Category: Semasa

  • ‘’Saya tidak akan keluar kenyataan, kalau tidak ada asas’’ – Anwar

    ‘’Saya tidak akan keluar kenyataan, kalau tidak ada asas’’ – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu kemungkinan Perikatan Nasional (PN) menggunakan wang judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika tidak mempunyai sebarang asas berhubung perkara itu.

    Justeru, beliau meminta Pengerusi PN Tan Sri Muh­yiddin Yassin membaca kenyataannya dengan lengkap sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.

    “Tetapi kalau dia hendak teruskan, silakan. Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini,lapor Bernama.

    Anwar juga berkata siasatan berhubung isu itu melibatkan pelbagai agensi, justeru siasatan atau tindakan hanya akan diambil selepas mempunyai bukti.

    Semalam, dilaporkan bahawa Muh­yiddin menuntut Anwar serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana mendakwa PN menggunakan wang judi pada  PRU15 dan akan berbincang dengan peguam berhubung tindakan seterusnya. 

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat pada Isnin mengenai siasatan berhubung dakwaan ada parti komponen PN mendapat sumbangan dana judi semasa kempen pilihan raya umum lepas, tidak menyatakan bahawa siasatan itu sudah dihentikan atau digugurkan. 

    Jawapan Azalina menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat itu namun mendapati ia terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu tersebut justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

    Diminta mengulas mengenai desas-desus rombakan Kabinet, Anwar secara berseloroh berkata “ada cadangan, sila tulis kepada saya, saya akan beri pertimbangan.”

  • Pemimpin UMNO tidak boleh apologetik, Pemuda jangan jadi burung kakak tua – Ismail Sabri

    Pemimpin UMNO tidak boleh apologetik, Pemuda jangan jadi burung kakak tua – Ismail Sabri

    UMNO tidak boleh sekadar menjadi “hiasan” dalam kerajaan perpaduan, dan mesti tidak takut untuk menegur demi kebaikan bangsa dan tanah air, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, tidak salah untuk parti itu khususnya sayap Pemuda, mengkritik tindakan kerajaan yang menimbulkan kegusaran rakyat.

    “Pemuda UMNO sejak dahulu, berani menyatakan pendirian atas kepentingan parti dan rakyat, namun mutakhir ini budaya itu semakin hilang. Janganlah Pemuda UMNO hanya menjadi sebagai burung kakak tua dan jurucakap kepada kepemimpinan biarpun di luar kemahuan ahli,” katanya yang juga bekas Naib Presiden UMNO dalam rencana diterbitkan Utusan Malaysia hari ini.

    Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, menyebut tingkah laku pemimpin UMNO ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, yang dihadiri kira-kira 8,000 perwakilan pelbagai parti anggota kerajaan perpaduan.

    Katanya, perwakilan UMNO yang berucap kelihatan “begitu apologetik, boleh ditafsirkan (sebagai) tunduk kepada parti-parti Pakatan Harapan”, sedangkan wakil parti lain berucap dengan penuh keyakinan terhadap perjuangan mereka.

    “Pemimpin UMNO tidak boleh apologetik sehingga rakyat menafsirkan seolah-olah parti itu melakukan kezaliman sebelum ini,” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan matlamat dan hala tuju yang jelas, UMNO membuktikan keupayaan membina negara seperti yang dapat dilihat melalui kemakmuran dikecapi negara pada masa ini.

    Katanya, negara sudah berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2025, melalui dasar yang dirancang sebelum ini.

    Oleh itu, katanya, UMNO harus memainkan peranan supaya matlamat ini tidak direnjatkan oleh kepentingan politik sesetengah pihak, dan menghalang perkara sensitif daripada menjejaskan kestabilan negara.

    “Negara memerlukan kestabilan untuk memastikan kemakmuran dari semua aspek dapat dinikmati. (Dengan) hanya lima wakil dalam (Jemaah Menteri), sukar untuk menjadi raja yang mengatur bidak.

    “Sudah sampai masanya UMNO bangkit kembali membina kekuatan,” katanya.

    Beliau menegaskan,  tidak mahu rakyat melihat UMNO sebagai parti yang hanya kuat berkokok untuk mendamaikan diri sedangkan usaha membina keyakinan rakyat masih belum terlaksana.

    ‘’Apakah UMNO akan mendapat laba daripada penggabungan tenaga dengan PH dan rakan-rakan lain pada masa hadapan? Apakah keuntungan itu akan dirasai semasa pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada Julai atau Ogos ini?

    ‘’Mungkinkah UMNO boleh menentukan hasratnya dalam mendapatkan kerusi-kerusi ditandingi dalam PRU14 sedangkan kedudukannya hanyalah pemegang saham yang kecil dalam pakatan ini?

    ‘’Percaturan politik bukan sekadar ditambah jumlah undi kedua-dua parti dalam pilihan raya sebelum ini tetapi ia menjangkaui lebih daripada itu,’’ katanya.

  • Polis selamatkan lima kanak-kanak warga asing jadi buruh paksa

    Polis selamatkan lima kanak-kanak warga asing jadi buruh paksa

     

    JABATAN  Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyelamatkan lima kanak-kanak warga asing yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan sebuah kilang memproses barang terpakai di Teluk Panglima Garang, Selangor.

    BERITA HARIAN melaporkan serbuan dijalankan pada jam 5.45 petang semalam, hasil risikan oleh Bahagian AntiPemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), sejak beberapa bulan lalu bersama Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja.

    Sumber berkata, serbuan sama juga membawa kepada penangkapan 80 warganegara asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas permit kerja.

    “Operasi ini mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada indikator ‘National Guideline on Human Trafficking Indicators’.

    “Lima kanak-kanak warga asing yang diselamatkan mengikut Akta ATIPSOM 2007 terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan warga Kemboja dan Myanmar serta dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar dan seorang kanak-kanak lelaki warga Pakistan, semua berusia antara 16 hingga 17 tahun,” katanya semalam.

    Beliau berkata, kanak-kanak terbabit bekerja meleraikan barang elektronik terpakai sejak tiga bulan lalu dan dibayar sebanyak RM70 hingga RM80 sehari.

    “Semua kanak-kanak ini ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan, manakala semua warga asing yang ditahan terdiri daripada 29 warga Kemboja, enam warga Bangladesh, 27 warga Myanmar, 13 warga Pakistan dan lima warga China direman selama 14 hari.

    “Polis turut menangkap seorang lelaki warga tempatan yang disyaki pengurus kilang berkenaan dan seorang lelaki warga China disyaki berperanan sebagai penolong pengurus.

    “Kedua-dua mereka direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Akta ATIPSOM dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

  • Telegram berhadapan tindakan jika abai jemputan berbincang – Fahmi

    Telegram berhadapan tindakan jika abai jemputan berbincang – Fahmi

    PENYEDIA  perkhidmatan Telegram boleh dikenakan tindakan sekiranya terus mengabaikan jemputan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung beberapa aduan, kata Menterinya Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai perkhidmatan disediakan platform berkenaan, yang berkaitan dengan keselamatan awam, aktiviti jualan bahan terlarang, ‘scammer’ serta pornografi, dan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan itu penting bagi mencari penyelesaian segera.

    “Kita akui hadapi ada masalah dengan pihak Telegram. Walaupun dijemput untuk bertemu sejak Januari lepas, sehingga hari ini mereka enggan beri kerjasama. Berbanding platform lain, kita tidak lihat kesungguhan oleh pihak Telegram untuk memberi kerjasama.

    “Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti apakah tindakan-tindakan yang wajar perlu diambil,” katanya pada sidang media selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Esplanade, Taman KLCC, di Kuala Lumpur hari ini, lapor BERNAMA.

    “Saya serahkan kepada pihak MCMC sebagai badan kawal selia bertanggungjawab untuk mengesyorkan apa tindakan yang perlu diambil. Saya masih menunggu,” katanya.

  • Tiada jemaah haji Malaysia kena strok haba- Syed Saleh

    Tiada jemaah haji Malaysia kena strok haba- Syed Saleh

    TIADA kes strok haba dilaporkan berlaku melibatkan jemaah haji Malaysia walaupun purata suhu di Madinah dan Mekah ketika ini sekitar 40 darjah Celsius.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini jemaah haji Malaysia hanya mengalami dehidrasi dan ia adalah kes terpencil yang tidak serius.

    “Mereka menghadapi dehidrasi bukan sehingga ke tahap strok haba, jadi apabila mereka balik ke hotel masing-masing dan ke klinik yang tersedia di setiap hotel (penginapan) di Madinah, mereka telah mendapatkan rawatan dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.

    “Selepas itu, dalam masa beberapa jam sahaja mereka telah pun pulih dan dapat melaksanakan ibadat dan aktiviti harian mereka seperti sedia kala,” katanya lapor Wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Beliau turut menasihatkan para jemaah yang berada di Mekah dan Madinah untuk menjaga kesihatan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas ketika ini.

    Syed Saleh sebelum itu menyambut ketibaan kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia yang memasuki Mekah jam 3.30 petang waktu tempatan (pukul 8.30 malam waktu Malaysia) semalam, selepas berada enam hari berada di Madinah.

    Kesemua jemaah itu tiba dengan enam buah bas ke hotel penginapan di Abraj Al Janadriyah dan menunaikan umrah pertama mereka pada sebelah malam bagi mengelakkan cuaca panas.

    Syed Saleh dalam pada itu menasihatkan semua jemaah agar bergerak secara berkumpulan pada waktu pagi dan malam terutama dengan rakan sebilik kerana ketika ini kehadiran jemaah haji masih belum ramai.

    Tambahnya lagi, susulan pergerakan darat antara bandar melibatkan jemaah haji telah bermula, Tabung Haji (TH) telah mengaktifkan pasukan peronda lebuh raya bagi memantau pergerakan bas dan memberikan perkhidmatan di kawasan rehat dan rawat (R&R).

    Katanya, pasukan kesihatan juga telah bersedia dengan ambulans untuk membantu jemaah haji yang memerlukan bantuan atau rawatan sepanjang perjalanan dari Madinah ke Mekah,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Mashariq (syarikat muassasah yang bekerjasama dengan TH untuk mengendalikan jemaah haji Malaysia di Makkah), Adnan Hussain Mandourah berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan khidmat kepada jemaah haji sentiasa berada dalam keadaan terbaik dari segi keselesaan, kelancaran ibadat dan keselamatan.

  • Kumpulan pertama jemaah haji tunai umrah

    Kumpulan pertama jemaah haji tunai umrah

    SEBELUM bakal-bakal haji berangkat ke Tanah Suci, mereka telah diberi penerangan lanjut mengenai tatacara ibadah supaya dapat memperolehi umrah dan haji yang mabrur.

    Penerangan itu diberikan melalui kursus komprehensif yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) meliputi Kusus Asas hinggalah kepada Kursus Haji Perdana.

    Setelah tiba di Mekah, jemaah sentiasa diingatkan mengenai tujuan asal mereka sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) supaya ibadah itu mendapat keredaan-Nya.

    Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, semalam jemaah KT1  melakukan umrah pertama setelah tiba di Mekah.

    Kata Tengku Aziz, umrah itu sangat penting kerana ia adalah umrah wajib bagi setiap jemaah yang pertama kali melaksanakan ibadah haji dan umrah.

    “Ini adalah tuntutan asas bagi mereka. Oleh itu, kita harap setiap perbuatan umrah mereka sama ada dari segi rukun atau pun wajib, mereka mesti buat penuh kesempurnaan, penuh keyakinan serta tidak ada cacat cela dari segi hukum.

    “Ini kerana ibadat haji atau umrah yang kita buat mestilah bersesuaian dengan apa yang diajar Rasulullah SAW iaitu bagaimana untuk dapat haji dan umrah sempurna, “ katanya kepada media Malaysia di Mekah, lapor SINAR HARIAN.

    Sebagai pembimbing, kata beliau, pihaknya juga akan sentiasa membantu jemaah haji semasa melaksanakan ibadah dan proses analisis selepas ia selesai dilaksanakan.

    “Pertama sekali kita kena ingat apa yang kita buat itu, ada di sebalik falsafahnya sama ada dari segi tawaf, saie, wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah, begitu juga melontar, pakai ihram, semua itu mengajar manusia tentang ketaatan.

    “Begitu juga sebelum mereka niat umrah atau haji, perkara pertama dia mesti buat, dia kena pakai ihram. Kemudian mesti jaga larangan dalam ihram yang Allah SWT nak ajar kita bagaimana ketaatan kita kepada perintah Allah.

    “Sebab kadang-kadang ada orang persoal juga kenapa dalam ihram tak boleh gugur rambut. Kalau gugur rambut diganti dengan dam (denda) sedangkan gugur rambut itu pun takdir Allah SWT. Sebenarnya Allah nak ajar bagaimana kita taat kepada perintah Allah SWT dengan tanpa soal,” katanya.

    Kata Tengku Aziz, kemabruran haji adalah milik Allah tetapi sebagai hamba-Nya apa yang perlu dilakukan ialah persiapan dari segi kafiat (cara kerja) dan setelah itu berdoa kepada Allah SWT supaya amalan tersebut diterima.

    Akhir sekali kata Tengku Aziz, mengikut Ibnu Hajar, tanda seseorang yang memperoleh haji mabrur ialah dapat dilihat melalui tiga tanda.

    Katanya, jemaah itu meninggalkan perkara maksiat atau jadi lebih baik lagi daripada sebelumnya. Kalau sudah baik maka akan jadi lebih baik sama ada dari segi ibadat, muamalat, pergaulannya dan lain-lain.

    “Yang kedua meninggalkan sahabat yang tidak baik dan dekatkan diri dengan Allah dan ketiganya beralih kepada menghadiri majlis-majlis yang mengingati Allah SWT seperti majlis-majlis ilmu, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya,” katanya.

  • Tikaman di dada punca kematian wanita hamil dibunuh,dibakar

    Tikaman di dada punca kematian wanita hamil dibunuh,dibakar

    PUNCA kematian pelayan restoran yang dibunuh kejam sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Isnin lepas adalah dari luka tikaman pada bahagian dada.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata punca itu dikenal pasti setelah selesai proses bedah siasat terhadap mangsa.

    Jelasnya lagi, jenazah mangsa juga telah dituntut oleh keluarga dan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Kampung Nelayan, Sungai Besar.

    Dalam pada itu, Agus Salim berkata keperluan tambahan tempoh reman akan dilakukan pihak sekiranya memerlukan siasatan lanjutan berhubung kes tersebut.

    Katanya, mahkamah sebelum ini meluluskan reman pertama selama enam hari bermula Rabu hingga 29 Mei depan.

    Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan luar nikah dipercayai punca seorang wanita 21 tahun dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini Isnin lepas.

    Agus Salim berkata suspek berusia 20 tahun yang merupakan bekas penuntut kolej itu telah membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita tersebut sebelum dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam, 22 Mei lalu.

  • 3 mangsa kebakaran cedera termasuk Shahrukhan diselamatkan atas bumbung

    3 mangsa kebakaran cedera termasuk Shahrukhan diselamatkan atas bumbung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA remaja dan seorang kanak-kanak cedera semasa menyelamatkan diri dalam kebakaran di tiga buah teres di Taman Mutiara Rini, Skudai Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang tadi.

    Tiga mangsa berkenaan iaitu Nur Hidayah Amir Hamzah, 19, Nur Syazliana Shamsudin, 18, dan adiknya, Muhamad Shahrukhan, 8, menyelamatkan diri dengan memanjat atas bumbung sebelum meminta bantuan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Kamalrulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pukul 3.18 petang.

    “Pihak bomba bertindak menyelamatkan semua mangsa menggunakan tangga dan memberi rawatan awal sebelum menghantar mereka ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Menurut beliau, kebakaran tersebut memusnahkan tiga rumah teres struktur kekal berkeluasan 6.7x21x4.5 meter setiap satu.

    Katanya, dua rumah berkenaan musnah kira-kira 50 peratus manakala sebuah lagi musnah 15 peratus.

    “Kebakaran juga memusnahkan motosikal Yamaha Lc 135 sebanyak 30 peratus dan Suzuki Belang (30 peratus) dan SYM110 (30 peratus),” katanya.

    Kamalrulzaman berkata, kebakaran tersebut dapat dikawal dan operasi tersebut tamat pada pukul 5.11 petang.

    Tambahnya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

    Ujar beliau, operasi berkenaan melibatkan 18 anggota dari BBP Skudai dan BBP Iskandar Puteri dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)dan satu unit Rapid Rescue Vehicle (RRV).

  • Azizulhasni, Nurul Izzah rangkul emas di Hong Kong

    Azizulhasni, Nurul Izzah rangkul emas di Hong Kong

    JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memperagakan kayuhan cemerlang untuk meraih emas dalam acara pecut lelaki pada Piala Berbasikal Trek Antarabangsa Hong Kong, hari ini.

    Pada perlumbaan berlangsung di Velodrom Hong Kong itu, penguasaan The Pocket Rocketman ternyata sukar digugat selepas dengan mudah menewaskan pelumba China Kang Shing Feng, yang terpaksa berpuas hati meraih kedudukan kedua.

    Seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam pada itu berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan pelumba Korea Selatan Kang Seojun, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

    Sementara itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengiringi kejayaan kedua-dua pelumba negara tersebut, dengan turut mengungguli emas bagi acara pecut bagi kategori wanita.

    Pelumba berusia 20 tahun itu, lebih mendominasi saingan dan berjaya menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Jihae.

  • Pengasas tahfiz warga Singapura berdepan tiga pertuduhan baru

    Pengasas tahfiz warga Singapura berdepan tiga pertuduhan baru

    PENGASAS pusat tahfiz warga Singapura kini berdepan 11 pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajarnya selepas tiga tuduhan baharu dikenakan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

    Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, didakwa melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki pada 2018 dan 2019.

    Terdahulu, dia didakwa atas lima dan tiga pertuduhan masing-masing di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan Alor Gajah.

    Menurut Harian Metro, bapa kepada enam cahaya mata itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal secara luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun ketika kejadian.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Klebang 8, di Melaka, pada 13 dan 28 Julai 2018, antara 11 malam hingga 12 tengah malam dan 2 pagi hingga 6 pagi.

    Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan amang seksual fizikal secara luar tabii terhadap remaja berusia 16 tahun ketika kejadian.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Madrasah Al-Islah, Tanjung Minyak pada 18 Januari 2019, kira-kira 9 pagi.

    Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Terdahulu, tertuduh yang beristeri dua itu gagal mendapatkan jaminan melalui peguamnya, Fahmy Sulaiman selepas dibantah Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin atas pelbagai alasan termasuk kebimbangan tertuduh melarikan diri memandangkan dia warga Singapura serta keseriusan kesalahan itu.

    Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan sebutan kes ditetapkan pada 19 Jun.