Category: Semasa

  • Servis lebih efisien untuk jemaah haji Malaysia

    Servis lebih efisien untuk jemaah haji Malaysia

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menambah baik pusat khidmat pelanggan bagi memberikan servis lebih efisien kepada jemaah haji Malaysia. Pengarah Operasi Mekah, Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, jika sebelum ini setiap maklumat yang disalurkan oleh jemaah dikira sebagai aduan kerana tiada kategori ditetapkan, pada tahun ini dipecahkan kepada kategori.

    “Kita pecahkan kepada kategori seperti aduan, permohonan dan penghargaan kerana tidak mahu ia bercampur-aduk hingga sukarkan proses penyelesaian.

    “Contohnya kehilangan gelang pengenalan diri, masalah fasiliti di maktab kita akan kategorikan sebagai permohonan yang akan diselesaikan dengan segera,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan haji, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Kata Mohamad Zamry, permohonan jemaah juga akan diproses di peringkat khidmat pelanggan sebelum disalurkan kepada bahagian terlibat dengan segera.

    “Contohnya ada jemaah yang menghadapi masalah kad bank, kita akan sampaikan kepada kaunter Bank Islam supaya masalah tersebut dapat diselesaikan.

    “Semua permohonan dan aduan juga akan direkod, dianalisis dan kita juga akan maklumkan semula kepada jemaah ‘update’ semasa peringkat permohonan dan tidak dibiarkan tanpa jawapan,”katanya.

    Beliau berkata, setakat ini pusat khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam boleh diakses secara terus oleh jemaah dengan datang ke kaunter yang terdapat di Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah dan Hotel Land Premium.

    Kata beliau, jemaah juga boleh menghubungi talian Pusat Bantuan Tanah Suci di nombor 012570443 yang tertera di ‘lanyards’ pengenalan diri jemaah.

    Sementara itu Mohamad Zamry berkata, pada tahun ini juga kadar perlindungan insurans bagi kehilangan bagasi jemaah telah dinaikkan daripada RM300 kepada maksimum RM500.

    Katanya, bayaran ganti rugi akan diberikan Mika melibatkan bagasi yang diuruskan oleh TH seperti pergerakan dari Madinah ke Mekah.

    “Kehilangan bagasi atau barang milik peribadi di atas sebab kecuaian sendiri tidak termasuk dalam perlindungan yang dinyatakan ini,” katanya.

  • Polis tahan dua lelaki mabuk keluar kata-kata kesat pada anggota polis

    Polis tahan dua lelaki mabuk keluar kata-kata kesat pada anggota polis

    POLIS menahan dua lelaki kerana dipercayai mabuk dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini di Iskandar Puteri, semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata pada awalnya orang awam memaklumkan terdapat sebuah kereta yang mencurigakan kerana diletakkan di tengah jalan pada pukul 8.30 pagi.

    Beliau berkata anggota peronda polis (MPV) yang membuat pemeriksaan kemudian mendapati terdapat dua lelaki tempatan berusia 30-an sedang tidur di dalam kereta itu.

    “Bagaimanapun, seorang daripada lelaki terbabit yang berada di bahagian penumpang belakang telah bertindak keluar dari kereta dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota MPV.

    “Kedua-dua lelaki itu ditahan dan seorang daripadanya didapati tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah, manakala seorang daripadanya pernah ditahan membabitkan kes kongsi gelap.

    Beliau berkata permohonan reman akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

  • SPRM siasat kontrak RM399 juta Petronas pada syarikat gas

    SPRM siasat kontrak RM399 juta Petronas pada syarikat gas

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek Petronas dan syarikat minyak dan gas antarabangsa.

    Menurut SPRM, Petronas telah memberikan kerjasama penuh untuk menjalankan siasatan melibatkan projek bernilai RM399 juta di Sarawak.

    “Setakat ini, SPRM telah menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem, dan tatacara kerja berhubung isu itu.

    “SPRM mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Awal bulan ini, satu portal dalam talian melaporkan Petronas didakwa terlibat dalam pemberian kontrak RM399 juta kepada sebuah syarikat beroperasi di 14 negara untuk membina loji gas darat di Sarawak.

    Laporan itu mendakwa, syarikat itu dikatakan terlibat dalam kesalahan rasuah serius sehingga dilarang beroperasi di negara lain.

    SPRM menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

  • Lelaki berbaju kurung samun kedai runcit

    Lelaki berbaju kurung samun kedai runcit

    SEORANG lelaki berbaju kurung bersenjatakan pisau antara dua suspek diburu disyaki menyamun sebuah kedai runcit di MJC Batu Kawah di Padawan, Sarawak, pada Isnin.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis juga mengesan satu video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular di Twitter.

    “Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja premis itu pada 22 Mei lalu.

    “Ketika kejadian pengadu bersama rakan sekerja didatangi seorang lelaki berpakaian seperti wanita dan membawa senjata dipercayai pisau.

    “Suspek terus merampas peti wang tunai di kaunter juruwang dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang seorang lagi suspek yang menunggu diluar,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan dialek pertuturan mereka dan semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Abang Zainal berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dengan kerjasama pasukan IPD lain serta Jabatan Siasatan Jenayah JSJ IPK Sarawak.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233, ujarnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya lapor FMT.

  • Pinda laporan audit 1MDB: Pengurusan kes pada 21 Julai

    Pinda laporan audit 1MDB: Pengurusan kes pada 21 Julai

    RAYUAN pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dalam kes meminda laporan audit 1MDB, ditetapkan untuk satu lagi tarikh pengurusan kes, pada 21 Julai ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari dan peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan tarikh berkenaan ketika dihubungi Bernama.

    Cheong berkata rekod rayuan disiapkan dan pihak pendakwaan kini boleh memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi alasan-alasan mereka.

    Satu pengurusan kes berlangsung di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini, yang kemudiannya menetapkan tarikh pengurusan kes berikutnya bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemas kini kepada mahkamah mengenai status petisyen rayuan.

    Mohd Fairuz yang mewakili pihak pendakwaan dan Cheong, menghadiri pengurusan kes hari ini. Turut hadir peguam Najib Alaistar Brandah Norman.

    Pada 3 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka. Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

    Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata beliau memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

    Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati dia (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan ia serasi dengan keterangan yang dikemukakan dan keterangan saksi lain.

    Najib, 69, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan laporan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

    Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lalu.

  • Kontraktor diperdaya RM571,000 untuk dapat Datuk Seri

    Kontraktor diperdaya RM571,000 untuk dapat Datuk Seri

    SEORANG Kontraktor berputih mata berusia 63 tahun kerugian RM571,000 selepas terpedaya dengan tawaran gelaran Datuk Seri.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang pada pertengahan Februari lalu.

    “Suspek menawarkan anugerah kebesaran negeri Pahang dengan membawa gelaran Datuk Seri,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, suspek menyatakan mempunyai enam kuota anugerah kebesaran terbabit dan mangsa dimaklumkan perlu membuat sumbangan bagi program istana.

    Mangsa ujar beliau, berminat dengan tawaran dinyatakan dan turut mempelawa empat kenalan untuk mendapatkan gelaran itu.

    “Bermula Februari lalu hingga bulan ini, suspek meminta mangsa melaksanakan beberapa sumbangan untuk program dibuat pihak Istana Negeri Pahang,” katanya.

    Yahaya berkata, sebanyak 32 transaksi dilakukan kepada lima akaun bank yang berbeza berjumlah RM571,000.

    “Sumber kewangan terbabit adalah hasil daripada kutipan dan wang simpanan mangsa dan rakan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

    Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Pegawai operasi didakwa rompak bersenjata, cedera warga emas

    Pegawai operasi didakwa rompak bersenjata, cedera warga emas

    SEORANG pegawai operasi sebuah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dan mencederakan dua warga emas.

    Muhd. Marwan Rohani, 35, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersama seorang lagi yang masih bebas mengambil beg duit milik Gue Boon Guan, 65, dan Gan Chuei Lan, 66, menyebabkan kerugian berjumlah RM400.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Pantai Emas 11,Taman Pantai Emas, Melaka pukul 10.45 malam 29 April lalu, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, Muhd. Marwan menggunakan sebatang kayu besbol hingga mencederakan kedua-dua mangsa.

    Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak boleh mendekati kedua-dua mangsa.

    Mahkamah turut menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh kelirukan umat Islam – khutbah JAIS

    Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh kelirukan umat Islam – khutbah JAIS

    KHUTBAH Jumaat Jabatan Agama Islam (JAIS) hari ini mengingatkan,penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain agama Islam adalah suatu perkara yang menyanggah konsep keesaan Allah SWT dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.

    Khutbah itu monegaskan kalimah Allah ialah nama khas yang merujuk kepada tuhan dalam agama Islam. 

    ‘’Apabila disebut nama khas maka ia adalah khusus, istimewa, ditentukan atau diperuntukkan hanya kepada penamanya. Tidak sebagaimana kata nama am yang boleh digunapakai kepada kelompok umum seperti tuhan, manusia atau haiwan. 

    ‘’Allah SWT adalah nama Tuhan kepercayaan umat Islam. Justeru, apakah agama yang menuntut penggunaan kalimah Allah ini tidak mempunyai nama tuhannya?,’’ kata khutbah itu.

    Khutbah itu juga menegaskan, penama yang dinamakan dengan nama khas mempunyai identiti, ciri- ciri atau sifat-sifat yang memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada yang lain. 

    ‘’Sebagai contoh, rumah ibadat adalah kata nama am yang dikongsi sama, sebaliknya istilah masjid, gereja dan gurdwara adalah perkataan beridentiti yang membezakannya dengan yang lain. Justeru, adakah rasional nama Allah boleh dirujuk kepada dua tuhan dengan identiti serta konsepnya yang berlainan,’’ tegas khutbah tersebut.

    Khutbah itu menekankan,  kalimah Allah bukan terjemahan Bahasa Malaysia kepada perkataan ‘God’, sebaliknya perkataan yang mewakilinya adalah tuhan atau dewa. 

    ‘’Sekiranya dirujuk kamus-kamus nescaya akan didapati perkataan ‘Allah’ merujuk kepada nama Tuhan dalam kalangan orang Islam, satu-satunya Tuhan dalam agama Islam atau nama Tuhan yang berasal daripada istilah Arab yang digunakan seluruh penganut agama Islam tanpa mengira bahasa. 

    ‘’Wujud alasan bahawa kalimah Allah dituntut kerana ianya digunapakai dalam Bible edisi Bahasa Arab dan Bahasa Indonesia. Hakikatnya, ia adalah kesalahan sejak awal penterjemahan. 

    ‘’Buktinya, Bible edisi Bahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah sama sekali sebaliknya menggunakan perkataan ‘God’ merujuk Tuhan Bapa dan ‘Lord’ merujuk Tuhan Anak. Justeru, mengapakah mahu diterjemahkan perkataan ‘God’ dengan kalimah Allah?,’’ soal khutbah berkenaan.

    Khutbah itu turut mengingatkan, Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris  bertitah, baginda sentiasa menekankan agar rakyat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama lain yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor ini. 

    Titah baginda, jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Tuanku juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

  • Tiada logo DAP atas kertas undi, apa nak risau, Ahmad Maslan balas Isham

    Tiada logo DAP atas kertas undi, apa nak risau, Ahmad Maslan balas Isham

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kenyataannya menyeru akar umbi parti agar mengundi calon rakan sekutu, termasuk DAP, sengaja dipolemikkan, malah disalah tafsir.

    Ahli Parlimen Pontian itu berkata, gesaan itu dibuat supaya pengundi memilih calon daripada parti kerajaan perpaduan, bukan hanya DAP.

    “Bila berada dalam satu pasukan, kita perlu saling bantu-membantu. Tiada logo DAP mahupun UMNO di atas kertas undi.

    “Sebaliknya hanya logo gabungan, iaitu PH atau BN, dan lawan kita adalah PN. Itu jelas.

    “Apa nak dirisaukan? Tak perlu polemikkan kenyataan saya begitu hebat,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

    UMNO dan DAP yang berseteru sekian lama kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

    Ahmad sebelum ini meminta ahli UMNO melihat calon DAP pada PRN akan datang di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

    Seorang lagi ahli MKT UMNO, Isham Jalil, kemudian memberikan amaran bahawa sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN).

  • Guan Eng, isteri, dan ahli perniagaan mahu kes rasuah dibuang

    Guan Eng, isteri, dan ahli perniagaan mahu kes rasuah dibuang

    BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew, dan ahli perniagaan Phang Li Koon mahu tuduhan rasuah terhadap mereka, membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta, dibatalkan.

    Peguam RSN Rayer memberitahu Mahkamah Tinggi di George Town hari ini, beliau akan memfailkan permohonan supaya kes itu dibuang.

    Katanya, pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes jenayah terdahulu, membabitkan pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn, walaupun dia dibebas dan dilepaskan pada 2018.

    Lim, Chew dan Phang berada di Mahkamah Tinggi di George Town selepas kes mereka dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di Butterworth, di mana mereka meminta dibicarakan pada 2020.

    Hari ini, mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan, yang dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad.

    Mereka didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Rofiah menetapkan 11 Sept untuk pengurusan kes, lapor FMT.

    Ketiga-tiga mereka dibenarkan memindahkan wang ikat jamin sebanyak RM50,000 yang dicadangkan sebelum ini.

    Kes membabitkan projek asrama yang dianugerahkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Phang ketika Lim menjadi ketua menteri.

    Lim didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. memperoleh projek itu di Juru dan Batu Kawan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, ketika Lim juga menjadi pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

    Phang didakwa bersubahat dengan Lim mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Chew didakwa atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM372,009 daripada akaun Public Bank yang didaftarkan di cawangan Taman Melaka Raya antara 7 Okt 2013 dan 3 Mac 2016.

    S. Meharaj turut mewakili Lim dan Chew selaku peguam, manakala V Sithambaram mewakili Phang.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Shafiq Hasim.