Category: Semasa

  • Mahkamah benarkan Rosmah dapat pasport lawat anak sulung bersalin di Singapura

    Mahkamah benarkan Rosmah dapat pasport lawat anak sulung bersalin di Singapura

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya ke Singapura bagi membolehkannya melawat anaknya Nooryana Najwa Mohd Najib yang dijangka melahirkan anak ketiga hujung bulan ini.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon selepas peguamnya Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa anak guamnya perlu ke negara itu kerana anak sulungnya, Nooryana akan bersalin dalam masa terdekat.

    “Anak guam saya memohon pasport itu bagi membolehkannya ke Singapura esok hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 Sept dan 9 Sept hingga 31 Okt ini. Pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan ini,” kata Jagjit, lapor BERNAMA.

    Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.

    Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu selaku pemohon memfailkan notis usul pada 11 Ogos lepas menerusi Tetuan Akberdin & Co. bagi membolehkannya melawat Nooryana yang dijangka bersalin pada 28 Ogos ini serta keluarganya di Singapura.

    Dalam notis usul itu, Rosmah berkata sehingga ke hari ini beliau tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

    Menurut Rosmah, beliau akan pulang ke Malaysia untuk menghadiri prosiding rayuan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar. 

    Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Sept ini untuk pengurusan kes.

    Ini adalah kali keempat Rosmah memohon untuk mendapatkan pelepasan pasport antarabangsa untuk ke Singapura, kali pertama pada 15 Okt 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya, pada 21 Mac lepas untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat, dan pada 15 Jun bagi melawat anak perempuannya itu.

    Nooryana telah berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan pasangan itu kini menetap di Singapura. 

    Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 71, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. 

  • Haim mahu bawa anak muda jadi tunjang kebangkitan Jitra

    Haim mahu bawa anak muda jadi tunjang kebangkitan Jitra

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBAGAI bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah tidak dapat lari daripada memikirkan mengenai kepentingan anak muda yang sememangnya mewarnai kehidupannya selaku pendidik.

    Justeru menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, beliau memiliki perancangan besar untuk menjadikan golongan tersebut sebagai tunjang kebangkitan Jitra pada masa akan datang.

    Katanya, beliau akan memperkenalkan suatu perancangan dikenali sebagai pelan pembangunan anak muda Jitra yang bersifat menyeluruh, merangkumi pelbagai bidang antaranya pendidikan, sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Pada dasarnya saya memang dapat merasakan hubungan cukup akrab dengan anak-anak muda di Jitra dan saya akan teruskan usaha mendekati mereka dengan pelbagai program dirancang.

    “Saya telah telah fikirkan dan akan bangunkan satu pelan pembangunan anak muda Jitra yang menyeluruh, merentasi pelbagai bidang. Jadi secara keseluruhan, anak muda akan menjadi tunjang kebangkitan Jitra,” katanya kepada Warta Rakyat, baru-baru ini.

    Dalam PRN baru-baru ini, Haim yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) menewaskan Sabrina Ahmad dari Pakatan Harapan dengan majoriti 23,172 undi.

    Haim memperolehi 34,342 undi manakala Sabrina sekadar mendapat 11,170 undi.

    Mengulas lanjut Haim berkata, beliau tidak menyangka mampu menang dengan majoriti besar ke atas pesaingnya itu dan menganggap kemenangan tersebut merupakan hasil daripada gerak kerja menyeluruh pasukannya.

    “Kita hendak sampaikan mesej penyatuan Melayu dan sikap yang inklusif kepada bangsa lain. Saya yakin langkah itu akan diterima baik dan kita akan sama-sama berusaha membina ‘Jitra Sejahtera’.

    “Sepanjang dua minggu berkempen, antara perkara dibangkitkan adalah soal ekonomi serta peluang pekerjaan selain kebajikan golongan petani. Saya telah beri komitmen untuk melihat perkara ini secara menyeluruh termasukan terhadap minat orang muda untuk berniaga,” katanya. ‘

    Dalam pada itu Haim berkata, beliau bersedia menyumbang kepakaran bagi membantu kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan di Kedah bermula dari peringkat sekolah rendah dan menengah hingga ke universiti.

    “Antara pendekatan yang boleh diambil adalah mengintegrasikan pusat-pusat pengajian tinggi di negeri ini seperti UUM, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan lain-lain lagi. Kita akan bekerjasama dengan semua institusi ini untuk membolehkan anak-anak Kedah yang cemerlang akademik, terus berada di landasan itu agar menjadi profesional.

    “Dalam masa sama, kita akan manfaatkan agensi berkaitan kemahiran agar menjadi laluan potensi kerjaya yang dinamik buat anak-anak muda. Insya Allah, semua ini akan dibangunkan secara bersepadu,” katanya.

  • ‘Peguam nafi larikan diri, tak beri kerjasama kepada SPRM

    ‘Peguam nafi larikan diri, tak beri kerjasama kepada SPRM

    PEGUAM  yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat, yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

    Mansoor, 69, menegaskan beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

    Lapor Beritah Harian, Mansoor berkata, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.

    “Saya meninggalkan Malaysia pada pertengahan Mei atas urusan perniagaan. Saya kemudian dihubungi oleh pegawai penyiasat SPRM dan memberi maklum balas melalui surat bertarikh 3 Jun 2023 bahawa saya akan kembali selepas menyelesaikan urusan perniagaan.

    “Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM menggesa saya pulang segera ketika kemuncak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN). Saya memaklumkan ada urusan yang belum selesai dan akan pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, dilapor menegaskan tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.

    Semakan rekod mendapati Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air.

    Penafian Mansoor itu dilakukan selepas SPRM mengeluarkan kenyataan mengesan kedua-duanya bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

    Tegasnya, keengganan pulang ke tanah air sebelum PRN menyebabkan akaun peribadinya dan isteri dibekukan tanpa notis.

    Beliau turut mendakwa diganggu secara berterusan oleh pegawai SPRM dengan ancaman fitnah dan pembunuhan watak.

    “Kenyataan kononnya saya tidak dapat dihubungi adalah tidak benar. Pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan mengetahui keberadaan saya. Saya tidak akan membenarkan diri saya dibuli untuk menyerah dan melepaskan saham saya untuk dimanfaatkan pemain korporat yang rapat dengan sesetengah pegawai SPRM. Saya menolak naratif palsu ini,” katanya.

    Mansoor mendakwa dikaitkan secara tidak sah kerana mempunyai urusan perniagaan dengan Muhammad Adlan.

    “Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai urusan perniagaan dengan ramai orang, namun saya terkejut kerana hubungan saya dengan Muhammad Adlan yang dikhususkan. Tindakan mengeluarkan kenyataan media bagi mencari keberadaan saya tidak perlu sama sekali. Ia hanya menguatkan kepercayaan saya bahawa wujud usaha berterusan untuk memburuk-burukkan dan membunuh watak dan reputasi, termasuk saya,” katanya.

    Mansoor mengesahkan akan kembali ke Malaysia untuk menghadapi pendakwaan sekiranya ada, namun tidak akan berbuat demikian selagi dianiaya.

    Beliau turut menolak sebarang cubaan SPRM menggunakan media bagi mempengaruhi pendapat umum terhadapnya atau orang lain sebagai bersalah dan pada masa sama meningkatkan reputasi agensi itu.

  • PH hantar tiga nama kepada Istana, setuju secara konsensus kekalkan Amirudin MB

    PH hantar tiga nama kepada Istana, setuju secara konsensus kekalkan Amirudin MB

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Selangor mengesahkan gabungan parti itu menghantar tiga nama calon Menteri Besar kepada pihak Istana Negeri Selangor.

    Ini bermakna dua lagi calon selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari juga berpeluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

    Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim bagaimanapun berkata, gabungan parti itu secara konsensus telah bersetuju untuk mengekalkan Amirudin.

    “Tiga nama (calon menteri besar) itu telah dihantar tetapi satu nama (Amirudin) yang kita setujui (secara bersama) kerana istana minta tiga nama, kita kena beri tiga nama.

    “Kita sebut secara konsensusnya kita menyokong Amirudin sebagai Menteri Besar, kita sebut begitu dalam surat (kepada pihak istana),” katanya lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Izham menafikan dakwaan mengatakan ada pemimpin PKR Selangor terlibat dalam perbincangan berhubung perkara itu selepas berakhir pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

    Sebaliknya beliau berkata, perbincangan mengenai calon Menteri Besar sudah selesai dibincangkan dan ia dibincangkan secara bersama dalam kalangan pemimpin PH Selangor sebelum ini.

    “Memang istana minta tiga nama tetapi nama Amirudin sebagai Menteri Besar secara konsensus (dipersetujui) dari awal lagi, tiada perubahan sejak awal,” katanya.

    Ketika ditanya mengenai dua lagi calon selain Amirudin yang dihantar kepada pihak Istana Negeri Selangor, Izham bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon terbabit.

    “Saya tidak boleh dedahkan nama,” katanya.

    Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor mungkin tidak berlangsung sehingga Jumaat.

    Ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sedang pulih daripada pembedahan prostat di London baharu sahaja pulang ke tanah air.

    Pada penggal lalu, pihak istana meminta lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan Sultan Selangor.

  • 1MDB mengaku tidak mempunyai wang dan pelaburan – Zeti

    1MDB mengaku tidak mempunyai wang dan pelaburan – Zeti

    BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengaku tidak mempunyai wang atau pelaburan selepas bank pusat itu mengenakan denda berjumlah RM15 juta terhadap syarikat berkenaan.

    Zeti, 76, yang mendedahkan perkara itu, berkata kegagalan 1MDB mendapatkan kembali wang dan memberikan bukti mengenai status dana terbabit, menyebabkan ia dikompaun.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata 1MDB membayar kompaun tersebut pada 25 Mei 2016.

    Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB, lapor BERNAMA.

    Muhammad Shafee: Adakah 1MDB mendapatkan semula sebarang dana?

    Zeti: Tiada. Mereka (1MDB) memaklumkan kami bahawa wang itu telah diletakkan di luar negara untuk membayar hutang dan kami (BNM) kata kami boleh menerima alasan itu jika mereka memberikan dokumen yang berkaitan dan memaklumkan di mana wang itu diletak.

    Bagaimanapun, beliau berkata 1MDB gagal memberikan butiran itu kerana ia tidak ada. 1MDB mengaku ia tidak mempunyai wang atau pelaburan.

    Selain itu, Zeti memaklumkan mahkamah bahawa 1MDB telah memfailkan permohonan kepada BNM pada 2014 bagi meminta kebenaran BNM untuk meminjam dana daripada sumber luar pesisir sebanyak RM4.9 bilion. 

    “Kami telah menolak permohonan ini kerana hutang mereka terlalu banyak. Mereka (1MDB) tidak gembira dan mengemukakan rayuan, bagaimanapun rayuan itu turut ditolak,” katanya.

    Ketika Muhammad Shafee menyoal sama ada 1MDB cuba merayu kepada Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib (berhubung pinjaman RM4.9 bilion itu), Zeti menjawab bahawa beliau tidak sedar.

    Muhammad Shafee: Adakah Najib menghubungi BNM dan meminta ia menyemak semula keputusan itu?

    Zeti: Tidak.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk dan dua anak didakwa sebabkan kematian lelaki warga India

    Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk dan dua anak didakwa sebabkan kematian lelaki warga India

    SEORANG ahli perniagaan bergelar “Datuk” dan dua anaknya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga India yang mayatnya ditemukan di dalam guni, awal bulan ini.

    V. Nanta Kumar, 51, serta dua anak lelakinya Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

    Mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas mencederakan kerani kewangan A. Vinayagamoorthy, 41, sehingga menyebabkan kematian mangsa di tapak besi buruk di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 1.30 tengah hari, 4 Ogos lepas.

    Tiga beranak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh.

    Peguam Datuk Suraj Singh bagaimanapun memohon supaya jaminan dibenarkan atas alasan ketiga-tiga anak guamnya mempunyai masalah kesihatan serta menanggung keluarga.

    “Saya mohon mahkamah membenarkan jaminan dan tidak membantah sekiranya mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu pasport tiga anak guam saya diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan.

    “Walaupun kesalahan ini tidak boleh dijamin, mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan,” katanya yang turut dibantu peguam Kailash Sharma.

    Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berdekatan dan menetapkan 19 Sept ini untuk sebutan kes.

    Bernama sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di lokasi kejadian dipercayai dibunuh sebelum dimasukkan ke dalam satu guni plastik berwarna putih.

  • Arab Saudi sarankan jemaah umrah pakai pelitup muka di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Arab Saudi sarankan jemaah umrah pakai pelitup muka di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    ARAB  Saudi menyarankan pemakaian semula pelitup muka kepada jemaah umrah yang mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi mencegah penularan penyakit berjangkit di kawasan sekitarnya.

    Menurut infografik yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi di laman X pada Isnin, saranan itu dibuat bagi memelihara tahap kesihatan jemaah umrah dan para pengunjung kedua-dua masjid suci umat Islam berkenaan.

    Saranan itu juga merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dikuat kuasakan Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah 1445 Hijrah bagi warganegara dan penduduk tetap Arab Saudi serta negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

    Saranan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai ‘varian yang menjadi perhatian’.

    Media Arab Saudi sebelum ini melaporkan Jabatan Hal-Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Julai lalu telah mengedarkan hampir dua juta pelitup muka kepada para tetamu al-Rahman. – Bernama

  • Remaja lelaki parah di perut tertusuk buluh di Gua Musang

    Remaja lelaki parah di perut tertusuk buluh di Gua Musang

    SEORANG remaja lelaki parah apabila perutnya tertusuk buluh selepas motosikal ditunggangnya terlanggar belakang sebuah pacuan empat roda yang berisi muatan itu dalam kejadian di KM 29 Jalan Gua Musang-Jeli di Gua Musang malam tadi.

    Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata kejadian berlaku ketika pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara itu, dalam perjalanan untuk pergi memancing kira-kira 9.30 malam.

    “Setibanya di lokasi kejadian, mangsa terlanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan muatan buluh yang sedang parkir di atas Jambatan Pulau Setelu.

    “Susulan itu, mangsa tertikam dengan satu batang buluh yang digunakan untuk memasang bendera parti politik berukuran 2m dan menembusi perutnya,” katanya dalam kenyataan.

    Sik berkata, mangsa dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.

    “Siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda itu diparkir di atas jambatan berkenaan kerana pemiliknya sedang melakukan kerja-kerja mencabut bendera parti politik berhampiran lokasi kejadian.

    “Pengguna jalan raya diminta supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di atas jalan dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain,” katanya.

    Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

  • Terengganu mahu bangunkan industri, tak mahu gantung pada royalti minyak – Samsuri

    Terengganu mahu bangunkan industri, tak mahu gantung pada royalti minyak – Samsuri

    KERAJAAN Terengganu akan memfokuskan kepada pembangunan industri selain daripada petroleum, bagi mengurangkan kebergantungannya daripada royalti komoditi itu yang diterima setiap tahun.

    Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antara perancangan yang digariskan termasuk membuka kawasan industri baharu di Besut dan Setiu yang kurang mendapat perhatian dan dimajukan sebelum ini.

    “Mengambil kira kewujudan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang fokus pada kargo, kalau kita tidak ambil peluang dari sekarang, dalam masa tiga tahun lagi operasi ECRL baru nak mula (kita) dah terlambat.

    “Jadi kita akan gerakan segera seluruh jentera ke arah mewujudkan kawasan industri baharu terutama di kawasan sebelum ini yang kurang diberi fokus seperti di utara negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, lapor BERNAMA.

    Menurut Samsuri lagi Terengganu juga berjaya mengurangkan kebergantungannya daripada hasil royalti petroleum sebanyak 4% pada penggal lalu.

    Beliau berkata antara pendekatan yang diambil termasuk kaedah, sumber percukaian baharu serta pewartaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 yang turut memberi hasil kepada negeri.

    “Jangkaan kita ialah untuk capai hasil RM100 juta setahun daripada sumber air. Walaupun kita sedar pelaksanaan itu tak mudah, (tetapi) kita dah berjaya kutip hasil pada tahun pertama.

    “Selain itu kita juga akan lihat pada cukai-cukai baharu seperti cukai galian yang sudah lama kita tidak menyemaknya semula,” katanya.

  • Khalil Abdul Hadi, Razali dilantik Exco Terengganu

    Khalil Abdul Hadi, Razali dilantik Exco Terengganu

    Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan senarai sebelas portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk seorang wakil daripada Bersatu, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.

    Ahmad Samsuri berkata terdapat beberapa perubahan dan penyelarasan yang dibuat pada portfolio negeri berbanding penggal lepas bagi tujuan penambahbaikan dan memudahkan gerak kerja dengan kementerian di peringkat pusat.

    “Kita harap semua Exco dapat bergerak lebih pantas dan menjalankan tugas dengan cemerlang untuk kemajuan rakyat dan negeri Terengganu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pertama.

    Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang mengumumkan beliau memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli, manakala ADUN Paka Datuk Satiful Bahari Mamat dilantik Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

    ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah pula dilantik Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sementara ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim yang memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi pada penggal lepas kekal menerajui bidang berkenaan.

    Sementara itu, ADUN Kota Putera Mohd Khuzaini Abd Rahman yang sebelum ini menerajui portfolio keusahawanan dilantik Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, manakala ADUN Chukai Hanafiah Mat dilantik sebagai Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.

    ADUN Alor Limbat Ariffin Deraman yang memegang portfolio pelancongan pada penggal lepas pula dilantik Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

    Empat muka baharu Exco yang dilantik ialah ADUN Kijal Datuk Razali Idris (Bersatu) sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan ADUN Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi diamanahkan portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.

    Dua lagi iaitu ADUN Tepoh Hishamuddin Abdul Karim dilantik sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, manakala ADUN Ajil Maliaman Kassim diberi portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.