Category: Semasa

  • 36 sekolah di KL, Selangor terjejas akibat ribut

    36 sekolah di KL, Selangor terjejas akibat ribut

    SEBANYAK 36 sekolah terjejas akibat ribut yang melanda ibu kota dan sekitar Selangor, kelmarin.

    Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, kerosakan membabitkan 27 sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan sekolah di Selangor.

    “Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

    “Seterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM,” menurut KPM dalam satu kenyataan.

    Menurut kenyataan itu, penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan segera.

    “JPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.

    Antara sekolah yang mengalami kerosakan dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda Kuala Lumpur pada 19 Mei 2023. – Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

    “KPM sentiasa mengambil berat perkara berkaitan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Kelmarin, hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar ibu kota dan Selangor sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkna menerima kira-kira 90 kes kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan dan kediaman.

  • Gambar bekas pemimpin UMNO ‘hilang’ semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan – Hishammudin

    Gambar bekas pemimpin UMNO ‘hilang’ semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan – Hishammudin

    DATUK Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 14 Mei lalu, adalah janggal.

    Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, penjelasan kepada akar umbi parti itu perlu diberikan mengenai hubungan yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai UMNO.

    “Saya faham konvensyen itu diperlukan kerana beberapa gabungan parti mesti disatukan untuk kestabilan politik negara dan kerajaan, tetapi saya lihat sendiri ada beberapa perkara yang agak janggal apabila ia diadakan di Dewan Merdeka, iaitu rumah UMNO sendiri.

    “Penjelasan kepada akar umbi berhubung kait dengan hubungan yang wujud sekarang perlu dijelaskan kerana secara peribadi, apabila gambar bekas-bekas pemimpin (UMNO) kita yang telah banyak berkorban untuk perjuangan parti dihilangkan di dalam Dewan Merdeka semasa konvensyen, saya rasa itu tidak kena.

    “Dan saya bersama-sama warga Sembrong dalam majlis rumah terbuka Hari Raya, ini semua merupakan soalan-soalan yang mereka tanyakan kepada saya,” katanya dalam muat naik di Instagram hari ini, lapor Astro Awani.

    Perhimpunan di Dewan Merdeka WTCKL pada 14 Mei itu dianggap bersejarah kerana selama 77 tahun UMNO bergerak bersendirian sebelum pada 24 Nov 2022 ia mengumumkan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

    Gabungan itu sekali gus menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengesyoran dan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

    Gabungan ini terbentuk selepas selesai proses Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 dan keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada awal pagi 20 November 2022.

  • Laporan: SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

    Laporan: SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil bekas menteri kanan dan dan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk soal siasat sekali lagi berhubung dakwaan penyelewengan dana awam lebih RM2.3 bilion.

    Langkah itu diambil selepas SPRM dilaporkan merampas beberapa dokumen berhubung pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat senarai awam.

    Langkah berkenaan yang berlaku pada 1990-an didakwa memberi kesan buruk kepada negara sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi Malaysia.

    “Dua tokoh masyarakat itu termasuk ahli perniagaan yang bergelar mungkin dipanggil semula tidak lama lagi.

    “Selain kedua-duanya, SPRM juga memanggil beberapa individu, termasuk seorang peguam, juruaudit, dan wakil sebuah syarikat untuk mendapatkan lebih banyak dokumen yang diperlukan untuk siasatan,” lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber tidak dinamakan.

    Difahamkan, dokumen yang dirampas itu termasuk kertas perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Sekuriti dan syarikat pemaju.

    Laporan sama menyebut seorang lagi ahli perniagaan terkemuka juga diminta hadir esok untuk disoal siasat SPRM.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan perkara itu dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu kesalahan membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, selain undang-undang antipengubahan wang haram.

    Dua hari lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan.

    Memetik sumber, Bernama berkata siasatan itu adalah lanjutan daripada Pandora Papers.

    Siasatan tertumpu kepada penjualan saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, pemilikan aset berharga oleh ahli perniagaan itu, bekas menteri kanan serta ahli keluarga yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan luar negara.

  • Pengasuh mengaku bersalah salah cuai jaga bayi

    Pengasuh mengaku bersalah salah cuai jaga bayi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang bekerja sebagai pengasuh sebuah taska didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua tuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, dua bulan lalu.

    Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

    Berdasarkan dua pertuduhan itu, wanita yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di Johor Bahru, kira-kira pukul 1 petang, Mac lalu.

    Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Syufri A. Samad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

    Beliau berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan mahu pun ketika ditahan polis.

    “Tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, manakala suaminya yang bekerja kilang mempunyai gaji RM2,000 sebulan.

    “Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.

  • Buat kecoh di stadium, 4 penyokong ditahan polis

    Buat kecoh di stadium, 4 penyokong ditahan polis

    POLIS menahan empat lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun dalam kekecohan yang berlaku antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di Ipoh, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Assisten Komisioner Yahaya Hassan, dalam kenyataan hari ini berkata polis mengesahkan kejadian berlaku pada 9.17 malam setelah pihaknya mengesan satu video tular memaparkan berlakunya kekecohan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Ujian saringan air kencing terhadap seorang daripada tahanan mendapati positif dadah jenis TFC (ganja),” katanya menambah keadaan kekecohan dapat dikawal pasukan polis bertugas di lokasi kejadian.

    Yahaya berkata semua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Justeru, beliau menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

    Media melaporkan perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.

  • Kes mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

    Kes mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

    POLIS sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.

    Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.

    “Kita telah kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.

    “Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di IPD Perak Tengah, Bota dekat Seri Iskandar malam tadi.

    Pada 15 Mei, Ketua Polis Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • UMNO Kedah sudah hilang 40% sokongan akar umbi

    UMNO Kedah sudah hilang 40% sokongan akar umbi

    SEORANG pemimpin UMNO bahagian di Kedah mendakwa parti itu berdepan dengan kehancuran dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

    Belia yang enggan dikenali mendakwa sokongan daripada ahli UMNO telah menurun dengan ketara selepas presiden parti, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menyingkirkan ‘panglima perang’ UMNO sebelum pilihan raya negeri (PRU) November lalu.

    “Kita dapat lihat 40% ahli UMNO tidak lagi mengundi kita. Jika dilihat di Kuala Kedah misalnya, kita mempunyai kira-kira 21,000 ahli di kawasan itu. Pada pilihan raya lalu, Mashitah Ibrahim hanya menerima 9,000 undi daripada ahli parti.

    “Kami percaya 12,000 lagi undi diberikan kepada calon Perikatan Nasional, Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi daripada Pas,” kata sumber itu lagi, memetik laporan FMT.

    Beliau mendakwa perubahan sentimen akar umbi berlaku apabila Zahid memutuskan untuk bertanding semula selepas menghalang ‘panglima perang’ parti seperti DatuK Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada bertanding dalam pilihan raya umum.

    Sumber itu berkata, ramai ahli akar umbi, terutamanya orang muda, gembira kerana pemimpin veteran tidak dapat bertanding.

    Bagaimanapun, mereka kecewa apabila Zahid mengumumkan pencalonannya, melihatnya sebagai satu hipokrasi memandangkan beliau berdepan tuduhan rasuah.

    Keadaan menjadi lebih buruk bagi UMNO selepas ‘pembersihan’ kedua dibuat Zahid, di mana pemimpin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung sementara Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa dipecat.

    Beliau mendakwa sokongan pengundi di semua kawasan majoriti Melayu telah beralih kepada PN kerana muslihat pemimpin tertinggi UMNO.

    UMNO dan Barisan Nasional disingkirkan di Kedah pada PRU 2022, selepas gagal memenangi sebarang kerusi; Pakatan Harapan pula berjaya menang satu kerusi iaitu Sungai Petani daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

    Pada pilihan raya 2018, UMNO hanya memenangi dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, berbanding 18 kerusi oleh Pakatan Harapan (PH) dan 15 dimenangi Pas.

    Penentangan terhadap PN hanya di kawasan bukan Melayu.

    Seorang pemimpin kanan Pas berkata, PN boleh dijangka menghadapi pertarungan sengit hanya di kawasan yang mempunyai 35% hingga 40% pengundi bukan Melayu, khususnya di Alor Setar dan Sungai Petani.

    “Pada pilihan raya lalu (pada 2018), kita tahu bahawa kita akan menghadapi masalah jika masyarakat Cina membentuk 20% daripada pengundi. Ketika itu kita kalah kerana pertembungan tiga penjuru antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

    “Kali ini, kita bersatu dengan Bersatu dan tidak akan bertanding sesama sendiri. Kami lebih yakin untuk menumbangkan Umno dan PH dalam satu lawan satu,” katanya.

    Berdasarkan daftar pemilih 2018, PN akan menghadapi pertandingan sengit di Derga, Suka Menanti, Kota Darul Aman, Gurun, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas dan Kulim – hanya sembilan kawasan daripada 36 kerusi DUN.

  • Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

    Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

    SEORANG pesara polis maut apabila keretanya dirempuh dan diseret sejauh 30 meter oleh sebuah trak pikap ketika melakukan pusingan U di Jalan Kota Bharu-Terengganu dekat Melor, semalam.

    Mangsa, Che Mohd. Noor Awang, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

    Ketua Polis Kota Bharu, Mohd. Rosdi Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Viva dalam perjalanan dari arah Melor ke Kubang Kerian.

    Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa membuat pusingan U namun sebuah trak pikap dipandu remaja 18 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh keretanya.

    “Akibat jarak yang terlalu dekat, Isuzu D-Max dipandu seorang remaja itu tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa diseret sejauh 30 meter. Warga emas itu yang tersepit dan tidak sedarkan diri di dalam keretanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Utusan Malaysia.

    Rosdi berkata remaja terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati nahas berpunca daripada kecuaian mangsa membuat pusingan U tanpa memberi keutamaan laluan kepada trak pikap terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Kumpulan pertama 284 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci hari ini

    Kumpulan pertama 284 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci hari ini

    KUMPULAN pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia bakal berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

    Penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah itu akan berlepas pada 2.05 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada 5.50 pagi waktu tempatan.

    Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Ini

    Pada majlis itu, Syed Hamadah berkata seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

    “Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak COVID-19 melanda. Insya- Allah, TH telah bersedia menyantuni kesemua jemaah haji negara dengan kerjasama petugas haji termasuk kakitangan dari agensi lain bagi memastikan perjalanan mereka lancar,” katanya.

    Bagi tahun ini, hari wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

    Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

    Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 bagi 2022.

    Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan KLIA.

  • Polis tahan lelaki bawa 64 kotak rokok seludup guna lori 10 tan

    Polis tahan lelaki bawa 64 kotak rokok seludup guna lori 10 tan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki ditahan ketika memandu sebuah lori 10 tan yang membawa 64 kotak berisi rokok seludup di Jalan Lunas, Kelang Lama dekat Kulim, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, lori tersebut ditahan kira-kira pukul 2.45 pagi oleh sepasukan pegwai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

    Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati setiap kotak itu mengandungi 50 karton rokok seludup.

    “Susulan itu pihak polis menahan lelaki tersebut yang berusia 33 tahun. Semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Pihak polis turut membuat rampasan kesemua kotak berisi rokok seludup itu serta kenderaan berat tersebut. Selain itu, tujuh batang kunci dan sebuah telefon bimbit turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM192,000,” katanya.

    Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana membawa rokok seludup tanpa membayar cukai.

    “Orang ramai diminta untuk membantu pihak polis dalam pencegahan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada IPD Kulim di talian 04-4906222.