dan bulan hadapan saya mahu terbang ke Jakarta, saya mahu mulakan penggambaran di sana.

    “Jadi, kalau boleh saya mahu selesaikan semua cepat,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di ibu negara pada pukul 9.20 pagi.

  • Malaysia hanya transit, heroin seludup ke Australia dari Segi Tiga Emas

    Malaysia hanya transit, heroin seludup ke Australia dari Segi Tiga Emas

    HEROIN seberat 336 kilogram (kg) yang diseludup ke Australia menggunakan sebuah kontena dari Malaysia, bulan lalu dipercayai adalah dari kawasan Segi Tiga Emas dan bukan dihasilkan dalam negara ini, kata pihak berkuasa Australia.

    Memetik laporan Berita Harian, ia dikesan hanya menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan jenayah rentas sempadan sebelum dibawa ke negara lain, termasuk ke Australia.

    Dalam jawapan kepada pertanyaan yang diajukan akhbar itu, jurucakap Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, ini kerana lokasi Malaysia yang terletak hampir dengan kawasan Segi Tiga Emas atau ‘Golden Triangle’, antara faktor dijadikan pusat transit oleh sindiket penyeludupan.

    “Seperti diketahui, Malaysia bukan negara sumber pengeluar heroin atau dadah terkawal lain, tetapi jarak geografinya terletak hampir dengan wilayah pengeluar heroin dikenali sebagai Segi Tiga Emas di Asia Tenggara.

    “Oleh itu, Malaysia sebagai lokasi transit yang praktikal digunakan oleh sindiket jenayah terancang rentas sempadan untuk menyeludup dadah dari kawasan Segi Tiga Emas ke Australia,” katanya semalam.

    Kawasan Segi Tiga Emas adalah kawasan yang terletak di banjaran pergunungan membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand.

    Kawasan itu dikatakan mempunyai keluasan lebih 150,000 batu persegi dan dipercayai menjadi kawasan penanaman pokok popi yang dijadikan sebagai bahan utama dalam penghasilan heroin.

    Kenyataan AFP itu sebagai mengulas kejayaan pihak berkuasa negara itu merampas 336kg heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

    AFP dalam kenyataan minggu lalu berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan, iaitu terbesar setakat ini yang disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kilogram.

    Semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    Turut ditahan seorang lelaki warga Australia berusia 55 tahun pada 29 Mac lalu.

    Dalam jawapan sama, jurucakap AFP berkata, kewujudan jumlah pengangkutan kargo laut dan udara yang sah antara Malaysia dan Australia yang tinggi, turut menyumbang kepada daya tarikan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penghantaran.

    “Berdasarkan jumlah dadah dan taktik yang digunakan untuk menyembunyikan dadah berkenaan, pihak kami mengesyaki sindiket sama mendalangi kegiatan penyeludupan dadah terkawal ke Australia sebelum ini.

    “Ini adalah rampasan heroin kedua terbesar di Australia, yang mana rampasan terbesar membabitkan 451 kilogram heroin pada September 2021, juga dihantar dari Malaysia,” katanya.

    Tambah jurucakap itu, AFP mempunyai rangkaian kerjasama antarabangsa yang luas dengan pegawai mereka berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

    “Sebagai sebahagian daripada rangkaian ini, AFP bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan bantuan atau perisikan untuk membantu memerangi sindiket jenayah terancang rentas negara yang cuba menggunakan Asia Tenggara sebagai lebuh raya dadah maritim.

    “Maklumat mengenai perkara ini sudahpun dikongsi dengan PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.

    Mengenai sumber dadah dan sindiket yang mendalangi penyeludupan berkenaan, jurucakap AFP berkata, pihaknya tidak wajar memberi komen lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

    Rampasan dadah berkenaan turut menarik perhatian pelbagai pihak mengenai kemungkinan pelabuhan Malaysia menjadi pusat transit dadah.

    Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JKDM mengemukakan laporan penuh dalam tempoh dua minggu mengenai kejadian berkenaan.

    Menurut Perdana Menteri, kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.

    Jelasnya, kerajaan memandang serius kejadian berkenaan dan jika dibuktikan sah ia adalah penyeludupan besar-besaran melalui Pelabuhan Klang.

    Pada September 2021, media melaporkan AFP merampas 450kg heroin membabitkan penghantaran terbesar dalam sejarah Austalia ketika itu bernilai kira-kira AUD140 juta (RM431 juta).

    Pihak berkuasa negara itu turut menahan seorang suspek lelaki warga Malaysia berhubung kes berkenaan, di mana dadah terbabit dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

    AFP dilaporkan berkata, bekalan dadah 450kg atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diisytiharkan sebagai mengandungi jubin seramik.

    Penghantaran itu tiba di Pelabuhan Melbourne pada 29 September 2021 sebelum pegawai ABF yang memeriksa kontena terbabit menemui 1,290 bungkusan mengandungi heroin.

  • ‘Kurang diplomasi’ tapi popular, Sanusi mampu pacu PN – Penganalisis

    ‘Kurang diplomasi’ tapi popular, Sanusi mampu pacu PN – Penganalisis

    SEORANG penganalisis mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan meraih manfaat jika mengekalkan Datuk Seri Sanusi Md Nor sebagai “poster boy” gabungan politik itu untuk PRN Kedah tahun ini, walaupun beliau dilihat sebagai individu kontroversi.

    Menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, Sanusi cukup popular di Kedah khususnya dalam kalangan penyokong Pas.

    “Sanusi mungkin kurang berdiplomasi kebanyakan masanya, tetapi bagi penyokong Pas, malah segelintir orang Melayu, perkara itu tidak penting. Jadi, PN membuat pilihan bijak mengekalkannya sebagai ‘poster boy’,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya semalam dilaporkan berkata, Sanusi akan terus menerajui kerajaan negeri sekiranya parti itu kekal berkuasa di Kedah.

    Pas dan Bersatu adalah sekutu dalam PN yang mempunyai 21 kerusi dalam DUN, iaitu masing-masing 15 dan enam kerusi.

    Ahmad berkata, kegigihan Sanusi melindungi kepentingan negeri, digabung dengan desakan politik terhadap lawannya antara perkara yang menyumbang kepada popularitinya.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, Sanusi juga berani bertegas dengan kerajaan persekutuan yang turut dipandang positif penyokongnya.

    Beliau memetik tindakan Sanusi mempertahankan pembangunan lapangan terbang Kulim dengan menegaskan projek itu dibiayai sepenuhnya sektor swasta dan tidak akan membebankan Putrajaya dari segi kewangan.

    Katanya, bekas menteri besar Kedah pernah mengambil pendirian sama berhubung cadangan lapangan terbang itu. Projek itu dicadangkan pada 2018 oleh Menteri Besar ketika itu, Mukhriz Mahathir, yang kini presiden Pejuang.

    “Selalunya, tidak bagus untuk negeri ‘melawan’ kerajaan persekutuan…tetapi Sanusi sekadar mengikut jejak pendahulunya, menjadikan beliau sangat disenangi dan dihormati rakyat Kedah,” kata Azmi.

    Bagaimanapun, James Chin dari Universiti Tasmania berpendapat, keputusan PN kekal memilih Sanusi disebabkan gabungan itu tiada pemimpin terkemuka lain yang mampu menggantikannya.

    “Sanusi aktif di media sosial dan bercakap perkara kontroversi. Tiada siapa yang profilnya setinggi beliau.

    “Memandangkan PRN kira-kira empat bulan lagi, PN tiada masa memperkenalkan orang baharu,” katanya sambil menambah kenyataan kontroversi Sanusi hanya akan menarik kumpulan khusus pengundi Melayu.

  • Individu miliki 24 kes jenayah, dadah cuba rempuh polis diberkas

    Individu miliki 24 kes jenayah, dadah cuba rempuh polis diberkas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG penjenayah tegar yang memiliki 24 kes jenayah dan dadah ditahan setelah cuba merempuh seorang anggota polis menggunakan kereta dipandunya, semalam.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota polis pada mulanya terserempak dengan kereta jenis Honda Civic bernombor pendaftaran Thailand kira-kira pukul 3 petang semalam.

    “Semasa polis hendak membuat pemeriksaan, kereta tersebut digerakkan secara agresif dan cuba merempuh anggota polis terlibat. Berikutan itu, anggota polis berkenaan melepaskan tembakan ke tayar depan kereta menyebabkannya pancit.

    “Suspek bagaimanapun tidak mempedulikan keadaan itu dan terus memecut laju hingga ke Empangan Mengkuang di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kereta itu bagaimanapun akhirnya terbabas dan terhenti tanpa dapat digerakkan lagi.

    “Berikutan itu, anggota polis yang mengejar kenderaan tersebut berjaya memberkas pemandu kereta berkenaan. Penumpang kereta itu bagaimanapun sempat melarikan diri,” katanya.

    Tambahnya, hasil pemeriksaan menjumpai satu bungkusan dadah jenis syabu seberat 1.8 gram.

    “Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki Melayu berusia 36 tahun dan memiliki rekod kesalahan lampau sebanyak 24 kes jenayah serta dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seskyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Menurutnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

  • Polis nafi klip video tular kedai mercun meletup di Alor Setar

    Polis nafi klip video tular kedai mercun meletup di Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN pihak tertentu menularkan berita palsu kononnya berlaku letupan kedai jual mercun menerusi klip video dimuat naik di aplikasi Tik Tok semalam mendorong pihak polis membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Kominisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran klip video berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

    Katanya, laporan itu dibuat bagi menafikan bahawa kejadian itu berlaku di Alor Setar.

    “Kejadian itu sebaliknya berlaku di kawasan lain iaitu di kawasan pentadbiran Balai Polis Bahau, Negeri Sembilan,” katanya.

    Difahamkan kejadian letupan itu berlaku beberapa tahun lalu di Bahau, Negeri Sembilan.

    Ahmad Shukri menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

    “Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Mereka juga boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambahnya, orang awam dinasihati agar tidak sewenang-wenangnya menularkan berita palsu yang akan menyebabkan ketakutan dan rasa gentar terhadap masyarakat.

  • Anwar akan berdepan Tun M di mahkamah

    Anwar akan berdepan Tun M di mahkamah

    TUN Dr. Mahathir Mohamad akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan menuduh bekas perdana menteri itu mengumpul kekayaan peribadi semasa berkuasa.

    “Tun (Mahathir) telah mengarahkan kami untuk meneruskan tindakan di mahkamah. Ini membuktikan bahawa Anwar tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataannya.

    “Bagi Tun, ia adalah pembohongan oleh perdana menteri,” kata peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

    Surat bertarikh hari ini dan dihantar peguam Anwar, Aliff Benhamin Suhaimi, menyatakan Anwar menafikan semua dakwaan Mahathir.

    “Untuk makluman, kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menafikan semua dakwaan dan kandungan dalam surat anda.

    “Dalam hal ini, anak guam kami bersedia untuk menjawab sebarang dakwaan jika ada di mahkamah dan bukan melalui surat-menyurat jika anak guam anda mahu meneruskan tindakan undang-undang,” kata surat itu.

    Mahathir menghantar surat tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac, menuntut pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menarik balik dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac.

    Sekiranya Anwar gagal menjawab surat itu, Mahathir akan meneruskan tindakan undang-undang.

    Tarikh akhir Anwar untuk menjawab surat undang-undang Mahathir ialah 3 April, tetapi ditangguhkan ke hari ini selepas peguam Anwar meminta dilanjutkan.

    Anwar tidak menyebut nama Mahathir tetapi merujuk tempoh pemerintahannya dengan berkata: “Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh.”

    “Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu?

    “Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat. Jangan perbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.

    “Kumpulkan.. tonton… Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, berapa kerap orang sekarang merencana untuk mengugat dan menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu membenci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang,” dakwa Anwar.

    Mahathir mendakwa ini adalah rujukan yang jelas kepadanya kerana laporan media mengenai ucapan itu menyebut namanya.

    Pada 7 April, Anwar berkata beliau tidak ragu-ragu untuk memberikan bukti kepada Mahathir untuk menyokong dakwaannya.

    “Saya tak nak gaduh, dia minta bukti saya bagi bukti no problem,” kata Anwar semasa sesi dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Pada majlis yang sama, Anwar juga telah membidas Mahathir, dengan menyatakan bahawa walaupun tadbir urus Mahathir mempunyai kekuatan, beliau juga telah menyebabkan banyak kerosakan.

  • Polis tahan enam lelaki warga asing dipercayai pecah masuk pejabat

    Polis tahan enam lelaki warga asing dipercayai pecah masuk pejabat

    POLIS menahan enam lelaki warga asing di Metro Prima, Kuala Lumpur Khamis lepas, yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah pejabat dan melarikan sejumlah mata wang asing bernilai RM50,000 di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata semua suspek yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Metro Prima, dan polis turut merampas 38 keping mata wang asing pelbagai negara yang ditemukan dalam serbuan itu.

    Beliau berkata siasatan mendapati suspek memecah masuk pejabat syarikat peralatan dan perkakasan komputer itu melalui bumbung, dan kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam dua kes lain di ibu negara dan Shah Alam, Selangor.

    “Reman terhadap suspek disambung selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana samun dan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya siasatan juga diteruskan bagi mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

  • Pas ucap takziah adik Nik Aziz meninggal dunia

    Pas ucap takziah adik Nik Aziz meninggal dunia

    PAS mengucapkan takziah kepada Nik Razi Nik Mat, adik bongsu bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz yang meninggal dunia pagi ini.

    Parti tersebut mengucapkan takziah kepada keluarga besar Nik Aziz tersebut yang disifatkan satu kehilangan besar.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, allahyarham berjasa besar di medan dakwah.

    “Sesungguhnya kita semua milik Allah dan kepada-Nya kita semua kembali.

    “Semoga roh Almarhum Tuan Guru Nik Razi dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang yang soleh. Amin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Kerajaan negeri Kelantan juga menzahirkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Nik Razi melalui media sosial menteri besarnya.

    “Almarhum yang juga adinda kepada almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sumbangan yang begitu besar khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan kepada masyarakat.

    “Semoga Allah SWT membalas segala jasa yang dicurahkan, mengampunkan dan merahmatinya di sisi para solihin,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Anak Nik Aziz, Nik Abduh berkata, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar petang ini di masjid Tok Guru di Pulau Melaka.

    Nik Razi yang juga tokoh ulama Kelantan dilapor meninggal dunia selepas diuji sakit dan terlantar hampir empat bulan.

  • Kes 1MDB Najib: Dana fidusiari disalah guna – Saksi

    Kes 1MDB Najib: Dana fidusiari disalah guna – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) bahawa dana fidusiari disalah guna oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan.

    Saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai berkata demikian semasa soal balas oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Kevin, 59, berkata ya, apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa pada asasnya, dana fidusiari boleh digunakan atau disalahgunakan dengan betul.

    “Dana fidusiari merupakan ciri biasa dalam perbankan, tetapi ia juga bergantung pada cara dana itu distrukturkan.

    “Timbul satu ‘perasaan’ di kalangan beberapa rakan sekerja saya, bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan wang itu, mungkin juga ia telah dimasukkan ke dalam ‘poket’ orang lain dan itulah yang berlaku,” kata saksi itu.

    Dalam pada itu, Kevin berkata, Bank BSI tidak memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis republik itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalah guna oleh syarikat pelaburan strategik negara ini.

    Menurutnya, urus niaga 1MDB serta syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya menimbulkan tanda-tanda amaran atau ‘red flag’ kerana ia melibatkan individu yang terdedah secara politik di Malaysia.

    “Kebiasaannya kerajaan terlibat memilih bank komersial atau bank pelaburan bagi urus niaga fidusiari, bukan bank yang lebih kecil secara relatif.

    “Bank BSI tidak memfailkan laporan tersebut kerana isu berkaitan tanda amaran tidak dibangkitkan oleh lembaga pengarah 1MDB,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Muhammad Shafee menyoal saksi terbabit berhubung bayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada pihak bank Singapura tersebut.

    Bekas pegawai bank itu berkata, bank berkenaan memperoleh sekitar AS$250 juta dan ia tidak termasuk bayaran yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya.

    Beliau berkata, 1MDB dan syarikat berkaitan menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan bank.

    Dalam prosiding lalu, Kevin memberitahu mahkamah bahawa beliau menganggap Najib mengetahui urus niaga dana fidusiari oleh 1MDB dan tiga syarikat berkaitan membabitkan pindahan wang dalam jumlah yang besar kepada pelbagai penerima.

    Melalui urus niaga dana fidusiari itu katanya, sejumlah besar wang yang dipindahkan tidak diletakkan dalam deposit, sebaliknya disalurkan kepada pelbagai penerima yang tidak diketahui identitinya.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

    Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.