Category: Semasa

  • Pemandu maut tersepit bawah treler terbalik

    Pemandu maut tersepit bawah treler terbalik

    SEORANG pemandu maut akibat tersepit di bawah treler dipandunya dalam kemalangan di KM448.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Rawang, awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, treler dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

    Katanya, sepasukan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi tadi.

    “Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit (di bawah kenderaan),” katanya menurut Harian Metro.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya sambil menambah mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Lori paip, lori papan terlibat kemalangan, seorang pemandu maut

    Lori paip, lori papan terlibat kemalangan, seorang pemandu maut

    SEORANG lelaki maut manalala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Kuantan-Segamat dekat Bandar Muadzam Shah pagi tadi.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menerusi panggilan pukul 5.16 pagi.

    Sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kemalangan dengan menaiki dua jentera.

    “Ketika sampai di tempat kejadian, bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua buah lori masing-masing membawa muatan papan dan paip.

    “Dalam kejadian itu, seorang lelaki dewasa yang juga pemandu lori papan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan alatan menyelamat khas sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

  • Peja: Dakwa 80 bekas menteri boleh kurangkan harga makanan?

    Peja: Dakwa 80 bekas menteri boleh kurangkan harga makanan?

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya terlalu menumpukan usaha membanteras rasuah tetapi sewajarnya menumpukan perhatian terhadap isu taraf kehidupan rakyat, kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Mengakui bahawa membanteras rasuah merupakan perkara yang wajib ditangani, tetapi Ahmad Faizal mengingatkan kepada Anwar supaya tidak mengabaikan kualiti kehidupan rakyat.

    “Sebagai orang Islam, saya percaya (sekiranya) kamu minta (pertolongan) kepada Allah, Allah akan bagi (tunaikan doa).

    “Jadi dia minta (selama) 20 tahun (untuk jadi perdana menteri) kepada Allah, Allah bagi. Bila kamu dah jadi PM sekarang, jadi PM dapat amanat, ini tanggungjawab kamu.

    “Kerja pertama kamu adalah untuk banteras rasuah, semua ni (memang) wajib. Setiap hari kita kena buat… tapi fokus mestilah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

    Faizal berkata demikian ketika wawancara bersama Malaysiakini, ketika diminta mengulas mengenai prestasi Anwar sebagai perdana menteri sejak menyandang jawatan tersebut pada November lalu.

    “Hari ini saya nampak sejak enam bulan yang lepas, lebih (menumpukan kesalahan) kepada orang itu rasuah, orang ini rasuah. Semua orang rasuah. Dia (Anwar) seorang saja yang tak,” sindirnya.

    “Dan saya nampak, kalaulah kita tangkap 80 orang bekas menteri dalam sehari dan dakwa mereka setiap hari, apakah harga barangan makanan menurun tiba-tiba?”

    Sejak beberapa bulan yang lalu, beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk presidennya yang juga bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut diheret ke mahkamah berhubung dakwaan rasuah, yang disifatkan sebagai pendakwaan politik.

    Meskipun timbalan presiden Bersatu itu diminta menilai prestasi Anwar, beliau berkata apa yang perlu dilaksanakan oleh presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mestilah melampaui retorik antirasuah.

    “Hari-hari mesti cakap tentang itu, cakap rasuah, rasuah, rasuah. Sampai kita pun dah pening dah. Takkan semua orang rasuah, rasuah setiap hari,” soalnya.

    Ahmad Faizal juga menggesa supaya semua ahli politik hentikan bermain politik dan sudah tiba masanya menumpukan kepada kebajikan rakyat.

    Beliau kemudian ditanya sama ada perkara yang sama sepatutnya diamalkan oleh ahli politik daripada PN, bekas menteri besar Perak itu mengangguk bersetuju.

    “Sudah pasti. Semua ahli politik termasuk saya.

    “Tapi saya (sedang) cakap. Sebab kamu tanya, kamu berhenti tanyalah. Kamu tanya saya, saya kenalah respon,” katanya sambil ketawa.

    Tidak hanya Anwar, Ahmad Faizal turut mengkritik prestasi timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi.

    Menyifatkan Rafizi seorang yang bijak sebelum menjadi sebahagian daripada kerajaan, Ahmad Faizal mempertikaikan prestasi yang tidak memberangsangkan itu.

    “Saya betul-betul percaya yang Rafizi Ramli ini seorang yang bijak tapi tu masa dia jadi pemimpin pembangkang.

    “Tiba-tiba bila dia jadi (sebahagian daripada) kerajaan, saya tak tahu dia jadi ‘kacau’ ke apa? Tiba-tiba saya rasa dia agak ‘off-key’ sikit. Maaflah Rafizi… kalau kamu tengah dengar. Tapi saya rasa kamu patut tambah baik,” katanya.

    “Masa saya dalam Pakatan Harapan dulu dengan dia, bila Rafizi kalau bagi kenyataan, saya akan beri tumpuan. Sekarang bila dia bercakap ni, kita eh? ‘A bit off’ lah kan.

    “Tak tahulah apa yang ‘you’ makan. Tukarlah diet atau buatlah sesuatu,” tambahnya.

    Di bawah merupakan beberapa petikan wawancara itu:

    Malaysiakini: Bagaimana anda nilai prestasi Anwar sebagai perdana menteri?

    Faizal: (Selepas bercakap tentang penekanan membanteras rasuah)… Tapi pada masa sama kita nampak seseorang yang tiada kerja selama 22 tahun, (kemudian) keluar daripada (penjara) Sungai Buloh, duduk rumah besar juga. Datang dari mana tu?

    “Bila dia cakap (Dr) Mahathir (Mohamad) yang dia (ada) bukti kotak-kotak tanya bukti, saya akan tunjukkan. Mana? Tunjukkanlah. Bila kita tanya yang you pula dapat duit dari mana, tak berjawab juga.”

    (Mahathir memfailkan saman RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa dan ahli parlimen Tambun berkata dia sedia berdepan 90-an itu di mahkamah.)

    Malaysiakini: Anwar telah mengisytiharkan asetnya sebanyak RM11.2 juta.

    “Tak tahulah… kalau RM11 juta, kalau rumah yang saya pergi dulu (di Petaling Jaya), pernah tengok tak tahulah dia sewa ke apa banglo itu. Kalau sewa, saya agak RM20,000 hingga RM30,000 sebulan. Kalau dia beli mungkin rumah itu sahaja RM10 juta hingga RM15 juta. Jadi mana dia dapat? Okey, (kata) you ada ramai kawan. Saya nak tahu siapa kawan ‘you’ yang bagi?”

    Malaysiakini: Pengkritik Anwar sebelum ini penah dicabar untuk mengisytiharkan aset mereka juga.

    Faizal: Saya rasa kita semua lakukannya (isytihar aset). Ketika saya jadi menteri saya lakukannya. Saya isytiharkan kepada perdana menteri dan juga kepada orang ramai. Iya, dan ia di laman web SPRM.

    Faizal telah berkhidmat sebagai timbalan menteri belia dan sukan sewaktu pentadbiran sewaktu kerajaan PH pada 2018 dan kemudian sebagai menteri di kementerian tersebut pada kepimpinan Ismail Sabri Yaakob.

    Faizal: Kalau kita dapat buktikan yang Anwar pun rasuah, Mahathir pun rasuah tetapi kita (rakyat) hidup susah, apa gunanya? Bukan saya kata ‘okey’ (kepada) rasuah. Rasuah tak bagus tapi fokus sekarang ni kepada rakyat, taraf kehidupan. Orang naik motor pergi kerja, susah hati anak pergi sekolah tak makan lagi.

    Malaysiakini: Apa cadangan untuk menambah baik kos kehidupan?

    Faizal: Terdapat banyak sangat tetapi kalau ‘you’ tak mulakan dari mana-mana macam mana? Kalau kita nak cakap pasal telur, pasal telur kita bergaduh berapa lama? Zaman saya menteri pun kita bergaduh pasal ayam. Sepatutnya boleh selesaikan dengan mudah kalau kita bekerjasama.

    Dari sekolah punya permasalahan kita ada banyak kementerian sampai ke tahap jaminan makanan.

    Kita ada banyak permasalahan B40 di bandar dan kita boleh selesaikan kalau kita bekerja bersama-sama. Cari jalan. Kita tak pernah nak mulakan dari mana-mana sebab kita selalu cakap pasal politik.

  • Kanak-kanak perempuan maut digilis lori di Melaka

    Kanak-kanak perempuan maut digilis lori di Melaka

    SEORANG anak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga ketika mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celah pokok di sekitar tempat kejadian. 

    “Pemandu lori itu iaitu lelaki berusia 37 tahun mendakwa tidak perasan kehadiran mangsa walaupun telah memastikan keadaan jalan selamat sebelum keluar dari simpang berikutan tindakan kanak-kanak itu yang tiba-tiba keluar dari celah pokok.

    “Berikutan itu, lelaki berkenaan tidak menyedari mangsa yang sedang berlari ke arahnya sebelum terlanggar kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala sampel darah turut diambil daripada pemandu lori itu untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah.

    Katanya kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Imam meninggal dunia selepas bermain badminton

    Imam meninggal dunia selepas bermain badminton

    IMAM Masjid Jamek Pasir Pelangi di Johor Bahru, Nur Nikman Yusof meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Li Chi dekat Kampung Abdullah di Segamat malam tadi.

    BERITA HARIAN melaporkan, difahamkan, Allahyarham juga bekas Imam Masjid Bandar Labis rebah secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia.

    Rakannya, Mohamad Abdullah, 49, yang pernah bertugas bersama Nur Nikman sebagai imam di Masjid Bandar Labis, dan menyifatkan arwah seorang imam ratib yang berdedikasi menjalankan tugas serta amanahnya.

    “Lewat malam tadi, saya mendapat perkhabaran duka dan menyedihkan, rakan imam yang sama pernah berkhidmat di Masjid Bandar Labis, Ustaz Nur Nikman meninggal dunia. Dia rebah selepas bermain badminton dan tidak berjaya dipulihkan serta disahkan meninggal dunia,” katanya ditemui di Labis hari ini.

    Katanya, Nur Nikman berasal dari Pokok Sena, Kedah dan dengan usaha serta sumbangan jasanya yang turut aktif menjadikan masjid Labis pusat aktiviti pengajian Islam dan al-Quran.

    Di Masjid Bandar Labis, beliau mengajar jemaah membaca al-Quran, tajwid dan taranum.

    “Sepanjang saya bersamanya, arwah adalah seorang imam ratib yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugas serta amanahnya, disenangi masyarakat setempat dan kehidupannya banyak dihabiskan dengan al-Quran.

    “Difahamkan, arwah pulang ke kediaman isterinya dekat Felda Tenang di Segamat, sebelum meluangkan masa untuk bermain badminton,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.15 malam dan sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sukan itu terbaring di lantai.

    Menurutnya, pemeriksaan pada mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai Nur Nikman Yusof, 40an dan maklumat dari saksi memaklumkan mangsa sempat bermain badminton set pertama bersama rakannya sebelum ditemui terjatuh dalam tandas.

    “Rakan mangsa dikatakan mendengar bunyi jatuh yang kuat dari tandas dan arwah ditemui luka di dahi dipercayai rebah serta tidak sedarkan diri. Seorang pemain yang berada di lokasi kemudiannya menghubungi Paramedik Hospital Daerah Segamat (HDS) Pemeriksaan petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

    Jenazah dibawa pulang ke kampungnya di Pokok Sena, Kedah dari Masjid Bandar Labis di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.
    Jenazah Allahyarham dibawa pulang dengan van jenazah usai solat jenazah yang dihadiri kira-kira 200 kenalan dan ahli keluarga.

  • PRU-15: Tiada bukti PN terima dana syarikat judi – Azalina

    PRU-15: Tiada bukti PN terima dana syarikat judi – Azalina

    TIADA  bukti parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada PRU15 lalu.

    Ketika memaklumkan perkara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM menjalankan kajian terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya.

    “Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

    Ahmad Fadhli ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum yang lepas.

    Pada Disember tahun lalu, beberapa media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

    Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

    Dalam satu lagi jawapan bertulis Azalina berkata, siasatan SPRM juga mendapati tiada unsur penerimaan rasuah terhadap parti-parti yang mendapat dana ketika PRU15.

    Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Hadi Awang (PN-Marang) mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

  • Pegawai Maritim Malaysia dilaporkan hilang di Telaga Tujuh, Langkawi ditemukan selamat

    Pegawai Maritim Malaysia dilaporkan hilang di Telaga Tujuh, Langkawi ditemukan selamat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dilaporkan hilang setelah mendakit Telaga Tujuh di Gunung Matchincang, Langkawi sejak semalam ditemukan selamat kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pegawai tersebut, Mohd. Ridhaudden Rosman, 32, berjaya turun ke lokasi kereta kabel di situ, sebelum menghubungi isterinya yang berada di kawasan berhampiran.

    “Isteri mangsa kemudiannya terus memaklumkan kepada pasukan penyelamat. Mangsa kemudiannya menjalani pemeriksaan awal di lokasi itu sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

    Sebelum ini Ridhaudden dikatakan whiling setelah dia dikatakan mendaki kawasan itu seorang diri sejak semalam.

    Mangsa dikatakan memuat naik status tiba di puncak Telaga Tujuh kira-kira pukul 4.45 petang semalam sebelum berkomunikasi dengan isterinya setengah jam kemudian. Dia bagaimanapun gagal dihubungi selepas itu dan pihak polis menerima laporan mengenai kehilangannya kira-kira pukul 12.47 pagi ini.

    Operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan kira-kira pukul 2 pagi semalam menemukan motosikal digunakan mangsa di tempat meletak kereta Telaga Tujuh dengan pencarian turut melibatkan aset darat serta udara.

    Difahamkan Ridhaudden bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) Maritim Malaysia Putrajaya berada di Langkawi sempena LIMA’23.

  • Jemaah haji Malaysia masuki Mekah mulai esok

    Jemaah haji Malaysia masuki Mekah mulai esok

    JEMAAH haji Malaysia akan mula memasuki Mekah secara berperingkat mulai esok melibatkan kumpulan KT1 dan KT2 seramai 565 orang.

    Pengarah Operasi Maktab, Mohd Sawal Abong berkata, bagi menyambut ketibaan jemaah terlibat, pihaknya sudah bersiap sedia dari segi penginapan dan kebajikan jemaah.

    SINAR HARIAN melaporkan dari Mekah, terdapat empat zon melibatkan sembilan buah maktab yang ditempatkan di 12 buah hotel iaitu Zon A Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Masat Al Badaya.

    Zon B pula terdiri daripada Zwar Al Bait, Jawharat Al Bait dan Al Fajer Al Badaya 2 dan Zon C melibatkan hotel Diary Al Saad dan Rehab Al Janadriyah. Bagi Zon D melibatkan hotel Land Premium, Al Fajr Al Badee 5, Manar Al Shorouq dan Rawdhat Al Shorouq.

    Kata beliau, semua penginapan jemaah tidak melebihi jarak 1 kilometer daripada dataran Masjidilharam.

    Tambahnya, di setiap bangunan penginapan juga terdapat pelbagai kemudahan untuk jemaah seperti klinik kesihatan, urusan pengeposan, dobi, kafe, bimbingan ibadah dan macam-macam lagi.

    “Bagi jemaah yang datang berkeluarga kita sudah susun penempatan agar berada hampir antara satu sama lain supaya memudahkan pergerakan mereka nanti. Kita telah kenal pasti jemaah yang uzur untuk diberikan bantuan sewajarnya oleh petugas-petugas yang terlibat,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Mohd Sawal berkata, selepas sambutan jemaah mereka akan dibawa ke bilik masing-masing, disediakan jamuan dan kemudiannya akan dibawa menunaikan umrah pertama mereka.

    “Semasa sesi ke Masjidilharam jemaah juga akan diiringi Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi memudahkan jemaah untuk bertanyakan secara terus sebarang kemusykilan ibadah masing-masing,” katanya.

    Sementara itu, bagi memudahkan urusan tiket penerbangan balik dan sebagainya, pihak Tabung Haji kini telah menguruskan sendiri urusan itu di Ibu Pejabat Abraz Al Janadriyah.

  • Jam Swatch dirampas bukan kerana warna tapi isu LGBT – Anwar

    Jam Swatch dirampas bukan kerana warna tapi isu LGBT – Anwar

    PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim berkata serbuan pihak berkuasa ke atas kedai Swatch baru-baru bukanlah mengenai warna jam tangan yang dijual di kedai berkenaan, sebaliknya berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

    Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mempunyai butiran mengenai kes itu dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan penjelasan.

    “Biar KDN menjelaskan kerana saya tidak mempunyai butiran. Kecuali fakta bahawa ia bukan mengenai isu warna tetapi isu bahawa ia (mewakili lambang) LGBT,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri perayaan Islam Selangor di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

    Perdana Menteri diminta mengulas serbuan terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi Pride di seluruh negara, yang berlaku pada 13 Mei dan 14 Mei lalu.

    Mengenai isu pengunaan kalimah Allah, Anwar berkata, ia tidak seharusnya dibincang secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

    Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tindakan kerajaan menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah “Allah” dibuat selepas perkara itu dirujuk kepada pandangan mufti-mufti serta titah Raja-Raja Melayu.

    Katanya hal berkenaan sudah beberapa kali dijelaskan termasuk ketika di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah Allah yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

    “Maksudnya, umat Islam dalam Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelakkan kekeliruan dan masalah dakyah agama lain, maka agama lain tidak diizinkan. Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan. 

    (Kalimah Allah) boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup, (perbahasan mengenainya) tidak patut mengelirukan umat. Tetapi, kita (kerajaan) masih dituduh menggadaikan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya.

  • Tawaran Muhyiddin : ‘’Saya akan putuskan masa terdekat’’ – KJ

    Tawaran Muhyiddin : ‘’Saya akan putuskan masa terdekat’’ – KJ

    KHAIRY Jamaluddin berkata beliau akan putuskan segera sama ada menerima tawaran sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

    Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata,  adalah tidak adil membiarkan pihak yang membuat tawaran menunggu terlalu lama.

    “Justeru, dalam masa terdekat saya akan sampaikan keputusan kepada (Presiden Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya selepas program Designing the Future bertajuk ‘What’s Next For Malaysia’ yang diadakan di UCSI University Campus Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam yang menasihatkan Khairy supaya tidak terlalu lama menjawab tawaran parti itu.

    Pada 17 Mei lalu Muhyiddin umum mengenai tawarannya kepada Khairy menjadi ahli MPT Bersatu selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

    Muhyiddin dilaporkan berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan tanpa niat ‘mengumpan’ bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

    Pada 22 Mei, Khairy meminta diberi masa bagi mempertimbang tawaran menjadi MPT Bersatu kerana bukan mudah membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan.

    “Saya harap mereka yang membuat tawaran itu kepada saya dapat memberi saya sedikit masa lagi untuk memikirkan perkara ini… terima kasih kepada Muhyiddin yang secara umum menzahirkan perkara ini.

    “Bila kita ada peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini, bukan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung bila-bila masa.

    “Saya nak pilih dengan rela hati bukan nak jadi calon, sebab parti itu mewakili nilai dan pendirian politik saya. Jadi saya perlukan masa, bukan saya kata ‘no’ (tidak) kepada tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU).

    “Saya nak menjelaskan kepada orang ramai dan pendengar yang peduli mengenai hal ini,” katanya.