Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 820 kilogram (kg) sayur jenis akar teratai dicemari tanah di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri semalam.

Menurut Maqis dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil pemeriksaan oleh pegawai penguasa mendapati akar teratai dimuatkan dalam 82 kotak bernilai RM7,000 itu dibawa masuk dari Singapura.

Jabatan berkenaan memberitahu, pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran pada pukul 2.50 petang itu, telah menemukan muatan 1,060 sayur jenis akar teratai dan mendapati sebanyak 820kg sayur tersebut dicemari dengan tanah.

“820kg sayur tersebut dimuatkan di dalam 82 kotak sayur bertanah yang disorokkan di bahagian bawah dan ditindih menggunakan kotak sayuran yang bersih bagi mengaburi mata pegawai pemeriksa dan telah ditahan,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

Tegasnya, mengimport produk pertanian dengan kehadiran perosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here