Category: Semasa

  • Anak gagal bayar hutang, ibu bapa diugut along

    Anak gagal bayar hutang, ibu bapa diugut along

    SEPASANG suami isteri hidup dalam ketakutan selepas diugut beberapa pemberi pinjaman wang secara haram atau ‘along’ kerana tindakan anak lelakinya yang gagal membuat bayaran selepas meminjam wang daripada pihak terbabit.

    Mangsa yang mahu dikenali sebagai Miss Khong, 54, menyatakan dia dan suaminya menerima ugutan termasuk mahu membakar kediaman mereka di Taman Desa Pengkalan selain menyimbah najis ke rumah itu sekiranya tidak membayar pinjaman anak mereka.

    “Anak saya berusia 31 tahun sebelum ini memang pernah berhutang dengan along sejak 10 tahun lepas dan sebelum ini kami sudah pernah melangsaikan hutang anak lebih RM5,000 tetapi tabiat meminjam masih berterusan sehingga dia melarikan diri pada 14 April 2021. 

    “Selepas dia menghilangkan diri, ada beberapa along daripada tiga syarikat menghubungi saya dan menuntut kami menjelaskan hutang berkenaan termasuk ugutan menyebabkan saya terpaksa membuat kenyataan di akhbar mengenai perkara itu, selain laporan di Balai Polis Pekan Baharu kerana tidak tahan dengan gangguan mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Ipoh hari ini. 

    Miss Khong berkata terbaharu pada Rabu lepas, beliau menerima ugutan menerusi panggilan termasuk melalui aplikasi WhatsApp agar melunaskan pinjaman yang dilakukan anaknya yang tidak diketahui jumlah sebenar, atau individu terbabit menularkan muka anaknya. 

    “Saya merayu kepada individu yang meminjamkan wang kepada anak saya supaya tidak mengganggu keluarga kami memandangkan kami tidak lagi berhubungan dengan anak kami sejak dia menghilangkan diri dua tahun yang lepas.

    “Sekarang saya sudah tiada wang untuk membantunya lagi. Saya juga tidak tahu anak saya berada di mana, malah saya bimbang kalau-kalau nyawa saya dan suami terus terancam,” katanya. 

    Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Ipoh Timur Yeong Seng Hoong berkata wanita berkenaan datang membuat aduan ke pejabatnya mengenai perkara itu Rabu lepas.

    “Kami nasihatkannya untuk membuat laporan polis dan berharap siasatan polis dapat membantu keluarga ini.

    “Dalam kes seperti ini, along sepatutnya mencari penghutang dan bukan secara terus mengganggu ahli keluarga,” katanya.

  • Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

    Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan polis terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd masih berjalan.

    “Pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berusaha membawa pulang Jho Low.

    “Kertas siasatan terhadap Jho Low dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

    “Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

    “Pertuduhan ke atasnya (Jho Low) sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

    Pada masa ini katanya, beliau masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung usaha membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan.

    “Apa yang saya tahu usaha membawa balik Jho Low sedang giat dilakukan oleh SPRM, namun saya masih belum mempunyai butiran lanjut kerana belum berkesempatan bertemu Tan Sri Azam Baki,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata tiada sebab untuk siasatan kes berkenaan ditutup sehingga Jho Low dihadapkan ke mahkamah.

  • JKNS nafi murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba

    JKNS nafi murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menafikan bahawa kematian seorang murid perempuan di Klang adalah berpunca daripada strok haba seperti yang ditularkan di media sosial.

    Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan berkata berdasarkan rekod pemeriksaan kanak-kanak berusia 10 tahun itu, beliau telah hadir ke klinik dalam keadaan kritikal dan didiagnos sebagai gastroenteritis akut dengan komplikasi.

    “Rawatan sewajarnya telah diberikan sebelum beliau dirujuk ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Namun, beliau telah meninggal dunia pada 9 Mei dan tidak mengalami strok haba seperti yang ditularkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook JKNS.

    Terdahulu, Dr Sha’ari berkata pihaknya telah menerima makluman berhubung mesej tular mengenai kematian seorang murid perempuan dipercayai strok haba yang melibatkan seorang murid sekolah di Selangor pada 10 Mei lalu.

    “Kejadian itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang datang mendapatkan rawatan di salah sebuah klinik kesihatan di Klang.

    “Beliau mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan malam pada 8 Mei. Keesokannya, mangsa telah dibawa ke klinik dan hasil pemeriksaan mendapati beliau hadir dalam keadaan kritikal dan didiagnos kes gastroenteritis akut dengan komplikasi,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Sha’ari turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan gejala cirit-birit dan muntah yang dialami kerana jika tidak terkawal, ia berpotensi untuk menyebabkan situasi kekeringan khususnya dalam musim cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

  • Sultan Perak perkenan guru diberi penghormatan baca khutbah Jumaat

    Sultan Perak perkenan guru diberi penghormatan baca khutbah Jumaat

    SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan supaya guru-guru di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat hari ini di beberapa masjid sebagai mengiktiraf peranan penting golongan itu kepada negara, bersempena dengan Hari Guru yang akan disambut 16 Mei ini.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan berkata Sultan Nazrin telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri ini bertemakan “Guru Insani: Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun”.

    “Ini merupakan kali pertama guru-guru di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid dalam negeri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

    Di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak di Ipoh, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Ipoh.

    Keberangkatan tiba Raja Jaafar kira-kira 1 tengah hari disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Perak Muhammad Yahya membacakan khutbah di masjid itu hari ini dengan lengkap berbaju Melayu.

    Menerusi khutbah itu, Muhammad berkata guru insani bukan sahaja memiliki pengetahuan dan menguasai ilmu, malah memiliki sifat-sifat mulia seperti sabar, tekun, prihatin, hormat, serta daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi insan lain.

    “Warga pendidik berperanan besar dalam usaha mencanai pemikiran warga, agar terbina masyarakat yang bertamadun, berakhlak mulia, tinggi budi pekerti, berhemah, bermaruah, jujur, ikhlas, matang berfikir, menghargai keamanan dan kerukunan, serta bersifat patriotik kepada negara bangsanya,” kata Muhammad.

    Menurutnya, guru memenuhi peranan mengajar dan mendidik, turut berperanan sebagai pengasuh dan pembimbing, memberikan panduan serta teladan.

    Antara masjid lain di negeri ini yang memberi penghormatan kepada guru untuk membacakan khutbah Jumaat ialah Masjid Daerah Kinta Utara yang juga Masjid Sultan Azlan Shah, Masjid Daerah Kinta Selatan dan Masjid Daerah Kuala Kangsar.

    Sementara itu, Muhammad ketika ditemui berkata penghargaan dan penghormatan yang diberikan pada hari ini sekurang-kurangnya membolehkan warga pendidik itu memberikan input khususnya kepada masyarakat berkaitan tanggungjawab guru.

    “Alhamdulillah, ini merupakan satu peluang yang sangat dihargai. Kalau bukan berjawatan sebagai imam ataupun khatib di masjid memang tidak dapat diberi peluang (membacakan khutbah Jumaat di masjid),” katanya.

  • Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

    Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

    SEORANG bekas pemain ragbi Sabah yang masih aktif bermain untuk sebuah kelab tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membunuh adik perempuannya minggu lalu.

    Arden Mattson Maturin, 26, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Berita Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan dan Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Albert Basiri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Arden didakwa membunuh Audrey, 24, antara 3.30 hingga 4.30 petang di rumah Nombor 10, Taman Prestij, Jalan Signall Hill, di Kota Kinabalu pada 4 Mei lalu.

    Media melaporkan mangsa ditemui ayahnya kira-kira 4.50 petang hari sama dalam keadaan tertiarap, berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di muka.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

  • Tiga dipenjara simbah cat merah, beri notis ugutan

    Tiga dipenjara simbah cat merah, beri notis ugutan

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 26 hari terhadap tiga lelaki atas pertuduhan menyimbah cat berwarna merah dan memberi notis berunsur ugutan di rumah dua wanita bulan lalu.

    Hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua mereka mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Beliau turut berpesan kepada kesemua tertuduh, Ameerul Ridhuan Shamsudin, 29, yang bekerja sendiri, Mohd. Lutfi Laily, 31, bekerja sebagai penghantar makanan dan Mohd Rusdy Safuan Laily, 29, tidak bekerja supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu.

    “Jangan nak ugut-ugut lagi. Dah insaf ke belum,” soalnya, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman tanpa lesen didapati telah mengganggu peminjam wang iaitu seorang wanita berusia 41 tahun dengan menyimbah cat berwarna merah di pekarangan rumah dan pagar rumah mangsa serta memberikan notis berunsur ugutan ‘ini peringatan pertama hutang wang, bayar wang. Jika awak orang masih tak nak selesaikan hutang, new year saya buat teruk’.

    Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023, pukul 5.42 pagi di sebuah rumah di Taman Pinggiran Golf di Seremban.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan hukuman Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sekiranya ia kesalahan kedua atau berturutan, akan dikenakan sebatan.

    Mengikut pertuduhan kedua, mereka turut melakukan kesalahan sama di rumah seorang wanita berusia 52 tahun dengan memberikan notis berunsur ugutan ‘jangan cat kami tukar jadi petrol’.

    Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023 pukul 5.30 pagi di Taman Paroi Jaya di Seremban.

    Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi hukuman ringan kerana masing-masing perlu menjaga ibu yang sedang sakit selain mengaku sudah insaf.

    Timbalan Pendakwa Raya, M. Kalaivaanan mohon hukuman berat terhadap kesemua tertuduh yang dapat memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam lebih daripada kepentingan peribadi.

    Katanya, ia juga sebagai mesej jelas kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 12 hari penjara bagi pertuduhan pertama dan 14 hari penjara bagi pertuduhan kedua serta tertuduh diminta tidak berhubung lagi dengan pengadu.

  • Awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas dekat Pulau Bidan, Yan

    Awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas dekat Pulau Bidan, Yan

    SEORANG awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas ketika sedang memukat bilis di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, Yan, petang semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata mangsa Donbagee Tingsa, 33, dipercayai terjatuh dari bot pada pukul 2.25 petang sebelum Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada 2.35 petang sejurus menerima maklumat.

    Beliau berkata ketika kejadian, bot nelayan warga tempatan yang berpangkalan di Tanjung Dawai, Kuala Muda sedang melakukan aktiviti memukat ikan bilis sebelum menyedari mangsa tiada di atas bot.

    Katanya, usaha mengesan mangsa diteruskan pagi ini yang turut disertai Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan meliputi keluasan kira-kira 9.38 batu nautika persegi.

    “Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),” katanya.

    Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerusi talian 04-7310579.

  • PGA rampas pistol bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing

    PGA rampas pistol bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 merampas sepucuk pistol semi auto bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing yang cuba masuk tanpa kebenaran ke negara ini.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata kira-kira 8 malam pada 10 Mei, anggota PGA yang melakukan Rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis telah menahan 12 warga asing di kawasan semak berdekatan dengan pos kawalan sempadan C32 di Chuping.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sarung pistol berwarna hitam, sepucuk pistol jenama Desert Eagle 9mm, satu kelopak peluru dan 16 butir peluru hidup 9mm di dalam sebuah beg sandang seorang daripada suspek lelaki berumur 22 tahun,” katanya kepada pemberita di Padang Besar hari ini.

    Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu Supt Ramli Wan Salin.

    Mohd Shokri berkata hasil soal siasat, suspek mendakwa bahawa dia telah diminta oleh seorang ejen dari negara jiran untuk membawa senjata api itu ke negara ini.

    Katanya, 12 warga asing yang ditahan itu ialah tujuh lelaki dewasa berumur 22 hingga 48 tahun, tiga wanita (berumur 27 hingga 47 tahun) dan dua kanak-kanak permpuan berumur satu dan sembilan tahun.

    “Kesemua suspek masuk ke negara ini melalui Thailand dan dipandu arah oleh seorang lelaki warga Thailand, mereka masuk ke Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan di Padang besar dengan membayar wang sejumlah RM3,000 kepada ejen,” katanya.

    Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dan hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    Mohd Shokri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.

    Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 dan siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

  • Pemuda UMNO kritik Mat Sabu berhubung lantikan politik dalam agensi pertanian

    Pemuda UMNO kritik Mat Sabu berhubung lantikan politik dalam agensi pertanian

    PEMUDA UMNO mengkritik keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dipimpin oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

    Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu supaya menarik semula lantikan tersebut kerana tindakan itu adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dua hari lalu, KPKM mengumumkan lantikan tiga pemimpin Amanah iaitu Faiz Fadzil sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mahfuz Omar sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

    Sementara itu, Azman Ismail dari Parti Keadilan Raktyat (PKR) serta Sheikh Umar Bagharid Ali daripada DAP masing-masing diberi tanggungjawab menerajui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

    Menurut Akmal, lantikan itu perlu diteliti semula kerana ia bercanggah dengan pendirian reformasi yang diperjuangkan Anwar yang menentang amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Walaupun itu hak prerogatif menteri seperti kita sedia maklum tetapi kena diambil kira prinsip yang kerajaan pegang dan janjikan,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian.

    “Saya minta perdana menteri lihat semula prinsip yang ditetapkan itu dan teruskan berpegang kepada prinsip berkenaan serta tunaikan apa yang dijanjikan.

    “Kalau ia tidak dikotakan, saya risau rakyat akan mula benci, muak dan mereka tak mahu lagi ambil tahu pasal politik negara.”

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, teguran itu dibuat oleh pihaknya selepas mendapati perbuatan tersebut adalah salah dan perlu diperbetulkan.

    Tambahnya, semua pihak tidak kira parti politik perlu tunaikan apa yang telah dijanjikan agar rakyat tidak muak dengan ahli politik.

    “Kalau rakyat berasa demikian terhadap kerajaan, maka ini isu serius dan membahayakan,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Dua lelaki didakwa kes letupan guna alat kawalan jauh

    Dua lelaki didakwa kes letupan guna alat kawalan jauh

    DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan letupan di depan sebuah kedai minggu lalu.

    Alex Lau, 32, dan Lai Meng Sien, 34, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibaca kepada mereka di depan Majistret Nur Farahain Roslan, lapor FMT.

    Kedua-duanya didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

    Lau dan Lai didakwa menyebabkan letupan di depan sebuah kedai di kondominium Tiara Mutiara 1 di Jalan Puchong dan Jalan Klang Lama pada 6 pagi 2 Mei lalu.

    Dua tertuduh itu didakwa mengubah suai paip PVC menjadi bahan letupan buatan sendiri (IED) yang diledakkan melalui kawalan jauh untuk menyebabkan letupan.

    Peguam Izhar Ahmad Azmi yang mewakili kedua-duanya, merayu ikat jamin rendah.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 bersama seorang penjamin untuk setiap tertuduh serta mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk serahan dokumen oleh pendakwaan kepada pembelaan.