KERAJAAN Perlis menolak menggunakan logo Hari Kebangsaan diperkenal Putrajaya kerana mempunyai perkataan “Malaysia Madani”, namun tidak mempunyai masalah dengan tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.
Menteri Besarnya Mohd Shukri Ramli berkata tindakan itu bukan di luar kebiasaan dan pernah dilakukan blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar Ibrahim pada 2012 yang turut menyatakan tidak salah menggunakan logo dan tema berbeza dengan kerajaan pusat.
Pada 2012, PR menggunakan tema alternatif “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” bagi sambutan Hari Kebangsaan 2012, manakala tema rasmi kerajaan persekutuan adalah ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.
“Setakat ini (saya) belum dapat apa-apa lagi daripada pucuk pimpinan (Perikatan Nasional (PN)), jadi kita kena tunggu dan lihat dahulu dan perkara ini juga akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan PN terlebih dahulu.
“Namun, saya melihat kita boleh sahaja ikut (kerajaan pusat), tiada masalah cuma kita tidak pakai logo Malaysia Madani itu sebaliknya kita pakai moto (tema) sahaja,” katanya lapor Berita Harian.
Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Ahmad Fadhli berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
SELEPAS tragedi pesawat terhempas di Elmina pada Khamis lalu sehingga mengorbankan 10 nyawa, hari ini Shah Alam gempar lagi apabila satu kebakaran besar berlaku di Kampung Baru Sungai Buloh mengakibatkan enam buah kilang pembuatan perabot musnah.
Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.48 petang tadi.
Dalam satu kenyataan, Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Selayang, Damansara serta Rawang bergegas ke tempat kejadian .
“Jentera pertama tiba pada jam 5 petang. Kebakaran membabitkan enam premis kilang pembuatan perabot. Kerja pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor esok.
Sumber yang dihubungi memberitahu, penyandang jawatan Menteri Besar itu juga sudah menerima jemputan bagi menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Meteri Besar pada 11 pagi di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Katanya, barisan senarai Exco Kerajaan Negeri juga sudah dimuktamadkan dan dipersembah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diperkenan baginda beberapa hari lalu.
“Sebahagian besar barisan Exco negeri adalah muka baru dan orang muda,” katanya enggan mengesahkan sama ada, selain Amiruddin, ada Exco lama yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu minggu lalu turut dinamakan semula, lapor Harian Metro.
Sumber itu memberitahu, antara pemimpin muka baru yang dijangka diberi tanggungjawab menjaga portfolio kerajaan negeri termasuk ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
Katanya, selain itu, dalam kalangan DAP Selangor, ADUNBandar Utama, Jamaliah Jamaluddin juga antara yang turut tersenarai, sekali gus menjadikan beliau calon Melayu tunggal dari DAP yang diberi amanah berkenaan.
“Selain Jamaliah, ADUN Banting, Papparaidu Veraman juga turut diberitahu tersenarai bagi mewakili DAP,” katanya.
Sementara itu, ADUN Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga tersenarai, sekali gus mengenepikan seorang lagi ADUN UMNO yang turut menang PRN lalu iaitu ADUN Dusun Tua yang juga Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Johan Aziz.
Kenyataan Selangor Royal Office semalam memaklumkan, Sultan Selangor sudah memberi perkenan bagi Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor, esok.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Selangor juga akan berlangsung pada hari sama, jam 2 petang.
Kelmarin, Amiruddin yang juga Menteri Besar Sementara, mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan senarai berkenaan kepada Istana Selangor, dengan pengumuman mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan dilakukan pihak istana.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendesak kerajaan supaya segera menyahklasifikasikan perjanjian persempadanan maritim yang telah ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun lalu.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata, desakannya itu adalah demi untuk memelihara kepentingan awam dan seterusnya menghentikan spekulasi awam berhubung perjanjian itu selepas lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia.
“Penyahklasifikasian kandungan perjanjian itu bukan sahaja bakal menjawab persoalan sejauh manakah Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani tersebut tidak melibatkan kawasan blok Ambalat tetapi ia juga bakal menoktahkan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan.
“Blok Ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ia tidak boleh digadai sama sekali,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Tambah Ronald lagi, pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.
“Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu.
“Kita tidak boleh tolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara khususnya perairan Sabah, yang juga melibatkan zon ekonomi eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Ronald menegaskan bahawa penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan.
“Ini juga sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.
“Lebih merisaukan apabila beberapa media baru-baru ini melaporkan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat yang telah merujuk kenyataan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia sendiri, iaitu Tutuka Ariadji,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian itu akan memberi pededahan umum berhubung isu Anbalat seterusnya akan merungkai keraguan serta kerisauan rakyat khususnya di Sabah.
SEORANG pegawai dan anggota polis ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Majistret Labuan
Kedua-dua suspek berumur 42 tahun yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Labuan pada 3 petang semalam.
Pegawai berpangkat ASP dan anggota berpangkat koperal itu disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,950 melalui beberapa transaksi secara dalam talian dan mesin deposit tunai (CDM) sebagai galakan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu berhubung kesalahan berkaitan dadah pada September 2022 dan Mac 2023, lapor BERNAMA.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan (mana-mana yang lebih tinggi) atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai kanan polis dan 14 anggota dikenakan tahan tugas
DI KUALA LUMPUR, Seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Seremban, Negeri Sembilan, semalam telah dikenakan tindakan tahan tugas.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya juga sedang menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.
“Di peringkat polis, memang kita tidak akan bertolak ansur. Mereka sudah pun ditahan kerja, itu proses biasa dan selepas dituduh dan kalau disabit (bersalah) mereka akan digantung kerja hingga proses rayuan, sekiranya mereka nak buat rayuan, sama ada di mahkamah tinggi atau mahkamah rayuan.
“…jadi proses ini akan makan masa yang lama, yang pasti tindakan telah pun diambil. Kita tidak akan bertolak ansur sama ada polis atau lain-lain jabatan yang kita tangkap di pusat hiburan, kita ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Selain 15 anggota polis tersebut, seorang timbalan pendakwa raya dan seorang pendaftar mahkamah turut ditahan dalam serbuan itu.
Ayob Khan turut mengesahkan 16 daripada mereka positif dadah melibatkan 14 polis dan kedua-dua penjawat awam terbabit, selain kesemua individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurutnya setakat tahun ini, 741 tindakan tatatertib telah diambil dengan 60 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan buang kerja, sekali gus menunjukkan komitmen Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu tatatertib.
POLIS memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan video mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 (Peremier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie ,berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mana-mana pihak yang masih berdegil bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Saya nak seru kepada masyarakat jangan tularkan benda-benda ini, hormatilah privasi keluarga mangsa.
“Jangan sebarkan video-video ini, kalau ada salurkan kepada pihak polis. Macam-macam teori yang ada dan sebab itu saya katakan jangan buat spekulasi, biar pihak berkaitan buat siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, di Kuala Lumpur, hari ini, lapor BERNAMA.
Beliau menghadiri majlis pengebumian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut berkorban dalam nahas berkenaan.
Katanya, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan tiga individu yang terlibat dalam penyebaran video nahas berkenaan selain tidak menolak kemungkinan individu lain akan dipanggil berdasarkan kesesuaian dan permintaan untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat itu.
Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat ringan itu, manakala dua lagi ialah orang awam, masing-masing penghantar makanan bermotosikal dan pemandu e-hailing yang berada di kawasan nahas.
Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang itu pada jam 2.48 petang.
KESEMUA baki sembilan jenazah mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lepas dikebumikan hari ini.
Semua jenazah telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang secara berperingkat untuk dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah yang terletak hanya kira-kira dua kilometer.
Selesai mandi dan solat jenazah di masjid itu, kesemua jenazah kemudian dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumikan.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2 Kuala Lumpur sebaik sahaja jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun tiba.
Jenazah Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anak Allahyarham sendiri iaitu Muhammad Hafiz Naqiuddin.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Semalam jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, seorang lagi mangsa dalam tragedi pesawat terhempas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, pada 4 petang.
Sementara itu, jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira 12.50 tengah hari.
Terdahulu, jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin dengan dipimpin Imam Saudi Jusoh yang kemudian turut membacakan talkin.
Lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga menunaikan solat jenazah berkenaan.
Seorang lagi mangsa Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana kira-kira 1 tengah hari ini.
Sebelum dikebumikan, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan Pegawai Khas kepada Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang.
SELURUH kepimpinan UMNO harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, bukannya satu-satunya individu yang harus dipersalahkan,” kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Dałam wawancara dengan The Star, bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, “Kamu tak boleh salahkan seorang. Saya tidak bela Zahid atau sesiapa.Kita hanya bercakap tentang menang dan kalah. Dan kepimpinan secara keseluruhan perlu bertanggungjawab atas kekalahan ini,” kata Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li.”
Beliau turut mengingatkan, jika UMNO tidak berhati-hati, ia mungkin akan menyebabkan kehancuran kepada parti itu.
“Jadi saya meletakkan semua kesalahan kepada kepimpinan parti. Jika kamu mahu seseorang disingkirkan, seluruh kepimpinan perlu disingkirkan, dan kita mesti rombak parti,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata usaha merombak UMNO boleh dilaksanakan melalui pemilihan parti walaupun parti itu baru sahaja selesai melaksanakan pemilihannya lima bulan lalu.
“Kita mesti adakan pemilihan (parti) baru. Inilah pembaharuan yang sebenarnya. Kalau tidak, jangan cakaplah,” kata beliau.
Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak nampak calon lain yang sesuai untuk menggantikan Ahmad Zahid dan sebarang cadangan sedemikian perlu dibuat oleh lebih ramai ahli UMNO.
Bagaimanapun, katanya beberapa perkara perlu dipertimbangkan, termasuk pemimpin berkenaan “mesti tahu apa itu Melayu” dan memahami Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Razaleigh yakin sokongan orang Melayu merupakan kunci utama bagi kerajaan yang stabil.
“Kamu boleh mendapat undi yang bercampur-campur yang diperoleh Pas atau PN hari ini. Tetapi itu tidak mencukupi untuk memartabatkan negara bersama-sama.
Selama ini, dari 1955, kita stabil dalam ‘tanda kurungan’ kerana orang Melayu,” katanya.
“Ramai orang risau mengenai Anwar. Bolehkah Anwar dapat sokongan semua pengundi Melayu ini? Jika orang Melayu tidak bersama kamu, kamu tidak memiliki kerajaan yang stabil.
“Dia boleh dapat majoriti dua pertiga atau apa sahaja di Parlimen. Tetapi adakah dia mendapat sokongan besar orang Melayu di belakangnya?” katanya sambil menegaskan sokongan daripada bukan Melayu juga penting untuk mendapatkan kestabilan.
BN dan PH meletakkan seramai 108 calon pilihan raya di enam negeri baru-baru ini namun hanya 19 daripada mereka menang di kerusi yang dipertandingkan. UMNO disapu bersih di Kedah dan Terengganu, manakala hanya satu calon daripada parti itu menang di Kelantan.
DESAKAN supaya Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO kembali kedengaran apabila parti berkenaan mencatatkan prestasi yang amat mengecewakan semasa enam pilihan raya negeri 12 Ogos lalu.
Sokongan orang Melayu terhadap parti yang pernah menjadi kuasa politik paling dominan dalam negara itu merosot apabila daripada 108 kerusi yang ditandinginya, UMNO hanya memenangi 19 kerusi.
UMNO tiada tempat langsung di Kedah dan Terengganu apabila mereka ditolak sepenuhnya oleh rakyat kedua-dua negeri itu. Di Kelantan pula UMNO hilang enam kerusi disandang dan hanya menguasai kerusi DUN Galas. Prestasi di Selangor dan Pulau Pinang juga kurang memberangsangkan apabila masing-masing hanya berjaya menguasai dua kerusi DUN.
Hanya satu negeri sahaja iaitu Negeri Sembilan yang mencatat pencapaian boleh dibanggakan apabila memenangi 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi.
Berikutan luahan rakyat di peti undi itu, ada kalangan pimpinan UMNO dan akar umbi melihat penolakan terhadap parti itu adalah disebabkan jajaran politik baru yang dibawa Zahid. DAP yang menjadi musuh paling utama UMNO sejak sekian lama kini menjadi teman mesra UMNO hasil strategi Zahid.
Ramai juga melihat referendum di peti undi kali ini adalah kesinambungan rasa tidak puas hati penyokong UMNO yang tidak mahu Zahid terus mengemudi parti itu disebabkan 47 kes mahkamah yang dihadapinya.
Berikutan itu, desakan kembali berkumandang mahukan pembaharuan dalam UMNO dan kaedah paling segera ialah Zahid perlu mengosongkan kerusi nombor satu dalam UMNO itu. Jika hendak dibandingkan dengan desakan ketika ini dan desakan sama yang pernah dibuat selepas keputusan PRU15, maka dapat disimpulkan Zahid tidak akan sesekali berundur.
Ini kerana desakan lebih kuat dan bertali arus selepas PRU15 pun tidak mampu menurunkan Zahid, inikan pula tekanan yang kecil pada waktu ini. Maka, usah diharap Zahid akan mengalah kerana Timbalan Perdana Menteri itu sudah memberikan kenyataan yang jelas bahawa peletakan jawatannya dalam parti tidak akan menyelesaikan masalah dalam UMNO.
Lagipun, banyak implikasi besar akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan antaranya boleh menyebabkan sokongan dalam pimpinan kerajaan menjadi rapuh kerana bukan semua ahli parlimen UMNO bersetuju kerjasama dengan DAP.
Keduanya, jika Zahid meletakkan jawatan, tiada pimpinan lain yang boleh memangku jawatan berkenaan kerana semua barisan kepimpinan dalam UMNO yang ada ketika ini juga mempunyai ideologi yang sama seperti Zahid.
Daripada timbalan hinggalah kepada ahli MKT, semuanya sudah ‘mengampunkan’ dan boleh melupakan dosa-dosa DAP, bahkan menjadi pembela parti itu dengan memberikan penerangan kepada ahli akar umbi ‘kebaikan’ DAP di mata mereka.
Pemimpin yang diharapkan untuk membawa UMNO kembali ke landasan seperti Khairy Jamaludin, Hishamudin Hussein dan beberapa pemimpin lain pula telah dipecat dan digantung keahlian masing-masing memberikan pemahaman bahawa adalah sukar untuk parti itu kembali dipulihkan.
Ada juga pemerhati politik yang mengakui bahawa UMNO tidak lagi mampu diselamatkan kerana pergerakannya menuju kejatuhan tidak mampu dikekang lagi seperti sebuah kapal Titanic yang hampir karam ke dasar laut. Segala tindakan untuk menyelamatkan UMNO tidak semudah disangka kerana zaman kegemilangannya sudah berakhir.
Bagi orang Melayu Islam yang cintakan negara, kita tidak lagi boleh menaruh harapan bahawa UMNO akan pulih. Pilihan yang ada pada waktu ini adalah dengan menyokong Perikatan Nasional yang didokong Pas dan Bersatu kerana gabungan itu bukan sahaja satu-satunya pilihan yang ada, tetapi mereka juga boleh menjadi pengganti yang lebih baik berbanding UMNO.
DUA Timbalan Pendakwaraya, pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Seremban
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan seorang pegawai kanan polis, 14 anggota pasukan itu dan dua timbalan pendakwaraya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi tadi.
Mereka ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi.
Berita Harian melaporkan, brdasarkan laporan polis yang tular dalam media sosial, hanya seorang daripada yang ditahan disahkan negatif hasil ujian air kencing dijalankan, manakala selebihnya berada di bawah pengaruh dadah termasuk dua timbalan pendakwa raya terbabit.
Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Sementara dua timbalan pendakwa raya ditahan itu masing-masing bertugas di Shah Alam dan Negeri Sembilan.
Berdasarkan laporan JIPS, semua yang disahkan mereka positif berada di bawah pengaruh dadah jenis Ketamin, Amphetamin dan Methamphetamine. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mengesahkan serbuan dilakukan JIPS Bukit Aman dengan kerjasama IPK negeri di pusat hiburan terbabit awal pagi tadi.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci dengan alasan ini siasatan awal masih dijalankan.