Category: Semasa

  • AGC nafi keluar kenyataan berhubung pendakwaan Zuki Ali

    AGC nafi keluar kenyataan berhubung pendakwaan Zuki Ali

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menafikan sekeras-kerasnya telah mengeluarkan kenyataan media berhubung pendakwaan ke atas Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    AGC dalam kenyataan di Putrajaya hari ini berkata penafian itu merujuk kepada kenyataan media Ruj: PN. PRO.100-3/6/4 Jld.5(11) Pendakwaan ke atas Tan Sri Zuki Bin Ali – Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertarikh 5 Mei 2023.

    Kenyataan media palsu menggunakan jata negara dan nama AGC itu menyatakan susulan daripada arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, AGC telah menerima kertas siasatan daripada pegawai khas Perdana Menteri berhubung isu dakwaan terhadap Tan Sri Zuki Ali.

    Pemerhatian terhadap kenyataan palsu itu mendapati nama KSN adalah salah.

    Kenyataan palsu itu turut menyatakan AGC menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan dan bukan atas desakan oleh mana-mana pihak atau faktor lain.

  • Polis Thailand dedah syabu, yaba banyak diseludup ke Malaysia

    Polis Thailand dedah syabu, yaba banyak diseludup ke Malaysia

    KETUA Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Anuruth Imarb mendedahkan, syabu dan yaba merupakan antara dua jenis dadah yang paling banyak diseludup masuk ke Malaysia.

    Anuruth yang memaklumkan perkara tersebut dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam berkata, semua dadah itu dipercayai dibawa masuk menggunakan pangkalan haram di sempadan Thailand-Malaysia di sepanjang Sungai Golok.

    Menurutnya, kerajaan Thailand amat bimbang dengan situasi tersebut kerana Narathiwat merupakan wilayah dan lokasi yang mudah untuk pengedaran dadah khususnya ke Malaysia kerana bersempadan dengan Kelantan.

    “Kesemua dadah berkenaan dibawa masuk dari kawasan utara Thailand iaitu di Segi Tiga Emas melalui sindiket-sindiket dadah sebelum tiba di sempadan wilayah selatan di sini,” ujarnya.

    Beliau berkata, kejayaan terbesar yang telah direkodkan pihaknya setakat ini ialah pada 2 Julai dan 10 Ogos lalu melibatkan dadah seberat 2,000 kilogram (kg) di Sungai Golok.

    Tambahnya, rampasan itu melibatkan nilai berjumlah RM20 juta.

    Anuruth memberitahu, siasatan yang dilakukan mendapati kebanyakan pengedar bermula sebagai penagih.

    “Kita juga mendapati suspek yang ditahan akan memberitahu bahawa ketua terbesar mereka berasal dari Songkhla.

    “Polis Wilayah Narathiwat sentiasa mengatur pelbagai langkah untuk mencegah, menyekat dan menyelesaikan masalah dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Maqis rampas 82 kotak akar teratai tercemar dari Singapura

    Maqis rampas 82 kotak akar teratai tercemar dari Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 820 kilogram (kg) sayur jenis akar teratai dicemari tanah di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri semalam.

    Menurut Maqis dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil pemeriksaan oleh pegawai penguasa mendapati akar teratai dimuatkan dalam 82 kotak bernilai RM7,000 itu dibawa masuk dari Singapura.

    Jabatan berkenaan memberitahu, pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran pada pukul 2.50 petang itu, telah menemukan muatan 1,060 sayur jenis akar teratai dan mendapati sebanyak 820kg sayur tersebut dicemari dengan tanah.

    “820kg sayur tersebut dimuatkan di dalam 82 kotak sayur bertanah yang disorokkan di bahagian bawah dan ditindih menggunakan kotak sayuran yang bersih bagi mengaburi mata pegawai pemeriksa dan telah ditahan,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

    Tegasnya, mengimport produk pertanian dengan kehadiran perosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

  • Remaja dikhuatiri lemas dihanyut ombak

    Remaja dikhuatiri lemas dihanyut ombak

    SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak ketika bermandi-manda bersama tiga rakannya di pantai Kampung Gatas Bekenu, Miri semalam.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Shahrizan Amani Sepawi, 17, manakala rakannya yang hampir lemas sempat diselamatkan orang kampung.

    “Dua lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.

    “Kita menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah ke lokasi kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 6 petang.

    “Bomba dan polis memulakan operasi pencarian di sekitar tepi pantai dengan bantuan orang kampung dalam radius 1km, namun mangsa gagal ditemui,” katanya menurut laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata, operasi terpaksa ditangguhkan pada 8.35 malam tadi disebabkan keadaan gelap dan berbahaya.

    Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Tiga sekeluarga terkandas di Sudan selamat tiba di Malaysia

    Tiga sekeluarga terkandas di Sudan selamat tiba di Malaysia

    SEORANG ibu warganegara Malaysia bersama dua anaknya yang terperangkap di wilayah Al Gaza, Sudan ekoran konflik di negara itu, selamat kembali ke tanah air hari ini selepas 22 hari terkandas.

    Junaidah Selamat, 49, dan dua anaknya Mohamad Ashraf, 18, dan Juliana Ashraf, 23,  tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menerusi penerbangan Saudia SV842 yang mendarat pukul 4.15 pagi tadi. 

    Namun malangnya, suami beliau yang merupakan warganegara Sudan, Ashraf Gasim Elsimd, 54 masih terkandas di Port Sudan kerana tidak memiliki pas residen Arab Saudi.

    “Dia (suami) kini berada di Port Sudan dan Alhamdulillah dalam keadaan selamat kerana telah keluar dari Khartoum yang masih tegang. Saya harap urusannya (untuk kembali ke Malaysia) dipermudahkan dan kami sekeluarga dapat bersatu semula,” katanya kepada media sejurus tiba di KLIA dan disambut pegawai Wisma Putra.

    Pertempuran antara Angakatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus di Khartoum dan kawasan sekitar pada 15 April lepas telah mengorbankan lebih 500 orang, dengan lebih 5,000 cedera serta lebih 100,000 penduduk dipaksa melarikan diri ke negara jiran.

    Junaidah merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, kerajaan Arab Saudi, Kedutaan Besar Pakistan di Sudan serta semua pihak yang membantu membawa beliau dan anak-anak agar selamat keluar dari Khartoum.

    Berkongsi pengalaman di Sudan, anak kelahiran Jeram, Selangor itu berkata sebelum pertempuran berlaku pada 15 April lepas, suaminya mengambil anak-anak dari sekolah dan menyatakan peperangan akan berlaku.

    “Masa itu saya merasakan ia adalah perkara biasa kerana memang biasa berlaku demonstrasi di Sudan. Tetapi pada hari kedua (16 April) ketika bangun untuk solat Subuh kedengaran bunyi tembakan dan tembakan dari kereta kebal sehingga rumah kami bergegar malah peluru-peluru mula memasuki kediaman,” kata ibu kepada empat anak itu.

    Junaidah berkata selepas itu situasi kian meruncing sehingga bekalan elektrik terputus, barang keperluan terutama air minum tiada lagi dijual sehingga orang awam kini mengambil kesempatan untuk memecah masuk rumah dan kedai mencuri harta dan makanan.

    “COVID-19 lebih baik dari peperangan kerana peperangan ini antara hidup dan mati. Kalau sakit tidak boleh ke hospital kerana semuanya telah ditawan tentera untuk dijadikan markas. Bangunan am lain seperti sekolah juga dijadikan penempatan tentera. Kalau nak keluar beli makanan, ada sekatan askar dan mereka suruh patah balik kalau tak dengar cakap, akan kena tembak,” katanya.

    Junaidah berkata selepas enam hari beliau mendapat maklumat dari kakaknya di Malaysia menyatakan Wisma Putra menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia keluar dari Sudan, namun sudah terlambat kerana namanya tidak dipanggil kerana tidak berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

    “Oleh itu anak saya yang berada di Malaysia, Ahmad Ashraf, 25 memaklumkan kepada Wisma Putra dan kemudian diberi nombor telefon untuk dihubungi di Sudan. Selepas Kedutaan Besar Malaysia di Sudan menjawab e-mel saya. Kebetulan saya memang kena balik Malaysia pada September sebab pasport perlu diperbaharui,” katanya.

    Selepas itu, beliau berkata Wisma Putra memaklumkan untuk pergi ke Port Sudan namun perjalanan itu mendebarkan kerana setiap 10 minit ada sekatan jalan oleh tentera namun perjalanan itu dipermudahkan dengan penyediaan dokumen-dokumen.

  • Dua remaja 17 tahun maut motosikal bertembung

    Dua remaja 17 tahun maut motosikal bertembung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA remaja maut selepas motosikal mereka terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pukul 8.40 malam tadi .

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, insiden melibatkan dua mangsa masing-masing berusia 17 tahun itu melibatkan motosikal Yamaha Y15 ZR dinaiki mangsa dengan satu lagi motosikal jenis sama.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dua remaja terbabit datang dari arah Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Air Tawar 5.

    “Semasa sampai di jalan utama Felda Air Tawar 4, motosikal dua mangsa tersebut hilang kawalan dan bertembung dengan satu lagi motosikal Y15 ZR tersebut secara berdepan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Akibat kemalangan tersebut katanya, kedua-dua remaja tersebut cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Hussin, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui kejadian sebenar.

    “Orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama,” ujar beliau.

    Terdahulu, tular perkongsian dalam Facebook Orang Kota Tinggi berhubung kemalangan maut di jalan masuk Felda Air Tawar 4 itu yang membabitkan dua penunggang motosikal.

    Dalam hantaran itu mendakwa kawasan kemalangan itu sudah beberapa hari bergelap akibat lampu jalan yang tidak hidup.

    “Semoga dipermudahkan segala urusan dan salam takziah buat keluarga arwah,” tulisnya.

  • Dakwaan MP ambil air dari pili bomba untuk bekal air bersih disiasat

    Dakwaan MP ambil air dari pili bomba untuk bekal air bersih disiasat

    TINDAKAN murni seorang ahli Parlimen Pas membekalkan sumber air dari pili bomba di sebuah kawasan di Rantau Panjang, Kelantan yang mengalami gangguan bekalan air bersih, mengundang masalah.

    Ini kerana Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyiasat dakwaan penggunaan air daripada pili bomba tersebut.

    Menterinya, Nga Kor Ming berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya dengan sengaja mengambil air daripada pili bomba kerana fungsi utamanya adalah bagi membantu pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api dalam insiden kebakaran.

    “Kita akan siasat perkara ini sama ada ia benar-benar berlaku (atau sebaliknya). Dan sebarang tindakan kita akan ambil mengikut lunas undang-undang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Larian Bersama Bomba Malaysia Madani di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, dekat Ipoh, malam tadi.

    Program yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia itu disertai 3,500 peserta dalam kalangan anggota bomba dan orang awam.

    Pada masa sama, Kor Ming turut menyifatkan tindakan menyalahgunakan pili bomba itu sebagai kurang sesuai dan tidak bertanggungjawab selain meminta untuk mana-mana wakil rakyat menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat.

    Malah beliau menggesa dan berharap agar Kerajaan Kelantan dapat menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri itu segera.

    “Ini sepatutnya tidak berlaku kerana kegunaan pili bomba adalah untuk tujuan kecemasan. Jika semua orang gunakan air daripada pili bomba (untuk kegunaan sendiri), dan pada masa sama kalau berlaku situasi kebakaran macam mana?

    “Oleh sebab itu saya harap semua pemimpin masyarakat dan ahli parlimen untuk menunjukkan contoh baik, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

    “Jangan cuba untuk mengambil air daripada pili bomba kerana saya berpandangan tindakan itu kurang sesuai dan kurang bertanggungjawab,” ujarnya lagi, lapor Astro Awani.

    Kor Ming mengulas berkenaan tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Zailah Mohd. Yusuff yang didakwa menghantar bekalan air di kawasan yang terjejas dengan menggunakan air daripada pili bomba.

    Berdasarkan laporan berita daripada portal Harakahdaily, Zailah dilaporkan berkata pihaknya menyediakan lori tangki yang mana sumber airnya diambil daripada pili bomba sebelum dihantar ke kampung yang mengalami masalah bekalan air bersih.

    Dalam laporan bertarikh 20 April itu, Zailah berkata perkara itu dilakukan sebagai memenuhi keperluan bekalan air untuk penduduk menyambut untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kawasanya.

  • Bau busuk disangka dari tandas rupanya disebabkan mayat belakang rumah

    Bau busuk disangka dari tandas rupanya disebabkan mayat belakang rumah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SANGKAAN seorang individu bahawa bau busuk di rumahnya datang dari tandas, meleset apabila dia kemudiannya menemukan pula mayat seorang wanita di belakang kediaman tersebut di Taman Perpaduan, Sungai Petani , Kedah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 5.47 petang.

    Katanya, saksi mendakwa pada mulanya dia menyangka bau busuk di rumahnya berpunca daripada tandas.

    “Individu berkenaan lalu membasuh tandas rumahnya namun bau busuk itu tidak hilang.

    “Dia kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut dengan membuka pintu belakang. Sebaik membuka pintu belakang, dia ternampak mayat seseorang dalam longkang,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dijalankan pihak polis mendapati mayat wanita itu hanya berpakaian baju kelawar tanpa pakaian dalam.

    Zaidy berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat wanita terbabit trlah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

    Katanya, sesiapa yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga, diminta tampil bagi menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat.

    “Buat masa ini polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum mendapat keputusan hasil bedah siasat,” katanya.

  • Tiada agenda pancing undi Melayu melalui Proklamasi Melayu

    Tiada agenda pancing undi Melayu melalui Proklamasi Melayu

    Oleh BADLISHAH MAT

    PROKLAMASI Melayu yang ditandatangani pimpinan Pas baru-baru ini bukan platform untuk parti itu meraih sokongan orang Melayu agar memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, gagasan berkenaan juga tidak melibatkan isu parti politik, sebaliknya di luar daripada kerangka politik.

    Malah, proklamasi itu turut tidak menjurus kepada komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kita rangka lebih awal sebelum ada apa-apa berita akan berlaku PRN lagi. Sepatutnya dilancar pada Mac, oleh itu ia tidak ada kaitan dengan PRN.

    “Tetapi disebabkan ketika itu semua premis yang dimohon dibatalkan di saat akhir sebanyak empat kali, ia menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim juga menolak dakwaan yang mengaitkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui proklamasi tersebut ada kaitan dengan pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Tak ada kena mengena dengan pembekuan akaun Bersatu. Kita terbuka menerima semua pihak yang mahu bersama dengan PN,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau menegaskan Pas tiada kaitan dengan dakwaan wujud usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk memiliki akuan sumpah berkanun (SD).

    Namun, pihaknya bersedia terhadap sebarang kemungkinan, selagi perkara itu berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan dibenarkan secara demokrasi.

    “Selagi dibenarkan undang-undang dalam sistem negara kita, kita anggap sebagai sah daripada aspek Perlembagaan. Kalau sekiranya ada gerakan, tak ada masalah dan tak wajar ada isu.

    “Saya pun tidak tahu siapa yang mulakan dengan mainan nombor (SD). Kami tiada kaitan. Lagipun isu SD ini tidak melibatkan ia perlu dibawa kepada Perdana Menteri,” katanya.

  • Rumah terbuka Pas di Kedah tak guna dana kerajaan negeri

    Rumah terbuka Pas di Kedah tak guna dana kerajaan negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGANJURAN Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Alor Setar, hari ini sama sekali tidak menggunakan dana kerajaan negeri, malah bukan untuk menyaingi Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan Kerajaan Persekutuan di Kedah, minggu lalu.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan serentak oleh Pas pusat dan negeri itu berbeza kerana dianjurkan sepenuhnya oleh parti politik.

    “Saya nampak sambutan kepada rumah terbuka anjuran parti-parti politik sangat meriah di Kedah. Mungkin kerana menjelang pilihan raya. Menu pun sedap-sedap. Tapi menu kita dibuat oleh kawasan-kawasan (Pas) dan negeri-negeri, tak pakai kementerian-kementerian,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kepimpinan-kepimpinan lain.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika menyampaikan ucapan berkata, majlis rumah terbuka Pas itu juga dilakukan di premis parti yang membantu mereka lebih berjimat berbanding diadakan di lokasi lain.

    “Saya nak maklum sehingga ke peringkat majlis sambutan raya pun kita cukup cermat untuk guna dana kerajaan. Rumah terbuka Menteri Besar Kedah buat atas nama kerajaan negeri 100 peratus, sepatah pun tidak ada perkataan untuk undi Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengajak ahli gabungan itu untuk mengekalkan istiqamah berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Marilah kita bekerja hanya 60 hari lagi nak hadapi PRN. Apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri setakat ini adalah paling baik yang kita mampu buat. Jom kita gandakan apa yang kita sudah lakukan.

    “Kita bertanding semua kerusi DUN Kedah, saya percaya paling banyak Pakatan Harapan (PH) boleh menang pun tiga kerusi. Kalau boleh nak ambil semua tapi depa kata taruh beda (simpan) untuk berubat sama,” katanya.

    Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan sudah menampakkan tanda-tanda ketidak sepakatan biarpun baru lima bulan mentadbir.

    Sementara itu , beliau memberitahu telah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk membayar saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar minggu lalu.

    “Peguam saya sedang urus dengan peguam dia. Itu saya kata hal ini peguam dengan peguam sebab kita dah lantik peguam masing-masing. Tak payah guna Facebook, TikTok apa semua tu. Tak ada isu bankrap tak bayar, semua diurus peguam. Dia nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau 31,000 (majoriti undi kalah) apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.

    “Saya dengar dia nak bertanding di Derga atau Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang ni, dia tumpang orang itulah. Tak dak kes pun dia cerita kes supaya nama dia boleh naik. Itu politik Mahfuz, sejak muda sampai tua, Kita kenal dia,” katanya.