Category: Semasa

  • Kerajaan Perpaduan mampu lepasi PRU16, kata Zahid

    Kerajaan Perpaduan mampu lepasi PRU16, kata Zahid

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

    Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut mampu dicapai sekiranya gabungan politik sedia ada mampu mengangkat idealisme dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Kedudukan kerajaan ketika ini sedang menyaksikan sejarah lakaran terbaharu dalam arena politik yang dibentuk dalam semangat kepelbagaian.

    “UMNO dan Barisan Nasional (BN) meminta jangan lagi pernah menoleh ke belakang, rakyat seluruh negara mahu PM bersama 19 parti yang ada terus memacu Malaysia sebagai negara terkehadapan.

    “Perkara ini dibuktikan, saya saksikan dalam majlis Aidilfitri yang kita hadiri, saya terkejut sebagai rakan lama (politik), kita terpinggir selama 25 tahun dan sekarang kita bersama semula… saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, Kerajaan Madani pasti lepasi PRU16,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    Zahid juga berhasrat agar Anwar mampu mengembalikan semula Malaysia antara yang di hadapan dalam kalangan negara ASEAN.

    Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai soal kejayaan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang tidak akan terbentuk tanpa kerjasama UMNO.

    Ahmad Zahid berkata, meskipun hanya menyumbang 30 kerusi Parlimen namun ia telah menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

    “UMNO dan BN, biarpun 30 kerusi Parlimen, kami adalah pelengkap. Jika Pakatan Harapan (PH) ada 82 (kerusi) tanpa yang 30 tidak ada Kerajaan Perpaduan.

    “Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar, tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Anwar dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menyifatkan perhimpunan yang berlangsung di Dewan Merdeka ini sebagai satu sejarah kerana kesemua 19 parti politik berada di bawah satu bumbung yang sama.

    “Buat apa kita berlawan, kita kukuhkan Kerajaan Perpaduan. 25 tahun lampau di Dewan Merdeka ini menyaksikan insan bersama dengan kita, telah diaibkan, dihina, dan dizalimi. 25 tahun kemudian insan itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

    “Dulu ramai sangat fobia dengan Dewan Merdeka… tapi itu dulu, sekarang realitinya kita bentuk politik baharu, politik Kerajaan Madani.

    “Dulu ada yang memandang warna merah dan biru sangat fobia. Saya ucapkan tahniah kepada sekretariat… tiada perbezaan warna, hanya warna putih,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

  • DAP nafi dominasi kerajaan, majoriti masih bumiputera, kata Loke

    DAP nafi dominasi kerajaan, majoriti masih bumiputera, kata Loke

    DAP menafikan dakwaan kononnya bakal mendominasi pemerintahan Kerajaan Perpaduan menerusi jalinan kerjasama yang telah dibentuk.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bukti itu boleh dilihat berdasarkan kedudukan dan angka yang jelas melibatkan Ahli Parlimen di dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Biar fakta berbicara kerana kerajaan hari ini didokong oleh 148 Ahli Parlimen yang terdiri daripada 77 bumiputera beragama Islam, (16) bumiputera bukan Islam, Cina (43), India (12) dan lain-lain.

    “Maksudnya di sini majoriti dalam Kerajaan Perpaduan masih didokong oleh Melayu beragama Islam dan bumiputera,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ucapan pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    Mengulas lanjut, Loke menyatakan, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur negatif malah DAP juga tidak meletakkan syarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk gabungan politik.

    Katanya, kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini juga menjadi bukti setiap parti politik mendokong penuh prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara.

    “Perkara ini adalah selepas titah Yang di-Pertuan Agong yang mencadangkan kesemua parti politik agar bekerjasama untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan kedudukan Parlimen yang tergantung.

    “Matlamat utama ketika ini adalah memastikan jalinan kerjasama yang jitu melibatkan pelbagai kaum kerana persaingan bukanlah tertumpu di dalam negara namun melibatkan dunia luar,” katanya lapor Astro Awani.

  • Tak tahan desakan bayar hutang, jurujual buat laporan palsu dirompak

    Tak tahan desakan bayar hutang, jurujual buat laporan palsu dirompak

    SEORANG jurujual didenda RM400 susulan membuat laporan palsu dirompak kerana tidak tahan menerima desakan supaya melunaskan hutang.

    Tertuduh, Nur Zaman Nasir, 31, memberikan alasan itu selepas disoal peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebelum Majistret Nur Asidah A Rahman menjatuhi hukuman denda itu, di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

    “Saya terpaksa membuat laporan palsu dirompak kerana desakan daripada peminjam supaya melunaskan hutang mereka,” katanya menurut Harian Metro.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan di Balai Polis Sri Gading mendakwa beg sandang miliknya disamun pada 4.10 petang, 5 April lalu.

    Dalam laporan itu, tertuduh mendakwa kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Jalan Rahmat menuju ke Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat.

    Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan bersabit laporan dibuat tertuduh mendapati ia palsu dan sengaja diada-adakan cerita bagi mengelak dia membayar hutang.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukannya.

    Tan bagaimanapun meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh perlu membesarkan dua anak berusia dua hingga empat tahun serta menjaga ibunya berusia 58 tahun yang sakit.

  • Umum projek mega:Anwar cakap tak serupa bikin – Razali

    Umum projek mega:Anwar cakap tak serupa bikin – Razali

    DATUK Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak menjalankan tadbir urus secara pilih kasih berikutan tindakannya mengumumkan peruntukan tambahan dan projek mega di beberapa negeri yang dilawati sejak menerajui kerajaan Pusat.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tindakan tersebut bertentangan meskipun sebelum ini sudah berikrar untuk tidak meneruskan amalan tersebut.

    Jelasnya, tindakan terbaharu Perdana Menteri di Negeri Sembilan yang mengumumkan keputusan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah lebih RM1 bilion di negeri itu hanya membuktikan beliau bersikap ‘hipokrit’ dan tidak menepati janji-janjinya sebelum menjawat jawatan tersebut.

    Ini termasuk juga katanya, pengumuman Anwar kepada Pulau Pinang berhubung pelaksanaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan dan peruntukan khusus sebanyak RM1.6 bilion kepada negeri Kedah seperti yang diumumkan pada 3 Mei lalu.

    “Di Kelantan beliau kata akan cari dana untuk selesaikan masalah air dan di Selangor beliau ada umum peruntukan RM35 juta bagi memperluas pelaksanaan program Kita-Untuk-Kita (K2K) di 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor.

    “Pada saya, beliau cakap tak serupa tak bikin, saya harap rakyat kena sedar pembohongan demi pembohongan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Beliau mengulas mengenai tindakan Anwar yang bertindak melanggar ikrarnya sebelum ini dengan mengumumkan dana tambahan dan projek mega ketika melawat beberapa negeri sebelum ini.

    Pada Januari lalu, Anwar berikrar tidak akan meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang disifatkannya selalu mengumumkan projek-projek pembangunan ketika melakukan lawatan di negeri-negeri terutama ketika menjelang pilihan raya.

    Razali berkata, tindakan itu juga memperlihatkan beliau cuba meraih sokongan rakyat di negeri yang terlibat dengan pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi.

    “Sebelum pilihan raya semua orang disalahkan, tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu.

    “Kalau kita tengok ciri-ciri orang munafik ini, apabila dia bercakap dia berbohong, apabila dia janji dia mungkir, bila diberi amanah tidak amanah. Tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu.

    “Mungkin cara dia bercakap macam boleh membantu kepada pelaburan baharu, tapi buatlah perkara ikut peraturan, untuk lulus berbilion-bilion tak berbincang ke,” soalnya.

    Tambahnya, Anwar juga dilihat sering melanggar prosedur operasi standard (SOP) permohonan projek dengan membuat pengumuman secara tiba-tiba.

  • Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

    Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

    DUA remaja lelaki dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas dihanyutkan arus sungai semasa mandi di Sungai Rajang berdekatan pekan Durin, kira-kira 26km dari Sibu, ditemukan lemas hari ini.

    Ketua Bomba Sibu, Andy Alie, berkata mangsa pertama, Justin Siaw ditemukan pada 7.35 pagi, manakala mangsa kedua Kong Wei Seng pada 8.15 pagi.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 15 tahun ditemukan pada jarak antara lima dan 10km dari lokasi kejadian.

    “Pengecaman kedua-dua mangsa dilakukan ibu bapa masing-masing di lokasi,” katanya menurut Bernama.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, dua remaja itu dikatakan sedang mandi di sungai berkenaan bersama seorang lagi rakan, apabila kedua-duanya dilihat dibawa arus dan terus tenggelam, kira-kira 10m dari jeti berhampiran.

    Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu bergegas memaklumkan kepada saudara-mara untuk meminta bantuan.

  • Kerajaan tidak kekal jika tak selesai masalah rakyat-Johari

    Kerajaan tidak kekal jika tak selesai masalah rakyat-Johari

    BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani berkata, mana-mana pihak menjadi kerajaan tidak akan kekal jika tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

    Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, justeru kerajaan perlu menumpukan kepada ekonomi rakyat dan negara bagi memastikan kestabilan politik.

    “Bila cerita tentang ekonomi rakyat, mereka mahukan makanan. Tidak kira mereka datang daripada T20, M40, atau B40.

    “Jangan sampai tidak ada ayam dan telur,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

    Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan juga perlu memberikan kualiti pendidikan, peluang pekerjaan, dan perumahan kepada B40.

    “Di samping dapat rumah, perlu ada perkara asas iaitu jalan raya yang efisien sampai ke rumah mereka dan mempunyai utiliti seperti elektrik, air serta internet,” katanya.

    Mengulas ekonomi negara, Johari berkata, kerajaan perlu berkebolehan membawa pelaburan dalam negara termasuk dari luar negara.

    Katanya, kerajaan juga apabila mendapat pendapatan hasil kutipan cukai perlu membelanjakannya untuk membina infrastruktur seperti sekolah, universiti, dan hospital.

    “Rakyat tak suka sakit…kerajaan perlu bina hospital-hospital dengan duit yang dapat ini untuk jaga kesihatan rakyat secara keseluruhannya.

    “Ekonomi rakyat dan negara saling kait antara satu sama lain dan untuk jayakannya, kerajaan perlu pastikan sebuah kerajaan itu dapat beri kestabilan politik, ada integriti di kaca mata rakyat, dan mempunyai pengalaman tadbir kerajaan,” ujarnya lapor FMT.

  • Perhimpunan aman Bantah Projek Tiga Pulau di Pulau Pinang dapat sambutan luar biasa

    Perhimpunan aman Bantah Projek Tiga Pulau di Pulau Pinang dapat sambutan luar biasa

    SEPERTI dijangka, perhimpunan aman bagi membantah projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang (PSI) yang diadakan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini mendapat sambutan luar biasa pelbagai pihak.

    Selain komuniti nelayan dari seluruh Pulau Pinang dan penduduk setempat, perhimpunan aman dikenali Bantah Projek Tiga Pulau yang digerakkan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) itu turut disertai wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik.

    Antara NGO terlibat termasuk Penang Forum; Sahabat Alam Malaysia (SAM); Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

    Selain itu, pemimpin parti politik yang turut serta terdiri daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Pas; Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan ramai lagi.

    Bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana pemimpin politik daripada gabungan Kerajaan Perpaduan yang menyertai perhimpunan aman itu termasuk pemimpin UMNO atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini turut membuat kenyataan membantah projek tersebut.

    Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian itu juga berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini dan dikawal rapi anggota polis.

    Dalam pada itu, Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya akan terus menyatakan bantahan terhadap projek tambak laut tersebut sehingga Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan projek terbabit serta projek-projek tambak laut yang sedang dirancang di negeri itu.

    Malah, ujar beliau, pihaknya juga merancang mengadakan perhimpunan aman di bangunan Parlimen dalam masa terdekat sekali gus menyerahkan memorandum kedua bantahan projek terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Selain itu, kami juga merancang menyerahkan memorandum bantahan projek ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon baginda melihat nasib nelayan di Pulau Pinang yang bakal terjejas dengan projek ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan aman tersebut.

    Dalam pada itu, Ibrahim, turut mencabar Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sama-sama turun ke laut bersama nelayan di perairan selatan Pulau Pinang bagi melihat sendiri kekayaan sumber laut kawasan itu yang dipenuhi pelbagai spesis ikan dan udang.

    Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya terdapat ahli-ahli PenMutiara yang dipaksa menyertai himpunan aman terbabit memandangkan semua nelayan berdaftar bergerak seiring dengan peraturan PenMutiara.

    ”Kami berpegang kepada Peraturan 27 (1) Persatuan Nelayan Akta Persatuan Nelayan 1972 yang mana ahli (nelayan) tidak boleh membuat sebarang perlakuan yang memudaratkan persatuan dan seorang ahli itu perlu bergerak seiring dengan tujuan-tujuan persatuan,” katanya.

    Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

    Bagaimanapun, komuniti nelayan khususnya di kawasan Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung dengan projek tambakan itu dan beberapa NGO mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan terus projek itu, bukannya mengecilkan saiz tambakan.

    Malah, mereka mendakwa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini tidak lagi mempunyai apa-apa justifikasi atau alasan untuk meneruskan projek terbabit selepas Kerajaan Pusat akan menyediakan dana dalam jumlah besar bagi membiayai projek transit aliran ringan (LRT) di negeri itu.

    Projek tambak laut PSI itu pada mulanya dirancang melibatkan tambakan kawasan laut seluas 1,821 hektar bagi membina tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan modal bagi menjalankan projek di bawah Pelan Induk Pembangunan (PIP) yang termasuk pembinaan LRT.

  • ‘Geng Perpaduan’ komitmen perkukuh perpaduan rakyat – Fadillah

    ‘Geng Perpaduan’ komitmen perkukuh perpaduan rakyat – Fadillah

    INISIATIF ‘Geng Perpaduan’ atau ‘GP’ bukti komitmen semua parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan ke arah memperkukuhkan perpaduan demi membina negara bangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Beliau berkata inisiatif itu juga adalah usaha meneguhkan lagi perpaduan bukan sahaja dalam kalangan parti dalam kerajaan, tetapi untuk menarik minat golongan muda bersama Pemuda Perpaduan bagi menggerakkan agenda perpaduan di seluruh negara.

    “Asas kekuatan sebuah negara adalah perpaduan daripada pelbagai lapisan masyarakatnya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

    “Jika kita bersatu, Insya-Allah semua perkara lain yang kita rencanakan untuk bangunkan negara bangsa yang lebih kukuh, harmoni dan makmur dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Pemuda Perpaduan, di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Fadillah menghadiri konvensyen itu dan melancarkan GP serta Tekad Pemuda Perpaduan pada majlis berkenaan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023.

    Sementara itu, Fadillah berkata konvensyen hari ini menjadi wadah kepada sayap pemuda dan belia setiap parti di bawah payung Kerajaan Perpaduan untuk mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

    Katanya dengan mencari persamaan dan nilai kebersamaan pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan, segala usaha untuk membantu rakyat dapat digarap dengan lebih baik.

  • 160 petugas haji berlepas ke tanah suci

    160 petugas haji berlepas ke tanah suci

    SERAMAI 160 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1444H/2023M berlepas ke tanah suci hari ini sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji dari Malaysia.

    Kumpulan yang berangkat pada hari ini antaranya petugas kebajikan, perubatan, beberapa agensi luar dan wakil media, lapor Astro Awani.

    Keberangkatan semua petugas dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini.

    Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, secara keseluruhan seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi untuk menjalankan operasi haji tahun ini.

    “Daripada jumlah tersebut, 340 orang adalah petugas kebajikan, perubatan (296), dan selebihnya adalah daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil media.

    “Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas pada haji Jumaat, 12 Mei lalu dan akan disusuli dengan tiga kumpulan besar pada hari ini (14 Mei), 18 Mei, dan 20 Mei 2023,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Penerbangan pertama bagi jemaah haji negara adalah pada 21 Mei 2023, manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada pada 1 Ogos 2023.

    Sebanyak 98 penerbangan sewa khas akan digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia, yang melibatkan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

    Sementara itu, lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri.

    Antara stesen berlepas termasuklah di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

  • Akmal mohon maaf kritik pelantikan pimpinan PH di agensi bawah Mohamad Sabu

    Akmal mohon maaf kritik pelantikan pimpinan PH di agensi bawah Mohamad Sabu

    KETUA Pergerakan Pemuda UMNO memohon maaf secara terbuka atas kritikannya terhadap keputusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui agensi utama di bawah kementerian itu sebelum ini.

    Ini susulan kritikan Dr. Muhamad Akmal Saleh yang membuat keritikan terhadap lima pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

    Melalui sesi dialog dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023, hari ini, Muhamad Akmal menzahirkan permohonan maaf itu kepada parti Amanah.

    “Hari ini saya berdiri di atas pentas Kerajaan Perpaduan…saya faham hari itu bila kenyataan saya berhubung lantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (kritikan)…maka untuk sahabat Amanah, saya berbesar hati dan merendah diri ingin memohon maaf,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

    Mohamad juga adalah Presiden Amanah.

    Sebelum ini, Muhamad Akmal yang mengkritik keputusan pelantikan lima pemimpin PH itu dalam agensi utama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, meminta Mohamad supaya menarik semula lantikan terbabit.

    Ini membabitkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

    Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).