Category: Semasa

  • Wakil DAP gesa tarik balik pingat Tun daripada Dr. Mahathir

    Wakil DAP gesa tarik balik pingat Tun daripada Dr. Mahathir

    SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, hari ini menggesa Kerajaan Perpaduan menarik balik darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang dikurniakan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Gesaan supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menarik balik pingat terbabit dibuat RSN Rayer (PH-Jelutong) atas dakwaan tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berterusan menyerang dan menghina institusi diraja.

    “Kita lihat beliau (Dr. Mahathir) melakukan Proklamasi Melayu dan mungkin akan bekerjasama dengan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang telah mengkhianati beliau, sebelum ini.

    “Kedua-dua mereka ingin menghancurkan negara dan tidak mahu membenarkan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat,” katanya, lapo Berita Harian.

    Rayer berkata demikian ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 buat pertama kali di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dr. Mahathir pada Oktober 2003, dianugerahkan darjah kebesaran SMN Pangkat Pertama selepas melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, menggantikan Tun Hussein Onn.

    Darjah Kebesaran SMN terhad kepada 25 penerima pada satu-satu masa, tidak termasuk warga asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat dengan penyandang akan membawa gelaran Tun, manakala isterinya bergelar Toh Puan.

    Sebelum ini, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dan isterinya dilapor memulangkan Darjah dan Bintang Kebesaran Sultan Selangor, pada 7 Disember 2017.

    Difahamkan Dr. Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkamah Selangor (SPMS) dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) manakala Dr. Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan SPMS.

  • Suami Siti Nuramira didenda RM16,000 buat video jelik

    Suami Siti Nuramira didenda RM16,000 buat video jelik

    SUAMI kepada wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di kelab komedi pada 2022 lalu, didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling jaya, atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik.

    V. Alexander Navin, 39, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes di hadapan Hakim, Azrul Darus, lapor Sinar Harian.

    Semasa membaca keputusan kes itu, hakim memerintahkan tertuduh didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan, namun jika gagal, Alexander diperintah untuk menjalani hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’ masing-masing pada 5 dan 16 Jun tahun lalu.

    Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di Petaling Jaya pada pukul 10.30 pagi, 9 Julai tahun sama.

    Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, peguam, R. Sivaraj yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan itu.

    “Alexander atau nama Islamnya, Alexander Dzulkarnain Chandran bergelar Muslim pada 21 Julai tahun lalu dan berkahwin dengan Siti Nuramira Abdullah pada 6 Disember tahun sama,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, P Vitiya Monisha mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam lebih penting daripada tertuduh.

    Sebelum ini, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi solo.

    Video berkenaan tular di media sosial dan mengundang kecaman daripada orang ramai.

    Pada 17 April lalu, wanita itu, Siti Nuramira didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut, dia seorang Muslim, menghafal 15 juzuk al-Quran, membuka tudung dan menanggalkan baju kurung, pada pukul 6 petang, 4 Jun 2022.

  • MB Terengganu elak terperangkap, enggan layan ‘game’ Ahmad Said

    MB Terengganu elak terperangkap, enggan layan ‘game’ Ahmad Said

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar enggan menyahut cabaran Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Menurutnya, semasa Barian Nasional (BN) memerintah Terengganu, Pas pernah mempelawa Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berdebat, lapor Sinar Harian.

    “Buat apa saya nak ikut ‘game plan’ dia. Suatu masa dulu pada 2012-2014 pernah pembangkang ketika itu (Pas) ajak dia berdebat tetapi dia nyatakan tak bersedia berdebat.

    “Jadi oleh kerana dia jadi pembangkang ketika ini sudah tentulah dia buat gesaan itu. Jadi tak ada kerja lah saya nk berdebat dengan dia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urusa (SLU) Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 bersama kerajaan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan memberitahu beliau telah memberikan jawapan ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Beliau juga bersedia untuk bekerjasama dan memberi keterangan secara rasmi kepada mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.

    Sabtu lalu, Ahmad Said mencabar Ahmad Samsuri untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan yang didakwa dijual kepada sebuah NGO pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa hartanah.

    Ahmad mencabar pemimpin utama negeri itu untuk berhujah bagi membuktikan tindakan yang dilakukan itu tidak menyalahi undang-undang.

    Menurut Ahmad, isu mengenai penjualan tanah itu juga telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Sebelum ini tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan Pas Terengganu didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.

    Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, penjualan tanah tanah kerajaan negeri bernilai RM29.3 juta kepada sebuah NGO itu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.

  • Sultan Selangor mahu polemik agama diselesaikan segera dengan bijak dan tertib

    Sultan Selangor mahu polemik agama diselesaikan segera dengan bijak dan tertib

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua pihak mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan dengan semangat toleransi yang tinggi dalam berhadapan isu agama.

    Apa jua polemik agama hendaklah diselesaikan segera demi perpaduan dan masa hadapan negara, titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

    Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru agar semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat terus disemai serta dididik di semua peringkat bersama nilai-nilai murni hidup bermasyarakat bagi mengekalkan keharmonian.

    Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menyokong dan senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

    Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

    Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

    Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin berpandangan isi kandungan titah Yang di-Pertuan Agong itu amat baik dan impresif serta harus diambil serius oleh rakyat jelata.

    Sama seperti Yang di-Pertuan Agong, baginda Sultan turut menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara, kata kenyataan itu.

    Sultan Selangor mahu semua pihak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, dan semua rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

    Titah baginda Sultan lagi, ke arah membina sebuah negara yang maju jaya, berwibawa, dan bermaruah, semua rakyat dan ahli politik hendaklah membuang sebarang agenda retorik yang boleh membawa kepada perpecahan.

    “Tanpa perpecahan, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dan disegani,” titah baginda.

  • Pejuang Malaysian Malaysia dianggap sebagai tokoh?

    Pejuang Malaysian Malaysia dianggap sebagai tokoh?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    “BERTOKOHKAH orang yang memperjuangkan Malaysian Malaysia?”

    Persoalan itu dibangkitkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dalam laman Facebooknya, hari ini.

    Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu berkata, anugerah dan gelaran dikurniakan kepada individu yang berjasa tidak akan dipertikaikan oleh sesiapa pun malah ramai akan menumpang bangga.

    “Baik tokoh kerajaan mahu pun tokoh pembangkang, kedua-duanya berjasa membangunkan negara dan menyuburkan sistem demokrasi berparlimen.

    “Tetapi yang dipersoal, bertokohkah orang yang memperjuangkan Malaysian Malaysia?

    “Jika seruan mengkaji semula sejarah Kedah dan Pulau Pinang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan, apakah memperjuangkan Malaysian Malaysia menepati Perlembagaan,” soalnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

    Pandangan beliau itu bagaimanapun jelas tidak selari dengan Timbalan Pengerusi Jabatan Penerangan UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri.

    Menulis di Facebooknya, Syed Mohd. Johan menyifatkan anugerah diterima Lim Kit Siang menjadi bukti bahawa Melayu merupakan kaum yang berjiwa besar dan memaafkan demi menyatu padukan.

    “Apabila ‘LKS’ dapat anugerah dari Raja Melayu, ia bukti Melayu ini berjiwa besar dan memaafkan demi menyatu padukan.

    “Apa guna terima anugerah tetapi gagal menyatupadukan malah bertindak memecah belah ummah,” katanya.

    Melalui satu lagi status dimuat naik selepas itu, Syed Johan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, Raja Melayu nyata berjiwa besar apabila memberi anugerah kepada Kit Siang dan melupakan sejarah yang melukakan.

    “Manis kiranya jika LKS pula berjiwa besar memohon maaf terbuka kepada orang Melayu atas kekhilafannya dalam sejarah episod hitam negara 1969,” katanya.

  • Lelaki didakwa hantuk kepala ke muka isteri tolak hubungan seks

    Lelaki didakwa hantuk kepala ke muka isteri tolak hubungan seks

    BAPA empat anak didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tuduhan mencederakan isteri hingga parah kerana mangsa menolak ajakan untuk bersetubuh.

    Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya dengan cara menghantukkan kepala ke hidung mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, pada 12 Februari lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh berang apabila mangsa menolak ajakannya untuk melakukan hubungan seks.

    Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan bagi pertuduhan pertama sebagaimana tertakluk di bawah seksyen, namun jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM20,000 kepada tertuduh.

    Beliau juga memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap 1 hari bulan di balai polis terdekat, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

    Tertuduh diwakili Peguam Ishak Mohd. Kari memohon jaminan rendah kerana tertuduh yang bekerja sebagai mekanik perlu menyara empat anak selain isterinya telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

    10 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Van sekolah tembung motosikal, lima murid luka terkena serpihan kaca

    Van sekolah tembung motosikal, lima murid luka terkena serpihan kaca

    SERAMAI lima daripada 10 murid mengalami luka apabila van sekolah dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, di Seremban hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, kejadian pukul 7.25 pagi itu dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki berusia 65 tahun dari arah Taman Nusari Aman 1 menuju ke arah Taman Nusari Bayu 2.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, van tersebut telah membelok ke kanan simpang, namun sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri van.

    “Kejadian itu mengakibatkan lima murid berusia enam hingga 12 tahun mengalami cedera luka kecil akibat terkena serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban manakala pemandu van dan lima lagi murid tidak alami sebarang kecederaan.

    “Penunggang motosikal berusia 17 tahun itu patah tangan kanan dan luka di bahagian kaki turut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban di talian 06- 6033222 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Sek 43(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

  • Pegawai bank rugi RM53,700 ditipu sindiket kerja sambilan

    Pegawai bank rugi RM53,700 ditipu sindiket kerja sambilan

    SEORANG pegawai bank mengalami kerugian sebanyak RM53,700 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian pada Ahad.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 41 tahun pada hari yang sama.

    Beliau berkata, pengadu menyertai tawaran kerja sambilan dalam Facebook pada pukul 11 pagi.

    Menurutnya, mangsa telah dijanjikan komisen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pembayaran.

    “Bagi tugasan pertama pengadu mendapat pulangan sebanyak RM130, selepas itu, dia telah membuat enam kali transaksi ke dalam dua akaun berbeza.

    “Pengadu gagal mendapat pulangan dan bayaran balik serta mensyaki dirinya telah ditipu kerana jumlah bayaran yang diminta semakin besar.

    “Pengadu juga dimaklumkan sekiranya dia berhenti membuat kerja tersebut wangnya akan hangus,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    A. Asmadi berkata, laporan polis dibuat mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Pemimpin Bersatu dakwa kerajaan sengaja lewat bentang Akta Pendanaan Politik

    Pemimpin Bersatu dakwa kerajaan sengaja lewat bentang Akta Pendanaan Politik

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan sengaja melewatkan untuk membentangkan Akta Pendanaan Politik dengan alasan memerlukan masa untuk libat urus dengan semua parti dalam kerajaan perpaduan.

    Bekas bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, alasan kerajaan yang perlu lebih masa untuk libat urus dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan kerana ianya adalah gabungan baru adalah tidak boleh diterima.

    Katanya, parti-parti politik yang membentuk gabungan baru itu adalah parti lama dan libat urus telah pun dijalankan dengan semua parti.

    “Sebenarnya Akta ini adalah akta yang paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana drafnya sudah ada, dan kajian telah dijalankan dan telah selesai bertahun-tahun.

    “Kerajaan hanya perlu tambah satu klausa mengenai peruntukan tetap ahli parlimen sahaja,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

    Wan Saiful mengulas jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 25 Mei oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung pertanyaan beliau mengenai menambah peruntukan tetap untuk ahli parlimen dalam Akta Pendanaan Politik.

    Azalina berkata, sebarang dasar baharu termasuk rang undang-undang itu perlu dibawa dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

    Beliau juga berkata, susulan perkembangan politik selepas PRU15, termasuk pembentukan gabungan parti politik baharu, sesi libat urus perlu diteruskan dengan parti politik dan pihak berkepentingan.

    Wan Saiful juga menyeru semua pihak, terutama NGO yang sekian lama memperjuangkan akta ini, agar memberi tekanan lebih kuat kepada kerajaan agar matlamat itu tercapai.

    “Tanpa tekanan berterusan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan terus terlupa janji-janjinya,” katanya lapor FMT.

  • Bagaimana nak bahas LKAN tanpa ketua audit negara – soal PN kepada kerajaan

    Bagaimana nak bahas LKAN tanpa ketua audit negara – soal PN kepada kerajaan

     AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kegagalan kerajaan mengisi jawatan ketua audit negara yang kosong hampir empat bulan, namun pada masa sama mahu membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat.

    “Perkara yang patut diberi perhatian ialah mengenai (jawatan) ketua audit negara dah empat bulan tidak diisi, yang itu patut diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

    “Bagaimana kita nak bincang soal ini (bahas LKAN 2021) kalau ketua audit negara pun tidak ada?” tambahnya, pada sidang media di Parlimen, hari ini.

    Ketua audit negara sebelum ini disandang oleh Nik Azman Nik Abdul Majid yang bersara pada 23 Februari lalu, selepas berkhidmat selama empat tahun.

    Ketua audit negara jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan. Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

    Tugas ketua audit negara untuk membuat audit dan melaporkan akaun kerajaan persekutuan dan negeri.

    Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kegagalan kerajaan melantik ketua audit yang baharu kerana ‘takut diaudit’.

    “Nampak kerajaan pada hari ini takut diaudit. Sebab itu tak lantik ketua audit negara,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, pembangkang membantah Dewan Rakyat membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, lalu menyebabkan kekecohan selama satu jam.

    “Semakan kami sepanjang perjalanan Dewan Rakyat tidak pernah LKAN dibentang dibahaskan,” kata Takiyuddin, dan menambah laporan itu hanya perlu dibentangkan.

    Kenyataan ketua whip PN itu disokong oleh semua Ahli Parlimen gabungan itu yang setuju LKAN tidak perlu dibahaskan.

    Laporan itu dipercayai audit bagi tahun yang mana darurat diisytiharkan ketika wabak Covid-19 melanda. Ia diisytiharkan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.

    Kedua-dua blok bertikam lidah sehingga Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mencelah dan memutuskan LKAN perlu dibahaskan kerana prosiding PAC, yang meneliti LKAN, tidak terbuka kepada umum.