SEMBILAN remaja di bawah umur ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan secara berasingan semalam, namun akan diberikan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil hari ini memandangkan masih merupakan pelajar sekolah.
”Polis mengesahkan ada penahanan dibuat berhubung dua kes pergaduhan berbeza di sekolah berkenaan.
”Sembilan individu yang ditahan adalah lapan pelajar sekolah dan seorang remaja yang tidak bersekolah,” katanya kepada pemberita di George Town, hari ini.
Terdahulu, video pergaduhan membabitkan pelajar di dalam tandas sebuah sekolah menengah yang di dakwa berlaku di Buterworth, dekat sini tular di dalam media sosial sejak semalam.
Insiden yang didakwa kejadian buli itu menimbulkan kemarahan warga maya yang meminta polis mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat.
Dalam pada itu, Kok Chin berkata, kes pergaduhan pelajar itu disiasat di bawah Seksyen 323 kerana mendatangkan cedera dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan pemimpin UMNO yang mahu ahli parti itu menyokong DAP dalam PRN tidak lagi menunjukkan UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau percaya dalam PRN nanti ia akan dapat membuktikan sebahagian besar orang Melayu sudah tidak mahu lagi mendokong perjuangan UMNO.
‘’Saya pun tahu, saya pernah jadi Timbalan Presiden (UMNP) semua yang berlaku pada hari ini sudah bercanggah bertentangan,tidak sehaluan bukan itu matlamat perjuangan asal,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO mengundi calon DAP di kawasan masing-masing
Kata Ahmad Maslan, langkah itu demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dan tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apa yang mahu dilakukan oleh UMNO mungkin disebabkan parti itu sudah berada di penghujung hayatnya.
‘’Masih berbaki (penyokong) agaknya dia carilah jalan kalau boleh yang mana ada berbaki nak sokong tu akan sokonglah tetapi saya jangka sebahagian besar orang Melayu yang waras yang mendokong perjuangan UMNO tidak akan melakukan tindakan itu (menyokong UMNO lagi),’’ katanya.
PERIKATAN Nasional (PN) akan kekal menggunakan logo gabungan berkenaan di empat negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sama seperti ketika pilihan raya umum (PRU) yang lepas.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Kedah, selain masih menunggu kata putus daripada Kelantan serta Terengganu.T
“Setakat hari ini kita kekalkan…kecuali kalau Pas minta perubahan, sebelum ini mereka (Pas) menerima logo PN di Kedah dan mereka gunakannya sampai sekarang, mereka masih kekalkannya.
“Tapi di Kelantan dan Terengganu kalau mereka gunakan logo Pas pun tidak mengapa. Orang dah kenal dah PN ini, hanya untuk pilihan raya tetapi secara dasarnya hubungan kita dalam PN cukup baik. Ia (hubungan) ada kemajuan sebenarnya jika nak dibandingkan dengan PRU yang lepas,” katanya lapor BERNAMA.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, yang turut dihadiri oleh ADUN Bukit Kepong ahruddin Jamal.
Muhyiddin turut menyifatkan PRN kali ini akan menjadi satu tanda aras baru yang akan menunjukkan hala tuju masa depan politik negara.
LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai, terutamanya umat Islam di negara ini, agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan, mahupun individu tertentu.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menegaskan TH dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran atau penyediaan perkhidmatan badal haji.
“Setiap individu dari luar Makkah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
“TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya kenyataan hari ini.
Syed Saleh menambah tawaran badal haji pada harga sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas disifatkan terlampau murah.
Ini kerana, katanya harga asal permit haji paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800), dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji
PENDAKI negara Muhammad Hawari Hashim, yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.
Muhammad Hawari yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.
Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mangsa merupakan kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuang Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia semalam. Muhammad Hawari dipercayai hilang ketika dalam perjalanan turun dari Kem Empat.
Sementara itu, berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan oleh portal The Himalayan Times (THT) hari ini.
Portal tersebut yang memetik Pengarah Pengembaraan Perintis, Nivesh Karki berkata, Muhammad Hawari gagal dihubungi selepas meninggalkan Kem Empat.
Nivesh menambah maklumat berhubung kehilangan mangsa telah diedarkan kepada semua pengendali bagi mengesan sekiranya dia berteduh di kem lain.Difahamkan, operasi mencari dan mengesan Muhammad Hawari sedang giat dijalankan.
Dalam pada itu, Muhammad Hawari dalam kemas kini di laman Instagramnya memaklumkan antara pendaki yang terlibat dalam ME 2023 ialah Allahyarham Awang Askandar, Azim Afif (Ketua Misi ME 2023), serta Vincent Tiong Ling Yang.
SETIAUSAHA Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching meminta ahli dan penyokong parti itu mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan serta undi kepada calon UMNO, yang juga parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Kenyataan Nie Ching itu menyusul selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam meminta Ahli UMNO yang tidak suka DAP, mengundi parti yang pernah menjadi lawan itu atas nama Kerajaan Perpaduan.
Nie Ching berkata, mengundi parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu nanti penting bagi memastikan kestabilan politik, sama ada peringkat pusat mahupun negeri.
BERITA HARIAN melaporkan, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, berkata mandat rakyat amat penting dan kemenangan Kerajaan Perpaduan adalah tanda keyakinan terhadap kemampuan dan pencapaian kerajaan.
“Sekarang kami (DAP, UMNO) duduk dalam kerajaan perpaduan, jadi semua parti politik kerajaan yang bertanding PRN akan datang perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan perpaduan.
“DAP sudah pasti mahu menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. Kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, AMANAH Parti Amanah Negara) dan juga UMNO turut menang di kawasan yang ditandingi mereka.
“Mandat daripada rakyat penting, jadi sekiranya semua parti politik dalam Kerajaan Kerpaduan boleh menang dengan besar, ini satu tanda bahawa rakyat yakin dengan kemampuan dan pencapaian kami,” katanya selepas menghadiri program Larian Amal IOI Putra, di sini hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi daripada parti itu perlu mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira daripada parti mana, termasuk DAP.
Katanya lagi, gesaan itu bukan atas nama parti tertentu, sebaliknya atas nama Kerajaan Perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan kestabilan politik negara.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, menegaskan sokongan ahli dan penyokong DAP kepada calon-calon UMNO pada PRN akan datang bagi mengelak kemenangan kepada pembangkang.
“Kita tidak akan serahkan usaha menarik pengundi kepada pihak lain. Kita akui sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP sedikit kurang, namun itu tidak halang kita dekati masyarakat Melayu.
“Pendekatan kita kekal untuk mendekati pengundi berbilang kaum, buktinya adalah bahan publisiti yang dikeluarkan dibuat dalam pelbagai bahasa, iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan juga Tamil,”katanya.
MUFLIS merupakan masalah paling serius yang membelenggu golongan belia pada masa kini, berbeza dengan kepercayaan umum bahawa penyalahgunaan dadah adalah isu utama, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, masalah kedua dan ketiga dalam senarai isu sosial yang mempengaruhi kumpulan ini adalah ketagihan kepada pornografi dan judi dalam talian.
“Penyalahgunaan dadah jatuh ke tempat keenam menurut kajian. Ini berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh pusat penyelidikan kementerian.
“Anda mungkin menganggap bahawa penyalahgunaan dadah masih menduduki tempat pertama seperti dahulu. Tetapi perkara berubah. Isu sosial utama yang mempengaruhi golongan muda pada masa kini adalah masalah muflis,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Graduan Aspirasi Career Fair 2023 di Pusat Konvensyen KL, laper FMT.
Beliau berkata hutang kad kredit, pinjaman peribadi, dan berbelanja sebelum gaji adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan ramai golongan muda diisytiharkan muflis.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menyatakan bahawa masalah muflis dalam golongan muda menurun dari 22.5% antara 2017 dan 2021, kepada 13.5% pada tahun 2022, dan menambah bahawa pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 akan dapat membantu mereka yang diisytiharkan muflis.
Pada bulan Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan perubahan kepada akta tersebut untuk membantu membebaskan individu daripada muflis semasa membentangkan Belanjawan 2023. Beliau berkata mereka yang berhutang di bawah RM50,000 boleh dibebaskan bermula dari 1 Mac dengan syarat-syarat tertentu.
Mengenai perkara lain, Yeoh mendesak majikan untuk mengwujudkan pelbagai susunan kerja bagi kakitangan mereka yang mempunyai keperluan dan tanggungjawab keluarga yang berbeza.
Beliau berkata golongan muda pada masa ini mempunyai peranan yang pelbagai, di mana sebahagian sudah menjadi ibu bapa manakala yang lain perlu menjaga ibu bapa sendiri. Oleh itu, mereka memerlukan susunan kerja yang fleksibel untuk memenuhi tanggungjawab mereka.
“Kadang-kadang mereka perlu mengambil cuti bukan untuk bercuti tetapi hanya untuk menjaga ibu bapa dan keluarga mereka. Jadi, ini adalah beberapa isu yang perlu dipertimbangkan oleh majikan,” katanya.
KEJADIAN hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara petang semalam mengakibatkan 15 sekolah mengalami pelbagai kerosakan seperti bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan.
“Buat masa ini, JKR menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan secepat mungkin.
Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi, SK Cochrane, SMK (P) Methodist.
Turut terjejas SK Setapak, SK Kg Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah, SMK Taman Melati, SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.
Nanta berkata pihak kementerian turut menerima laporan kerosakan beberapa unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur membabitkan bumbung dan sengkuap (awning) yang tercabut akibat kejadian itu.
“JKR akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
DALAM kalangan petugas haji di Madinah, keadaan cuaca panas yang ekstrem sentiasa menjadi topik perbualan kerana sebagai rakyat Malaysia yang membesar di iklim panas lembap, suhu panas di Madinah yang panas kering amat memeritkan.
Pada Jumaat misalnya, ketika bergerak dari hotel penginapan Roha ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat fardu Jumaat, bahang kepanasan jelas terasa ketika menaiki kenderaan walaupun dilengkapi pendingin hawa.
Apabila sampai di pekarangan Masjid Nabawi walaupun hanya perlu berjalan beberapa meter, kesan pancaran matahari secara terus pada suhu 40 darjah Celsius kira-kira jam 11.30 pagi juga ketara terasa bahangnya.
Mujurlah di pekarangan Masjid Nabawi terdapat kipas angin berwap dan payung raksasa berukuran 25 meter lebar dan 20 meter tinggi dapat melindungi jemaah daripada pancaran matahari apabila tidak dapat bersolat di dalam masjid.
Mengulas mengenai keadaan cuaca itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata, cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kenaikan suhu dan kehilangan air badan sehingga mengakibatkan strok haba jika terdedah kepada cuaca secara terus.
Kipas angin berwap dan payung raksasa dapat mengurangkan impak kepanasan di pekarangan Masjid Nabawi untuk keselesaan jemaah yang tidak dapat solat di dalam masjid.
Katanya, cuaca ekstrem itu juga yang rata-ratanya melebihi 40 darjah Celsius setiap hari di Madinah boleh menyebabkan jemaah haji mengalami strok haba.
Oleh itu, Dr Asraf menasihatkan jemaah haji supaya peka terhadap simptom strok haba seperti kulit, lidah dan bibir kering, tanda kemerah-merahan, pening kepala, kekejangan otot serta pengsan.
“Jemaah haji perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom tersebut di pusat kesihatan yang disediakan Tabung Haji (TH).
“Strok haba jika tidak dicegah dan dirawat awal boleh menyebabkan kematian,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan ibadah haji, lapor SINAR HARIAN.
Kata beliau lagi, dalam cuaca seperti ini, semua jemaah haji berisiko untuk terkena strok haba, namun warga emas berusia lebih 60 tahun dan golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan buah pinggang adalah lebih berisiko.
“Cara pencegahan daripada mengalami strok haba adalah kita perlu mengelakkan daripada berada di bawah panas matahari yg terik untuk satu tempoh masa yang lama. Memastikan kita sentiasa menghidrasi diri kita dengan minum sekurang-kurangnya dua liter air, memakai payung atau losyen pelindung matahari dan memakai pakaian yang longgar,” katanya.
Mengulas mengenai penggunaan sabun mandi yang dikatakan boleh menyebabkan kulit seseorang itu boleh menjadi kering, Dr Asraf berkata ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.
“Mungkin sesetengah sabun tidak sesuai dengan keadaan kulit kita, ataupun kita alah dengan sesetengah jenis sabun,” katanya.
Beliau turut menggalakkan jemaah haji supaya memakai pelitup muka kerana dengan perlindungan diri itu ia dapat mengelakkan habuk dan jangkitan penyakit-penyakit lain.
“Di sini banyak jemaah daripada pelbagai latar belakang negara, kita tidak tahu penyakit yang mereka bawa. Ada yang bersin, batuk dan macam-macam lagi, maka elok pakai pelitup muka,”katanya.
Sementara itu, pada Jumaat malam, TH telah menganjurkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya urusan jemaah haji kali ini lancar dan dipermudahkan.
Pengarah Operasi di Madinah, Ashrof Shamsuddin dalam ucapan semasa majlis itu turut mengingatkan semua 160 petugas di Madinah ketika ini agar menyantuni sebaiknya duyufurrahman (tetamu Allah) yang akan tiba tidak lama lagi.
Katanya, petugas yang terdiri daripada pasukan perubatan dan kebajikan perlu bergabung tenaga untuk membantu jemaah dari setiap sudut supaya mereka dapat menunaikan haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur.
“Doakan juga supaya ahli keluarga kita yang berada di tanah air berada dalam lindungan Allah kerana mereka juga berkorban mengizinkan kita untuk datang sini bagi berkhidmat kepada jemaah,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Zon Satu Madinah bagi musim haji kali ini, Mohamad Abas mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa memakai lencana disediakan TH bagi memudahkan petugas memberikan bantuan jika berlaku sebarang kecemasan.
Berdasarkan pengalaman sendiri, Mohamad berkata, lencana TH menjadi penyelamat apabila dia dihantar dengan segera ke pusat rawatan dikendalikan TH apabila pengsan sebelum ini.
“Jika tak pakai lencana mungkin saya dihantar ke mana-mana hospital Arab Saudi yang sudah pasti menyukarkan pasukan petugas TH untuk mencari saya selepas kejadian itu,”katanya.
Menyentuh mengenai kediaman yang bakal didiami jemaah yang tiba ke Madinah, Mohamad berkata mereka semua akan ditempatkan di Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel.
Mohamad menunjukkan bilik yang bakal didiami jemaah di Madinah.
Katanya, hotel-hotel tersebut amat selesa kerana bertaraf lima bintang dan hanya beberapa meter daripada Masjid Nabawi.
“Kita harap semua jemaah dapat memanfaatkan peluang berada di sini untuk beribadah dengan selesa,” katanya.
Selain itu katanya, jemaah yang tiba di Madinah akan berada selama enam hari di kota itu dan pelbagai program telah disusun untuk manfaat semua jemaah.
UMNO akui sukar untuk parti itu ‘memujuk’ ahli menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu yang membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu Presiden UMNO Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait dengan kerjasama antara UMNO dan DAP.
Katanya, perspektif negatif dan bersifat kebencian yang ditanam oleh kepimpinan terdahulu sukar untuk dikikis.
“Dulu pengundi Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada calon MCA dan MIC. Untuk itu, kita akan gunakan kaedah yang sama bukan atas nama parti, tetapi atas rasa kebersamaan dalam kerajaan perpaduan.
“Lebih dua dekad kebencian penyokong terhadap sesuatu kumpulan telah ditanam dan tempoh itu bukan mudah untuk dirungkaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Pekarangan Maahad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui, di Machang Kelantan.
Semalam ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ahli parti itu perlu melihat calon DAP dalam pilihan raya negeri akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan parti itu sendiri.
“Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tapi atas nama kerajaan perpaduan,” katanya.