Category: Semasa

  • Nurul Izzah nafi akan bertanding di PRN Pulau Pinang

    Nurul Izzah nafi akan bertanding di PRN Pulau Pinang

    BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.

    Menerusi ciapan di laman sosial Twitternya hari ini, Nurul Izzah berkata, laporan tersebut adalah tidak benar.

    Mengulas lanjut, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau kekal komited dengan tanggungjawab kini dalam mengetuai secara bersama sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Hassan Marican.

    “Saya menggesa media untuk lebih bertanggungjawab dalam laporan dan tidak memberi kredit terhadap dakwaan yang tidak sahih,” katanya menerusi ciapannya yang turut disertakan dengan tanda pagar #TidakPastiJanganKongsi.

    Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dijangka bertanding dalam PRN Pulau Pinang dan akan dilantik ke jawatan penting sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

    Memetik sumber yang tidak dinamakan, laporan berita portal itu melaporkan, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN itu boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di DUN dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas tewas kepada calon pas, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dengan majoriti 5,272 undi, sekali gus mengakhiri penguasaan keluarga Anwar di kerusi tersebut sejak 40 tahun lalu.

  • Warga emas ditahan bantu siasatan budak hilang

    Warga emas ditahan bantu siasatan budak hilang

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada 26 Mei lalu sebelum ditemukan selepas 24 jam dalam keadaan lemah.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, lelaki berusia 70-an itu ditahan kira-kira 10.30 malam tadi hasil risikan yang dijalankan pihak polis.

    “Berdasarkan risikan dijalankan, polis menahan lelaki warga emas yang juga tinggal di kawasan kejiranan kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa itu.

    “Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas, di Kepala Batas dan beliau difahamkan keadaan kesihatan mangsa semakin baik.

    Mohd Asri berkata setakat ini pihak polis masih belum dapat merekodkan keterangan daripada kanak-kanak perempuan itu kerana keadaannya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

    Katanya selain pemantauan oleh pasukan kesihatan, kanak-kanak itu turut berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kami juga masih menunggu laporan lengkap perubatan kanak-kanak tersebut daripada pihak hospital (untuk lengkapkan siasatan).

    “Jika laporan siasatan dan dapatan (siasatan) kita terdapat unsur-unsur lain termasuk jenayah lain, cabul dan sebagainya, polis akan menukar seksyen siasatan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

    Difahamkan mangsa mengenali lelaki warga emas itu dan kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan dalam kawasan semak di Permatang Keriang semalaman ketika dilaporkan hilang.

    Media sebelum ini melaporkan orang awam telah menemukan kanak-kanak itu di kawasan semak Permatang Keriang, Penaga kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan pemeriksaan mendapati kecedaraan patah rahang, luka di bahagian dagu serta belakang kepala, lebam di dada dan belakang badan serta patah dua batang gigi.

    Kanak-kanak itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada sekitar 1 tengah hari Jumaat lepas dan didapati tidak pulang ke rumahnya sebelum ditemukan pada 6 petang keesokannya.

  • Bekas CEO GLC didakwa perdaya RM40,000

    Bekas CEO GLC didakwa perdaya RM40,000

    SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan memperdaya seorang Eksekutif Operasi Kewangan sebuah syarikat membabitkan kerugian RM40,000 tujuh tahun lalu.

    Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdaya pengadu, Madiani Ab Manaf yang merupakan kakitangan Mutiara.com Sdn. Bhd. dengan memberikan invois palsu bagi perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service” dengan bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang, pada 11 Oktober 2016.

    Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, dia turut didakwa dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ang Chun Pun.

    Dalam pada itu, Chun Pun memohon supaya jaminan ke atas tertuduh dikurangkan atas faktor anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia perlu menyerahkan pasport serta dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan.

  • Pemilik kelab komedi sekali lagi gagal batal tuduhan jenayah siber

    Pemilik kelab komedi sekali lagi gagal batal tuduhan jenayah siber

    USAHA pemilik Crackhouse Comedy Club, Rizal van Geyzel membatalkan tiga pertuduhan jenayah siber berkaitan dakwaan memuat naik kandungan didakwa menyinggung di media sosial ditolak sekali lagi.

    Ketika pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memaklumkan mahkamah, representasi kedua Rizal untuk semakan pertuduhan ditolak Jabatan Peguam Negara.

    Representasi pertamanya kepada Jabatan Peguam Negara ditolak 12 Disember lalu, lapor FMT.

    Peguam M. Pravin berkata, beliau akan mendapatkan arahan Rizal mengenai tindakan seterusnya.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes berikut pada 13 Jun ini.

    Rizal didakwa memuat naik video di tiga platform media sosial berbeza antara 4 hingga 6 Julai tahun lalu yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Kes rasuah Jana Wibawa, Wan Saiful fail permohonan batal tuduhan

    Kes rasuah Jana Wibawa, Wan Saiful fail permohonan batal tuduhan

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung inisiatif Jana Wibawa, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu atas alasan ia cacat.

    Wan Saiful yang memfailkan notis usul di Mahkamah Sesyen kelmarin berkata, beliau berhak mendapat pembebasan jika pertuduhan itu dibatalkan.

    Peguam Amer Hamzah Arshad mengesahkan pengurusan kes akan diadakan petang ini.

    Beliau didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun bank CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank milik Nepturis Sdn. Bhd.

    Wan Saiful juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan daripada Lian Tan Chuan di Royal Lake Club di Kuala Lumpur pada April tahun lepas untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan Persekutuan.

    Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara Julai dan September tahun lalu dalam usaha syarikat itu mendapatkan surat penerimaan bagi projek terbabit.

    Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit setiap kesalahan.

    Dalam afidavit menyokong usul itu, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, pertuduhan dirangka itu tidak mematuhi peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah kerana tarikh dan masa sebenar kesalahan itu tidak dinyatakan.

    “Peguam saya memaklumkan ini penting bagi saya untuk melakukan pembelaan berkesan, termasuk pembelaan alibi,” katanya sambil menambah pertuduhan itu tidak mempunyai butiran bagaimana dia melakukan kesalahan didakwa itu.

    “Pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan kerana membantu mendapatkan projek bukanlah jenayah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

    Lebih-lebih lagi, katanya, dirinya tidak mempunyai sebarang jawatan awam dalam pentadbiran kerajaan bagi membolehkannya mempengaruhi pemberian projek kerajaan kepada sektor swasta.

    Wan Saiful berkata, jika kes itu diteruskan, reputasinya akan tercemar, selain perlu menghabiskan banyak masa di mahkamah dan akan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mempertahankan kes itu kerana melibatkan peguam.

    “Saya telah dinasihatkan peguam bahawa pertuduhan cacat boleh menyebabkan perbicaraan terbatal sekiranya kes itu diteruskan,” katanya sambil menambah ia akan membuang masa dan sumber semua pihak, lapor FMT.

    Program Jana Wibawa merupakan inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera. Ia diselubungi kontroversi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos beberapa projek terlalu tinggi dan diluluskan tanpa proses tender.

    Pakej rangsangan itu dilaksanakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

  • Jangan buat spekulasi, Kok Thiam meninggal dunia kerana strok – peguam

    Jangan buat spekulasi, Kok Thiam meninggal dunia kerana strok – peguam

    AHLI perniagaan yang juga merupakan sekutu kepada Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Kee Kok Thiam meninggal dunia kerana serangan strok mengejut.

    Sehubungan itu, peguam yang mewakili Kok Thiam, Valen, Oh & Partners berharap supaya semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi berhubung kematian ahli perniagaan itu.

    Menurut peguamnya itu, Kok Thiam disahkan meninggal dunia di hospital, kelmarin.

    “Kami meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian malang ini dan memberi ruang kepada keluarga yang sedih atas pemergiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kok Thiam dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Mei lalu bagi siasatan lanjut berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Malam tadi, media melaporkan ahli perniagaan itu yang memberitahu lokasi Jho Low yang berada di Macau, meninggal dunia kerana sakit mengejut.

    Menurut laporan BH Online yang memetik sumber, siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan itu tetap berjalan walaupun suspek telah meninggal dunia.

    “SPRM kini berjaya mengesan kembali kira-kira AS$5 juta (iaitu) aset dan wang tunai 1MDB di Singapura.

    “Siasatan SPRM tetap berjalan bagi mendapatkan semula dana-dana 1MDB yang dikaitkan dengan mendiang,” katanya.

    Terdahulu, tular satu pemberitahuan memaklumkan mengenai kematian mendiang ahli perniagaan, Kee Kok Thiam, 56.

    Mendiang dijangka dikebumikan di tanah perkuburan cina Jinjang Selatan, jam 10 pagi ini.

  • Tuduhan tak berasas, Fahmi tak patut campur urusan – Awesome TV

    Tuduhan tak berasas, Fahmi tak patut campur urusan – Awesome TV

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil diminta supaya tidak mencampuri hal-hal komersial stesen penyiaran Awesome TV dengan pembekalnya.

    Pada masa sama, Pengurusan Awesome TV turut membantah tegas kenyataan dikeluarkan Fahmi semasa sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem, kelmarin.

    Menurut Awesome TV, pihak yang bertanggungjawab untuk produksi rancangan televisyen dan hal-hal pembayaran kepada syarikat produksi adalah syarikat perantaraan atau ejen dilantik pihak stesen televisyen, bukannya stesen televisyen itu sendiri.

    Stesen penyiaran itu juga menegaskan, Fahmi sewajarnya membuat kajian lanjut dan tidak melemparkan kata-kata yang memberi kesan negatif serta tidak adil kepada Awesome TV.

    “Menteri juga membuat rujukan kepada peranan My Creative Ventures Sdn. Bhd. yang menyuntik pinjaman perniagaan kepada penggiat seni.

    “Pihak stesen televisyen tidak langsung berurusan dengan My Creative. Maka, tidak wajar bagi menteri atau pihak My Creative membuat apa-apa kenyataan mengenai stesen televisyen,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Awesome TV menjelaskan, sebagai stesen penyiaran yang berpegang teguh kepada prinsip integriti, ia telah menjalankan operasi syarikat dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

    Syarikat itu menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memburukkan imej Awesome TV dengan tidak adil.

    “Kami berharap agar media dan masyarakat dapat memahami sepenuhnya konteks sebenar serta tidak membuat penilaian yang boleh mengakibatkan fitnah.

    “Kami tetap berkomitmen untuk memberikan kandungan berkualiti tinggi dan memberi sumbangan signifikan kepada industri penyiaran,” katanya, lapor Utusan TV.

    Kelmarin, Fahmi meminta pihak Awesome TV melunaskan segera isu bayaran tertunggak dengan beberapa pihak.

    Fahmi turut berharap supaya penyelesaian secara damai di meja perundingan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

  • Pusat kesihatan Malaysia di Madinah pencapaian membanggakan Tabung Haji

    Pusat kesihatan Malaysia di Madinah pencapaian membanggakan Tabung Haji

    KEJAYAAN Malaysia menjadi negara pertama mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan Arab Saudi untuk membuka pusat kesihatan di Madinah untuk dua tahun  berturut-turut adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi Tabung Haji (TH).

    Tambahan pula untuk mendapat kelulusan itu bukanlah mudah, pusat kesihatan berkenaan wajib mencapai standard tinggi yang ditetapkan  Arab Saudi.

    Pengarah Operasi Madinah (Madinah), Dr Abdul Jalil Ahmad berkata, pusat kesihatan atau Pusat Rawatan Madinah (PRM) mempunyai fasiliti yang lengkap dari segi jumlah pakar dan kemudahan kepada pesakit.

    Menurutnya, terdapat 59 petugas perubatan  terdiri daripada pakar kecemasan, pakar bius, pakar perubatan keluarga dan pakar perubatan kesihatan awam bertugas.

    PRM katanya, menyediakan khidmat rawatan kecemasan, pesakit dalam dan pemulihan, perkhidmatan ambulans, makmal perubatan, unit x-ray, unit fisioterapi, diatetik, unit kesihatan awam, unit lawatan ke hospital Arab Saudi  dan pasukan perubatan lapangan terbang.

    “Bilangan katil di wad pesakit ialah 33 buah dan PRM beroperasi 24 jam untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji,” katanya lapor wartawan SINAR HARIAN. 

    Mengenai klinik di zon-zon pula, Dr Abdul Jalil berkata terdapat dua buah klinik tetap dan bergerak di Hotel Movenpick dan sebuah klinik tetap di Hotel Saja Al Madinah.

    Skop rawatan di klinik itu meliputi khidmat seperti rawatan pesakit luar, rawatan awal kecemasan, rehab lelaki dan perempuan, kaunseling dan juga rujukan ke PRM.

    Waktu operasi pula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 7 pagi hingga 11.30 pagi pada hari Jumaat seterusnya pada pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang dan dari pukul 8 malam hingga 10 malam.

    Dr Abdul Jalil berkata, apabila pesakit di zon klinik tidak dapat distabilkan, pasukan perubatan akan membawa ke PRM yang berada di bangunan Roha iaitu 10 minit perjalanan dengan kenderaan dari klinik zon.

    “Di situ semua pakar yang ada akan rawat dan stabilkan pesakit. Sekiranya memerlukan rawatan lebih lanjut kita akan bawa ke hospital Arab Saudi mengikut penyakit-penyakit tertentu,” jelasnya.

    Oleh kerana perjalanan jemaah dari Malaysia memakan masa sehingga sembilan jam, pasukan perubatan turut ditempatkan di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz di Madinah.

    “Antara tugas pasukan perubatan di sana ialah memberikan rawatan awal jika diperlukan, merujuk pesakit kecemasan ke PRM dan mengiringi pesakit ke hospital Madinah jika keadaan memerlukan,”katanya.

    Dr Abdul Jalil berkata, Unit Kesihatan Awam antara lain berperanan untuk memberi pendidikan kesihatan kepada jemaah haji di setiap bilik penginapan zon.

    “Kita juga melakukan pengesanan kes aktif untuk mengesan jemaah haji yang sakit atau apabila berlaku peningkatan penyakit berjangkit serta pendidikan kesihatan yang disesuaikan dengan keadaan di Tanah Suci,”katanya.

  • Anwar dapat lanjutan lagi untuk fail pembelaan saman Tun M

    Anwar dapat lanjutan lagi untuk fail pembelaan saman Tun M

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendapat lanjutan dua minggu lagi untuk memfailkan pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah RM150 juta oleh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Mahkamah Tinggi di Shah Alam memberikan lanjutan untuk membolehkannya memfailkan pembelaan terhadap tindakan sivil berkenaan.

    Sekiranya Anwar, tidak dibenarkan lanjutan hari ini, defendan perlu memfailkan pernyataan pembelaan hari ini.

    Peguamnya, lliff Benjamin Suhaimi mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi awal hari ini.

    “Kami dapat (lanjutan bermula hari ini untuk selama) dua minggu. Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Julai,” kata peguam itu ketika dihubungi media, lapor Malaysiakini.

    Pada 3 Me lalu, Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu mengumpul kekayaan untuk kekayaan peribadi semasa berkuasa.

    Tindakan sivil itu adalah berhubung ucapan dasar Anwar selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada kongres kebangsaan khas parti itu pada 18 Mac.

    Melalui tuntutan mahkamah itu, plaintif mendakwa, antara lain, bahawa Anwar membuat kenyataan tidak benar dan tidak berasas dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadapnya

    Mahathir juga mendakwa kenyataan itu bukan sahaja merosakkan imej dan reputasinya tetapi turut memalukan dirinya serta ahli keluarganya.

    Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan bahawa anak-anaknya berjaya dalam dunia perniagaan tanpa campur tangan atau sebarang penyalahgunaan kuasa olehnya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Plaintif menuntut ganti rugi am RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.

    Mahathir memohon perintah mahkamah agar Anwar mengeluarkan permohonan maaf bertulis dan penarikan serta-merta dakwaan itu.

    Plaintif juga menuntut faedah tahunan lima peratus ke atas ganti rugi yang diberikan untuk dikira dari tarikh memfailkan tindakan sivil sehingga penyelesaian penuh pembayaran pampasan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Suami parah ditetak isteri dengan pisau pemotong daging

    Suami parah ditetak isteri dengan pisau pemotong daging

    SEORANG wanita ditahan selepas dipercayai menetak suaminya di lengan kanan menggunakan pisau pemotong daging di rumah mereka di Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, pukul 12 tengah hari kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di rumahnya pukul 3 petang semalam susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa tengah malam kelmarin.

    “Pihak polis menerima laporan berkaitan mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata pukul 12 tengah malam kelmarin.

    “Berdasarkan keterangan bapa mangsa, dia dimaklumkan oleh anaknya yang lain memaklumkan mangsa berusia 31 tahun ditetak oleh isterinya menggunakan pisau pemotong daging.

    “Bertindak atas laporan yang diterima, suspek ditangkap di rumahnya di Pengkalan Chepa pukul 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, hasil ujian saringan awal terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.

    “Kes disiasat mengikit Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” tambah beliau, memetik laporan Harian Metro.